asal bangsa

Asal usul Melayu
Oleh Siti Haliza Yusop


Sejak sekian lama, pelbagai teori yang menafikan hakikat masyarakat Melayu berasal dari alam kepulauan Melayu, ditampilkan oleh ramai sarjana dan sejarawan Barat.

Disebabkan tiada kepakaran bagi menyelidik kesahihannya berpuluh tahun lalu, teori itu diterima dan 'menyubur' di kalangan sebilangan besar masyarakat ketika itu.

Keadaan bagaimanapun semakin berbeza kini apatah lagi sejak 1980-an, pelbagai penyelidikan dilakukan dan banyak dapatan terbaharu diperolehi penyelidik tempatan bersandarkan penemuan, sekali gus menyingkir teori terdahulu yang tidak menyeluruh.

Bagaimanapun, bukan mudah menolak 'teori' yang sudah tertanam dalam fikiran sebahagian masyarakat sejak sekian lama meskipun bukti dari sudut dapatan DNA yang tidak dapat dimanipulasi, sudah ditampilkan kalangan pengkaji.



Antara teori popular yang terus dicanangkan mengenai asal bangsa Melayu sehingga kini termasuk, Out of Taiwan yang dipelopori ahli arkeologi Australia, Peter Bellwood berdasarkan penyelidikan bahasa Austronesia oleh pakar linguistik Amerika Syarikat (AS), Robert Blust.

Menurut Blust, bahasa Austronesia yang termasuk dalam bahasa Melayu Polinesia berasal dari Taiwan berdasarkan sembilan cabang bahasa Austronesia yang dikesan di negara itu.

Teori Out of Taiwan itu menganggap bahasa Austronesia tersebar ke Asia Tenggara dan Kepulauan Polinesia selepas berlaku penghijrahan keluar penuturnya dari Taiwan sekitar 10,000 ke 6,000 Sebelum Masihi (SM).

Ini menumbuhkan kepercayaan etnik Melayu Polinesia merangkumi etnik Melayu, Iban, Bidayuh, Kadazan-Dusun, Murut, Penan, Jawa, Bugis, Minangkabau, Kerinci dan pribumi di rantau ini dan sekitar lautan Pasifik, dikatakan berasal dari Taiwan.

Antara sarjana tempatan terawal yang melakukan kajian bagi menolak dakwaan itu ialah ahli akademik yang kini Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh yang melakukan kajian mengenainya pada tahun 1994.


Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh

Wan Hashim pada asalnya membuat kajian mengenai orang Melayu di Sri Lanka sekitar 1980-an, bertemu penyelidik arkeologi dan sejarah dari negara itu, Prof de Silva yang menganalisis bahan arkeologi dan mendapati sudah wujud tamadun di alam Melayu sejak 15,000 SM.

"Perkongsian itu menyedarkan saya mengenai percanggahan besar di antara teori ditimbulkan Galden dengan penemuan oleh De Silva menyebabkan saya sendiri berkunjung ke Yunnan lebih 20 tahun lalu yang kajian dan penelitian melalui data antropologi serta linguistik mendapati daripada 26 etnik di sana, tidak ada satu pun daripadanya menyerupai masyarakat Melayu.

"Unsur Melayu hanya terdapat di Hainan dan Taiwan bagaimanapun kemudian, didapati mereka sebenarnya adalah serpihan daripada etnik Champa yang berhijrah daripada Selatan ke Utara.

"Sekiranya Melayu berasal dari Yunnan atau Selatan China, pasti ada kumpulan induk Melayu di sana, tidak mungkin kesemuanya pupus kerana kita mempunyai lebih 200 juta manusia di alam Melayu," katanya kepada BH ketika ditemui di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Wan Hashim, kajian mengenai asal usul Melayu di Malaysia bukan setakat bersumberkan daripada satu kaedah, tetapi menggabungkan penemuan arkeologi, antropologi daripada aspek budaya dan bahasa linguistik serta kajian DNA.

Katanya, hasil kajian oleh sejarawan tempatan menunjukkan alam Melayu sudah diduduki manusia sekitar 72,000 SM, atau kira-kira 2,000 tahun sebelum meletusnya gunung berapi Toba yang menggegarkan kawasan Tenggara Asia.

"Ia juga selari dengan teori Out of Sundaland oleh Ahli Sains Universiti Oxford, Dr Stephen Oppenheimer berasaskan analisis DNA, arkeologi dan etnologi yang mengatakan Asia Tenggara sebagai pusat awal peradaban dunia dinamakan Sundaland sekitar 16,000 tahun lalu.

"Melalui penemuan data DNA juga, didapati masyarakat di alam Melayu adalah tamadun kedua tertua di dunia mencecah 70,000 tahun selepas Afrika yang mempunyai manusia tua paling kuno sekitar usia 150,000 tahun," katanya.


Dr Stephen Oppenheimer

Teori Oppenheimer yang selari dengan bukti genetik oleh Human Genome Organisation, mengatakan benua Sunda ditenggelamkan banjir besar disebabkan kenaikan paras air laut menyebabkan hanya kepulauan Melayu tinggal di atas paras air.

Disebabkan itu, sebahagian besar penduduk benua Sunda terpaksa berhijrah ke tempat lain termasuk ke Indochina dan Taiwan di utara dan ke pulau Pasifik Selatan di timur serta ke Madagascar di barat.

Menurut Wan Hashim yang juga penulis Rumpun Melayu: Teori Migrasi dan Diaspora itu, satu lagi rumpun masyarakat Melayu ialah bangsa Polynesia termasuk masyarakat Samoa di Hawaii dan Kepulauan Solomon yang berhijrah ke kepulauan Pasifik atas pelbagai faktor.

"Mereka ini berasal dari alam Melayu dan banyak menggunakan bahasa Melayu. Mungkin berlaku satu bencana alam atau malapetaka yang menyebabkan mereka berhijrah ke Kepulauan Pasifik. Kebanyakannya sudah berhijrah lebih awal sekitar 5,000 sm," katanya.

Kata Wan Hashim lagi, Oppenheimer dan Pensyarah University of Campinas Sao Paulo, Brazil, Profesor Dos Santos turut menamakan Benua Sunda sebagai 'The Lost Continent of Atlantis' seperti digambarkan ahli falsafah Greek, Plato dalam Timaeus and Critias.


Profesor Dos Santos

"Pada mulanya The Lost Continent of Atlantis dikatakan berada di Sepanyol tapi Oppenheimer dan Santos merumuskan ciri Atlantis banyak menyamai alam Melayu atau Sundaland.

"Menurut mereka, alam Melayu yang bersambung dari Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera dan pulau sekitarnya hingga ke Filipina, membentuk satu benua yang saiznya ialah dua kali ganda daripada benua India sebagai Atlantis yang hilang," katanya.

Dalam pada itu, Wan Hashim cuba mengaitkan dapatan saintifik dengan ilmu naqli bersumberkan kitab al-Quran dengan mengatakan manusia daripada alam Melayu kemungkinan berasal dari Asia Barat.

Katanya, ilmu al-Quran yang menyatakan manusia berasal daripada Nabi Adam dan Hawa tidak bercanggah dengan dapatan Sains bagaimanapun perlu dilakukan kajian lebih mendalam mengenai kemungkinan teori ini.

Katanya, kemungkinan pada masa itu suhu semakin panas menyebabkan sebahagian daripada mereka meninggalkan kawasan itu untuk ke arah Timur dan mendapati alam Melayu paling sesuai didiami manusia.

INFO: Teori penghijrahan manusia membabitkan alam Melayu yang ditolak

1. Teori Out of Sundaland
Teori popular penghijrahan dari Taiwan ke Alam Melayu oleh pakar linguistik, Robert Blust dan ahli arkeologi, Peter Bellwood (1999), bersandarkan pada Formosan iaitu bahasa yang ditutur puak etnik di Taiwan dan bukti antikuiti di Bellwood melalui artifak neolitik yang ditemui di Filipina.

Blust membuat rumusan bahasa Austronesia yang termasuk dalam bahasa Melayu Polinesia berasal dari Taiwan berdasarkan sembilan cabang bahasa Austronesia yang dikesan di negara itu. Bahasa Austronesia tersebar ke Asia Tenggara dan Kepulauan Polinesia disebabkan berlakunya penghijrahan keluar penuturnya dari Taiwan sekitar 10,000 ke 6,000 Sebelum Masihi (SM).

2. Teori Melayu dari Yunnan
Beberapa sarjana Eropah seperti Hendrik Kern dan Robert von Heine Geldern melakukan penyelidikan secara kasar mengenai latar belakang dan pergerakan masyarakat Melayu kuno dan menyimpulkan mereka ialah kelompok manusia yang berasal dari daerah Yunnan di China dan kemudian berhijrah dalam bentuk beberapa gelombang pergerakan manusia sebelum menduduki wilayah Asia Tenggara.

Teori ini disokong beberapa sarjana kerana penemuan kapak tua di Asia Tengah di Kepulauan Melayu yang didakwa menunjukkan pergerakan penduduk dari Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.

bhplus

Bangsa Melayu telah wujud lebih awal
14 Disember 2014



Zaharah Sulaiman


KUALA LUMPUR 13 Dis. – Bangsa Melayu adalah bangsa yang wujud lebih awal dan penyebarannya hampir ke seluruh dunia sekali gus telah membenihkan bangsa-bangsa lain.

Menurut Presiden Sejarah Tamadun Melayu, Zaharah Sulaiman, bangsa Melayu telah tersebar hingga meliputi satu perenam dunia atau dengan populasi 400 juta orang sehingga turut terdapat di Madagascar sekali gus membuktikan Melayu benar-benar wujud di muka bumi ini.

Katanya, bukti kewujudan bangsa Melayu juga adalah berdasarkan peme­­taan genetik dan artifak arkeologi mengenai asal-usul daripada nenek moyang kepada populasi Melayu pada hari ini.

“Fakta ini sekali gus menafikan sebuah buku yang diterbitkan di Singapura yang menyatakan bahawa Melayu tidak wujud tetapi melalui penyatuan kaum-kaum lain. Republik itu juga mendakwa Melayu sebagai pelanun dan perompak seperti ditayangkan di muzium negara itu sejak berpuluh tahun.

“Sejarah telah menyatakan bahawa Melayu membenihkan bangsa-bangsa lain, wujud lebih lama daripada bangsa asing malah pembina kapal terbesar sehingga mampu belayar ke Madagascar,’’ katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk 'Asal-usul dan DNA Melayu’ bersempena Pameran serta Seminar Melayu dan Senjata Tradisional anjuran Persatuan Pusaka Perkerisan Kuala Lumpur (Pusaka KL) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Pusaka KL, Khairul Azhar Abdul Karim.

Dalam pada itu, Zaharah yang juga pengkaji dan penulis Sejarah Ikatan Arkeologi Malaysia berkata, orang Melayu perlu keluar daripada kepompong ketidakupayaan dan menebus kembali segala kegemilangan yang tercipta sejak ribuan tahun dahulu.

Katanya, golongan itu tidak lagi boleh bersikap seperti 'melukut di tepi gantang’ atau terlalu mahu 'menyusukan kera di hutan, anak di rumah mati kelaparan’ dan mereka sekadar 'menang sorak, kampung tergadai’.

Jelas beliau, kehebatan Melayu dalam ilmu sains kejuruteraan, perkapalan dan seni bina perlu ditegakkan semula kerana sejarah telah membuktikan mereka merupakan masyarakat awal yang menguasai tiga bidang utama itu yang merupakan bukti bagaimana kehalusan seni bina diguna bagi menampung tamadun Melayu yang begitu canggih melalui cetusan idea-idea struktur indah dan pintar iaitu tidak hanya terhad kepada simbol keupayaan dan kegemilangan Melayu.

“Melayu masih bertahan kerana masih ada semangat keperwiraan dan kepahlawanan dalam kalangan segelintir pejuang bangsa. Untuk kita, mereka terus berdiri teguh walaupun diasak dari semua penjuru oleh penjajah, pendatang, pujuk rayu licik dan kecairan Perlembagaan,’’ katanya.

Dalam pada itu, Khairul Azhar berkata, adalah amat penting orang Melayu mempunyai nilai-nilai dan jati diri kaum yang sebenar demi kesejahteraan negara kerana keperibadian tersebut memberi kesan kepada seluruh masyarakat.

Katanya, melalui sikap berbudi bahasa, sopan-santun dan bertolak-ansur oleh orang Melayu inilah mereka boleh berjaya hidup dengan kaum lain sejak beratus-ratus tahun dahulu.

Walau bagaimanapun jelas beliau, Melayu tidak boleh menjadi 'burung yang hidup seperti ayam’ kerana mahu sentiasa diberi makan dan akhirnya lupa bagaimana untuk terbang sehingga tidak sedar musuh sedang menunggu.

“Apa akan jadi kalau orang Melayu mendukung nilai-nilai dan prinsip bangsa lain? Dalam hal ini Melayu bukanlah rasis tetapi hakikat kebenaran sikap inilah bangsa-bangsa lain boleh hidup bersama dengan aman kerana kita berpijak di bumi dan menjunjung langit yang sama.

“Adalah amat penting Melayu perlu bersatu kerana penyatuan itu bukan untuk kebajikan dan kese­lamatan Melayu, tetapi mereka perlu bersatu supaya negara aman dan makmur," katanya.

utusan online


Kajian arkeologi : Melayu bukan pendatang tetapi penduduk asal di bumi Malaysia
Selasa, 13 Julai 2010
Shahfizal Musa


BANGI, 13 Julai 2010 – Data arkeologi yang diperolehi di Semenanjung Malaysia dan Sarawak menunjukkan rumpun Melayu adalah penduduk asal bumi Malaysia sejak lebih daripada 40,000 tahun lalu dan bukan berhijrah ke mari dari tanah besar di utara.

Artifek-arifek seperti seramik yang ditemui di lebih 100 kawasan ekskavasi (excavation sites) yang dijalankan oleh ahli-ahli arkeologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan bahawa artifek itu adalah berbentuk tempatan dan bukan dibawa masuk dari luar.

Antara tempat ekskavasi tersebut ialah Pulau Kalumpang dan Beruas di Perak; Kota Johor lama, Kota Seluyut, Kota Sayong Pinang dan Muar di Johor; Kota Melaka in Melaka; Kota Lukut di Negeri Sembilan dan beberapa tapak di Tasik Kenyir di Terengganu.

Selain itu, penemuan tengkorak manusia di Gua Niah, Sarawak oleh Kurator Museum Sarawak, Tom Harrison dan isterinya Barbara dalam tahun 1958 menunjukkan rumpun Melayu sudah wujud di Malaysia seawal 40,000 tahun yang lalu.

Secara langsung, penemuan di Gua Niah dan kajian-kajian yang dijalankan oleh ahli arkelogi UKM menolak teori dipercayai ramai bahawa Melayu di Semenanjung adalah pendatang dari tanah besar di utara. Teori migrasi ini dikemukakan Heine-Geldern dan penyelidik dari Pemikiran Vienna ( Vienna School of Thought ) yang dikemukakan dalam tahun 1930an.

Teori itu timbul berikutan dengan penemuan kapak batu di Malaysia yang dikatakan mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kapak batu yang digunakan di sebelah utara tanah besar Asia bagi membuktikan bahawa orang Melayu telah berpindah dari kawasan utara tanah besar Cina itu kemari.


Prof Nik Hassan Shuhaimi bertanya: “Adakah hanya kerana kapak batu ditemui di Malaysia orang Melayu telah berpindah dari utara ke selatan di Malaysia. Tidak terfikirkah mereka bahawa orang Melayu waktu itu juga boleh membuat kapak batu?”

Beliau berkata demikian dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Tiga Puluh Lapan Tahun Arkeologi di Universiti Kebangsaan Malaysia’ di Seminar Penanda Arasan Penyelidikan Arkelogi di UKM pada 12-13 Julai, 2010, di Bangi.

Beliau berkata penyelidikan arkelogi di UKM sejak tahun 1980an telah menemui data baru tentang asal usul kerajaan Melayu tertua di Malaysia iaitu Kataha atau Kedah Tua. Data baru ini diperolehi daripada tapak arkelogi Sungai Mas, Kedah.

Beliau juga menyatakan isu penting dalam zaman kerajaan awal/zaman klasik ialah proses Indianisasi. Berdasarkan kajian yang dibuat di UKM proses Indianisasi itu boleh ditukar kepada proses pembumiputraan kebudayaan India, kata Prof Nik Hassan.

Kebudayaan India yang ada di Alam Melayu bukan dibawa melalui proses penaklukan tetapi dijemput oleh masyarakat tempatan dan disesuaikan dengan kebudayaan tempatan.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin ketika merasmikan seminar itu pada 12 Julai, berkata UKM telah melahirkan lebih 1,000 orang graduan dalam bidang arkelogi yang kebanyakanya kini terlibat dalam bidang ini di seluruh Malaysia.

Beliau berkata dalam usia 40 tahun UKM, para pakar arkeloginya yang diketuai oleh Prof Nik Hassan Shuhaimi telah membuahkan hasil yang bermakna kepada sejarah negara dan memartabatkan warisan Kerajaan Melayu di Alam Melayu

UKM

Sorotan peristiwa Sulalatus Salatin dongengan?
Oleh Muhamad Hafizi Omar


ANTARA manuskrip Malayu yang dipamerkan pada majlis perasmian Seminar Institusi Raja (SIRaj) III : Pemerintahan Diraja dalam Manuskrip Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - Foto Asyraf Hamzah

MANUSKRIP Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu yang diiktiraf sebagai Warisan Dunia UNESCO sudah mencecah 32 salinan di seluruh dunia, tetapi penerimaan karya agung itu di tanah air khususnya generasi muda masih mencetuskan persoalan.

Penghayatan terhadap sejarah bangsa Melayu di negara ini berlandaskan Sulalatus Salatin kurang diberi penekanan dalam membentuk kefahaman terhadap bangsa.

Tidak hairanlah pengetahuan generasi muda terhad kepada tokoh tertentu seperti Parameswara, Hang Tuah, Tun Ali, Sultan Mahmud dan Puteri Hang Li Po saja.

Tidak mustahil ada yang menganggap sebahagian peristiwa yang disorot dalam naskhah itu tidak lebih daripada dongeng tanpa mengetahui nilai yang terkandung pada episod berkenaan.

Kebimbangan itu pernah disuarakan oleh Penyelidik Utama Fakulti Sastera dan Sains Sosial (FSSS), Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali termasuk ketika membentangkan kertas kerjanya Kearifan Melayu Sejagat, Sepanjang Zaman di Wacana Sulalatus Salatin, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, baru-baru ini.


ANTARA manuskrip Malayu yang dipamerkan pada majlis perasmian Seminar Institusi Raja (SIRaj) III : Pemerintahan Diraja dalam Manuskrip Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - Foto Asyraf Hamzah

Mutiara tidak terpelihara

Abdullah Zakaria mengingatkan mutiara yang dijaga dengan rapi, nilainya pasti tinggi dan mendatangkan hasil kepada pemilik dan keturunannya.

"Bagaimanapun, sekiranya pemiliknya tidak memelihara dengan baik, kehebatannya tidak dapat diuar-uarkan kepada umum.

"Sulalatus Salatin sebenarnya menggambarkan kearifan Melayu yang mengangkat kehebatan pemimpin sehingga menjulang ke puncak, tetapi pada masa sama, tidak mengabaikan kritikan terhadap pentadbiran Kerajaan Melayu itu," katanya.

Beliau berkata, keseimbangan itu memperlihatkan bagaimana kearifan Melayu dalam menyampaikan kebenaran dan contoh teladan kepada generasi pewarisnya.


PENGUNJUNG yang hadir berpeluang membeli buku-buku yang diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada majlis perasmian Seminar Institusi Raja (SIRaj) III : Pemerintahan Diraja dalam Manuskrip Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)). - Foto Asyraf Hamzah

Semangkuk darah, tolak pinangan

Abdullah Zakaria membawa contoh kearifan pengarang Sulalatus Salatin yang mencatatkan kisah Sultan Mahmud yang sanggup menunaikan tujuh permintaan Puteri Gunung Ledang demi hajat pinangannya seperti hati kuman dan darah putih rakyat.

Bagaimanapun, hajat Sultan Mahmud itu tidak dipenuhi oleh Puteri Gunung Ledang apabila baginda tidak sanggup menyerahkan semangkuk darahnya.

Hal itu, Prof Abdullah Zakaria berkata, menggambarkan kearifan Melayu yang berjaya menyelitkan unsur kritikan kepada pemerintah yang dapat dijadikan iktibar oleh bangsa Melayu sehingga pada masa kini.


COP mohor diraja yang dipamerkan pada majlis perasmian Seminar Institusi Raja (SIRaj) III : Pemerintahan Diraja dalam Manuskrip Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - Foto Asyraf Hamzah

Falsafah di sebalik Badang, Tuah

"Kehebatan dan kekuatan pahlawan Melayu turut tercatat dalam naskhah berkenaan seperti Badang yang dimakamkan di Riau, pernah dicabar untuk mengangkat batu besar.

"Batu itu hanya mampu diangkat sehingga ke paras lutut oleh Panglima Benua Keling tetapi Badang hanya memerlukan sebelah tangan untuk mengangkatnya lalu melontar sehingga ke muara sungai," katanya.

Beliau berkata, kehebatan Hang Tuah yang tidak pernah tewas sehingga berjaya mengalahkan pemilik Taming Sari dan keberanian Sultan Alauddin mengawal negeri pada waktu malam untuk menjaga kesejahteraan rakyat daripada gangguan perompak, sebenarnya memiliki nilai serta falsafah yang boleh dicontohi.


PETUGAS Dewan Bahasa dan Pustaka membuat persiapan di ruang pameran pada majlis perasmian Seminar Institusi Raja (SIRaj) III : Pemerintahan Diraja dalam Manuskrip Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - Foto Asyraf Hamzah


HAZWANI Che Hassan, 24 melihat manuskrip Melayu yang dipamerkan pada majlis perasmian Seminar Institusi Raja (SIRaj) III : Pemerintahan Diraja dalam Manuskrip Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). - Foto Asyraf Hamzah



 

Comments