Alam Pantun Melayu




Hendak dulang diberi dulang
Dulang berisi sagu mentah
Hendak pulang ku beri pulang
Tinggalkan pantun barang sepatah

Bila memandang ke muka laut
Nampak sampan mudik ke hulu
Bila terkenang mulut menyebut
Budi yang baik ingat selalu

Baik-baik menanam selasih
Jangan menimpa sipohon sena
Baik-baik memilih kekasih
Jangan sampai badan merana

Asam kandis mari dihiris,
Manis sekali rasa isinya,
Dilihat manis dipandang manis,
Lebih manis hati budinya

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di rumpun buluh,
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah menyusun jari sepuluh

Begitulah seri dan seninya khazanah warisan kita yang tidak ada bandingnya, pantun. Susun kata yang indah segar dan penuh kehalusan makna. Tersulam dalam atur baris yang genap dengan pembayang dan maksud yang sempurna. Unsur alam yang begitu memikat menjadi latar dalam bahagian pembayang dengan maksud yang padat tentaang kehidupan dan alam manusia. Rima yang bersulam antara baris dengan suku kata yang seimbang dan tersusun rapi. Itulah antara bagun fizikal pantun Melayu. Ia menjadi alat komunikasi menyebarkan fikir dan teladan, renung dan iktibar secara lembut dan halus, sopan dan bersulam.



Pantun memainkan peranan dan kedudukan yang penting dalam kehidupan masyarakat Melayu Tradisional. Peranan dan kedudukan pantun antara lain ialah sebagai alat hiburan. Dinyanyikan atau dilagukan untuk tujuan bersenda gurau, bermain-main, usik-mengusik dan menghibur hati. Contohnya pantun jenaka, pantun dua kerat dan pantun teka-teki.

Ambil segulung rotan sega,
Sudah diambil mari diurut;
Duduk termenung harimau tua,
Melihat kambing mencabut janggut.

Pantun juga berperanan sebagai gambaran masyarakat dari segi politik, ekonomi dan sosial. Di dalam pantun terselit mesej untuk perkara tersebut. Memberi nasihat dan pandangan kepada tiga perkara yang disebutkan tadi. Walaupun ringkas tapi kental serta padat untuk memberi teguran dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. sesiapa yang berkaitan sudah pasti akan terkena dengan sindiran dan kiasan yang begitu tepat sekali, tapi secara bersopan.

Anak dara pergi ke judah,
Sampai di judah berperi-peri;
Menjual suara bukannya mudah,
Hendak mencari nafkah sendiri.

Seterusnya dalam ucapan yang disampaikan oleh seorang pemimpin, unsur-unsur pantun digunakan sebagai pembukaan dan penutup ucapan. Dalam bahagian pembukaan dilukiskan sebagai kata-kata aluan kepada pendengar atau ucapan terima kasih kepada penganjur. Manakala dalam bahagian penutupnya selalu di sampaikan pantun seperti;

Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur pamjamg,
Boleh kita berjumpa lagi.

Pantun juga boleh digunakan sebagai alat komunikasi bertaraf tinggi seperti dalam upacara adat dan adat-adat seperti adat meminang dan sebagainya. Pantun yang dikeluarkan menunjukkan komunikasi orang Melayu begitu bersopan sekali. Orang melayu tidak akan berkomunikasi secara terangan kerana dikhuatiri akan menyinggung perasaan orang yang dilawan berkomunikasi.

Berkokok ayam dari hulu,
Ditangkap budak sedang berlari;
Angin memukul gelombang memalu,
Sebab berhajat kita ke mari.

Seterusnya pantun berperanan sebagai alat didaktik iaitu memberi panduan, nasihat, tunjuk ajar dan sindiran atau kritikan. Misalnya melalui pantun nasihat, pantun budi dan pantun kanak-kanak. Setiap yang disampaikan senang diterima kerana penyampaiannya secara puitis dan indah sekali.

Pantun juga berperanan sebagai penyampai maksu atau curahan rasa hati, terutama di kalangan orang-orang muda yang sedangkan berkasih-kasihan. Contohnya melalui pantun kasih. Setiap kata yang bakal disampaikan akan disusun dengan penuh indah dan menarik hati orang yang akan dilawan berbicara. Pantun dalam jenis ini sungguh mengasyikkan.

Tegasnya di sini pantun menggambarkan cara berfikir dan nilai-nilai masyarakat Melayu tradisi. Melalui pantun orang Melayu mengeluarkan rasa hati dan keluhan jiwa, seperti dalam bentuk kasih sayang, cinta, suka duka, sindir menyindir dan berbagai-bagai perasaan hati mereka yang diungkapkan dalam bahasa yang indah dan menarik.

Dalam pantun juga kita akan dapat melihat akan keindahan atau estetik masyarakat Melayu itu sendiri kerana sikap orang Melayu yang tidak suka bercakap secara berterus terang. Misalnya melalui pantun kias ibarat. Melalui pantun seperti ini orang Melayu sendiri telah dilatih supaya berfikir secara tinggi. Orang yang tidak boleh berfikir secara mendalam sudah pasti tidak akan dapat mengesan maksud yang disampaikan.


Pantun suburkan budaya bangsa

Oleh ANI AWANG
2 Mac 2006

PANTUN adalah genre kesusasteraan tradisional Melayu yang berkembang di seluruh dunia khususnya di Nusantara sejak ratusan tahun lampau. Pantun adalah simbol artistik masyarakat Nusantara dan ia adalah lambang kebijaksanaan berfikir. Pantun sering dijadikan sebagai alat komunikasi.

Pantun bersifat ringkas, romantik dan mampu mengetengahkan aspirasi masyarakat dengan lebih jelas. Ia begitu sinonim dengan pemikiran dan kebudayaan masyarakat nusantara dan Malaysia.

Di Nusantara, pantun wujud dalam 39 dialek Melayu dan 25 bukan dialek. Pantun juga didapati turut berkembang di selatan Burma, Kepulauan Cocos,

Sri Lanka, Kemboja, Vietnam serta Afrika Selatan (kerana pengaruh imigran dari Indonesia dan Malaysia).

Pantun di Malaysia dan Indonesia telah ditulis sekitar empat abad lalu. Malah, ia mungkin berusia lebih tua daripada itu seperti tertulis dalam Hikayat Raja-Raja Pasai dan Sejarah Melayu.

Menyedari kepentingan pantun dalam memartabatkan budaya Melayu, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negara di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia telah mengadakan Seminar Pantun 2006 di Auditorium Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar itu bertujuan mengetengahkan bakat-bakat baru di kalangan sektor korporat di samping memastikan generasi akan datang mengenali pantun sebagai seni tradisional Melayu yang unik.

Menurut Ketua Bahagian Kesusasteraan Tradisional Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Rogayah A. Hamid, pantun merupakan satu-satunya hak milik kekal bangsa Melayu yang tidak tercemar dalam pertembungan masyarakat dunia.

Oleh itu, kata beliau, usaha mengekalkan semula pantun terutama pada majlis-majlis tertentu haruslah dipelihara supaya kesenian itu dapat dikembalikan dalam kehidupan Melayu sarwajagat.

“Sayangnya hari ini kita melihat ada unsur-unsur yang cuba menodai ciri-ciri pantun dengan mempopularkan pantun dua kerat yang kononnya disesuaikan dengan kehidupan kosmopolitan,’’ katanya dalam kertas kerja ‘Kebijaksanaan Emosi Dalam Pantun’ pada seminar itu di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Penggiat pantun, Abdul Halim Salleh (Abdul Halim R) dalam kertas kerja ‘Berbalas Pantun dan Kaedahnya’ pula menjelaskan:

“Pantun yang baik sepatutnya memiliki dua baris pembayang dan dua baris maksud. Kata-katanya harus diambil daripada kata-kata yang indah.”

Menurut Rogayah, sejak zaman berzaman keindahan pantun memainkan peranan penting sebagai bahan hiburan bergurau senda dan juga meluahkan perasaan yang tersirat. Contohnya:

Jeling-jeling paku,
Paku masak lemak;
Siapa jeling aku
Aku cakap pada emak.

Contoh itu, katanya, melambangkan orang Melayu mempunyai kebijaksanaan yang tinggi dalam mengeksploitasi dan memanipulasi hal percintaan dan kasih sayang.

Malah, kata Rogayah, kebijaksanaan orang Melayu menjadikan pantun sebagai alat komunikasi dalam beberapa upacara penting seperti upacara merisik, meminang dan adat istiadat perkahwinan, pembuka bicara dalam adat istiadat diraja juga telah memberi gambaran orang Melayu sebagai satu bangsa yang unik.

Selain digunakan untuk berkomunikasi dalam beberapa adat istiadat, pantun juga dijadikan sebagai lirik dalam lagu-lagu Melayu lama seperti lagu Melayu asli, keroncong, dondang sayang, zapin, ghazal, canggung, beduan, seloka rakyat, bongai, belotah, barongan, tumbuk kalang, gendang Sarawak dan sebagainya. Contohnya:

Tuai padi antara masak,
Esok jangan layu-layuan;
Intai kami antara nampak,
Esok jangan rindu-rinduan.

Sehubungan itu, Rogayah berkata, secara jelas pantun dapat memperlihatkan kesopanan Melayu kerana percakapan dalam pantun sentiasa beralas, suka berkias ibarat kerana sikap tolak ansur yang tinggi dan merendah diri.

Pencemaran

Abdul Halim Salleh menjelaskan, pencemaran pantun berlaku kerana pemantun kerap kali tersilap dalam menyebut ataupun tidak dapat membezakan antara pantun dengan syair.

Menurut beliau, kesilapan pantun boleh terjadi apabila terlebih atau terkurang suku kata, pembayang tidak betul, tidak sama rima, rima akhir macam syair, baris pantun yang tergantung dan silap teknik dalam menulis.

Sementara itu, penulis dan penyelidik pantun tradisional Melayu, Dr. Harun Mat Piah dalam kertas kerja ‘Sejarah Pantun dan Keindahannya’ berkata, sejarah dan perkembangan pantun Melayu amat jelas membuktikan pantun adalah milik bangsa dan tamadun Melayu.

“Pemahaman terhadap pantun Melayu sewajarnya mengambil kira beberapa aspek sastera dan budaya Melayu sendiri termasuk ciri-ciri keunikan bahasa, aspek estetika dan etikanya, nilai dan pemikiran, jati diri dan pandangan dunia,” tambah beliau.

utusanonline


Bijaksananya akal budi Melayu
Johan Jaafar
31 Oktober 2013


Profesor Diraja Ungku Aziz telah menghasilkan buku Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu. Beliau menggunakan pemerhatian, pemahaman, pengalaman dan pembabitannya dalam dunia ilmu pelbagai disiplin – dari ekonomi hingga psikologi orang Melayu – untuk memahami khazanah perbendaharaan seni sastera Melayu yang dikenali sebagai pantun.

Bukan selalu seorang ahli ekonomi memberikan perhatian pada satu cabang tradisi lisan Melayu. Tetapi Ungku Aziz bukan sembarangan ilmuwan. Beliau adalah di antara pemikir ekonomi yang percaya bahawa keupayaan dan pencapaian ekonomi sesuatu bangsa ada kaitannya dengan nilai, pandang dunia (world-view) dan psyche bangsa itu.

Menurut Ungku Aziz pantun tidak wujud dalam kekosongan atau vacuum. Pantun merupakan manifestasi terbaik seni sastera orang Melayu. Kedudukannya cukup istimewa hingga ia menjadi senama dengan budaya dan pengucapan kesenian Melayu.

Terjemahan minda Melayu

Pantun bukan sahaja menggambarkan sikap dan pendirian orang Melayu, menampilkan kehidupan dan cara hidup orang Melayu tetapi lebih penting lagi ia ada kaitannya dengan adab dan akal mereka. Minda Melayu ternyata jelas terlihat daripada gubahan dan pemilihan perbendaharaan kata yang tepat dalam pantun Melayu.

Pantun juga memberikan legitimasi pada bahasa Melayu itu sendiri dengan membuktikan keupayaan bahasa itu mengungkapkan konsep yang abstrak tetapi menggunakan kuasa kata dan gubahan yang teratur dan terancang. Ia nampak mudah tetapi rapi dan kompleks. Pantun merupakan seni sastera yang tampaknya ringkas tetapi mendalam maknanya. Tidaklah keterlaluan jikalau dikatakan Shakespeare telah memperkaya khazanah kepustakaan bahasa Inggeris melalui drama-dramanya tetapi karyawan tidak bernama yang menghasilkan pantun telah memperkaya bahasa Melayu menggunakan pantun.

Pantun Melayu ada kaitannya dengan minda Melayu. Dan tentulah di tangan penelaah pantun-pantun terpilih dalam koleksi ini – orang yang mempopularkan perkataan ‘minda’ itu sendiri, Ungku Aziz – kita dapat melihat dimensi kebijaksaan akal budi Melayu di dalam pantun.

Ada yang menganggap pantun merupakan susunan kata-kata yang kelihatan indah dan tidak lebih daripada itu. Ungku Aziz membuktikan sebaliknya. Malah bagi Ungku Aziz, pantun membuktikan ‘daya akal, kreativiti’ orang Melayu, malah ia merupakan ‘daya cipta yang canggih.’ Ungku Aziz menggunakan perkataan ‘genius’ untuk membawa makna ‘daya cipta’ itu.

Tradisi pantun yang menurut Ungku Aziz berusia lebih 700 tahun di kalangan masyarakat Melayu Nusantara merupakan penghasilan minda yang istimewa. Kreativiti yang memungkinkan terhasilnya pantun datang dari pemerhatian dan pengalaman yang luar biasa. Maka itu apa yang terhasil ialah karya sastera yang mempunyai konvensi yang khusus dan dicorakkan oleh pola rima yang tertentu. Seni pantun mempunyai keupayaan daya ubah atau flexibility, variasi dan ciptaan kata dwimakna selain sifat-sifat unik yang lain.

Melalui pantun, kebijaksanaan Melayu terserlah dengan cara sindiran yang halus dan unsur humor yang berkesan. Malah pantun juga secara bijak memancarkan aspek erotika yang menarik.

Ungku Aziz mengakui beliau mulai secara serius mengumpulkan pantun sejak 20 tahun yang lalu. Sehingga kini 16,000 pantun telah dikumpulkannya dari tujuh bahan utama.


Keunikan pantun

Apa yang terkumpul dalam kajian ini ialah 78 buah pantun yang dipilih secara teliti yang memenuhi beberapa ukuran beliau bagi membuktikan keunikan pantun tersebut.

Tumpuan beliau ialah menggambarkan dunia pedagang, gambaran musim dan angin serta pantun kanak-kanak.

Ungku Aziz mengakui bahawa pendekatan kajian beliau ini bolehlah dikatakan di luar kotak. Beliau cuba memberikan perhatian pada aspek pembahagian pantun yakni deconstruction. Beliau cuba mengenal ‘skruktur atau jiwa pantun’ dengan memberikan contoh pada konsep teknikal dan jati diri di dalam pantun.

Usaha Ungku Aziz melahirkan kajian kecil tetapi amat besar maknanya ini harus dipuji. Saya berharap beliau akan meneruskan usaha ini, mengkaji lebih banyak lagi khazanah pantun Melayu dalam koleksi beliau untuk membuka cakerawala minda bangsa Melayu dan kaum-kaum lain terhadap hasil kreatif luar biasa ini.

(Rencana ini disesuaikan daripada Prakata dalam buku Pantun dan Kebijaksanaan Akal Budi Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka)

berita harian


Nilai estetika pantun Melayu
Oleh Aminuddin Mansor
19 Januari 2014

PANTUN ialah suatu bentuk puisi asli hasil kreativiti orang Melayu yang sangat indah, disampaikan secara halus berseni menggunakan bahasa yang berangkap. Pantun merupakan wadah mengungkapkan fikiran dan rasa hati tentang kehidupan. Ini bertepatan dengan pengkaji budaya, Mohd Taib Osman yang mengatakan bahawa dalam kehidupan masyarakat Melayu tradisional, pemakaian dan penggunaan puisi lebih luas lagi, terutama pantun.

Jelaslah, pantun digunakan secara meluas dalam masyarakat Melayu tradisional; hingga ke hari ini juga pantun digunakan terutama dalam majlis adat dan perayaan seperti pertunangan dan perkahwinan.

Pantun sebagai puisi yang diungkap akan mengindahkan lagi ucapan yang digunakan untuk berbagai-bagai situasi; daripada memberi ucapan secara berseloroh hinggalah kepada majlis-majlis yang rasmi seperti pertunangan dan perkahwinan dalam masyarakat Melayu.

Pengkaji pantun, Francois-Rene Daillie menyimpulkan bahawa pantun Melayu itu suatu intisari kehidupan dan alam. Dalamnya tersirat segala elemen kehidupan manusia Melayu yang menyatakan tentang adat resam, kebijaksanaan, pelbagai bentuk kepercayaan dan cinta. Walau bagaimanapun, pantun bukanlah hak milik mutlak orang Melayu tetapi dikongsi bersama oleh hampir setiap etnik di alam Melayu ini.

Sementara itu, pengkaji budaya Harun Mat Piah menjelaskan bahawa pantun ialah sejenis puisi yang pada umumnya terdiri daripada empat baris serangkap, empat perkataan sebaris, mempunyai rima akhir a-b-a-b, dengan sedikit variasi dan kekecualian.

Penjelasan itu menunjukkan pantun merupakan bentuk puisi terikat. Keterikatan ini disebabkan oleh tuntutan ciri-cirinya yang ketat sekali. Keterbatasan ruang kerana tuntutan ciri-ciri penciptaannya menyebabkan isu yang ingin diungkapkan itu dipadatkan sebaik mungkin. Keadaan ini secara tidak langsung menyerlahkan ketinggian minda masyarakat penciptanya.

Sasterawan Indonesia, Tenas Effendy mengatakan, pembayang pantun di Indonesia lazim disebut sampiran yang menjadi bahagian yang tidak dipisahkan dari isi pantun. Sebahagian orang mengatakan bahawa kata pembayang dapat diertikan sebagai bayangan pantun, yang menunjukkan kesebatian yang kekal antara pembayang dan isi pantun.

Terdapat juga sejumlah kecil pantun menggunakan citra dan simbol alam sebagai pembayang dan juga maksud yang membayangkan perlambangan atau kiasan sebagai membuktikan khazanah pemikiran Melayu yang luas itu.

Dalam hal ini, R.J. Wilkinson dan R.O. Windstedt pernah menyarankan bahawa untuk memahami perasaan orang Melayu, seharusnya difahami pantunnya. Mereka berpendapat bahawa untuk memahami dan menyelami pengetahuan, perasaan dan aliran fikiran orang Melayu sendiri ialah melalui pantun.


Menurut kajian Harun Mat Piah, peribahasa dalam pantun yang jumlahnya lebih 400 dianggap ekspresi berangkap, lengkap dan bersastera. Pantun Peribahasa ini membawa pengajaran yang boleh difahami atau tepat dan idea yang dipaparkan mempunyai kesinambungan dan citra kepada kehidupan masyarakat Melayu. Sementara itu, Abdullah Hassan pula menjelaskan, salah satu keistimewaan bahasa Melayu ialah kekayaan bentuk bahasa kiasan yang terdapat di dalamnya. Kiasan yang sudah mantap dari segi bentuk bahasanya dan maknanya diistilahkan peribahasa.

Jika diteliti, teks Komsas menjadikan pantun sebagai bahan pengajaran dengan nilai pemikiran akal budi yang terdapat dalam makna kepelbagaian tema dan nilai murni yang dipilih dalam dalam teks Komsas.

Melalui pemahaman sesebuah pantun, semua nilai dalaman dapat dicerap melalui minda, rasa, pemikiran dan tanggapan. Penyair atau pencipta pantun menggunakan kebijaksanaan dan daya kreatif mengatur baris pembayang dan maksud pantun dan sajak dalam bentuk sama ukuran dan kesederhanaan pengucapannya. Bertolak daripada pemahaman ini sesuai dengan pandangan Alisjahbana bahawa bahasa itu adalah ucapan fikiran dan perasaan yang teratur.

Kementerian Pendidikan Malaysia pada dasarnya menggariskan pengajaran Komsas dalam bahasa Melayu ialah pengajaran kemahiran dan pemahaman yang dijalankan menggunakan pelbagai genre. Teks Komsas juga akan dijadikan bahan pengajaran kemudian dinilai dalam peperiksaan peringkat Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Pelajaran Malaysia untuk mewujudkan pemahaman dan minat pelajar terhadap karya sastera.

Sebagai contoh perhatikan dua Pantun Empat Kerat di bawah ini :


Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengaik ;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.
Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang ;
Menangis mayat di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Isinya penuh peringatan dan sindiran tajam. Memberi peringatan kepada generasi muda dan tua dengan mengekalkan keindahan estetik pembayang dan maksudnya. Justeru, sudah sewajarnya pantun dikembangkan dalam kehidupan melalui pendidikan di sekolah rendah dan menengah, di peringkat pusat pengajian tinggi melalui acara berpantun atau berbalas pantun. Adalah digalakkan juga pantun yang indah dan baik bahasanya digunakan dalam pembukaan ucapan majlis atau penutup majlis.

Ini selaras dengan saranan Amat Juhari Moain dalam bukunya Pemilihan Kata Dalam Pantun Melayu yang menyarankan keindahan dan estetika pantun mestilah diseimbangkan dengan pemilihan kata dalam pembayang dan maksud, kepentingan irama, sajak, jumlah kata, jumlah suku-kata, pertentangan bunyi, perkaitan pembayang dan maksud, eufoni, emotif, kolokasi, nilai rasa dengan bentuk dan jenis-jenis pantun yang dicipta.

Keindahan dan nilai estetika pantun wajar dikekalkan dengan pembayang daripada alam dan keindahan sekitar dunia Melayu dan maksudnya biarlah memberikan makna dengan hasrat memberi pesanan, nasihat, dan juga pengajaran kepada generasi akan datang supaya pantun yang baik ini kekal sepanjang zaman. Di samping itu, para penyair/pemantun sewajarnya mencipta pantun-pantun baharu dengan mengekalkan keindahan estetika pembayang dan isinya sebagai pewaris sastera yang akan dapat dinikmati sepanjang zaman.

utusanonline



Comments