Ilmu Pelita Hidup

Ilmu, ilmuwan umpama pelita penyuluh jalan
Oleh Dr Mohd Ezani Mat Hasan

ilmu pelita hidup
-foto hiasan

Tugas ilmuwan dan sarjana hari ini terlalu penting terutama ahli akademik di menara gading. Peranan utama mereka ialah menjana ilmu tinggi yang boleh menjadi rujukan dalam dunia keilmuan yang serba mencabar.

Namun, itu bukannya satu-satunya tugas ilmuwan dan sarjana. Peranan penting lain mereka ialah memeratakan ilmu tinggi yang dijana pada peringkat universiti itu kepada masyarakat. Peranan ini adalah sejajar dengan jolokan 'Ilmuwan ibarat pelita, penyuluh kepada masyarakat'.

Kesedaran terhadap peranan memeratakan ilmu tinggi kepada masyarakat kini semakin meluas dalam kalangan sarjana. Baru-baru ini, UKM-Graduate School of Bussiness (GSB) menganjurkan Bengkel Penyelidikan dan Penerbitan Bahan Bacaan Umum 2015 pada 8 hingga 9 Januari 2015 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bengkel dua hari itu bertujuan untuk mendorong dan menggalakkan ahli akademik menerbit dan menyebar luas idea dan hasil penyelidikan mereka kepada masyarakat umum.

Ia dihadiri oleh sejumlah tenaga akademik dan penyelidik UKM-GSB. Bengkel itu dibimbing oleh Dr Muhamad Razak Idris, pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM yang memberikan pendedahan mengenai panduan dan teknik penulisan untuk bacaan umum berpandukan pengalaman beliau sebagai penulis tetap di akhbar BH.

Peka masalah masyarakat

Ahli akademik sebagai golongan ilmuwan sewajarnya peka dan prihatin dengan permasalahan masyarakat. Untuk menyelesaikan permasalahan dalam masyarakat, golongan ini perlu memikul tanggungjawab ilmiah untuk menghurai, menganalisis dan mengemukakan cadangan atau syor yang bersesuaian dengan kepakarannya.

Dalam konteks ini, ilmu dan hasil kajian ahli akademik tidaklah wajar kalau ia cuma dapat dimanfaatkan secara khusus atau eksklusif oleh komuniti akademik. Karya ilmu tinggi itu yang mengandungi pelbagai idea, konsep, teori dan formula terkini dan terbaik mengenai pelbagai persoalan kemanusiaan dan alam kehidupan yang luas ini sewajarnya diterjemahkan dalam bentuk penyampaian yang lebih selesa difahami oleh masyarakat umum.

Pemerataan ilmu tinggi ini secara meluas pasti akan memberikan natijah besar dalam pembinaan masyarakat dan peradaban. Sudah tentu pemikiran masyarakat umum akan terbina dengan lebih matang dan luas pula jika bahan dan sumber bacaan mereka juga bersifat serius dan matang.

Sehubungan itu, penerbitan popular seperti akhbar dan majalah seharusnya digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh sarjana ini sebagai wadah dan landasan berinteraksi dengan masyarakat dan memindahkan ilmu tinggi mereka kepada kefahaman masyarakat terbanyak.

Peranan penting sarjana dalam proses pemerataan ilmu ini secara langsung akan menyuburkan budaya ilmu yang lebih segar dan baharu. Ramai tokoh ilmuwan membicarakan mengenai kepentingan ini. Misalnya dalam sebuah tulisan Dr Siddiq Fadzil, Kaum Ilmuwan dan Misi Pencerahan, beliau menjelaskan iaitu 'pembudayaan ilmu bererti pemasyarakatan, pemerataan dan pendemokrasiannya.

Ilmu tidak seharusnya bersifat eksklusif-elitis. Justeru yang ingin kita perkasakan dengan budaya ilmu adalah rakyat massa keseluruhannya. Menerusi pemerataan ilmu yang meluas ini, kita dapat membangunkan sebuah masyarakat berilmu atau knowledge based society.

Masyarakat berilmu boleh difahami sebagai masyarakat yang mengutamakan kebenaran dan hakikat. Bagi masyarakat berilmu, tiada yang lebih berharga dan bernilai selain kebenaran yang didedahkan oleh ilmu itu sendiri. Dalam hubungan ini, ilmu dan ilmuwan itu seumpama pelita yang menyuluh atau mencerahkan, dan diamanahkan untuk menampakkan 'yang benar jelas benarnya dan yang salah terang salahnya'. Demikian mustahaknya peranan golongan ilmuwan dalam pembudayaan masyarakat.

Peranan sarjana dilipat ganda

Peranan sarjana dalam proses pemerataan ilmu perlu dilipat gandakan. Sarjana harus membudayakan kegiatan menulis dan menjadikan penulisan sebagai kewajipan dalam kehidupan. Ruang akhbar dan majalah yang disediakan oleh pelbagai pihak hendaklah dimanfaatkan bagi tujuan penyebaran idea.

Masyarakat ternanti-nanti pandangan daripada sarjana dalam pelbagai persoalan yang boleh memandu dan mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka dari semasa ke semasa.

Syabas dan tahniah kepada ahli GSB, terutama pejabat Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) yang dipimpin oleh Prof Madya Dr Khairul Akmaliah Adham, yang berjaya menganjurkan aktiviti yang bermakna ini. Moga ia boleh menjadi teladan kepada institusi pengajian tinggi lain di negara ini.

Penulis ialah Profesor Madya di UKM-Graduate School of Business

bhonline 

 

Comments