Hadiah Sastera Darul Iman : Hasdi 2013


Terengganu sasar juarai bidang sastera
Oleh ROSALINDA MD.SAID
23 mac 2014


Mohd. Zubir Embong (kanan) menyampaikan hadiah Tokoh Sastera kepada Tuan Sharif Tuan Putera (dua dari kiri) sambil diperhatikan Ghazali Taib (dua dari kanan) ketika majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman 2013 di Kuala Terengganu, semalam. - MINGGUAN/SHAIFUDIN MOHD NOR

KUALA TERENGGANU 22 Mac - Terengganu menyasarkan untuk menjadi juara baharu dalam memperkenalkan bidang sastera selepas kejayaan negeri ini muncul sebagai pusat pertumbuhan ilmu yang subur.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd. Zubir Embong berkata, perkara itu selaras dengan kebangkitan luar biasa sasterawan dalam kalangan anak negeri ini menerusi pelbagai bidang karya yang mendapat pengiktirafan di peringkat setempat dan nasional.

"Di Terengganu, sejak tahun 1960-an, kita dapati ramai sasterawan muncul dan antara nama besar yang merintis denai sastera di negeri ini termasuk seniman orang kurang upaya (OKU), Datuk JM Aziz; Datuk Abdul Rashid Ngah, Datuk Alias Ali, Datuk Ahmad Kassim Endut dan Aziz Afkar.

"Kemudian muncul pula penulis gelombang kedua yang juga besar pencapaiannya diikuti gelombang ketiga sasterawan di Terengganu yang terdiri daripada penulis yang berpendidikan tinggi dan profesional, malah saya difahamkan mereka ini merupakan guru, doktor, jurutera dan juga pensyarah institusi pengajian tinggi.

"Melihat kepada perkembangan positif ini, saya amat berharap Terengganu boleh menjuarai bidang sastera pada masa akan datang," katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman (Hasdi) 2013 di sini malam tadi.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatakuasa Pendidikan dan Tugas-tugas Khas, Ghazali Taib dan Ketua Satu Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita), Syed Mohammad Nor Tuan Long.

Hasdi 2013 yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan sasterawan, penulis dan pengarang anak negeri yang telah menghasilkan karya yang bermutu serta prolifik bagi tahun 2011 dan 2012.

Dalam majlis itu, penulis Sharif Putera atau nama sebenarnya Tuan Sharif Tuan Putera memenangi Hadiah Tokoh Sastera (Sasterawan Negeri Terengganu) selain muncul pemenang bagi Hadiah Karya Sastera (Buku) menerusi karya himpunan cerpennya yang bertajuk Memburu Rentak dan Biografi/Autobiografi-Razali Ismail Arkitek Pendidikan Negara.

Pemenang lain termasuk Mohd. Abdullah atau Hilmi Rindu yang memenangi Hadiah Cekal Sastera (Sasterawan Harapan Negeri); Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy, Ghazali Ngah Azia dan Mohamad Jusoh, Wan Ahmad Ismail dan Kamariah Kamaruddin (Hadiah Karya Sastera-Buku); Husna Nazri, Ahmad Muziru Adhma Adnan, Tuah Sujana, Aishah Yazid dan Mazelan Manan (Hadiah Karya Sastera-Eceran) serta Nur Akmaliah Alias (Hadiah Karya Sastera-Penulis Muda).

Menurut Mohd. Zubir, kerajaan negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap peranan sasterawan, malah beberapa kali pernah menunjangi program seumpama itu termasuk Hari Sastera 1978 dengan kehadiran ratusan peserta termasuk dari Indonesia, Anugerah Sastera Darul Iman termasuk yang terbaharu Hasdi 2013.

"Ini adalah antara bukti kerajaan negeri sangat menghargai mereka, golongan insan yang boleh disifatkan sebagai pengembara yang mencari erti kehidupan berasaskan apa yang dilihat, diamati dalam kembara jasad dan batinnya.

"Dalam hal ini, kita perlu menyingkap tabir yang selama ini menutup jasa bakti sasterawan. Kita harus meneliti secara serius sumbangan mereka dalam wacana yang lebih besar bagi mengenang jasa mereka," katanya

utusan online




Terengganu dan sastera

SUMBANGAN Terengganu kepada dunia sastera tanah air sentiasa berterusan dan tidak boleh dipandang sepi sahaja. Walaupun ada naik turun dan pasang surut, tetapi pembabitan anak negeri Terengganu dalam menyuburkan perkembangan sastera tempatan cukup penting.

Bagi pengikut dan penggemar sastera, sudah tentu tidak akan lupa kepada penyair kurang upaya Datuk JM Aziz yang karyanya cukup menusuk jiwa.

Begitu juga dengan Datuk Abdul Rashid Ngah, Datuk Alias Ali, Datuk Ahmad Kassim Endut dan Aziz Afkar yang memastikan idea sastera dari Terengganu terus mengalir subur mewarnai persekitaran sastera di seluruh negara.

Namun, jika tidak diberi perhatian dan jika tidak dibajai sepenuhnya, aliran itu boleh terhenti dan sumbangan Terengganu dalam memperkayakan bidang seni itu lama-kelamaan boleh pudar.

Sebab itu usaha kerajaan untuk menjadikan Terengganu juara baharu dalam memperkenalkan bidang sastera merupakan langkah terbaik.

Ini ekoran selepas kejayaan negeri itu muncul sebagai pusat pertumbuhan ilmu yang subur.

Momentum kebangkitan luar biasa sasterawan dari dalam kalangan anak negeri Terengganu tidak harus dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya perlu terus disuntik semangat dan galakan agar mereka terus berkembang.

Jika itu berlaku maka tradisi seni dan sastera akan terus berakar di bumi Terengganu dan diwarisi oleh generasi akan datang.

“Di Terengganu, sejak tahun 1960-an, kita dapati ramai sasterawan muncul dan antara nama besar yang merintis denai sastera di negeri ini termasuk seniman orang kurang upaya (OKU), Datuk JM Aziz; Datuk Abdul Rashid Ngah, Datuk Alias Ali, Datuk Ahmad Kassim Endut dan Aziz Afkar.

“Kemudian muncul pula penulis gelombang kedua yang juga besar pencapaiannya diikuti gelombang ketiga sasterawan di Terengganu yang terdiri daripada penulis yang berpendidikan tinggi dan profesional, malah saya difahamkan mereka ini merupakan guru, doktor, jurutera dan juga pensyarah institusi pengajian tinggi," kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd. Zubir Embong.

Melihat kepada perkembangan positif ini, beliau amat berharap Terengganu boleh menjuarai bidang sastera pada |masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman (Hasdi) di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Hadiah sastera itu juga merupakan sumbangan dan pengiktirafan kerajaan negeri kepada penggiat-penggiat sastera di Terengganu yang diharapkan dapat terus memberi semangat kepada mereka untuk menghasilkan karya-karya berkualiti secara berterusan.

Hasdi 2013 yang julung kali diadakan bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan sasterawan, penulis dan pengarang anak negeri yang telah menghasilkan karya yang bermutu serta prolifik.

Anugerah itu menampilkan generasi baharu pewaris sastera Terengganu seperti penulis Sahrif Putera atau nama sebenarnya Tuan Sharif Tuan Putera yang dijulang sebagai Tokoh Sastera (Sasterawan Negeri Terengganu).

Beliau juga muncul pemenang bagi Hadiah Karya Sastera (Buku) menerusi himpunan cerpennya yang bertajuk Memburu Rentak dan Biografi/Autobiografi-Razali Ismail Arkitek Pendidikan Negara.

Nama-nama lain yang tampil pada Hasdi 2013 itu ialah Mohd. Abdullah atau Hilmi Rindu yang memenangi Hadiah Cekal Sastera (Sasterawan Harapan Negeri).

Selain itu Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul Razy, Ghazali Ngah Azia dan Mohamad Jusoh, Wan Ahmad Ismail dan Kamariah Kamaruddin memenangi kategori Hadiah Karya Sastera-Buku dan Husna Nazri, Ahmad Muziru Adhma Adnan, Tuah Sujana, Aishah Yazid serta Mazelan Manan pula pemenang kategori Hadiah Karya Sastera-Eceran di samping Nur Akmaliah Alias menang Hadiah Karya Sastera-Penulis Muda.

Menurut Mohd. Zubir, kerajaan negeri sentiasa peka dan prihatin terhadap peranan sasterawan, malah beberapa kali pernah menunjangi program seumpama itu termasuk Hari Sastera 1978 dengan kehadiran ratusan peserta termasuk dari Indonesia, Anugerah Sastera Darul Iman termasuk yang terbaharu Hasdi 2013.

“Ini adalah antara bukti kerajaan negeri sangat menghargai mereka, golongan insan yang boleh disifatkan sebagai pengembara yang mencari erti kehidupan berasaskan apa yang dilihat, diamati dalam kembara jasad dan batinnya.

“Kita perlu menyingkap tabir yang selama ini menutup jasa bakti sasterawan. Kita harus meneliti secara serius sumbangan mereka dalam wacana yang lebih besar bagi mengenang jasa mereka," katanya.

utusan online

Comments