dalam bencana

Banjir: Pahang, Kelantan, Terengganu tambah buruk
23 Disember 2014



KUALA LUMPUR - Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang semakin buruk tengah hari ini apabila lebih ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan berbanding pada sebelah pagi manakala lima buah kampung di Beaufort, Sabah dilanda banjir tengah malam tadi.

Di KELANTAN, mangsa banjir di lapan jajahan meningkat sebanyak 241 orang daripada 20,468 orang pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir tengah hari ini kepada 20,709 orang.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, pusat pemindahan juga bertambah daripada 70 buah kepada 84 buah tengah hari ini bagi menempatkan kesemua 20,709 mangsa banjir daripada 6,795 keluarga.

Bacaan paras air di empat sungai utama di negeri ini melebihi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.34 meter (paras bahaya 9 meter), Sungai Galas di Dabong, Gua Musang pada 42.08 meter (paras bahaya 38 meter), Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang 40.27 meter (paras bahaya 35 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai 29.10 meter (paras bahaya 25 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 17.95 meter (paras bahaya 16 meter).

Sementara jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kuala Krai meningkat seramai 316 orang berbanding 1,328 pagi tadi kepada 1,644 orang tengah hari ini, dan kesemua mereka ditempatkan di 21 pusat pemindahan.

Di Tanah Merah jumlah mangsa banjir meningkat kepada 240 orang yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan berbanding 141 mangsa di dua pusat pemindahan, dan di Jeli, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 282 daripada 211 mangsa pagi ini yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan.

Jumlah mangsa banjir di Gua Musang berkurangan sebanyak 79 orang iaitu daripada 3,692 pagi tadi kepada 3,513 orang tengah hari ini yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan.

Mangsa banjir di 32 pusat pemindahan di Pasir Mas juga menurun kepada 10,497 orang berbanding 10,565 orang pagi tadi dan begitu juga di Tumpat yang berkurangan kepada 3,901 orang di tujuh pusat pemindahan berbanding 3,956 orang pagi tadi.

Sementara di Pasir Puteh kekal 556 orang di empat pusat pemindahan di Machang juga kekal 19 orang di sebuah pusat pemindahan.

Sehingga kini jumlah kematian akibat banjir di Kelantan sejak 16 Disember lalu kekal empat orang.

Di TERENGGANU, jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat mendadak kepada 11,731 orang berbanding 6,003 pada sebelah pagi, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.

Daerah Kemaman mencatatkan peningkatan ketara iaitu 5,487 orang dipindahkan berbanding 1,877 orang pada sebelah pagi tadi.

Di Besut jumlah mangsa terus meningkat kepada 495 orang manakala Kuala Terengganu bertambah kepada 2,732 orang dan di daerah Dungun dan Hulu Terengganu masing-masing meningkat kepada 2,205 orang dan 686 orang.

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Marang dan Setiu masing-masing kekal sebanyak 102 dan 22.

Jumlah pusat pemindahan di seluruh negeri adalah sebanyak 90 buah iaitu sembilan di Besut, Dungun (19), Hulu Terengganu (14), Kemaman (36), Kuala Terengganu (lapan), Marang (dua) dan Setiu (dua).

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 2,555 orang daripada 598 keluarga di enam daerah termasuk daerah Rompin yang dilanda bencana alam itu hari ini.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, di Rompin sebanyak 169 orang daripada 38 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan yang dibuka pada 12.30 tengah hari ini.

Katanya Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling banyak iaitu 1,421 orang daripada 357 keluarga ditempatkan di 19 pusat pemindahan banjir.

"Di Maran melibatkan 594 orang daripada 121 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan, Lipis (325 oarang daripada 71 keluarga di tiga pusat pemindahan), Pekan (25 orang daripada lima keluarga di dua pusat pemindahan) dan Jerantut (21 orang daripada enam keluarga di satu pusat pemindahan)," katanya kepada Bernama.

Katanya, enam laluan utama di tiga daerah ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Kuantan membabitkan Jalan Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan Kuantan- Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), daerah Lipis pula membabitkan Jalan Lipis-Gua Musang dan Jalan Lipis-Merapoh dan di daerah Maran ialah Jalan Benta-Jerantut dan Jalan Utama Bandar Maran.

Sementara itu, menurut laman web Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia, paras air di empat batang sungai utama di Pahang telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan pada paras 75.35 meter (paras bahaya 68.00 meter), Sungai Pahang di Sungai Yap 54.93 meter (paras bahaya 52.00 meter), Sungai Kuantan di Pasir Kemudi 8.79 meter (paras bahaya 8.20 meter) dan Sungai Kuantan Bypass 5.27 meter (paras bahaya 3.50 meter).

Di SABAH, sebanyak 137 penduduk membabitkan 49 buah keluarga di lima buah kampung di daerah Beaufort dipindahkan ke Dewan Masyarakat Baru Beaufort sejak tengah malam tadi.

Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata selain lima kampung tersebut, banjir turut menjejaskan 23 buah kampung lain dan menyebabkan lebih 10 buah jalan terputus hubungan atau hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Beliau berkata paras air Sungai Padas pada pagi ini setinggi 9.30 meter melebihi paras bahaya.

Ini merupakan kejadian banjir kali keempat berlaku di Tenom dan Beaufort pada tahun ini. Pertama pada Februari, kedua Mei dan ketiga November lepas. - Bernama

sinar harian


Kenderaan berat, ringan tersekat di Kuala Krai
23 Disember 2014



Orang ramai tidak dapat meneruskan perjalanan akibat limpahan air Sungai Durian di Jalan Kota Bharu-Gua Musang yang memutuskan hubungan pengangkutan darat di Kuala Krai hari ini. - Foto Bernama


KUALA KRAI - Beratus-ratus kenderaan berat dan ringanterkandas apabila jalan utama Kota Baharu - Gua Musang, di sini terputus apabila air mula naik hampir semeter sejak pagi tadi.

Pemandu bas ekspres Mohd Farid Hasni, 27, berkata perjalanan dari Kota Baharu menuju ke Ipoh dan Butterworth, yang membawa 20 penumpang, terkandas sejak pukul tujuh pagi tadi, apabila jalan antara Kampung Tok Bok dan Pekan Guchil, tenggelam akibat limpahan air dari Sungai Durian.

"Bas bergerak dari Kota Baharu pukul 12 malam. Dalam perjalanan menggunakan laluan Gua Musang-Lojing-Cameron Highlands (untuk ke Ipoh dan Butterworth), saya dimaklumkan berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan Gua Musang, menyebabkan saya terpaksa berpatah balik.

"Saya ingat nak guna laluan dari Jeli ke Grik, tak sangka di sini (Kuala Krai) pun tersekat. Kini saya hanya tunggu maklum balas daripada pihak pengurusan sama ada mereka akan sediakan bas lain di seberang sana, serta bot untuk penumpang bas naik," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati ratusan penduduk terpaksa menggunakan perkhidmatan bot yang disediakan pihak polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, serta bot kecil persendirian untuk menyeberangi kawasan banjir sejauh 500 meter.

Pemandu lori Abdul Amin Shaik, 22, berkata beliau khuatir barangan yang dibawanya iaitu buah-buahan segar seperti limau, epal dan pisang, akan rosak jika beliau gagal menghantar barangan itu dalam masa 24 jam.

Katanya, perjalanan dari Pasar Borong Selayang ke Kota Baharu biasanya mengambil masa 12 jam, namun kali ini tiada apa yang boleh dilakukan melainkan menunggu hingga banjir surut sedikit.

"Memang tak ada laluan lain. Kebanyakan pemandu lori dan bas terpaksa menunggu hingga banjir surut sedikit, baru kami boleh jalan.

"Walaupun bos (majikan) tahu keadaan kami, saya khuatir kami semua terpaksa menunggu lebih lama sebab ada orang kampung beritahu, banjir kali ini luar biasa dan mungkin ambil masa dua hari untuk reda," katanya.

Penyelia ladang, Mohd Zaharudin Yeh, 43, berkata, beliau dan anak sulungnya dalam perjalanan dari Kuala Lipis, Pahang untuk mengambil isterinya serta anak bongsu mereka di Kota Baharu.

Beliau berkata, perjalanannya terkandas sejak pukul enam pagi tadi apabila pihak berkuasa memaklumkan jalan terpaksa ditutup akibat banjir.

"Tengok keadaan macam ni, mungkin saya akan cari hotel berdekatan untuk sementara waktu sampai jalan buka. Nak patah balik ke Kuala Lipis, sakit jiwa saya," katanya berseloroh. - Bernama

sinar harian


Terburuk dalam tempoh 30 tahun – Imam
24 Disember 2014 2:16 AM

AB. AZIZ YUSOFF (kiri) bersama anggota penyelamat membantu seorang wanita mengandung dan seorang warga emas di Kampung Batu Papan, Gua Musang, semalam. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG 23 Dis. – “Bencana banjir tahun ini amat luar biasa dan menggerunkan.” Itulah luahan Imam Tua Masjid Mukim Batu Papan, Ibrahim Ismail.

Ibrahim berkata, buat pertama kali, hampir 90 peratus kampungnya ditenggelami air dengan hanya tinggal sekelompok kecil daratan merupakan yang terburuk dalam tempoh 30 tahun.

“Pada tahun 2001, kami pernah melalui keadaan sebegini, tetapi masih lagi terkawal, tetapi tidak pada tahun ini.

“Kira-kira 200 rumah penduduk kampung ditenggelami air, hanya 10 rumah yang masih selamat. Namun rumah yang selamat itu juga dalam berjaga-jaga, air semakin meningkat naik.

“Selalunya air akan naik dan turun dalam masa 12 jam, namun kami tengok keadaan sudah semakin buruk dan kami terpaksa berlindung atas bukit berhampiran selepas ini, jika anggota penyelamat lambat tiba,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Alif Yusof, 43, berkata, banjir tahun ini diluar jangkaan apabila dia tidak sempat menyelamatkan empat buah kenderaannya.

“Saya hanya sempat menyelamatkan enam ekor lembu ternakan ke kawasan berbukit. Manakala, tempat tinggi seperti di masjid dan dewan orang ramai kampung ini telah ditenggelami air,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Ab. Aziz Yusoff yang turut menyalurkan bantuan makanan bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat berkata, penduduk di kampung tersebut sudah terkepung dan tidak boleh bergerak ke mana-mana.

“Saya berharap supaya penduduk bersabar dan jangan bertindak sendiri serta tunggu kedatangan anggota penyelamat untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Beliau bersama pasukan keselamatan turut menyelamatkan seorang warga emas dan seorang wanita mengandung yang terperangkap di kampung itu.

Mangsa yang diselamatkan adalah seorang warga emas yang dikenali sebagai Mek, 70, dan seorang wanita mengandung 9 bulan, Afzan Shafie, 35.

Ab. Aziz berkata, kekurangan kelengkapan menyelamat seperti bot yang terhad menyukarkan mereka untuk bertindak dengan lebih cepat menyelamatkan penduduk.

“Setakat ini, air sudah menenggelamkan lebih 15 kampung dan kita berdoa semoga keadaan terkawal.

“Kami juga masih belum sempat meminta bantuan luar dan berharap agensi dari luar negeri ini dapat menyalurkan bantuan kecemasan jika keadaan bertambah buruk,” katanya.

utusan online


Gua Musang terjejas teruk 
akibat banjir
23 Disember 2014

 BANDAR Lama Gua Musang digenangi air akibat hujan lebat sejak semalam.UTUSAN/Aimuni Tuan lah

GUA MUSANG 22 Dis. – Sejak 10 tahun lalu, daerah ini terutama di sekitar kawasan bandar tidak terjejas teruk akibat banjir, namun kali ini lebih 12 kawasan termasuk Bandar Lama dinaiki air bermula pagi ini.

Antara kawasan yang dinaiki air ialah Kampung Lebir, Kampung Tiong, Kampung Limau Kasturi, Kampung Kuala Nerus, Chiku 7, Kampung Kerinting, Kampung Batu Papan, Kampung Chalil, Sungai Cindai, Bandar Lama, Kampung Pulai dan Taman Tropika.

Kejadian itu berikutan hujan lebat sejak malam tadi sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah berkata, sehingga kini lebih 200 orang penduduk sudah meninggalkan kediaman mereka dan berpindah ke tempat selamat.

“Kita melihat keadaan banjir di daerah ini semakin buruk. Beberapa jalan menuju ke daerah ini turut ditutup kepada kenderaan.

“Setakat ini, jalan yang tidak boleh dilalui adalah Jalan Limau Kasturi ke Serian dan Jalan Bertam Lama ke Jerek.

“Jambatan yang ditenggelami air adalah Jambatan Sungai Kerak, Sungai Takir, Sungai Serian, Sungai Ketil dan Sungai Cindai,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Saiful Bahri, anggota penyelamat juga sudah meninjau di kawasan yang terjejas akibat banjir.

“Kakitangan Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) juga turut meninjau keadaan longkang dan perparitan di sekitar kampung dan bandar supaya aliran air lancar,” katanya.


BANDAR Lama Gua Musang digenangi air akibat hujan lebat sejak semalam. – UTUSAN/JAZLY AMRY JAAFAR

utusan online


Comments

Post a Comment