Cerita-Cerita Yang Mengharukan


Dua keping foto di atas sudah cukup memberi gambaran yang mengundang keharuan dan kepiluan.
Kepayahan, ketakutan, kepiluan dan kepedihan berbaur di dalamnya.
Beberapa petikan berita di bawah ini menjelaskan  apa terjadi.
Ia amat mengharukan jiwa...


Tiada tempat untuk mengadu
melainkan kepada Allah Yang Satu


Kuala Krai bagaikan dilanda tsunami kecil
AZRAN FITRI RAHIM
30 Disember 2014
977 0 Google +0


Dua penduduk melihat sebuah kereta yang musnah akibat dihanyutkan air deras di Manek Urai Lama, semalam.

KUALA KRAI 29 Dis. - Bagaikan tsunami kecil, itu gambaran mengenai daerah ini selepas dilanda banjir besar bermula Selasa lalu.

Kesan bencana alam itu dapat dilihat di merata-rata tempat di seluruh daerah ini dan tidak keterla­luan jika dikatakan hanya 15 peratus penempatan penduduk di sini yang tidak terjejas.

Keadaan di seluruh bandar ini terutama di Manek Urai amat me­nyayat hati dan rata-rata penduduk berada dalam keadaan trauma selepas pulang ke rumah masing-masing bermula pagi ini.

Hari ini, laluan darat ke daerah ini dari Kota Bharu te­lah dibuka termasuk kepada kenderaan kecil dan menyebabkan kesesakan yang teruk malah penduduk juga mengambil kesempatan untuk keluar mendapatkan bekalan terutama petrol serta diesel.



Tinjauan Utusan Malaysia bermula di kawasan Guchil. Hampir keseluruhan rumah di kawasan ini rosak dan ada antaranya hancur kecuali yang terletak di kawasan tinggi.

Malah di Guchil 4, terdapat sebuah rumah yang hanyutkan arus dan tersangkut di atas sebuah rumah lain.

Pemilik rumah tersebut, Rahim Ismail, 58, berkata, dia ha­nya menyedari keadaan rumahnya itu selepas air surut pada petang semalam.

“Rumah saya terletak kira-kira 10 meter di belakang rumah anak saya tetapi apabila pulang saya mendapati rumah saya berada di atas rumah anak.

“Tidak pernah terfikir rumah saya dihanyutkan begitu rupa, berdasarkan kesan saya mendapati air naik sekurang-kurangnya melebihi 10 meter dengan arus yang kuat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.


Dia yang bekerja sebagai buruh berkata, mereka sekeluarga tidak akan berpindah kerana di situ adalah tempat tinggal mereka sejak 14 tahun lalu.

Sementara itu, Che Hasan Che Abdullah, 57, berkata, air datang seperti ombak besar yang mera­napkan sebahagian rumahnya dan empat buah rumah lagi di Jalan Halimah, Guchil 1.

Katanya, dia menyedari air besar datang dengan laju dari arah Su­ngai Kelantan yang terletak kira-kira satu kilometer dari kawasan perumahan itu pada pukul 5.30 pagi Selasa lalu.


“Saya nampak air besar dan tinggi datang, saya kejutkan jiran untuk menyelamatkan diri, selepas lima minit air itu membadai sebahagian rumah saya dan empat buah rumah lain musnah.

“Air yang membawa batu dari rel kereta api itu turut menyebabkan jalan di hadapan rumah saya terputus. Selepas air naik ia terus bertahan sehingga mula surut semalam,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan di sepanjang jalan dari bandar ini menuju ke Manek Urai mendapati kesan kemusnahan amat dahsyat dan penduduk yang pulang ke rumah mengambil kesempatan untuk membersihkan ke kediaman mereka serta mencari harta benda yang masih boleh digunakan.

utusan online


'Sekelip mata sahaja semuanya hancur'
Wartawan Sinar Harian
30 Disember 2014


Antara kawasan yang ditenggelami air di sekitar Manek Urai pada kejadian banjir di sekitar Kelantan. - Foto Bernama 

KUALA KRAI - Bagaikan dilanda tsunami, begitulah pengalaman ngeri penduduk di Kampung Manek Urai Lama, di sini dalam bencana banjir sejak 23 Disember lalu yang turut kehilangan harta benda dan tempat tinggal dalam sekelip mata.

Penduduk, Ruslaina Yusoff, 40, berkata air dari hulu sungai Lebir yang bertembung dengan sungai Manik Urai Lama, yang naik secara mendadak disebabkan hujan berterusan menyebabkan air terkepung di sekitar kampung.

“Melihatkan keadaan itu, saya terus menyelamatkan barangan dalam rumah dua tingkat dan meletakkan di bahagian siling rumah.

“Pada mulanya air hanya berada di paras paha kira-kira jam 5 petang namun naik mendadak sehingga ke paras dada dan melihat keadaan itu saya dan empat anak dan suami terus menyelamatkan diri menggunakan bot milik orang kampung,” katanya.

Ruslaina berkata, semenjak sembilan tahun tinggal di kawasan itu, banjir tidaklah pernah sampai ke tingkat atas rumah, namun kali ini amat luar biasa.

“Kejadian ini seolah-olah bencana tsunami kepada kami yang membawa lumpur dan memusnahkan rumah dan barangan dalam sekelip mata.

“Ketika kejadian saya tidak memikirkan lagi tentang keselamatan barangan namun nyawa keluarga lebih penting dan kami tekad tinggalkan rumah untuk berlindung di tempat lebih selamat,” katanya.

sinar harian

'Rumah saya kini hanya tinggal tapak'
Wartawan Sinar Harian
30 Disember 2014




Siti Khadijah dan anak kecilnya mencari sisa-sisa yang tinggal untuk digunakan setelah rumahnya musnah dalam banjir yang melanda Kampung Manek Urai Lama.


KUALA KRAI -”Sebak hati saya bila pulang ke rumah, melihat hanya tinggal tapak rumah yang selama ini menjadi tempat perlindungan kami sekeluarga."

Itulah luahan, Siti Khadijah Md Nor, 36, yang menceritakan kesengsaraan selama empat hari bersembunyi di Bukit Kajang untuk menyelamatkan diri dari bencana banjir besar
“Sisa-sisa rumah saya sudah berada di bawah jalan masuk ke lorong rumah.

“Kini, apa yang mampu saya lakukan adalah mengutip sisa-sisa daripada rumah seperti kayu-kayu yang masih boleh digunakan untuk suami saya membina sebuah pondok tempat kami berteduh,” katanya ketika di temui pemberita di Kampung Manek Urai lama yang terjejas teruk akibat banjir di Kelantan sejak enam hari lalu.

“Selain daripada kayu-kayu, dia cuba mencari barang-barang lain yang mungkin boleh digunakan namun segalanya musnah,” katanya.

Siti Khadijah tinggal di kediaman itu bersama suami, Hassan Mahhasan, 38, lapan orang anak dan bapa mertua.

“Saya tak kata ini sebagai banjir, saya katakan ini tsunami. Air bah sangat laju dan menolak apa saja yang di hadapannya.

“Saya kini tinggal di rumah yang berada di atas bukit bersama puluhan yang lain. Jika nak pindah ke pusat pemindahan pun, di sana sudah ramai sangat mangsa ditempatkan di pusat itu,” katanya

sinar harian

Kampung macam kena tsunami!
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
30 Disember 2014


Keadaan Kampung Manek Urai, Kuala Krai yang kembali pulih setelah dilanda banjir besar baru-baru ini, Keadaan Kampung Manek Urai, Kuala Krai yang kembali pulih setelah dilanda banjir besar baru-baru ini,

< 1 / 1 >

SETELAH mengetahui keadaan Kuala Krai kembali pulih, saya bersama wartawan Rosalwani Che Soh dan jurufoto Khirul Shaleh merancang untuk sedaya upaya untuk memasuki kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Kelantan iaitu Manek Urai Lama.

Lokasi inilah dikatakan pasukan bantuan tidak dapat disalurkan sama ada melalui darat mahupun udara ketika kemuncak banjir yang melanda daerah ini Rabu lalu.

Setelah mengharungi jalan dari Kota Bharu, kami tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Krai di sini, akibat laluan yang masih digenangi air kami terpaksa terpaksa meredah banjir sehingga 500 meter sebelum tiba di bandar Kuala Krai.

Di kawasan bandar, kesan-kesan kemusnahan akibat banjir mula kelihatan, beberapa anggota polis kelihatan mengawal beberapa pasaraya yang dikatakan diceroboh oleh orang ramai kerana kelaparan.

Satu-satunya stesen minyak di Kuala Krai yang masih beroperasi dikerumuni orang ramai sepanjang satu kilometer meter.

Rasanya di Malaysia, saya tidak pernah melihat sebegitu ramai orang yang ingin mendapatkan sesuatu barangan.

Untuk bergerak ke Manek Urai Lama, lebih kurang lima kilometer dari bandar Kuala Krai, kami mendapat bantuan seorang pemimpin tempatan untuk ke lokasi.

Hentian pertama kami adalah di Guchil 4, kami saksikan rumah di atas rumah. Bayangkan begitu kuat arus deras air sehingga boleh mengubah kedudukan sebuah rumah.

Lebih mengharukan rumah milik Rahim Ismail, 58, berada di atas rumah anaknya sendiri.

Tiba di Manek Urai Lama jam 12 tengah hari, beberapa anggota tentera membenarkan kami agar memasuki kawasan tragedi tetapi dengan berjalan kaki kerana suasana masih kelam kabut selain kesan runtuhan rumah yang masih belum dibersihkan.

Ia sekaligus menutup cakap-cakap yang di viral media sosial mengatakan tentera tidak membenarkan kawasan ini dimasuki ini dengan alasan mahu menyembunyikan sesuatu.

Sejurus melepasi jambatan Manek Urai, saya tergamam seketika menyaksikan kemusnahan yang amat dahsyat sekali.

Bagaikan tsunami!, kawasan yang pernah saya lawati ketika PRK Manek Urai pada 2009 alu bagaikan padang jarak pandang tekukur.

Ada sebahagian kediaman hancur berkecai hanya meninggalkan tiang untuk kenangan pemiliknya.

Dicelah runtuhan itu, terdapat pemilik-pemilik rumah yang termenung kebingungan melihat kediaman lesap sekelip mata. Air mata ada di mana-mana.

Tiada lagi rumah yang sempurna, kesan runtuhan di mana-mana, menceritakan kisah kejadian di sana.

sinar harian


MENEGAKKAN KESAKSAMAAN
ROHAMI SHAFIE
30 Disember 2014 1:20 AM


MUSNAH…Beberapa buah kereta rosak teruk akibat dihanyut arus deras dari limpahan air Sungai Kelantan di Manik Urai, Kuala Krai, Kelantan. Manik Urai antara kawasan yang teruk dilanda banjir, ditambah dengan terputus hubungan dengan kawasan luar. – BERNAMA

Sayu dan sebak menatap gambar-gambar bencana banjir yang sedang melanda negara kita. Lebih sayu menatap gambar-gambar rumah mangsa-mangsa banjir yang rosak teruk seperti dilanda tsunami kecil. Tiada siapa yang dapat menjangkakan banjir yang melanda kali ini begitu dahsyat sekali dalam sejarah Malaysia moden.

Banyak pengajaran yang boleh diambil ekoran bencana banjir yang berlaku. Apa yang penting, permudahkan segala bantuan kepada mangsa-mangsa banjir selain memperbaiki kelemahan dalam prosedur operasi standard (SOP) pengurusan krisis dalam menghadapi senario banjir.

Kita semua mempunyai peranan masing-masing dalam membantu mangsa banjir. Usahlah terlalu mudah menyebarkan berita palsu dan fitnah yang mengeruhkan lagi keadaan dan menjejaskan kerja-kerja bantuan pihak berkuasa. Bersikaplah sebagai seorang yang berakhlak baik dalam sebuah negara yang menuju ke arah negara maju.

Tiada sikit pun manfaat daripada berita-berita fitnah, palsu dan adu domba kecuali boleh menjerumus diri seseorang mendapat dosa ke­ring.

Di saat negara dilanda banjir, dilaporkan bahawa pesawat QZ8501 milik Air Asia Indonesia yang menuju ke Singapura dari Surabaya hilang dari radar menutup tirai tahun 2014. Sebelum ini, tiada siapa yang dapat melupakan dua tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dan MH17. Kedua-duanya adalah episod duka yang sudah tentu menjadi lipatan sejarah Malaysia. Setiap tragedi dan bencana yang berlaku pada tahun ini sungguh menginsafkan kita.

Tidak pernah dalam sejarah Malaysia moden tragedi-tragedi besar yang menggemparkan seluruh dunia sebagaimana yang berlaku pada tahun ini. Namun, inilah yang dikatakan takdir yang wajib diterima oleh kita sebagai makhluk yang lemah di sisi Allah SWT. Apa yang penting, tragedi-tragedi yang telah dan sedang berlaku ini mendekatkan diri kita kepada Allah SWT Yang Maha Esa. Eloklah selepas ini dihentikan sahaja segala aktiviti hiburan tidak bermoral.

Bukan setakat konsert menyambut tahun baharu 2015. Usahlah hanya ketika musibah dan bencana berlaku baharulah aktiviti-aktiviti hiburan yang merosakkan akhlak ini dihentikan. Apabila ia merosakkan akhlak sudah tentulah ia merupakan aktiviti yang melampaui batas.

Melampaui batas pula sinonim dengan perkataan ekstrem. Acapkali pada masa kini, kita mendengar dan membaca istilah ekstrem dan ekstremis. Malang sekali, apabila ada pihak yang menggelar pihak lain ekstremis sedangkan mereka sendiri pun berideologi kebaratan bersifat liberal dan sekular.

Mereka ini mungkin tidak faham atau sengaja buat-buat tidak faham bahawa sekular itu menyimpang sama sekali daripada ajaran agama Islam. Jauh sekali maksudnya berbanding istilah kesederhanaan dalam erti kata sebenar ajaran agama Islam. Sekular itu sendiri mengasingkan agama dalam kehidupan seharian. Ini adalah perbuatan manusia yang melampaui batas.

Kenapa perlu mengagung-agung­kan ideologi barat yang te­rang-terangan salah mengikut aja­ran agama Islam? Malang juga kerana yang berjuang untuk mempertahankan ideologi sebegini ialah mereka yang dikategorikan sebagai golongan elit. Banyak lagi perkara yang sewajarnya diperjuangkan.

Cuba turun ke bawah, lihat sendiri apa yang berlaku. Usah setakat memerhatikan keadaan masyarakat dari puncak keelitan yang berpaksikan kemewahan. Ramai lagi rakyat yang susah dan mereka ini perlu dibantu. Dalam konteks banjir yang sedang me­landa negara pun kita boleh lihat seterang-terangnya mereka yang mengalami kesusahan. Kenapa tidak mahu memperjuangkan nasib mereka?

Malang juga mereka yang berideologi kebaratan mengalahkan orang barat itu sendiri terlalu taksub dengan agenda hak asasi individu. Kesaksamaan di­se­lewengkan men­­jadi kesamarataan.

Kesaksamaan bersifat keadilan, manakala kesamarataan tidak tentu adil. Misalnya, adakah adil golongan kaya diberikan bantuan wang ringgit sebagaimana orang susah atas landasan ingin menyamaratakan bantuan?

Kenapa golongan elit ini tidak berjuang untuk mengurangkan jurang kekayaan dalam kalangan rakyat Malaysia? Tidakkah itu lebih diutamakan kerana jurang kekayaan yang melebar boleh memberi impak yang besar terhadap pelbagai permasalahan sosial rakyat?

Mereka yang kononnya menjadi pejuang hak asasi individu, liberal dan sekular ini kelihatan seolah-olah mewakili suara rakyat Malaysia. Benarkah begitu atau digembar-gemburkan atas sokongan dan promosi yang keterlaluan dan ekstrem oleh segelintir media yang mudah difahami agenda tersirat dan tersurat mereka.

Beralaskan perjuangan kesederhanaan, mereka ini sengaja tidak nampak betapa berlaku kepincangan ekonomi apabila hartanah dan perniagaan dikuasai oleh segelintir pihak sahaja. Kalau benar-benar ingin menegakkan kesederhanaan, keadilan adalah tunjangnya.

Jadi, dalam hal ini, kesaksamaan untuk semua golongan rakyat menguasai kekayaan dan ekonomi negara. Itu baharulah dikatakan adil dan saksama. Tetapi apa yang berlaku dan jelas kelihatan, berprinsipkan satu lagi ideologi barat iaitu kapitalis, yang kaya bertambah kaya.

Lihatlah di bandar-bandar besar di negara kita, kawasan perumahan mewah yang dikuasai oleh segelintir kapitalis yang terlalu kaya dikelilingi oleh majoriti perumahan kos rendah. Tidakkah situasi sebegini juga bersifat ekstrem. Sekali lagi, ideologi barat jelas pincang dan memudaratkan masyarakat. Jadi, kenapakah masih ingin menegakkan benang yang basah yang memudaratkan rakyat Malaysia?

Itu belum lagi melibatkan per­soalan kenapa dalam proses pe­ngambilan pekerja di sektor swasta terdapat banyak tindakan yang jelas menggambarkan ketidakadilan. Peluang untuk mendapat pekerjaan jelas sekali dikuasai oleh segelintir pihak meskipun calon-calon lain juga mempunyai merit yang sama. Itu belum menyentuh mengenai gaji yang jelas berbeza dan syarat bahasa tertentu untuk pengambilan pekerja yang jelas mengamalkan diskriminasi.

Mana perginya pejuang-pe­juang hak asasi manusia yang bercirikan liberal dan sekular untuk menentang penganiayaan dan kezaliman ini? Tidakkah itu hak yang wajib diberikan kepada semua rakyat Malaysia tidak kira siapa mereka? Justeru, kembalilah berjuang pada landasan yang betul seperti menegakkan keadilan dan kesaksamaan ekonomi agar tidak menganiaya orang lain bahkan Insya-Allah boleh memberi kesejahteraan kepada rak­yat Malaysia.

Rohami Shafie ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia

utusan online

Manik Urai




foto dari era fm

Comments