Banjir

Jumlah mangsa banjir Kelantan 15,002 orang
19 Disember 2014



Sebahagian daripada mangsabanjir dari kampung berdekatan dipindahkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi selepas rumah mereka dilanda banjir ketika tinjauan fotoBERNAMA di Rantau Panjang, hari ini. - Foto Bernama Sebahagian daripada mangsa banjir dari kampung berdekatan dipindahkan di Pusat Pemindahan Banjir di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi selepas rumah mereka dilanda banjir ketika tinjauan fotoBERNAMA di Rantau Panjang, hari ini. - Foto Bernama


KOTA BHARU - Jumlah mangsa banjir di Kelantan mencatatkan peningkatan daripada 14,067 orang petang tadi kepada 15,002 orang malam ini.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, mangsa kini ditempatkan di 77 pusat pemindahan di tujuh jajahan iaitu Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah, Pasir Puteh, dan Tumpat berbanding 84 pusat pemindahan petang tadi.

Di Pasir Mas, jumlah mangsa meningkat sedikit daripada 7,548 orang petang tadi kepada 7,594 orang malam ini yang kesemua mangsa ditempatkan di 31 pusat pemindahan antaranya di Masjid Chasi, SK Tok Uban dan SMK Kangkong.

Jumlah mangsa di Kuala Krai juga meningkat daipada 2,459 orang petang tadi kepada 2,913 orang malam ini dan kini ditempatkan di 13 pusat pemindahan antaranya di SK Telekong, SMK Keroh, SK Manek Urai dan SM Teknik Kuala Krai.

Dalam jajahan Tanah Merah, jumlah mangsa berkurangan daripada 729 orang pada petang tadi kepada 551 orang malam ini, dan semua mangsa ditempatkan di 11 pusat pemindahan antaranya SK Kulim, Madrasah Kampung Kulim dan Madrasah Bendang Besar.

Di Machang, jumlah mangsa kekal seramai 362 orang yang kesemua mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan antaranya di Madrasah Pak Nik Deraman, SK Pangkal Meleret, SK Bagan dan Masjid Darul Furqan.

Jumlah mangsa di Kota Baharu menurun daripada 1,431 orang petang tadi kepada 789 orang malam ini.Semua mereka ditempatkan di tujuh pusat pemindahan antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Tiong, SK Sri Ketereh, SK Mulong, SK Dewan Beta dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor.

Dalam jajahan Pasir Puteh, jumlah mangsa kekal 619 orang dan mereka ditempatkan di empat pusat pemindahan iaitu SK Wakaf Raja, SK Changgai, SMK Kamil dan SK Kamil I.

Di jajahan Tumpat, jumlah mangsa meningkat kepada 2,174 orang berbanding 859 orang pada petang tadi dan mereka ditempatkan di empat pusat pemindahan iaitu di SK Kebakat, SK Pengkalan Kubor 1, SK Bunohan dan SK Kok Keli.

Setakat pukul 8 malam ini, hanya dua sungai masih berada pada tahap bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.38 meter (paras bahaya 9.00 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah yang merekodkan bacaan 16.28 meter (paras bahaya 16.00 meter). - Bernama

sinar harian


Banjir terburuk Rantau Panjang sejak 10 tahun
19 Disember 2014



Kelihatan beberapa kenderaan yang tersadai selepas dibawa arus deras selepas ditenggelami banjir ketika tinjauan fotoBernama di Rantau Panjang, hari ini. - Foto Bernama Kelihatan beberapa kenderaan yang tersadai selepas dibawa arus deras selepas ditenggelami banjir ketika tinjauan fotoBernama di Rantau Panjang, hari ini. - Foto Bernama

PASIR MAS - Rata-rata penduduk di Rantau Panjang menyifatkan banjir yang melanda kawasan berkenaan adalah yang terburuk sejak 10 tahun lepas.

Tinjauan Bernama mendapati Rantau Panjang dinaiki air antara 1 hingga 3 meter akibat limpahan air Sungai Golok.

Banyak premis perniagaan di sekitar pekan Rantau Panjang yang merupakan kawasan membeli-belah Zon Bebas Cukai ditenggelami air sejak dua hari lepas.

Berpuluh kenderaan turut ditenggelami air berikutan pemiliknya tidak sempat memindahkannya berikutan air naik begitu mendadak dan mereka tidak menjangka banjir akan berlaku seteruk itu.

Bercakap kepada Bernama, Mohd Noor Jaafar, 57, berkata air mula naik mendadak pada pukul 10 malam Rabu lepas dan dalam tempoh tiga jam, paras air sudah mencecah kira-kira 1.5 meter.

"Rata-rata penduduk tidak menyangka banjir kali ini teruk sebab itu mereka tidak sempat untuk memindahkan kenderaan masing-masing.

"Peralatan dalam rumah termasuk peti sejuk, mesen basuh, televisyen dan perabot habis ditenggelami air," katanya sambil memberitahu sebuah kereta dan dua buah motosikal miliknya turut ditenggelami air.

Mohd Zin Abdullah, 61, berkata banjir melumpuhkan pekan Rantau Panjang yang turut memutuskan bekalan elektrik.

"Rumah saya dua tingkat. Air mula memenuhi tingkat bawah hanya dalam beberapa jam sahaja. Sekarang kami duduk di tingkat atas dan tidak boleh ke mana-mana sebab sekitar rumah masih di tenggelami banjir," katanya yang tinggal di Taman Rantau Mas.

Mohd Zin yang rumahnya berhampiran Masjid Jubli Perak Sultan Ismail Petra atau Masjid Beijing berkata beliau dapat menyaksikan banyak kereta dan motosikal yang dipakir di perkarangan masjid berkenaan ditenggelami air.

Hasmah Ramli, 40, berkata banjir kali ini adalah yang paling teruk kerana hampir keseluruhan kawasan pekan Rantau Panjang dinaiki air.

"Memang seingat saya banjir pada tahun 2004 dan 2007 sebelum ini tidak seteruk kali ini, ini sampai habis rumah saya tenggelam, hanya nampak atap sahaja.

"Kalau banjir sebelum ini air hanya naik pada paras betis dan masih boleh diduduki tetapi kali ini memang air naik terus ke dalam rumah," katanya ketika ditemui di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi di sini, hari ini.

Hasmah berkata sebelum dipindahkan ke pusat pemindahan, bekalan elektrik di kawasan rumahnya juga terputus.

"Ini kali pertama saya melihat kereta ditenggelami air. Banyak kereta yang tidak dapat diselamatkan kerana air bergerak terlalu cepat," katanya.

Nurihah Mat Daud, 48, berkata beliau juga terkejut apabila melihat beberapa kenderaan ditenggelami air.

"Memang tak sangka air naik cepat. Rumah saya sendiri kalau sebelum ini air naik di tangga sahaja, tetapi kali ini air masuk hingga ke dalam rumah.

"Saya puji tindakan pantas pihak berkuasa yang peka dengan keadaan masyarakat dengan segera menghulurkan bantuan," katanya.

Che Rahimah Ibrahim, 60, berkata kawasan rumahnya juga turut dinaiki air sehingga paras pinggang.

"Kalau sebelum ini hanya naik sehingga paras betis, tapi banjir kali ini sungguh luar biasa. Memang amat teruk," katanya. - Bernama

sinar harian








foto dari fb friends of bn



situasi banjir di pantai timur terutama Kelantan dan Terengganu
Kepada mangsa banjir yang terlibat
diharapkan tabah menghadapi dugaan


Comments