Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 : Memperkasa warisan bangsa


Ucapan perasmian Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 
YAB Tan Sri Dato Hj Muhyiddin Yassin
Pada 28 Oktober 2014 di Dewan Matrade, Aras 3, Menara Matrade Kuala Lumpur

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

Yang Berbahagia Dato Mohamed Izat Emir,
Presiden PERDASAMA

Yang Berusaha Professor Dr Norsaadah Ismail,
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni) UiTM.

Yang Berbahagia Datuk Naim Mohamad, dan
Professor Madya Dr Faizah Abdul Majid
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian.

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah izin dan kurniaNya kita dapat bersama-sama berhimpun dalam Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia pada hari ini. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada PERDASAMA dan UiTM yang telah menjemput saya untuk merasmikan satu program yang amat penting kepada pengembangan warisan bangsa dan negara kita.

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Saya difahamkan Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 ini merupakan program yang kedua selepas diadakan pada kali pertama dalam bulan April tahun 2005. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana hasil daripada kongres pertama tersebut telah tertubuh sebuah Pusat Warisan Seni Melayu yang diletakkan di bawah seliaan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) UiTM. Hasil daripada penubuhan pusat ini, sebuah institut yang dinamakan Institut Pemikiran & Kepimpinan Melayu Universiti Teknologi MARA (IMPAK) juga telah diwujudkan pada tahun 2008. Saya amat mengalu-alukan penubuhan badan ini yang berfungsi sebagai kumpulan pemikir untuk mengembangkan seni warisan Melayu serta bertindak sebagai pemangkin perubahan bangsa. Penubuhan institut ini juga diharapkan dapat menggalakkan usaha memelihara warisan Melayu sebagai warisan penting negara kita untuk manfaat generasi masa kini dan masa hadapan.

3. Sebagai menyokong usaha memelihara warisan negara, Kerajaan telah mewartakan Akta Warisan Negara pada tahun 2005. Jabatan Warisan Negara pula berperanan untuk penguatkuasakan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Warisan Negara 2005, mendaftarkan warisan negara ke dalam Daftar Warisan Kebangsaan, memelihara dan memulihara warisan negara, menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan warisan, mendokumentasi dan menerbitkan hasil kajian serta bahan-bahan rujukan berkaitan warisan, serta merancang, melaksanakan dan menyelaras aktiviti-aktiviti berkaitan warisan. Dengan adanya Akta ini dan satu jabatan khusus untuk memelihara warisan negara, saya percaya warisan Melayu yang merupakan khazanah penting bangsa Melayu dapat dipelihara dan dikembangkan di negara kita.

4. Pada hemat saya, badan-badan bukan kerajaan seperti PERDASAMA dan NGO Melayu juga boleh memainkan peranan yang sama penting dalam memelihara serta mengembangkan warisan bangsa. Kerjasama strategik boleh diwujudkan dengan agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi tempatan untuk menjalankan penyelidikan mengenai warisan Melayu untuk tujuan pemuliharaan, pengembangan dan pendidikan. Selain itu, PERDASAMA sebagai sebuah pertubuhan berteraskan ekonomi, boleh memikirkan bagaimana produk-produk berunsurkan warisan Melayu boleh dipasarkan baik di dalam mahupun di luar negara. Secara tidak langsung, nilai ekonomi produk warisan Melayu akan melonjak dan industri yang berteraskan warisan Melayu boleh berkembang dengan lebih maju. Ini pastinya akan memberi banyak manfaat kepada para penggiat dalam bidang ini.

5. Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia yang diadakan pada hari ini dan esok adalah satu medan terbaik untuk merangka satu pelan pembangunan industri berteraskan warisan Melayu di samping mengupas unsur-unsur positif dalam warisan sejarah ketamadunan dan kebudayaan Melayu yang dapat menyumbang kepada kemajuan bangsa. Dengan mengenengahkan unsur-unsur positif warisan dan tamadun Melayu kita pastinya akan dapat menyuntik semangat baru kepada bangsa Melayu untuk terus mara ke hadapan dan mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang.

6. Lebih penting lagi, saya percaya kongres ini juga akan dapat menyemarakkan semangat lita’arafu, iaitu semangat untuk menggali dan mengenali khazanah warisan sejarah dan tradisi sesuatu bangsa, selaras dengan firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hujrat Ayat 13:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌‌ۚ

Yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

7. Jelas terpancar daripada ayat ini bahawa manusia dijadikan berbilang bangsa dan keturunan supaya kita saling kenal mengenali dan menjalinkan hubungan yang mesra dan harmoni antara satu sama lain. Dengan adanya kesediaan untuk saling mengenali dan menjalinkan hubungan yang harmoni, maka tentunya kepelbagaian budaya, bahasa dan warisan yang dimiliki oleh setiap bangsa dan keturunan tidak akan menjadi faktor penghalang kepada perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan dalam sebuah masyarakat majmuk. Malah kepelbagaian yang ada dapat dimanfaatkan sebagai sumber kekuatan bersama.

8. Dalam semangat lita’arafu inilah saya percaya usaha-usaha ke arah mengembangkan seni dan warisan Melayu dapat menjadi satu wahana penting bagi generasi hari ini, termasuk kaum bukan Melayu, untuk mengenali bangsa Melayu dengan lebih dekat, dan seterusnya menyumbang kepada kewujudan sebuah masyarakat yang saling mengenali khazanah budaya dan tradisi masing-masing serta hidup dalam suasana yang harmonis. InsyaAllah, usaha yang dilaksanakan oleh saudara dan saudari semua dalam mengkaji serta mengembangkan seni dan warisan Melayu menepati semangat lita’arafu sepertimana yang disebut di dalam al-Qur’an. Pastinya juga, menerusi seni dan warisan Melayu, kita dapat mengenengahkan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan masyarakat Melayu sejak zaman berzaman untuk dijadikan panduan oleh generasi hari ini.

9. Akhirnya, sebagai penutup bicara, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada PERDASAMA dan UiTM sebagai penganjur kongres dan pameran yang telah berjaya menghimpunkan pakar-pakar dalam bidang kajian warisan Melayu untuk membentangkan hasil kajian mereka di dalam kongres ini. Mudah-mudahan perbincangan di dalam kongres ini akan mendatangkan manfaat yang besar kepada kita semua.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.







Kerjasama Strategik Perlu Untuk Kekalkan Warisan Melayu

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima cenderahati dari Penasihat Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia yang juga Presiden Persatuan Pe­dagang dan Pengusaha Melayu Ma­laysia (Perdasama), di majlis perasmian Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia di Pusat Pameran dan Konvension MATRADE di sini, hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya kerjasama strategik antara agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) perlu diwujudkan untuk memastikan warisan Melayu terus kekal dan relevan pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerjasama itu penting untuk pemuliharaan, pengembangan dan pendidikan warisan Melayu sekali gus dapat memberi manfaat kepada semua penggiat industri yang terlibat.

“Pada hemat saya, NGO seperti Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) boleh memikirkan bagaimana produk-produk yang berunsurkan warisan Melayu ini boleh dipasarkan baik di dalam dan luar negara.

“Secara tidak langsung, nilai ekonomi pada produk warisan Melayu ini akan melonjak dan industri tersebut boleh berkembang dengan lebih maju dan berjaya,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 di sini hari ini.

Turut hadir Presiden Perdasama Datuk Moehamad Izat Emir, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri Masyarakat dan Alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Dr Norsaadah Ismail.

Jelas Muhyiddin, menerusi kerjasama tersebut, ia dapat menggalakkan usaha untuk memulihara warisan Melayu sebagai warisan penting dalam negara untuk dimanfaatkan generasi kini dan masa depan.

Beliau menarik perhatian, usaha-usaha ke arah mengembangkan seni dan warisan Melayu dapat menjadi wahana penting termasuk untuk kaum bukan Melayu bagi mengenali bangsa Melayu dengan lebih dekat lagi.

Menurutnya kepelbagaian budaya, bahasa dan warisan yang dimiliki setiap bangsa dan keturunan tidak akan menjadi faktor penghalang perpaduan, kemakmuran dalam sesebuah masyarakat majmuk.

“Ini sebaliknya menyumbang kepada kewujudan sebuah masyarakat yang mengenali khazanah budaya dan tradisi masing-masing dalam suasana yang harmonis,” katanya.

Muhyiddin berkata, menerusi seni dan warisan Melayu, masyarakat dapat mengetengahkan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan sejak zaman berzaman untuk dijadikan panduan generasi hari ini dan akan datang.

Menyentuh mengenai kongres hari ini, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia menjadi satu medan terbaik untuk merangka satu pelan pembangunan industri berteraskan warisan Melayu di samping mengupas unsur-unsur positif dalam warisan sejarah ketamadunan dan kebudayaan Melayu.

Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 yang bermula hari ini sehingga esok dianjurkan Perdasama dan UiTM sebagai platform menghimpunkan penggiat seni, cendekiawan, penggubal dasar dan pihak-pihak yang berkaitan untuk bermusyawarah bagi menghasilkan resolusi dalam memangkin keunggulan Warisan Seni Bangsa.

Antara objektifnya juga ialah menyatupadukan Melayu dan Bumiputera dari dalam dan luar negara melalui satu rantaian dengan mewujudkan Pusat Cerdik Pandai Ekonomi dan memelihara harta intelek Melayu dan bumiputera.

Sebanyak sembilan kertas kerja akan dibentangkan dan dua perbincangan diadakan sepanjang kongres ini berlangsung. – BERNAMA

mynewshub


Kajian bukti Melayu bukan pendatang dari China, kata ahli akademik
OLEH JAMILAH KAMARUDIN
25 October 2014


Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh bercakap semasa sidang media di Hotel Hilton Petaling Jaya semalam. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Raiezal, 

25 Oktober, 2014. Pakar arkeologi tempatan menolak teori Barat yang mengatakan asal-usul orang Melayu daripada Yunnan, wilayah selatan China, sebaliknya mereka penduduk asal Alam Melayu itu sendiri yang wujud sejak 74,000 tahun Sebelum Masihi (SM), kata Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.

Dekan Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu berkata, orang Melayu merupakan penduduk asal Benua Sunda, meliputi Tanah Melayu, Borneo, Indonesia, Filipina dan Indo-China.

Ini sekaligus menolak teori Robert Heine Geldern, pengkaji sejarah daripada Austria pada tahun 1932, yang mendakwa Melayu bermigrasi semasa gelombang pertama (Proto-Melayu) antara 5,000 SM hingga 3,500 SM daripada Yunnan dan turun ke Kepulauan Melayu.

Kata Wan Hashim, hasil kajian yang dijalankannya di Yunnan sejak 1990-an mendapati tidak ada satu pun etnik di situ yang menyerupai Melayu, sama ada dari segi lingua franca mahupun budaya.

"Daripada 26 etnik di Yunnan, satu pun tidak ada daripada orang Melayu. Jadi tidak ada pun orang Melayu di situ.

"Di selatan China ada sedikit, kecil sahaja daripada Pulau Hainan, tetapi mereka adalah serpihan Champa (Kemboja) dan Vietnam.

"Di Taiwan pula ada sebilangan kecil rumpun Melayu," katanya pada sidang media pra-pelancaran Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 di Hotel Hilton di Petaling Jaya, semalam.

Pemenang Pingat Emas Penyelidikan dan Inovasi UPNM itu berkata, kewujudan Alam Melayu juga membuktikan peradaban manusia lebih awal daripada China yang hanya wujud sekitar 60,000 SM.

"Tamadun Eropah dan China agak kemudian, kerana kawasan itu diliputi salji tebal semasa zaman ais, jadi manusia tidak boleh duduk di situ," katanya.

Wan Hashim berkata, fakta itu sekaligus menjadikan masyarakat Melayu-Polinesia wujud sebagai tamadun manusia kedua tertua di dunia selepas Afrika.

"Teori lama (Geldern) dahulu hanya imaginasi sahaja. Dahulu (kita) tidak ada kepakaran, sebab itu kita terima sahaja," katanya.

"Jadi, tidak ada istilah orang Melayu itu pendatang. Mereka adalah pribumi," katanya.

Katanya, terdapat bukti menunjukkan kewujudan Benua Sunda yang menyambungkan beberapa negara Asia Tenggara dan bersaiz tiga kali ganda lebih luas daripada negara India.

Namun, sehingga 11,000 SM, akibat letusan gunung berapi Toba serta pencairan ais, benua itu tenggelam 100 meter ke dasar laut dan terpisah menjadi beberapa kepulauan.

Katanya, bukti serta penjelasan terperinci akan dibentangkannya dalam kertas kerja semasa kongres yang akan berlangsung di Dewan Matrade, Kuala Lumpur pada 28 dan 29 Oktober ini.

Wan Hashim yang juga bekas Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pernah membentangkan teori itu pada tahun 1994 dan menerbitkannya dalam buku "Rumpun Melayu: Teori Migrasi dan Diaspora".

Katanya, lanjutan hasil kajiannya juga akan dibukukan dalam "Asal Usul Melayu; Induknya di Alam Melayu" yang akan diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Perwakilan Gerakan daripada Johor Tan Lai Soon semasa Persidangan Perwakilan Nasional parti itu pada 19 Oktober lalu, mencetuskan kontroversi apabila mendakwa orang Malaysia semuanya adalah pendatang, kecuali Orang Asli dan pribumi Sabah dan Sarawak.

Tan dilaporkan berkata, bukan hanya orang Cina dan India sahaja pendatang, tetapi orang Melayu juga bukan Bumiputera kerana mereka berhijrah dari Indonesia.

"Melayu dan Orang Asli berasal daripada baka yang sama, bahasa mereka asalnya sama. (Perbezaan) Itu cuma pecahan. Itu cuma cakap politik sahaja," kata Wan Hashim ketika diminta mengulas teori dakwaan Tan.

Gerakan kemudian menggantung keahlian Tan pada 20 Oktober lalu dan memberi surat tunjuk sebab kenapa beliau tidak harus dipecat selaras dengan Fasal 17.2 Perlembagaan parti.

Timbalan Presiden Gerakan Datuk Dr Cheah Soon Hai berkata, keputusan dibuat Jawatankuasa Kerja Pusat walaupun pihaknya mengambil maklum permohonan maaf Tan.

"Ini bukan pendirian parti Gerakan. Kita semua rakyat Malaysia dan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang patut digelar 'pendatang' atau 'pendatang asing'," katanya dalam satu kenyataan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kasssim bagaimanapun tidak berpuas hati dengan hukuman Tan dan menggesa Putrajaya turut mengambil tindakan terhadap ahli Gerakan itu.

Shahidan dilaporkan berkata, Tan tidak patut dibiarkan melabel masyarakat Melayu sebagai kaum pendatang di negara ini kerana ia bercanggah dengan fakta sejarah mengenai hak kerakyatan seperti digariskan Perlembagaan Persekutuan.

Naib Presiden Isma Muhammad Fauzi Asmuni dalam responnya juga berkata, Melayu adalah perantau, dan bukannya pendatang seperti didakwa Tan.

"Jika beliau merujuk orang Melayu yang duduk di Malaysia sekarang ini datang dari Sumatera, Kepulauan Sulawesi, Kepulauan Borneo, maka dalam sejarah ia tidak dipanggil bangsa pendatang.

"Orang Melayu yang berhijrah dari kawasan tadi, kita gunakan istilah perantau," katanya. – 25 Oktober, 2014.

malaysian insider

Comments