Karya Sastera Penyelamat Keruntuhan Tamadun



Saya tertarik dengan artikel tulisan Ku Seman Ku Hussain berjodol "Era Keruntuhan Tamadun" yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia 2 November 2014.

Dalam artikel ini penulis mengupas ucaptama Prof. Ulung Dr. M. Kamal Hassan sempena Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) di Jitra, Kedah. Program anjuran Bina Darulaman Berhad dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) itu dihadiri oleh penulis dari seluruh negara. Antara yang disebutkan dalam ucaptama itu ialah  peranan penulis dalam berhadapan dengan globalisai dan modenisasi. Bukan kecil tugas itu di mana sasterawan atau penulis perlu keluar dari serkup keselesaan dan membina tembok penghalang agar masyarakat tidak selamanya terpesong oleh sihir globalisasi ini.

Hentaman pengaruh yang kuat adalah terhadap agama dan akal budi. Kita bukan berhadapan dengan pembaharuan tetapi berada dalam keruntuhan  tamadun. Ia berlaku bukan dalam skala kecil tetapi melangkaui batas negara dan sempadan.  Pemikiran baru yang terbawa oleh arus modenisasi melihat ke dalam acuan baru seperti liberalisme, konsumerisme, pemikiran, falsafah, budaya, politik, pendidikan, ekonomi, dan sebagainya. Seruan-seruan keadilan sosial misalnya  sudah dimabukkan oleh agenda baru yang sengaja diatur untuk memusnah dan meranapkan ketamadunan sesuatu bangsa atau negara. Keterbukaan yang dicanang dalam liberalisme boleh mereputkan keyakinan masayarakat terhadap sistem sosial yang sudah bertapak dan membuka amalan baru yang kononnya lebih adil dan demokratik. Seruan yang nampak indah dan manis sebenarnya berlapuk dengan kepentingan tertentu dan hasrat tertentu.

Apabila agama dipersoal dengan terbuka dan pelbagai falasi baru diperkenal ia menandakan bahawa kerapuhan zaman sedang melanda kita. Yang penting adalah kita harus kembali berpegang kepada sistem dan nilai yang sudah diterima meskipun dianggap kolot dan ketinggalan tetapi lebih menyeru ke arah  kehidupan yang harmonis. Peranan ini kembali diletakkan di bahu penulis dan karyawan dalam melentur kembali jiwa masyarakat ke arah kesedaran dan  upaya melawan kebobrokan modenisasi.

Tugas ini bukan mudah dan begitu kompleks untuk dilaksana. Sedang sastera itu sendiri menerima kesan yang tidak sedikit dalam pengaruh budaya dan masyarakatnya hasil ledakan globalisasi. Sastera berada di pinggiran dan tidak diyakini boleh merubah segala sistem yang ada. Sastera tidak diminati oleh golongan remaja dan menjadi mata pelajaran elektif dalam sistem pendidikan negara.  Meski pun sastera diperluas dalam KOMSAS ia tidak mampu memacu minat dan kecintaan mendalam terhadap sastera. Ia hanya menjadi fokus kepada menjawab kertas peperiksaan dan sesudah itu KOMSAS dilupakan.  Malah ada ketikanya inti karya sastera menjadi polemik yang tidak menyenangkan kononnya bertujuan untuk memghukum dan mengina suatu kaum. Terlalu banyak kesakitan yang ditempuh oleh sastera dan penulis dalam menghayun perjuangan ke arah menghalang rempuhan globalisasi.

Bagaiamana peranan menjadi jururawat masyakat yang diserukan oleh  Prof M Kamal Hassan? Merawat sosial yang sedang dilanda gelisah dan galau hasil hambatan pembaharuan dan pemodenan. Merawat dengan memberi vaksin sastera yang berjaya menyedarkan mereka untuk kembali ke landasan yang sepatutnya. Peranan yang bukan  mudah.


Tapi sastera tidak harus dilucutkan kemampuan dan keperkasaannya. Biar bagaimana pun ia dilorekkan warna oleh sejarah dan pembaharuan, sastera harus kembali menerpa mendepani zaman. Inilah hakikat yang harus dihadapi demi menyembuhkan sosial dan  menyakinkan kembali kepada mereka bahawa ketamadunan yang sudah terlentur sekian lama jauh lebih indah dari mimpi globalisasi, Seruan moral untuk rakyat kembali menghargai kedamaian, persefahaman, kerjasama. toleransi, dan hormat menghormati. Seruan politik untuk menyedarkan pemimpin tentang keadilan,  tanggungjawab, integriti dan kesetiaan. Seruan agama agar semua rakyat kembali kepada menghormati agama, perbezaan peraturan dan sistem beragama, serta tidak melanggar akan segala batas agama yang sudah lama terbina.  Seruan tanahair agar semua rakyat kembali kepada semangat dan roh kecintaan mendalam terhadap tanahair, sayang akan institusi yang sudah sekian lama menjadi  tiang seri keharmonian dan kehormatan negara. 

Sastera harus diberi ruang kembali untuk ditimba dengan yakin dan gigih oleh anak-anak dalam sistem pendidikan yang lebih transformatif. Ia mengambil masa yang panjang tetapi membangunkan generasi yang berkesempatan berinteraksi dengan karya-karya yang indah dan menghayati segenap sudut budaya, sosial, politik, dan ekonomi yang disarankan dalam karya sastera amat diperlukan. Tidak ada kepentingan lain untuk dilihat selain tujuan membina budaya kebersamaan, toleransi dan jati dii apabila sastera Melayu dibaca di semua sekolah. Ia bukan permainan ras tetapi sebagai bahasa kebangsaan pilihannya adalah Kesusasteraan Melayu menerusi novel, cerpen, sajak dan drama berbahasa Melayu.

Karya-karya yang mencetuskan inovasi, kreativiti, semangat, keluhuran budi, toleransi, kerjaama, dan persefahaman harus disajikan untuk pelajar sebagai memulakan usaha ini. Jangan ada pula karya terpilih kerana jenama penulis dan trend yang diperlukan tetapi  dipilih kerana memiliki senjata ampuh membendung dan menyelamatkan rakyat dari sihir globalisasi.

Kita harus memulakan semua ini dengan pantas....

Di bawah ini disiarkan artikel penuh tulisan Kuseman Ku Hussain :

ERA keruntuhan tamadun
Peranan besar golongan sasterawan dan penulis
Ku Seman Ku Hussain
02 November 2014 




Globalisasi yang dicanangkan pada dekad akhir abad ke-20 menandakan bermulanya keruntuhan tamadun dunia moden apabila budaya konsumerisme dan sekular Barat dalam lingkungan kapitalisme ekonomi serta sistem politik mencetuskan persaingan yang sengit terhadap aliran keagamaan. Dalam konteks negara ini, globalisasi telah menyumbangkan kepada keruntuhan akhlak yang semakin parah. Ironinya pada tahun 2020 negara ini mahu menjadi negara maju dalam acuan sendiri.

Ini kerana Malaysia tidak terlepas daripada dipengaruhi oleh racun ideologi pembangunan yang tanpa landasan kerohanian serta kegagalan memahami alam modenisasi tanpa bimbingan agama. Ini adalah antara simptom-simpton kegagalan sistem ideologi kapitalisme liberal yang menguasai kehidupan ekonomi politik.

Pada era keruntuhan tamadun dunia moden ini, golongan sasterawan dan penulis memikul tanggungjawab yang besar lagi berat untuk menyedarkan masyarakat tentang bahaya modenisasi yang diperagakan Barat sebagai acuan untuk membentuk budaya dunia. Maknanya sasterawan perlu keluar daripada diserkup dalam lingkaran zon selesa dan bangun menjadi tembok menghalang aliran masuk liberalisme kebaratan yang memusnahkan agama dan akal budi bangsa.

Demikianlah yang boleh dirumuskan daripada ucaptama Prof. Ulung Dr. M. Kamal Hassan sempena Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) di Jitra, Kedah minggu lalu. Program perdana yang dianjurkan oleh Bina Darulaman Berhad dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) itu dihadiri oleh penulis dari seluruh negara.

Dr. Kamal telah mengejutkan sesetengah dalam kalangan sasterawan dan penulis yang tertidur dengan alamnya yang terasing daripada sosiobudaya dan politik semasa, sama ada di peringkat tempatan atau antarabangsa. Malah beliau memberikan tanggungjawab dan tugas yang besar kepada golongan sasterawan dan penulis untuk membina pemikiran masyarakat berdepan dengan keruntuhan tamadun dunia moden ketika ini.

Peserta yang sejumlah 230 orang yang berkampung selama tiga hari dua malam di Darulaman Golf & Country Club di Jitra itu perlu menghatami ucaptama yang sangat komprehensif tentang peranan sasterawan dalam persaingan yang mencabar nilai-nilai agama dan budaya setempat. Dr. Kamal telah membuka satu dimensi baharu mencabar golongan sasterawan dan penulis menghasilkan karya sastera yang bukan sahaja bermutu tetapi membina dalam konteks nilai agama dan budaya.

Menurut Dr. Kamal, karya sastera memainkan peranan penting sebagai alat mengkritik keadaan sosial dan menyuntikkan semangat perjuangan kemerdekaan di Nusantara suatu waktu dulu dengan kelahiran gerakan kesusasteraan Angkatan 54 di Indonesia dan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) di negara ini. Perjuangan menuntut kemerdekaan Indonesia menjadi tugas utama sasterawan Indonesia seperti yang diperlihatkan dalam puisi-puisi Chairil Anwar.

Di Malaysia, karya sastera menjadi wacana penampilan hati nurani rakyat bermula dengan Angkatan Kaum Muda yang mendapat inspirasi daripada gerakan reformasi Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abdul dan Rashid Ridha di Mesir. Perjuangan menentang penjajah dengan menggunakan pena diteruskan oleh Burhanuddin al-Helmy, Ishak Haji Mohamad (Pak Sako), Zulkifli Mohamad dan Abu Bakar al-Baqir.

“Arus pemikiran politik menentang penjajah Inggeris tanpa kompromi dan kepedulian sosial ini dibesarkan pada era pasca merdeka oleh ASAS 50 dengan karya-karya oleh Masuri S.N, Usman Awang, Keris Mas, A. Samad Said dan lain-lain,” tegas Dr. Kamal.

Menurutnya, kepedulian terhadap aspek moral yang terpinggir dalam arus pembangunan ekonomi dan modenisasi negara sampai ke abad ke-21 yang disuarakan oleh gerakan-gerakan dakwah yang terdiri dalam kalangan belia dan pelajar. Bagaimanapun agak malang kerana suara-suara ini telah ditenggelamkan dengan pembanjiran karya sastera murahan serta aliran seni dalam filem dan muzik Barat yang menjurus kepada keseronokan dan kebendaan.

“Di Eropah nama Charles Dickens terkenal dengan novel-novel yang membawa mesej tentang ketidakadilan masyarakat. Dia percaya bahawa kesusasteraan mempunyai peranan etika dan politik, novel-novel dapat dijadikan sebagai pentas untuk melakukan reformasi sosial dan moral,” ujar Dr. Kamal sambil menyebut tentang sasterawan Najib Mahfuz yang memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan 1988 telah membangkitkan kesedaran rakyat terhadap politik dan sosial di Mesir.

Mengenai keruntuhan tamadun, Dr. kamal berkata, simptom keruntuhan itu diperlihatkan menerusi keruntuhan akhlak yang membawa kepada skandal-skandal besar dalam politik, ekonomi, kewangan serta perbankan yang belum pernah berlaku muncul pada akhir abad ke-20 dan awal abad ke-21. Fenomena negatif daripada liberalisme sekular memperlihatkan ketandusan moral dan etika dalam sistem kapitalisme.

Menurutnya, keruntuhan tamadun dalam bidang ekonomi ditunjukkan dengan berleluasanya amalan penipuan, penyelewengan serta riba dalam sistem perekonomian dan perniagaan, lebarnya jurang antara yang kaya dengan miskin serta skandal kewangan global yang berpunca daripada sistem kapitalisme yang tidak bermoral.

Sementara dalam dunia hiburan pula keruntuhan tamadun dapat dilihat dengan kebanjiran filem-filem Hollywood dan Bollywood, majalah serta bahan bacaan pop yang lucah di atas dasar kebebasan individu untuk mendapat keseronokan tanpa mempedulikan batasan agama dan tatasusila. Akibatnya rasa malu sudah hilang dan diganti dengan rasa bangga dan hebat apabila berada dalam arus budaya sekular ini.

“Selebriti dunia hiburan murahan mendapat sanjungan dan pujaan ramai. Kemodenan yang dipuja dan disebarluaskan oleh media Barat ialah kemodenan kebendaan yang menolak nilai-nilai luhur yang bersifat keagamaan dan kerohanian,” tegas Dr. Kamal.

Tambah beliau, karya kesusasteraan mencerminkan sebahagian daripada kepercayaan, keyakinan dan pandangan alam golongan sasterawan. Tetapi pandangan alam yang tidak memberi keutamaan kepada realiti metafizik dan kewujudan Allah atau prinsip-prinsip moral yang mutlak tidak akan membawa perubahan yang diperlukan.

“Penulis begini hanya mampu memaparkan realiti kehidupan seadanya tanpa menawarkan kritik yang positif untuk keluar daripada krisis-krisis moral itu. Hal ini berlaku kerana sangat bergantung kepada perspektif rasionaliti instrumental atau pengalaman peribadi yang empirikal semata-mata.”

Dr. Kamal juga menyeru kepada golongan sasterawan dan penulis supaya bersungguh-sungguh memainkan peranan sebagai jururawat masyarakat berpenyakit moral, jurubicara rakyat yang ditindas oleh kezaliman, jurunasihat tentang kebenaran kepada pemimpin, jurubina modal insan berakhlak mulia, jurutangkis idea-idea bahaya dari luar dan pendidik ke arah yang makruf aman dan damai.

utusan online

Comments