Seniman Menangis Siapa Tahu?




Penutupan Malay Filem Production (MFP) memberi kesan besar terhadap para penggiat seni yang sekian lama berkumpul dan berkarya di bumi Singapura itu. Malah kewujudan media baru seperti televisyen menjadi daya penarik baru yang tidak lagi membawa masyarakat ke panggung. 

Perubahan masa pembaharuan teknologi memberi kesan tersendiri terhadap nasib seniman yang tidak mengira siapa dan status apa. Namun mereka terus gigih berkarya dan mencipta dalam sarat cabaran dan rontaan pembaharuan yang semakin datang.

Kita hanya menatap mereka di layar perak. Gelak ketawa, tari dan nyanyi, sedih dan cinta. Rupanya semua itu terpaksa dibuat dalam sakit dan sukar. Demi sebuah karya seni demi masyarakat, mereka berkarya dalam segala kekurangan. Cabaran terus datang dan mereka menghadapnya dengan segala kekuatan. Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee di hujung usianya berdepan cemuhan dan segala payah. Media tidak menyebelahi. Pembaharuan muzik, perubahan sikap dan minat penonton, kesempitan bajet untuk pembikinan filem.... segala yang sukar itu datang.

Rupanya seniman dan karyawan yang selalu kita tatap banyak menangis dan berduka. Siapa tahu? Siapa peduli semua itu? . Kita hanya menatap dari layar yang indah, bukan dari sisi hidup mereka.


Al-Fatihah buat mereka yang pergi

Mari merenung sejenak sebagai iktibar dan pedoman tentang nasib seniman beberapa waktu dulu. Barangkali ia memberi kita lebih mengerti tentang cabaran baru, pembaharuan dan ilmu. Barangkali kita lebih mengerti akan nasib seniman ...


Mereka yang bertahan dalam lingkaran maut
Wartawan Sinar Harian
25 Mei 2014


STUDIO Malay Film Productions (MFP), Jalan Ampas, Singapura ditutup secara rasminya pada 30 November 1967. Mula beroperasi sejak 1947 selepas Perang Dunia Kedua dengan filem sulung mereka berjudul Singapura Di Waktu Malam arahan B.S. Rajhans.

Filem ini dibintangi barisan pelakon Siput Sarawak, Bachtiar Effendy dan Jaafar Wiryo.

Filem terakhir diproduksikan oleh MFP berjudul Raja Bersiong dalam warna Eastmancolor dan cinemascope arahan Jamil Sulong berdasar skrip karya Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia ketika itu.

Selepas penutupan studio MFP, antara tahun 1968 hingga tahun 1973 penghasilan filem-filem Melayu masih terus diusahakan oleh syarikat Cathay Keris juga berpusat di Singapura.

Di antara filem-filem terbitan Cathay Keris ialah filem-filem siri ‘Mat’ arahan Mat Sentol seperti Mat Bond, Mat Raja Kapor (1967), Mat Lanun (1968), Mat Toyol (1969), Mat Karong Guni (1970), Mat Magic (1971) dan Darakula (1973).

Mat Sentol merupakan pengarah yang produktif dan inovatif mengarahkan tujuh filem ketika zaman kemerosotan filem Melayu. Untuk menarik penonton, Mat Sentol banyak bereksperimen dengan special effect dan teknik animasi yang memberi kelainan kepada filem-filem arahannya.

Mat Sentol juga berjaya menjemput John Calvert, seorang ahli silap mata terkenal dari England yang berada di Singapura mengadakan pertunjukan ketika itu untuk berlakon dalam filem arahannya Mat Magic (1971).


Tetapi kelainan filem-filem Mat Sentol masih gagal menarik penonton ke panggung seperti pada era kegemilangan filem Melayu tahun 50an dan awal 60an. Apa pun Mat Sentol adalah pengarah filem Melayu dalam kelasnya tersendiri.

M Amin atau nama sebenarnya Muhammad Amin Ihsan (1924 – 2003) merupakan seorang lagi pengarah Cathay Keris yang terus berkarya walaupun kesuraman menyelubungi dunia filem Melayu.

Antara 1967 hingga 1973 M Amin mengarah lebih kurang 13 filem berbagai genre sebelum beliau berpindah ke Merdeka Studio, Ulu Kelang pada 1974. Di antara filem-filem arahan beliau ketika di Cathay Keris (jumlah ini tidak termasuk filem-filem arahan awal beliau sebelum 1967) ialah Dosa Wanita (1967), Pop Muda (1968), Srikandi (1969), Sial Wanita (1969), Puaka (1970), Jahanam (1971), Satu Titik Di Garisan (1972) dan filem terakhirnya dengan Cathay Keris, Hati Batu (1973). M Amin hanya mengarah tiga filem di Merdeka Studio.

Filem-filem Penyamun Si Bongkok, Satu Penentuan dan Pertiwi dalam masa setahun 1974.

Seorang lagi pengarah Cathay Keris yang terus mengarah ketika zaman kejatuhan filem Melayu itu ialah Nordin Ahmad (1932 – 1971). Antara 1967 hingga 1971, beliau mengarah enam filem berjudul Playboy (1967), Kekasih (1968), Simurai (1968), Nafsu Belia (1969), Keranda Berdarah (1969), Lobang Neraka (1970) sebelum meninggal pada usia baharu 39 tahun kerana mengidap demam kuning.

Ada juga bekas pelakon MFP menerbitkan filem secara independant selepas penutupan studio MFP Jalan Ampas. Pelakon Ahmad Mahmud pernah menerbit dan mengarahkan filemnya sendiri berjudul Di Antara Dua Nesan (1968).

Filem ini menggunakan format penggambaran 16mm untuk di blowup ke 35mm. Filem ini tidak ditayangkan di panggung kerana mutunya rendah. Apa pun filem Di Antara Dua Nesan boleh dianggap sebagai filem indie Melayu pertama dihasilkan. Satu keberanian yang luar biasa daripada pelakon dan pengarah Ahmad Mahmud. Salut!

Sementara itu di Kuala Lumpur, antara 1967 hingga 1978 syarikat Merdeka Film Productions masih lagi menerbitkan filem yang diarahkan oleh P Ramlee, S Kadarisman, Omar Rojik, Naz Achnas, Diresh Ghosh dan Jamil Sulong. Tiga tahun sebelum MFP ditutup P Ramlee berpindah dari studio Jalan Ampas, Singapura ke Merdeka Studio Ulu Kelang pada 1964.

Studio MFP di Singapura terpaksa ditutup kerana masalah mogok pekerja menuntut kenaikan gaji. Ditambah dengan kemerosotan dari segi sambutan penonton dan kutipan filem-filem Melayu ketika itu.

Filem-filem Melayu baik terbitan MFP mahupun Cathay Keris mula tidak mendapat sambutan penonton. Salah satu sebabnya adalah kerana kemunculan televisyen.

Televisyen dilancarkan pada 1963 di Malaysia dan menjadi kegilaan ramai.


Program-program televisyen menjadi medium alternatif kepada rakyat. Televisyen memberi satu bentuk hiburan baharu kepada rakyat negara ini. Mereka tidak perlu bersusah payah ke panggung untuk mencari hiburan.

Hiburan datang secara mudah ke ruang tamu rumah mereka baik di bandar atau di kampung.

Syarat utama yang perlu ada ialah kemudahan bekalan elektrik di kawasan-kawasan pinggir bandar dan kampung-kampung.

Selain pengaruh televisyen, tidak dapat dinafikan filem-filem Melayu keluaran tahun-tahun selepas penutupan MFP sememangnya jauh ketinggalan dari segi idea, cerita dan teknik penggambaran terkini masa itu.

Tahun awal 70an merupakan era kejatuhan dan kemuraman filem-filem Melayu selepas melalui era kegemilangan pada tahun-tahun 50an sehingga 60an.

Saingan dari filem-filem keluaran Hollywood, Bollywood (masa itu belum ada ungkapan Bollywood hanya dikenali filem Hindustan), filem-filem Hong Kong dan Indonesia ditayangkan di negara kita semuanya dalam warna dan bentuk bidang luas dikenali sebagai cinemascope.

Filem-filem Melayu pasca penutupan studio MFP, Jalan Ampas sama ada yang dihasilkan oleh Cathay Keris mahupun Merdeka Studio masih lagi dalam bentuk hitam putih. Ini merupakan salah satu sebab kurangnya minat orang menonton filem-filem Melayu.

Aku melihat kejatuhan dan merudumnya filem-filem Melayu ketika itu berkait rapat juga dengan sikap dan jati diri bangsa Melayu sendiri. Walaupun pendapat aku ini bukan berdasarkan kajian ilmiah tetapi lebih kepada pengamatan aku terhadap suasana kehidupan yang aku lalui pada zaman remajaku ketika itu.

Rata-rata orang-orang Melayu baik remaja dan dewasa bila ditanya sama ada mereka tonton filem Melayu atau tidak akan berasa bangga memberi jawapan – "I tak tengok filem Melayu" atau "I tak minatlah filem Melayu".

Sikap ini ketara pada golongan Melayu kelas menengah dan atasan terutamanya yang berpendidikan Inggeris.


Golongan ini juga merupakan kelompok masyarakat Melayu yang ada kekuatan ekonomi. Mereka lebih berkemampuan untuk menonton dibandingkan dengan golongan marhaen. Sehingga hari ini sukar aku mentafsirkan kenapa mereka bersikap begitu.

Aku masih lagi berjumpa orang-orang Melayu yang bersikap begini sekarang. Aku berani membuat kesimpulan bahawa keadaan sebegini masih belum berubah. Kenapa?

Aku juga berlatar belakangkan pendidikan Inggeris tetapi aku tonton juga filem Melayu, di samping menonton filem-filem barat pada zaman remaja dan sehingga sekarang. Ketika itu aku tidak terfikir untuk menjadikan bidang filem ini sebagai kerjaya masa depan aku.

Sejujurnya aku katakan walaupun aku tahu filem-filem Melayu ketika itu ‘teruk’ tetapi aku tetap menonton kerana pada aku apa yang dipaparkan dalam filem-filem itu aku faham dan dekat dengan diri aku baik secara fizikal, mental dan paling penting spiritual.

Ini pendapat peribadi aku dari dulu hingga sekarang. Muktamad.

Untuk berlaku adil kita perlu akui bahawa sememangnya saingan filem-filem luar memang tidak mampu ditandingi oleh pengarah-pengarah kita terutama dari aspek teknikal dan modal.

Filem sebagai satu produk dalam sistem ekonomi kapitalis yang mengutamakan keuntungan terpaksa berdepan dengan persaingan untuk menarik pembeli (baca penonton).

Jika ada pihak dengan modal lebih besar boleh menghasilkan produk lebih ‘gempak’ maka kita tidak boleh menyalahkan pembeli (penonton) lebih tertarik kepada produk pesaing kita.

Objektif utama pemodal adalah mengaut sebanyak mungkin keuntungan.

Masalah pembikin filem Melayu dahulu dan sekarang pembikin filem Malaysia adalah sama - kita berdepan dengan satu vicious circle – lingkaran maut!

Seniman Agung P Ramlee merupakan ‘panglima’ paling handal dalam gelanggang filem Melayu juga tumpas di penghujung hayatnya ditelan oleh lingkaran maut ini!

Pembikin filem kita sekarang, bagaimana?

sinar harian


Ahmad Nisfu: Nasib seniman Malaysia
 Oleh Melati Pusaka

September 1, 2013

P. Ramlee memanggilnya Pak Besar kerana lubang hidungnya yang besar. Tagline ini yang membuatkan Ahmad Nisfu terkenal.

Sebut sahaja Ahmad Nisfu, semua orang kenalinya kerana dia sering muncul dalam filem-filem arahan P. Ramlee. Tetapi di akhir hayat, beliau meninggal dunia tanpa isteri dan keluarga.

Itulah nasib seniman Malaysia. Kalau di Hollywood, Tan Sri P. Ramlee sudah jadi jutawan tetapi di Malaysia, P. Ramlee sebagai pengarah, pelakon, penyanyi dan pencipta lagu hidup miskin. Kalau pelakon watak utama seperti P. Ramlee hidup miskin, apatah lagi pelakon pembantu seperti Ahmad Nisfu.

Ahmad Nisfu berasal dari Tanjong Tokong, Pulau Pinang pada awalnya ialah seorang pelakon bangsawan dan telah dilamar oleh Shaw Brothers untuk terlibat sama dalam produksi sebagai pelakon filem.

Di sini bermulalah kerjaya Ahmad Nisfu sebagai pelakon filem. Walaupun memegang watak-watak yang kecil, Ahmad Nisfu dikatakan adalah seorang yang sentiasa bersyukur walaupun upah yang diterimanya adalah terlalu kecil.

Hakikatnya, wang saku yang diperoleh digunakan untuk menyara dirinya sahaja kerana Ahmad Nisfu adalah seorang yang sebatang kara, tiada saudara mara, keluarga dan juga isteri.

“Walaupun rupa mu tidak ku kenal, tetapi lubang hidungmu tetap menjadi pujaan hati ku.” Ini adalah petikan dialog Aziz Sattar dalam filem Seniman Bujang Lapok yang ditujukan kepada tuan director lakonan Ahmad Nisfu.

Tagline ini yang membuatkan Ahmad Nisfu terkenal. Malah P. Ramlee memanggilnya Paq Besaq (Pak Besar) kerana lubang hidungnya yang besar.

Teman rapat

Menurut arwah Norizan bekas isteri P. Ramlee (dalam satu rancangan tv), Ahmad Nisfu merupakan antara teman rapat kepada P. Ramlee.

Buktinya cukup nyata apabila sewaktu kemeriahan studio Jalan Ampas dahulu, setiap filem arahan P. Ramlee, Ahmad Nisfu boleh dikatakan kerap terlibat sama dan memegang watak agak besar. Gelaran Paq Besaq (Pak Besar) juga telah diberikan kepada Ahmad Nisfu oleh P. Ramlee kerana lubang hidung Ahmad Nisfu yang besar.

Pada tahun 1959, Ahmad Nisfu muncul dalam filem Nujum Pak Belalang sebagai Raja. Dalam filem ini P. Ramlee yang menyindir raja yang zalim yang sanggup menghukum Pak Belalang jika dia gagal membawa pulang mahkotanya yang hilang. Pak Belalang berkata kalau mahu ambil mahkotanya di dalam gua, maka Raja kena masuk merangkak ke dalam gua. Itulah sindiran P. Ramlee kepada raja.

Pada tahun yang sama, Ahmad Nisfu berlakon sebagai raja juga dalam filem Musang Berjanggut. Dalam Pendekar Bujang Lapok, (1959), Ahmad Nisfu jadi ketua samseng.

Beliau bukan sahaja boleh berlakon dalam filem komidi malah beliau juga muncul dalam filem serius seperti Antara Dua Darjat (1960) sebagai bapa Saadiah yang tidak mahu Saadiah berkahwin dengan bukan keturunan Tengku.

Dalam filem Seniman Bujang Lapok (1961), Ahmad Nisfu berlakon sebagai pengarah filem yang pengsan gara-gara P. Ramlee, Aziz Sattar dan S. Shamsuddin yang menjadi pelakon.

Ahmad Nisfu memegang watak kecil dalam Ibu Mertuaku (1962) yang menjadi promoter kepada Kassim Selamat mengelilingi Malaya.

Pada tahun 1964, beliau muncul dalam filem Tiga Abdul sebagai bapa mertua yang mahu membolot harta P. Ramlee tiga beradik. Manakala dalam filem Madu Tiga, beliau menjadi bapa mertua kepada P. Ramlee yang menyokong tindakan menantunya berpoligami.

Kombinasi Ahmad Nisfu dengan P. Ramlee dalam filem-filem lakonannya menjadi. Jika watak itu diserahkan kepada orang lain, mungkin Madu Tiga, Tiga Abdul, Nujum Pak Belalang tidak sehebat mana.

Lakonannya berkesan

Selepas Studio Jalan Ampas tutup, Ahmad Nisfu muncul dalam filem-filem terbitan Cathay Keris iaitu Dua Kali Lima (1966), Bunga Tanjung (1966), A Go Go 67 (1967), Filem Puaka (1970) dan Mat Karung Guni (1971). Tetapi ternyata lakonannya paling berkesan dalam filem-filem arahan P. Ramlee.

Selepas penutupan Studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu menghabiskan masa dengan beramal di masjid di kawasan beliau tinggal dan juga di sekitar studio Jalan Ampas.

Ahmad Nisfu dikhabarkan seorang yang pandai mengaji Al-Quran. Beliau juga merupakan seorang bilal di masjid di tempat beliau menetap dahulu.

Penutupan Studio Jalan Ampas, menyebabkan beliau tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hidup dengan bantuan ehsan dari orang ramai. Kerana tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hanyalah menetap di Kubu Jepun (pillbox) di Jalan Labu, Singapura.

Di situlah juga tempat Ahmad Nisfu menghembuskan nafas terakhirnya dan dalam keadaan yang sungguh daif tanpa saudara mara, ahli keluarga dan isteri.

Ahmad Nisfu juga pernah menjadi imam di Masjid Onan Road (sudah tiada lagi – tapaknya diambil oleh Muslim Convert Association).

Mungkin kerana keuzuran dia tidak lama menjadi imam disitu. Saperti sudah berputus asa, dia hidup berteduh di kubu Jepun di Jalan Labu tidak jauh dari Masjid Aminah di Jalan Nanas off Geylang Serai.

Lama juga dia tinggal bersendirian disitu di bawah ikhsan orang kampung sekeliling. Tidak lama kemudian dia meninggal, setelah beberapa lama hidup sebatang kara dalam penuh kedaifan.

Alfatihah buat Ahmad Nisfu.

fmt


M Amin: Pengarah filem yang berkaliber
Oleh Melati Pusaka
August 4, 2013

Beliau gagal di 'screentest' untuk jadi pelakon di sebelah pagi tetapi di sebelah petang beliau ditawarkan menjadi pelakon tambahan.

Pada minggu lepas, saya telah menulis tentang pelakon terkenal Nordin Ahmad. Seorang pembaca Boon Chai Loh yang membaca tulisan tersebut telah meminta saya menulis tentang pengarah filem, M. Amin.

Di atas permintaan ini, saya cuba menggali sejarah penglibatan M. Amin dalam industri seni ini.

Perginya M. Amin atau nama sebenarnya Mohammad Amin bin Haji Iksan mengadap yang Maha Esa pada subuh 8 Januari 2003 ketika berusia 78 tahun, bererti sebutir lagi bintang yang menerangi dunia perfileman Malaysia hilang.

Di lahirkan di Kuala Kangsar, Perak pada 1 September 1925, M. Amin boleh dianggap sebagai pengarah filem setanding dan sebaris dengan P. Ramlee, S. Roomai Noor, Jamil Sulong, Salleh Ghani dan Omar Rojik, setelah kejayaannya menempuh berbagai-bagai halangan dan rintangan.

Ramai sudah sedia maklum, M. Amin merupakan pengarah filem yang tidak kurang hebatnya seangkatan dengan P. Ramlee, S. Roomai Noor, Jamil Sulong, Hussain Haniff, Salleh Ghani, Omar Rojik, S. Kadarisman dan S. Sudarmadji.

Ramai juga sedia mengetahui, siapa sebenarnya M. Amin sebelum dia menerjuni ke persada perfileman yang berpusat di Singapura ketika itu.

M. Amin mula bertugas sebagai guru pelatih selama sebulan di Sitiawan, Perak zaman pemerintahan Jepun. Selepas Perang Dunia Kedua dia berkhidmat dalam pasukan polis (menggunakan nombor 4511) sebagai guru undang-undang (school inspector) di Polis Depoh, Kuala Lumpur selama 4 tahun dari tahun 1946 hingga 1950.

Oleh kerana jawatan anggota polis tidak begitu secucuk dengan jiwanya, dan M. Amin pula telah melakukan sedikit kesalahan dia dibuang kerja.

Kemudian dia mengambil keputusan pergi ke Singapura bertujuan untuk memohon kerja sebagai kelasi kapal. Tidak terlintas dihatinya untuk menjerumuskan diri ke dunia filem.

Bagaimanapun, setelah membaca majalah “Mutiara”, M. Amin menghantar surat dan gambar memohon menjadi pelakon dengan Malay Film Productions (MFP) dan kemudian dipanggil menghadiri screen test.


Kelasi kapal

Keadaan menjadi kelam kelibut sedikit apabila M. Amin kena screen test jam 10 pagi di Jalan Ampas dan kemudian pada pukul 2 petang pula dia harus pergi untuk interview sebagai kelasi kapal.

Begitu pun juga, M. Amin gagal di ‘screen test’. Oleh kerana interview menjadi kelasi kapal bermula jam 2 petang, dia berjalan-jalan dan melihat orang sedang membuat penggambaran filem di halaman studio Jalan Ampas, dan pengarah filem yang sedang membuat penggambaran ketika itu, L. Krishnan.

Semasa M. Amin pergi ke gerai yang berdekatan dengan studio tersebut untuk bersarapan pagi, tiba-tiba datang seorang krew filem berkenaan. Dia sendiri pun tidak tahu apa jawatan krew filem itu. Lalu dia mengenalkan dirinya dan menegur M. Amin dengan sopan dan bertertib.

“Bung (bahasa Indonesia bererti saudara)…, saya penolong pengarah filem yang sedang menjalani penggambaran sekarang ini, mahukah Bung berlakon?”

M. Amin terkejut dan bercampur hairan dengan pelawaan itu. Dengan tiba-tiba saja orang mempelawanya berlakon filem, sedangkan screen test yang dijalankannya sebentar tadi pun dia didapati tidak lulus. M. Amin hanya senyap dan membisu saja. Tidak tahu apa yang mahu dicakapkannya.

Orang itu bertanya lagi, “mau tak?” M. Amin masih terpinga-pinga macam tidak percaya dengan pelawaan tersebut. “Betul…, saya pelawa Bung berlakon filem,” sambung orang itu setelah melihat dia masih tidak berkata apa-apa.

M. Amin lantas menjawab, “boleh…, boleh jugak. Tapi, jam 2 petang ini saya ada interview kerja kelasi kapal”. Orang itu menjawab, “sekejap saja. Tak sampai jam 2 dah habis”.

Orang yang beria-ia mempelawa M. Amin berlakon ialah S. Sudarmadji, yang menjadi penolong pengarah filem kepada L. Krishnan.

Lalu M. Amin di bawa dan diperkenalkan kepada L. Krishnan, dia diberi peranan kecil dalam filem “Bakti” (1950) yang dibintangi oleh P. Ramlee, Kasma Booty, S. Roomai Noor dan Siput Serawak.

Setelah disolek dan diberi sedikit dailog, dia pun diajar cara-cara berlakon dan penggambaran pun dijalankan.

Masa depan

Adegannya, ketika S. Hamid (P. Ramlee waktu kecil) beramai-ramai menyanyikan lagu “Sate”.

Waktu tengahari, penggambaran diberhentikan kerana waktu makan dan peranan yang dibawakan M. Amin masih lagi tinggal beberapa syot lagi yang belum diambil. Ia akan disambung semula selepas waktu makan.

M. Amin segera pergi berjumpa S. Sudarmadji dan memberitahu dia terpaksa pergi interview kelasi kapal. Dia tidak dapat tunggu kerana pekerjaan itu penting demi hidup masa depannya.

“Biasalah…”, macam sekarang juga, S. Sudarmadji menggelabah dan kelam kabut. Dia membawa saya berjumpa L. Krishnan sekali lagi,” jelas M. Amin. L. Krishnan termenung seketika, memikirkan perkara ini kerana syot-syot close-upnya belum lagi diambil.

L. Krishnan mencadangkan kepada M. Amin tidak payah pergi interview sebagai kelasi kapal, sebaliknya dia membawanya berjumpa Shaw Vee Ngok, pengurus Shaw Brothers ketika itu, supaya M. Amin diberi sebarang pekerjaan memandangkan dia mempunyai pelajaran yang baik dan penggambaran yang melibatkannya masih belum selesai.

Shaw Vee Ngok bersetuju memberi pekerjaan kepada M. Amin sebagai kerani, penterjemah skrip-skrip yang ditulis dalam bahasa Inggeris oleh pengarah-pengarah India ke dalam bahasa Melayu dan tugasnya yang paling besar, mengajar pelakon-pelakon di studio Jalan Ampas menulis dan membaca di sebelah malam.

Ini kerana kebanyakan pelakon ketika itu orang-orang bangsawan yang tidak boleh menulis dan membaca. Oleh yang demikian, bermulalah satu penghidupan baru kepada M. Amin di studio Shaw’s MFP, di Jalan Ampas.

Filem “Kembar” (1950) merupakan filem pertama M. Amin diambil berlakon oleh pengarah S. Ramanathan sebagai hero di samping Mariam yang menjadi heroinnya.

Ini merupakan filem pertama S. Ramanathan yang tidak mengambil P. Ramlee sebagai hero sebagaimana L. Krishnan menyerahkan peranan hero kepada P. Ramlee dalam “Bakti”.

Bermula satu lagi penghidupan dan pengalaman hidup M. Amin. Dia sudah menjadi pelakon dengan memegang peranan hero pula – satu peranan yang di luar jangkaannya sendiri boleh berlaku.

Keras macam kayu

Di pertengahan penggambaran filem “Kembar” itu, M. Amin menerima satu cabaran dan tamparan yang paling hebat. Dia hampir-hampir putus harapan dan kecewa untuk meneruskan penggambaran filem tersebut.

M. Amin terdengar orang bercakap-cakap ketika dia berada di dalam bilik persolekan. Ada beberapa orang krew di studio itu mengutuk dan menghina lakonannya dengan kata-kata, “orang kampung nak jadi hero filem”, “lakonan keras macam kayu” dan bermacam-macam lagi penghinaan.

M. Amin begitu sedih dan malu. Dia berfikir panjang mengenai hal itu. Akhirnya dia mengaku dan menyedari yang lakonan memang keras macam kayu, tidak ada seni lakonan. Dia juga mengakui, tidak ada langsung asas dalam bidang lakonan sebelum ini.

M. Amin kemudian meluahkan hasratnya untuk berhenti menjadi pelakon dan pekerjaan di studio Jalan Ampas yang didengari oleh Kasma Booty yang merupakan primadona filem Melayu yang cukup popular pada masa itu.

Mendengarkan keluhan hati M. Amin itu, Kasma Booty memujuknya dengan berbagai cara dan berkata, “Bung…, Bung mempunyai bakat besar dalam filem. Jangan berhenti.

“Lagi pun, kalau Bung berhenti siapa yang akan mengajar pelakon-pelakon yang sudah pandai sikit-sikit menulis dan membaca?”

M. Amin termenung dan berfikir. Dia menjadikan kata-kata Kasma Booty, “jadikan kata-kata penghinaan mereka sebagai cabaran dan peransang untuk Bung terus maju. “Pedulikan dengan kutukan tersebut”, sambung Kasma Booty lagi.

Kata-kata hikmat dan peransang Kasma Booty itulah memberi satu impak dalaman kepada M. Amin. Dengan itu, dia pun meneruskan kerjaya filemnya dan tidak jadi berhenti.

Bagaimana pun, selepas “Kembar” M. Amin tidak lagi diberi peranan hero tetapi lebih kepada sebagai pelakon tambahan dan pembantu. Filem-filemnya di Shaw’s MFP, Bakti, kembar, Dewa Murni, Pembalasan, Sejoli, Juwita, Aladdin dan Antara Senyum dan Tangis.

Selain “Kembar”, hanya “Antara Senyum Dan Tangis” M. Amin mempunyai peranan yang boleh dianggap berat, yang lain hanya sebagai pelakon tambahan saja.

Pengalaman baru

Setelah berkhidmat selama dua tahun di Shaw’s MFP, pada tahun 1952 M. Amin beralih angin Ke Cathay’s Keris Film. Ini pun atas nasihat beberapa orang kawan dan ingin mencari pengalaman baru bekerja di syarikat filem lain.

M. Amin berlakon dan juga diberi tanggungjawab sebagai penolong pengarah kepada beberapa orang pengarah yang sedia ada di studio tersebut. Di situ, dia tidak banyak menerima rintangan atau menghadapi cabaran sebagaimana yang ditempuhinya di Shaw’s MFP.

Apabila Hussain Haniff dilantik sebagai pengarah filem “Hang Jebat”, M. Amin diminta oleh Hussain Haniff menjadi penolong pengarahnya dan juga turut berlakon membawa peranan Hang Tuah. Bagaimanapun sebelum itu, dia menjadi penolong pengarah bersama A.B. Rahim untuk “Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang” (1961) arahan K.M. Basker.

Di peringkat awal, M. Amin bukan pemegang karekter Hang Tuah, sebaliknya berperanan sebagai Sultan Melaka. Peranan Hang Tuah telah diberikan kepada pelakon yang tidak kurang handalnya, Mahmud June.

Setelah Hussain Haniff dan beberapa pegawai Cathay’s Keris Film berbincang semula mengenai perwatakan dan fizikal Hang Tuah, setelah berkunjung ke makam Hang Jebat di Melaka (berdasarkan pandangan penjaga makam), watak Hang Tuah sangat menepati perwatakan M. Amin yang tinggi dan pendiam.

Sedangkan Mahmud June yang pada mulanya mahu diserahkan watak tersebut, kurang sesuai kerana rendah, raut wajahnya yang bengis, walaupun mempunyai pengetahuan ilmu persilatan.

Masalah besar yang dihadapi M. Amin, bersilat. Dia tidak pandai bersilat. Oleh yang demikian dia dan beberapa rakan yang lain belajar ilmu persilatan dari seorang guru silat di Singapura di sebuah gelanggang pada sebelah malam.

Apa yang menjadi peristiwa pahit di sini tentang perwatakan Hang Tuah itu sendiri. Dia menerima tohmahan, tekanan dan fitnah, disebabkan karekter Hang Tuah berpindah dari Mahmud June ke M. Amin. Bagaimanapun, Hussain Haniff memberi semangat dan perangsang kepadanya.

Akhirnya “Hang Jebat” berjaya dengan corak dan gaya arahan Hussain Haniff. Penekanan perwatakan Hang Tuah yang dibawa oleh M. Amin begitu terserlah, dan filem tersebut mendapat pujian dan juga sambutan box office.

Sebelum menjadi pengarah filem, boleh dikatakan setiap filem Cathay’s Keris Film M. Amin ada berlakon. Kalau tidak besar, kecil, kalau tidak banyak, sedikit.

Pengarah filem

Antaranya, Buloh Perindu, Nafsu, Terang Bulan di Malaya, Tangisan Ibu, Pertarohan, Irama Kaseh, Mutiara Dari Malaya, Selamat Hari Raya, Selamat Tinggal Kekasehku, Adam, Azan, Dondang Sayang, Pontianak, Virgin of Borneo, Orang Minyak, Selendang Delima, Serangan Orang Minyak, Orang Lichin, Raden Mas, Rasa Sayang Eh, Pak Pandir Moden, Che Mamat Parang Tumpol, Sultan Mahmood Mangkat Dijulang, Hang Jebat, Siti Zubaidah dan Dang Anom.

Beliau turut membintangi satu-satunya filem keluaran Shah Film (H.M. Shah), “Kaseh Menumpang”, bersama S. Roomai Noor, Mislia dan Shariff Medan.

Setelah sekian lama menjadi penolong pengarah kepada beberapa pengarah filem, akhirnya Tom Hodge, Pengurus Cathay’s Keris Film, setelah melihat bakat yang tersembunyi dalam diri M. Amin, memanggilnya ke pejabat untuk berbincang mengenai pelantikannya sebagai pengarah filem.

“Kalau Tuan ada kepercayaan pada saya, saya cubalah,” kata M. Amin kepada Tom Hodges.

M. Amin rasa begitu terharu, dan dia diminta mengemukakan beberapa skrip filem untuk dinilai oleh ahli panel penilaian skrip. Dia menghantar dua naskah skrip filem – “Lanchang Kuning” dan “Chuchu Datok Merah”.

Skrip “Lanchang Kuning” dan “Chuchu Datuk Merah” diluluskan. dan M. Amin memilih “Lanchang Kuning” sebagai filem arahannya yang pertama.

M. Amin bertungkus lumus membuat persediaan awal dan memilih barisan pelakon yang akan membintangi filem pertamanya itu berdasarkan karyanya sendiri. Dengan itu, tersenarailah Noordin Ahmad dan Latiffah Omar sebagai hero dan heroine dengan dibantu pelakon-pelakon lain bagi memantapkan lagi filem tersebut termasuk Haji Arshad yang buat pertama kalinya diserahkan sebagai leading crook.

Penggambaran filem “Lanchang Kuning” berjalan lancar, walaupun ada suara-suara sumbang dan kurang sedap didengar yang mempertikaikan kebolehan M. Amin menerajui kerusi pengarah filem sehingga selesai penggambaran.

Terjadi lagi fitnah terhadap M. Amin, kononnya filem yang diarahkannya itu tidak boleh disunting (diedit), dengan lain istilah sekarang sebagai hancur.

Oleh yang demikian, tanpa pengetahuan sesiapa pun dia berpakat dengan penyunting filem (P.V. John) supaya kerja-kerja penyuntingan dilakukan pada sebelah malam dan tidak seorang pun dibenarkan bersama melainkan penyunting filem dan dirinya saja.

Reputasi kerjaya

Fitnah ini tidak benar, hanyalah disebarkan untuk menjatuhkan reputasi kerjayanya saja. Kerja-kerja pasca penerbitan “Lanchang Kuning” akhirnya siap sepenuhnya. Pada diri pengarah lain mungkin mereka gembira, tetapi berlainan dengan sikap M. Amin. Dia merasa gementar dan takut, seakan-akan malu pun ada walaupun diyakini oleh P.V. John yang memberitahu, ia mempunyai keistimewaannya yang tersendiri.

M. Amin masih tidak yakin dengan penjelasan P.V. John itu selagi “Lanchang Kuning” tidak di tayangkan di panggung wayang dipertontonkan kepada orang ramai. Dia memerap di rumah, bersembunyi dan tidak datang kerja hampir sebulan.

Akhirnya, filem “Lanchang Kuning” pun ditayangkan kepada umum dengan membawa kejayaan besar dan menguntungkan pihak Cathay’s Keris Film.

Hal ini tidak diketahuinya, sehinggalah pada suatu malam kereta majikannya, Loke Wan Tho, dihantar untuk menjemput M. Amin ke satu majlis di studio. Dia bertanya kepada pemandu kereta, tetapi dia hanya kata tidak tahu majlis apa, dia cuma disuruh menjemput dan membawanya ke sana.

M. Amin tidak berlengah lagi dengan berpakaian serba ringkas saja menaiki kereta itu. Semasa kereta itu dalam perjalanan, di dalam hatinya berkata, “inilah malam terakhir aku bekerja di Cathay’s Keris Film. Habis dan tamatlah kerjaya aku sebagai orang filem. Lepas ni, aku terpaksa balik kampung”.

Setibanya dia di studio, M. Amin melihat ramai orang termasuklah pegawai-pegawai kanan Cathay’s Keris Film, para pelakon dan tuanpunya Cathay’s Keris Film, Loke Wan Tho. Dia masih gementar dan takut-takut. Loke Wan Tho datang merapati dan menghulur tangan padanya.

M. Amin masih tidak faham apa-apa. Dalam pada itu di benaknya masih memikirkan, adakah salam yang dihulurkan oleh Loke Wan Tho itu sebagai salam terakhir dan dia akan diberhentikan kerja. Dia bertambah bingung.

Tiba-tiba terkeluar dari mulut Loke Wan Tho perkataan tahniah, dan M. Amin masih tidak mengerti. Loke Wan Tho memberitahunya, filem “Lanchang Kuning” mendapat sambutan box office dan dia dipersilakan duduk bersebelahan Loke Wan Tho.

Barulah rasa gementar dan takut itu mulai reda dan mendapat tepukan gemuruh daripada semua yang hadir. Kemudian para hadirin, seorang demi seorang datang bersalaman kepadanya, mengucapkan tahniah. Dengan kejayaan filem tersebut, M. Amin diberi tanggungjawab dan kepercayaan mengarah dari sebuah filem ke sebuah filem yang lain sehinggalah Cathay’s Keris Film menghentikan mengeluarkan filem Melayu pada tahun 1972.

Antara filem-filem yang diarahkan oleh M. Amin di Cathay’s Keris Film, Lancang Kuning, Chuchu Datok Merah, Tajul Ashikin, Ayer Mata Duyong, Rumah Itu Dunia Aku, Panglima Besi, Mata dan hati, Muda Mudi, Patong Chendana, Ikan Emas, Gurindam Jiwa, Anak Dara, Dua Kali Lima, Dosa Wanita, Pop Muda, Sri Kandi, Keris Mas, Sial Wanita, Keranda Berdarah, Aku Mahu Hidup, Puaka, Jahanam, Semusim Di Neraka, Satu Titik Di Garisan, Semangat Ular, Harimau Jadian dan Hati Batu.

Pindah ke Kuala Lumpur

Apabila Cathay’s Keris Film ditutup pada tahun 1972, M. Amin pindah ke Kuala Lumpur dan berkhidmat pula dengan Merdeka Film Productions. Bagaimanapun, dia hanya mengarahkan tiga filem saja – “Penyamun Si Bongkok” (1974), “Satu Penentuan” (1974) dan “Pertiwi” (1974).

Selain itu, M. Amin sempat juga berlakon di studio tersebut satu filem di bawah arahan Nas Achnas, “Rahsia Hatiku” yang dibuat penggambarannya dalam color (sebagai percubaan) berlakon bersama Sharifah Hanim, Mariati Abdul Rahman dan Maznah Ahmad.

M. Amin juga pernah berkhidmat dengan Gaya Film dan Solid Gold dengan mengarah beberapa drama tv dan dokumentari.

Di Sabah Film Production pula M. Amin sempat mengarah tujuh filem – “Hapuslah Air Matamu”, “Pendekar”, “Kisah Seorang Biduan”, “Sumpah Semerah Padi”, “Bertunang”, “Manis-Manis Sayang” dan “Di Ambang Kasih”.

Selain itu, M. Amin turut terlibat dengan filem, Johnny Bikin Filem, Badai Mentera dan Silat Legenda.

Sebelum menghembus nafasnya yang terakhir, M. Amin turut berlakon dalam filem “Paloh” (2003) yang diarahkan oleh Adman Salleh keluaran bersama FINAS dan Filem Negara Malaysia (FNM).

Di saat-saat terakhirnya, M. Amin dengan sayu berkata, “saya ni seperti quran buruk, dan telah dilupakan.”

Selain itu, dia juga menasihat pengiat-pengiat filem supaya jangan buat filem asal siap saja. Tambahnya, “bila jadi tontonan, pelakon menangis melalak-lalak tapi penonton ketawa.”

Anugerah yang dimenanginya ialah Satu Titik Di Garisan (Filem Drama Trajedi Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 19 di Singapura), Hapuslah Air Matamu di Festival Filem Asia Pasifik ke 22 di Pusan, Korea Selatan (Anugerah menjanjikan persahabatan dan kemajuan).

fmt 


Mengenang Artis Lama -- Nordin Ahmad seniman tulen

Mungkin kita mengenalinya ketika memegang watak Awang dalam filem Sri Mersing ataupun sebagai penderhaka dalam filem Hang Jebat.

Ataupun lakonannya yang mantap dan berkarisma bersama Seniman Agung kita, P. Ramlee dalam filem Semerah Padi pada tahun 1956.

Ternyata kekuatan lakonannya yang berkarisma dan tulen itu telah meletakkan dia antara barisan pelakon Melayu yang terbilang.

Bagaimanapun, menurut pengumpul matlumat bintang-bintang lama, Mohammad Hashim, bakatnya dalam bidang lakonan adalah berasaskan minatnya yang cukup mendalam.

''Dia mula menjadi bintang filem Malay Film Production (MFP) pada 1951 dan sempat menghabiskan lakonan sebanyak 27 buah filem semuanya di MFP.

''Filem terakhirnya ialah Belantara yang dia menjadi hero dan ditayangkan pada tahun 1957 arahan S. Ramanathan,'' katanya.

Sebaik sahaja tamat kontraknya, beliau menambah, pada 31 Disember 1956, maka Nordin Ahmad mula mengalih pandangannya kepada Keris Film Production (KFP).

Ujarnya, di KFP ini, dia menerima tawaran yang lebih baik dan lumayan berbanding ketika bersama MFP, khususnya pada aspek gaji.

''Dia menerima sebanyak RM400.00 sebulan dan komisen sebanyak RM800.00 bagi setiap sebuah lakonannya termasuk tempat tinggal yang lebih baik dari apa yang diperolehinya sebelum ini.

''Tetapi di penghujung kariernya, gaji tersebut dipotong separuh dan akibatnya dia tersentak lantas meletakkan jawatannya sebagai pelakon dan pengarah,'' tambahnya.

Menurut beliau, Nordin Ahmad yang dilahirkan di Butteworth pada tahun 1932, sebenarnya bukan sekadar terserlah sebagai watak baik tetapi juga sebagai watak jahat.

Ternyata, beliau menambah, di dalam majalah Bintang, Nordin Ahmad pernah disifatkan sebagai 'orang jahat filem' kerana wataknya. Filem tersebut ialah Ibu, Chemburu dan Mahsuri selaku panglima jahat.

''Dia boleh dianggap sebagai orang jahat atau baik filem kerana kedua-dua watak itu dibawa dengan begitu baik sekali.

''Contohnya dalam filem Permata Di Perlimbahan (arahan Hj Mahadi) pada tahun 1952. Pembawaan watak baik oleh Nordin cukup terserlah,'' jelasnya.

Bagaimanapun, menurut Mohammad, seperti pelakon filem Melayu yang lain ketika itu, semuanya bermula dari bawah dan begitulah juga dengan Nordin sendiri.

Kata beliau, sebelum berlakon di dalam 'Permata Di Perlimbahan tersebut, Nordin belum pernah memegang peranan-peranan utama dalam filem.


Ujarnya, dia hanya sekadar berlakon sama ada sebagai pelakon atau muncul dalam adegan tambahan dalam sesebuah filem sahaja.

Tetapi, jelasnya, Jaafar Wariyo, seorang seniman lama melihat bakat lakonan yang ada pada Nordin dan dia memberikan dorongan dan galakan kepadanya agar berusaha memperbaiki tahap lakonannya.

''Ini kerana menurutnya, di satu hari kelak, Nordin akan mengambil alih peranan seniman yang sudah silih berganti. Ternyata tekaan itu benar.

''Begitu juga dengan pelakon Melayu terkenal ketika itu, Jaffar Shah. Dia sanggup menjadi orang jahat semata-mata untuk memastikan Nordin berpeluang memegang watak hero,'' kata beliau ketika ditemui, baru-baru ini.

Bagaimanapun, menurut Mohammad, Nordin Ahmad meninggal dunia pada bulan Jun 1971 di Singapura kerana demam kuning.

''Kehilangannya bererti berakhirnya hero keagungan filem-filem Cathay Keris yang paling terserlah.

''Lakonan Nordin Ahmad lebih berkesan dan menonjol jika beliau membawa watak purba dari peranan lakonan moden.

''Malah, apa yang lebih terserlah pada dirinya ialah setiap lagu 'nyanyiannya' di dalam filem, ialah suara R. Ismail. Suara latar itu mirip suaranya dan seolah-olah Nordin Ahmad adalah penyanyinya,'' kata beliau.

Dari sudut persekolahan, Nordin hanya belajar setakat darjah VI sekolah Melayu tetapi sekerat jalan. Kemudian dia belajar sendiri termasuk bahasa Inggeris tetapi minatnya terbantut bila pendudukan tentera Jepun di Tanah Melayu.

Ketika pendudukan tentera Jepun, mereka mengerah tenaga muda untuk menegak dan mempertahankan cogan kata peperangan Asia Raya untuk kemakmuran Asia.

Nordin Ahmad tidak terlepas dari kerahan tersebut dan dia terlibat di dalam 'Kaigun Kokisyu' menjadi askar Jepun berpangkalan di Seletar dan inilah sahaja pekerjaannya sehingga Jepun menyerah kalah.

Sewaktu pemerintahan BMA, Nordin tinggal di Basrah Street dan bekerja di berek military Tanglin pada tahun 1946 - 1947. Nordin juga pernah menjalankan pelbagai pekerjaan seperti menjadi telefon operator, penyelenggara stor.

Tetapi akhirnya dia memohon untuk menjadi pelakon filem di Malay Film Production dan diterima. Dengan itu terpenuhlah cita-citanya itu sejak kecil lagi untuk menjadi bintang filem.

utusan online

Comments

Post a Comment