Martabat Bahasa Kebangsaan



Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) diperkenalkan semula pada tahun 2009 oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd.Yassin semasa lawatan kerja pertama beliau ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 4 Mei 2009. Bulan Bahasa Kebangsaan diadakan sebagai satu kesinambungan usaha yang berterusan ke arah memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu sebagaimana yang termaktub dalam Fasal 152, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 Perlembagaan Persekutuan. Mulai tahun 2009 juga kerajaan telah bersetuju BBK disambut pada bulan Oktober setiap tahun dan dimasukkan ke dalam kalendar aktiviti nasional.

Bulan Bahasa Kebangsaan telah dilancarkan dengan rasminya oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd.Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 14 Oktober 2014 di di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Antara intisari ucapan YAB Berhormat Timbalan Perdana Menteri menyebut "Tahun demi tahun saya perhatikan bahawa nilai bahasa kebangsaan berbeza-beza pada golongan tertentu sehingga hasrat kita (kerajaan) untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan belum benar-benar berjaya.” katanya. Beliau berkata keadaan itu berlaku disebabkan ada perbezaan nilai bahasa kebangsaan antara golongan tertentu.

“Justeru itu, saya menyeru semua warganegara tanpa mengira asal keturunan supaya memberi nilai yang tinggi kepada bahasa kebangsaan dan bersama-sama memajukan bahasa dan persuratan kebangsaan,” katanya ketika berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Bahasa Jiwa Bangsa. Itulah tema Bulan Bahasa Kebangsaan saban tahun. Selari dengan Bulan Bahasa Kebangsaan 2014 izinkanlah saya paparkan beberapa pandangan tentang bahasa kita.

Semoga ia menjadi penguat azam dan tekad untuk kita memartabatkan bahasa Melayu.
Siapa lagi kalau bukan kita untuk menjadikan bahasa kita terang di langit zaman....





Kejayaan Dasar Bahasa Kebangsaan perlukan penglibatan pelbagai kaum – TPM
14 Oktober 2014


PUTRAJAYA, 14 Okt: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyeru seluruh masyarakat supaya sama-sama menjayakan Dasar Bahasa Kebangsaan bagi mamastikan hasrat kerajaan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan tercapai.

“Tahun demi tahun saya perhatikan bahawa nilai bahasa kebangsaan berbeza-beza pada golongan tertentu sehingga hasrat kita (kerajaan) untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan belum benar-benar berjaya.” kata timbalan perdana menteri.

Beliau berkata keadaan itu berlaku disebabkan ada perbezaan nilai bahasa kebangsaan antara golongan tertentu.

“Justeru itu, saya menyeru semua warganegara tanpa mengira asal keturunan supaya memberi nilai yang tinggi kepada bahasa kebangsaan dan bersama-sama memajukan bahasa dan persuratan kebangsaan,” katanya ketika berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Hadir sama ialah Penasihat Sosiobudaya kepada kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan.

Bagi memastikan bahasa kebangsaan benar-benar menjadi milik seluruh warganegara, Muhyiddin menyarankan supaya sinergi DBP dengan pelbagai persatuan dan institusi pelbagai keturunan terus ditingkatkan, sekaligus menyumbang kepada pemerkasaan bahasa.

Timbalan perdana menteri turut menarik perhatian bahawa penggunaan bahasa kebangsaan di kementerian-kementerian dan kerajaan negeri juga perlu terus dipertingkatkan, khususnya dalam aspek mutu bahasa.

Muhyiddin berkata walaupun secara umum penggunaannya adalah meluas, namun laporan awal Program Audit Bahasa Melayu yang dijalankan DBP sejak tahun lepas menyimpulkan penggunaannya dalam urusan rasmi masih perlu ditingkatkan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan penggunaan nama tidak bersifat kebangsaan bagi taman perumahan, gedung perniagaan atau institusi dalam konteks pembinaan citra kebangsaan.

Untuk itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lebih bersungguh-sungguh menguatkuasakan Undang-undang Kecil Pengiklanan yang antara lain mewajibkan keutamaan bahasa kebangsaan pada iklan, nama perniagaan, nama tempat, nama bangunan dan paparan yang lain, katanya.

Muhyiddin berkata saranan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Negara bagi Kerajaan Tempatan pada 4 Mac lepas yang memutuskan sesuatu paparan di tempat awam, baik oleh pihak swasta atau agensi kerajaan, hendaklah mendapat pengesahan dan sijil kelulusan daripada DBP terlebih dahulu, khasnya dalam aspek bahasa.

Timbalan perdana menteri berkata cabaran untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang mewakili ilmu dan pemikiran menjadi semakin sukar dengan kewujudan media baharu yang cenderung untuk bebas daripada norma adab, akhlak dan bentuk bahasa yang tidak terkawal.

Selain memupuk budaya berbahasa yang santun, media juga perlu memainkan peranan sebagai agen masyarakat atau sosialisasi melalui penggunaan bahasa yang bermutu dan teratur.

Menyentuh peranan utama bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata kerajaan telah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), yang antara lain menekankan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penyampaian dalam pengajaran.

Beliau berkata dalam memastikan bahasa kebangsaan dikuasai dengan baik dan setara antara pelajar Melayu dan bukan Melayu, penyelarasan sukatan pelajaran dan bahan pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu bagi sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan telah dimulakan.

“Untuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kerajaan telah melancarkan Pelan Memperkasa Bahasa Kebangsaan di IPT pada 2011, di mana audit dari segi peratusan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai pengantar kuliah dilakukan Kementerin Pendidikan, DBP dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bagi memastikan semua IPT memperkasa bahasa kebangsaan seperti yang digariskan dalam PPPM,” katanya.

– BERNAMA

the malaysian times


Kejayaan Dasar Bahasa Kebangsaan Perlu Penglibatan Semua Kaum - Muhyiddin
 Selasa, 14 Oktober 2014 2:47 PM

Muhyiddin hadir ke pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Kebangsaan 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu seluruh masyarakat supaya sama-sama menjayakan Dasar Bahasa Kebangsaan bagi mamastikan hasrat kerajaan menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan tercapai.


"Tahun demi tahun saya perhatikan bahawa nilai bahasa kebangsaan berbeza-beza pada golongan tertentu sehingga hasrat kita (kerajaan) untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan belum benar-benar berjaya." kata timbalan perdana menteri.

Beliau berkata keadaan itu berlaku disebabkan ada perbezaan nilai bahasa kebangsaan antara golongan tertentu.

"Justeru itu, saya menyeru semua warganegara tanpa mengira asal keturunan supaya memberi nilai yang tinggi kepada bahasa kebangsaan dan bersama-sama memajukan bahasa dan persuratan kebangsaan," katanya ketika berucap melancarkan Bulan Bahasa Kebangsaan di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Selasa.

Hadir sama ialah Penasihat Sosiobudaya kepada kerajaan Tan Sri Dr Rais Yatim dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Awang Sariyan.

Bagi memastikan bahasa kebangsaan benar-benar menjadi milik seluruh warganegara, Muhyiddin menyarankan supaya sinergi DBP dengan pelbagai persatuan dan institusi pelbagai keturunan terus ditingkatkan, sekaligus menyumbang kepada pemerkasaan bahasa.

Timbalan perdana menteri turut menarik perhatian bahawa penggunaan bahasa kebangsaan di kementerian-kementerian dan kerajaan negeri juga perlu terus dipertingkatkan, khususnya dalam aspek mutu bahasa.

Muhyiddin berkata walaupun secara umum penggunaannya adalah meluas, namun laporan awal Program Audit Bahasa Melayu yang dijalankan DBP sejak tahun lepas menyimpulkan penggunaannya dalam urusan rasmi masih perlu ditingkatkan.

Beliau turut melahirkan kebimbangan mengenai peningkatan penggunaan nama tidak bersifat kebangsaan bagi taman perumahan, gedung perniagaan atau institusi dalam konteks pembinaan citra kebangsaan.

Untuk itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu lebih bersungguh-sungguh menguatkuasakan Undang-undang Kecil Pengiklanan yang antara lain mewajibkan keutamaan bahasa kebangsaan pada iklan, nama perniagaan, nama tempat, nama bangunan dan paparan yang lain, katanya.

Muhyiddin berkata, saranan itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Negara bagi Kerajaan Tempatan pada 4 Mac lepas yang memutuskan sesuatu paparan di tempat awam, baik oleh pihak swasta atau agensi kerajaan, hendaklah mendapat pengesahan dan sijil kelulusan daripada DBP terlebih dahulu, khasnya dalam aspek bahasa.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cabaran untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang mewakili ilmu dan pemikiran menjadi semakin sukar dengan kewujudan media baharu yang cenderung untuk bebas daripada norma adab, akhlak dan bentuk bahasa yang tidak terkawal.

Selain memupuk budaya berbahasa yang santun, media juga perlu memainkan peranan sebagai agen masyarakat atau sosialisasi melalui penggunaan bahasa yang bermutu dan teratur.

Menyentuh peranan utama bahasa kebangsaan dalam sistem pendidikan, Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata kerajaan telah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM), yang antara lain menekankan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penyampaian dalam pengajaran.

Beliau berkata, dalam memastikan bahasa kebangsaan dikuasai dengan baik dan setara antara pelajar Melayu dan bukan Melayu, penyelarasan sukatan pelajaran dan bahan pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu bagi sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan telah dimulakan.

"Untuk Institusi Pengajian Tinggi (IPT), kerajaan telah melancarkan Pelan Memperkasa Bahasa Kebangsaan di IPT pada 2011, di mana audit dari segi peratusan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai pengantar kuliah dilakukan Kementerin Pendidikan, DBP dan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) bagi memastikan semua IPT memperkasa bahasa kebangsaan seperti yang digariskan dalam PPPM," katanya.

mstar online


Bahasa Melayu cerminkan sifat masyarakat Malaysia
Teo Kok Seong
7  Ogos 2014

Bahasa didapati berjaya menunjukkan sifat sebenar masyarakat. Bahasa, khususnya cara ia diperlaku oleh masyarakat yang diwakilinya, boleh memberi gambaran jitu tentang keadaan yang berlaku dalam masyarakat itu.

Ini benar sekali untuk semua bahasa di dunia tanpa mengira tinggi ataupun rendah martabatnya. Bahasa Melayu tidak terkecuali dalam hal ini. Cara kita memperlaku bahasa Melayu bukan sahaja dapat memberi gambaran tepat mengenai status penggunaannya, malah ia dapat membekalkan kenyataan persis tentang pandangan, sikap, dan nilai kita terhadap bahasa Melayu.
Sehubungan ini, kita tidak dapat menyangkal pihak yang memerhati kita bahawa kita sebetulnya tidak bangga, sayang dan taat kepada bahasa Melayu, walaupun ia bahasa negara kita.

Sudah tentu ini merupakan satu perkara yang malang, yang sepatutnya tidak boleh pun berlaku kepada bahasa negara. Ini kerana ia adalah lambang kepada kita sebagai rakyat Malaysia dan juga untuk negara Malaysia itu sendiri, pada pemerhatian dunia.

Namun ia berlaku di hadapan mata kita sendiri dan ia pula merupakan bikinan kita sendiri. Ia berlaku kerana kita tidak menyedari bahawa menerusi bahasa Melayu yang merupakan semacam tingkap yang selalu terbuka, seluruh dunia dapat memerhatikan cara ia diperlaku di negara ini.

Hal malang ini juga berlaku kerana kita tidak menyedari peranan pentingnya bukan sahaja sebagai petanda kepada nasionaliti kita, khususnya dalam menghubungkan diri kita dengan negara ini. Ia juga merupakan asas penting dan kuasa kuat nasionaliti Malaysia itu sendiri.

Pelihara keutuhan bahasa

Semua ini sebetulnya diperlihat dengan jelas dan dilindungi sebaik-baiknya oleh bahasa Melayu. Peranan ini dapat didukungnya dengan bestari selagi ia berada dalam bentuk utuh.

Oleh itu, kita hendaklah memastikan keutuhannya senantiasa dijaga. Ini hendaklah dilakukan seperti kita menatang minyak yang penuh. Dalam hal ini, kita harus menyayanginya dengan penuh jiwa raga dan menjaganya dengan sempurna sekali. Malangnya hanya perkara yang sebaliknya berlaku. Ia boleh dikatakan dilacur dari segenap sisi.

Sebagai bahasa kebangsaan, ia tidak dihirau langsung sebagai alat penyatupaduan yang penting. Ini boleh dilihat apabila kita tidak mahu menerima peranannya ini dalam sistem pendidikan negara. Ini berlaku semasa sesetengah daripada kita menolak penggunaannya sebagai lambang negara, untuk mata pelajaran Malaysia Negaraku dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

Selaku bahasa rasmi, ia juga tidak dapat digunakan sepenuhnya sebagai satu-satunya bahasa perhubungan antara kerajaan dengan rakyat. Ini kerana masih terdapat ramai daripada golongan tertentu yang tidak mengetahui bahasa Melayu dengan baik, walaupun merupakan warganegara Malaysia.

Sebenarnya penggunaan satu bahasa sahaja untuk urusan kerajaan bukan sahaja dapat menjimatkan perbelanjaan negara. Yang lebih penting lagi ia dapat membekalkan persada bersama, iaitu berkongsi satu bahasa yang sama, yang sangat diperlukan dalam masyarakat majmuk.


Campur aduk bahasa

Dari segi penggunaannya oleh masyarakat, ia banyak sekali dicampuradukkan dengan bahasa Inggeris secara sewenang-wenangnya. Ini dilakukan dengan sengaja pula sebagai strategi komunikasi untuk menaikkan status seseorang itu.

Kini cara berbahasa Melayu ini berleluasa dan sudah pun menjadi budaya nasional, khususnya dalam kalangan golongan Melayu sendiri. Ini bukan sahaja fenomena luar biasa yang memperlihat kesanggupan penutur jati mencemari bahasa leluhurnya sendiri.

Musibahnya yang lebih dahsyat ialah cara berbahasa Melayu ini langsung tidak dapat melindungi identiti budaya Melayu dalam bentuknya yang utuh. Ini kerana bahasa Melayu yang rosak itu tidak berupaya menjulang budaya Melayu yang utuh.

Keengganan golongan bukan Melayu menguasai bahasa Melayu dengan baik, dengan memberi pelbagai alasan, bukan sahaja menimbul beberapa persoalan nasional yang serius. Antaranya ialah sejauh manakah mereka percaya dengan perkongsian bersama sejarah peribumi, lambang watan dan bahasa Melayu untuk mendukung identiti nasional.

Keengganan ini boleh ditafsirkan juga sebagai perasaan tidak suka kepada bahasa Melayu, meskipun ia bahasa negara. Ini pula mempunyai kaitan dengan persoalan nasionalisme, yakni sikap yang patut diperlihat warganegara dalam mendukung semangat kebangsaan.

Semua kisah bahasa Melayu ini adalah cerminan perkara yang berlaku dalam masyarakat kita. Antaranya kita belum pun merupakan komuniti nasional walaupun sudah sekian lama merdeka.

berita harian


Martabatkan bahasa kebangsaan
 A Aziz Deraman
10 Oktober 2014

Warga Malaysia perlu bersama pulih citra bahasa negara

Cuba renungkan kenapakah sesudah 55 tahun kemerdekaan Malaysia, kita masih membicarakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan? Apakah selama tempoh lebih lima dekad kemerdekaan bangsa dan negara kita, rakyatnya atau kita di pelbagai agensi, institusi organisasi, awam dan swasta, masih tidak faham atau tidak berasa peminggiran terhadap bahasa kebangsaan itu sama ertinya dengan ‘lupa diri’ atau sikap acuh tidak acuh terhadap jati diri negara mahupun bangsa sendiri?

Sifat kebangsaan

Mungkinkah kita sesama kita masih tidak menghayati bahawa bahasa kebangsaan itu adalah simbol kepada kehidupan kebangsaan dalam semua ranah kehidupan dan citra negara bangsa? Fahamkah kita sesebuah negara bangsa itu ditandai sifat kebangsaan dan ada pegangan yang kukuh terhadap tonggak-tonggak kenegaraan sebagaimana termaktub dalam keluhuran Perlembagaan.
Aspek bahasa menjadi semakin penting dalam gagasan 1Malaysia kerana ia berteraskan kepada prinsip Perlembagaan (dan Rukun Negara), selain prinsip penerimaan dan keadilan sosial. Bahasa adalah tonggak kenegaraan. Jadi kenapa pula rakyat sendiri memandang sepi, tanpa penuh komitmen memikul peranan dan tanggung jawab bersama?

Jika Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan satu bahasa negara dan itulah Dasar Bahasa Negara, susah sangatkah bagi kita memahami apa yang dimaktubkan? Fasal itu menyatakan: “Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen”. Perkara 152 (6) pula menegaskan: “Dalam Perkara ini, maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”. Peruntukan itu mengabsahkan status bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kedudukannya merentasi bahasa-bahasa kaum dan sukuan. Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu atau pribumi saja lagi, tetapi bahasa kita, bahasa negara kita. Cintai bahasa kebangsaan menunjukkan cinta kita kepada negara.

Apa guna fungsi bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, jika sampai sekarang pun kita tidak terpanggil untuk mendaulat dan memartabatkannya? Ketetapan undang-undang itu secara langsung meletakkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia; bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain. Jadi apa yang kita susah-susahkan dengan keperluan bangsa Malaysia itu menguasai bahasa asing termasuk bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain? Belajarlah dan kuasailah. Perlembagaan telah memberikan panduan yang jelas. Tetapi barang diingat yang mana patut kita junjung dan yang mana patut dikelek, sebab kesatuan dan persatuan bangsa kita atau perpaduan negara hanya boleh dicapai melalui bahasa milik bersama.

Peranan, tanggungjawab semua

Berdasarkan tuntutan undang-undang tadi, setiap ‘batu jemala’ rakyat Malaysia wajib menjunjungnya, tidak patut berdolak-dalik lagi, meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa keperluan negara dan bahasa kehidupan bangsa Malaysia. Pada hemat penulis, semua pihak sekarang perlu menilai semula peranan dan tanggungjawab masing-masing. Jika belum, maka haluankan semula bahtera persepsi anda dan buat satu anjakan paradigma, penuhi segera tuntutan bahawa bahasa Melayu itu menjadi bahasa rasmi; bahasa Melayu itu menjadi bahasa kebangsaan; bahasa kebangsaan itu menjadi bahasa pengantar pendidikan; menjadi bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri; menjadi bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi dan bahasa itu juga bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan falsafah.
Malaysia mempunyai Dasar Bahasa Negara tersendiri, bukan pelbagai bahasa secara laissez faire. Ada dasar-dasar berbeza di negara masing-masing. Bandingkan status bahasa kita dengan dasar bahasa di India, Singapura, Jepun, China, Korea, Thailand, United Kingdom, Jerman, Perancis, Indonesia dan lain-lain. Bahasa kebangsaan kita memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri dan kita patut berterima kasih kepada leluhur pejuang silam kerana menjadikan BM sebagai bahasa negara, tepat dipilih atas sifat lingua franca, tradisi ilmu dan fakta sejarah.

Kini Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) digerakkan lagi sebagai suatu kesinambungan program sejak awal kemerdekaan bermula pada era 1960-an. Tema BBK yang mula diperkenalkan pada 2010 mempromosikan ‘1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara’ sangat kena pada tempatnya. Kita adalah satu bangsa, yakni bangsa Malaysia, kita hanya ada satu negara yakni satu Malaysia dan negara bangsa ini akan kehilangan keperibadian tanpa satu bahasa nusa bangsa.

Pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu seharusnya ada pada semua peringkat dan lapisan rakyat, kepemimpinan politik, agensi, institusi, organisasi dan sebagainya kerana ada kebersamaan peranan.
Apabila disebut ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’ atau ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, natijah di sebaliknya ialah bagaimana citra Malaysia itu terserlah jati diri bangsanya berbahasa, bahasa bagi bangsa Malaysia.
Suasana sekarang menuntut semua pihak menghayati apakah pula makna ‘bangsa Malaysia’ dan ‘negara bangsa’? Bukankah fungsi komunikatif bahasa kebangsaan dan fungsi rasminya bermaksud “satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia?”

Perbandingan dengan bahasa Kebangsaan Jepun

Setiap diri kita seharusnya berasa malu apabila membandingkan status bahasa kebangsaan kita dengan status bahasa kebangsaan di Jepun atau Korea. Apakah kita hanya boleh bermegah semata-mata kerana berasa bahawa pencapaian umum bahasa kebangsaan kita itu telah berkembang pesat dan meningkat kualitinya, misalnya dalam pentadbiran kerajaan, pendidikan, bidang perundangan dan kehakiman, walhal belum sepenuhnya dan tidak digunakan secara meluas dalam segala bidang kehidupan? Apakah kita boleh berbangga dengan mengatakan isu bahasa sudah selesai disebabkan jaminan kedudukannya di dalam Perlembagaan, sedangkan kemajuannya belum tercapai penuh?

Sikap memandang ringan, tidak mempedulikan, meminggir dan mengambil mudah tidak akan mendukung konsep ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ itu. Kita tahu dunia satu bahasa (monolingual) sudah tiada lagi. Maka selain daripada bahasa Inggeris, sebenarnya orang Malaysia juga perlu menguasai bahasa-bahasa yang lain mengikut keperluan, misalnya Arab, Sepanyol dan Perancis. Tetapi yang mana satu kita junjung? Bahasa dikaitkan dengan jati diri, maruah bangsa dan keagungan tamadun bangsa. Apakah sikap sebenar kita terhadap bahasa? Apakah ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ atau kitalah bangsa tanpa jiwa bahasa? Kita dibelit belenggu rendah diri, sesekali dihambat sikap pasif dan tabiat negatif.

Sikap pinggir bahasa negara

Penekanan berlebihan terhadap penggunaan bahasa Inggeris tanpa disedari kadang-kadang menjadikan kita sendiri yang meminggirkan bahasa negara, wujudnya situasi menang-kalah - menang bahasa Inggeris, kalah bahasa Melayu. Citra kenegaraan dan kebangsaan kita seolah-olah diambil alih bahasa Inggeris. Kita gagal menterjemahkan konteks keperluan penggunaan bahasa, di mana yang perlu dan yang mana satu. Mahukah wajah kita bertopengkan budaya asing? Usaha memperkuatkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu/Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) Kementerian Pelajaran itu hendaklah disejajarkan di semua institusi pendidikan dan sektor berkaitan.

Perkasa bahasa sendiri

Kitalah rakyat dan bangsa Malaysia. Kitalah juga warganegara Malaysia itu. Pelbagai usaha mesti dilakukan bersama ke arah memulih citra bahasa negara kita sendiri akibat daripada hilang sikap megah bahasa, gemar memandang hak orang lebih sempurna. Kita kurang berusaha mengangkat kehebatan citra sendiri. Bisakah kita berganding bahu berbimbing tangan memartabatkan dan memperkasakan bahasa sendiri dengan pengukuhan BM itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi?

Jika kita pula memiliki visi dan misi melangkah ke hadapan, ayuh gerakkan perancangan strategik, sinergi dan rangkaian kerja melakukan tindakan dan sokongan mengisi keperluan pengantarabangsaannya. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Tetapi tidak terpanggilkah oleh kita bahawa apabila negara kita maju maka bahasa negara kita ikut maju, seiring sederap menjadi salah satu bahasa komunikasi antarabangsa bersifat supranasional.

Jati diri, keperibadian dan sahsiah bangsa terletak di atas satu bahasa negara yang berada di martabatnya, mantap dan perkasa. Matlamat tersebut hanya akan dapat dicapai melalui kesepakatan dan peranan bersama institusi, agensi, organisasi dan rakyat Malaysia seluruhnya.

Penulis ialah bekas Ketua Pengarah DBP (1994-2004), bekas Ketua Pengarah Kebudayaan (1981-1989) dan AJK GAPENA (sejak 2004).

berita harian

Comments