Kanak-Kanak dan Alam Teater

DBP nafasi teater kanak-kanak
Oleh Ladin Nuawi
28 September

"Kami akan sentiasa memberi dorongan, kerjasama dan sokongan yang padu demi pembangunan dan pemerkasaan kesusasteraan kanak-kanak khususnya teater kanak-kanak." Demikian cetus nurani Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dr. Awang Sariyan yang dianggap telah memberikan nafas baharu kepada teater kanak-kanak yang sedang nazak kebelakangan ini.

Memang perlu nafas agar terus berkembang kerana teater mampu menjadi wadah membentuk insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani sebagaimana yang diharapkan dalam pendidikan masa kini, kata Pengarah Jabatan Pengembangan Sastera DBP, Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Kita perlu bersyukur di atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh organisasi yang pernah menjadi tunggak pembangunan teater di negara ini. DBP membuktikan melalui pementasan teater kanak-kanak Laba Sang Bijaksana yang diadakan di Auditorium DBP baru-baru ini oleh produksi Kembara Anak Bukit yang bersatu dengan Citra Cilik DBP berdasarkan karya dan arahan Noor Hashimi Hassan.

Hakikatnya, memberi nafas kepada teater kanak-kanak bukan kerja mudah kerana teater ini bersifat semi-amatur. Setiap orang yang terlibat mempunyai tanggungjawab lain. Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja DBP yang membentuk pasukan pengurusan dan kerja di bawah ketuanya, Norimah Bajuri dan setiausahanya, Filzah Ibrahim ibarat bernafas sampai menggunakan telinga. Syabas.

Menerbitkan teater kanak-kanak memang menyesakkan nafas apabila melibat pelajar sekolah dari pelbagai tempat. Bukan mudah untuk mengatur jadual latihan sejak awal tahun. Ia perlu diselaraskan dengan jadual sekolah, jadual ujian/peperiksaan dan keizinan Pusat Pendidikan Daerah (PPD). Ini belum diambil kira jadual tusyen, kelas tambahan, kelas agama dan kemampuan masa ibu bapa.

Kita kena akui, sesak nafas atau tidak, kerja teater bermula dengan naskhah. Naskhah Laba Sang Bijaksana mengambil unsur teater purba atau bangsawan. Ia ada hukum-hakam tersendiri yang menyebabkan tidak ramai yang berani menulisnya. Semua kena faham asasnya iaitu peranan dan penggunaan bahasa, adab, adat, pakaian, perhiasan dan seni bina.

Cerita purba bahasanya bukan sekadar bahasa berirama. Pemilihan perkataan pula harus sesuai dengan latar zaman dan tempatnya. Berkata-kata dengan raja atau pembesar tentu terikat dengan pangkatnya. Ganti nama seperti beta, tuan hamba, hamba, tuanku, patik kenalah kerap digunakan. Kalau bertutur dengan raja biasanya dimulakan dengan "ampun tuanku" atau "tuanku, boleh patik memberi pendapat?"

Bergerak di sekitar raja atau pembesar ada tertibnya juga. Pembesar atau rakyat bukan boleh sebarang melintas di depan orang yang lebih tinggi pangkatnya. Gerak tangan atau air muka pun kena kawal. Berdiri dengan raja juga ada jaraknya.

Untuk mencantikkan naskhah atau lakonan purba, elok juga mendapat nasihat atau merujuk dengan pihak yang biasa berurusan dengan istana. Rujukan luar terdapat pada buku drama Sharom Hussein, filem Melayu purba zaman Studio Jalan Ampas, teater Bangsawan serta buku-buku hikayat Melayu.

Busana juga wajib diberi perhatian. Bukan sebarang orang boleh pakai warna kuning. Rakyat biasa atau pembesar 'diharamkan' memakai warna kuning apabila mengadap raja atau berurusan di tempat umum. Pemakaian tengkolok dan senjata juga terikat dengan tertibnya. Kita kena kenal potongannya yang mana untuk raja, yang mana untuk rakyat.

Apa pun, pentas ada tertibnya yang biasa dipatuhi walaupun cerita purba. Secara mudah, mesti ada sebab dan musabah watak muncul di pentas. Tidak berapa cantik apabila pelakon berlakon, berdialog terlindung di bahagian belakang pentas. Untuk menyedari kesilapan ini eloklah semasa memberi arahan atau latihan lakonan, kita adakan jarak dengan pelakon. Kita sebaik-baiknya berada di jarak kerusi penonton. Dengan ini kita dapat membezakan jarak pandangan pentas dengan kamera kepada pelakon.

Dialog-dialog utama seperti teka-teki yang terdapat dalam Laba Sang Bijaksana perlu diberi 'ruang khas' supaya penonton juga bersedia untuk mencari jawapannya. Kalau diulang teka-teki itu pun tidak menjadi masalah sebab ini pementasan bukan teks bacaan yang boleh diulang baca. Memang elok dielakkan gangguan gerak lain atau dialog lain yang tidak perlu waktu itu.

Teka-teki dan hukuman memakai tengkolok panjang menggerakkan cerita teater ini. Sayang benar peristiwa di sekitar tengkolok itu kurang dibesarkan. Tentu ada satu reaksi khas watak yang gagal menjawab teka-teki dan watak-watak yang ada di sekitarnya. Rugilah kalau semua muka pinggan kosong tiada riaksi sama ada lucu, malu atau tercabar.

Adegan-adegan melegakan nafas penonton melalui penampilan Kumpulan Orang Asli, Kumpulan Gua Gegar Tapa, Gergasi dan Kumpulan Cucu Nenek Kebayan memang terpuji. Kumpulan Penari Desa Anggerik dan Kumpulan Penari Asyik memenuhi syarat teater purba kanak-kanak. Kumpulan Bercerita Kelip-kelip DBP sebagai pembuka panggung amat membantu keselesaan penonton. Kumpulan ini bertindak sebagai tauke panggung.

Keceriaan yang mereka bawa melupakan kita bahawa set begitu daif sekali. Kebetulan kos produksi terlalu kecil. Namun begitu daya cipta satu kerangka set serba guna - sebagai gua, rumah nujum, boneka - sewajarnya diteladani.

Sebaik-baik sahaja pementasan Laba Sang Bijaksana berakhir semua menarik nafas lega. Bolehlah kita akui kata-kata Dr. Awang, "kesedaran dan apresiasi teater perlu diterapkan di peringkat awal kanak-kanak supaya mereka akan terdidik sebagai generasi yang menghargai budaya bangsa mereka."

Saya bersetuju dengan pengakuan Noor Hashimi bahawa teater kanak-kanak di negara ini agak ketinggalan dan terpinggir berbanding genre sastera lain. Untuk mengatasinya kita perlu mengadakan bengkel penulisan naskhah purba berserta tata-tertib istana dan latihan teater kanak-kanak.

utusan online 



Mendekatkan Kanak-kanak kepada Bangsawan

Oleh NORLIZA OMAR

TEATER kanak-kanak “Laba Sang Bijaksana” telah dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 18 dan 19 September 2014 yang lalu. Pementasan ini telah berlangsung dengan jayanya, dan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penonton. Pementasan teater ini adalah gabungan kerjasama antara DBP dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.



Salah satu adegan teater “Laba Sang Bijaksana”

Teater kanak-kanak ini merupakan hasil karya Noor Hashimi bin Hasan, iaitu pengarah pementasan teater ini juga. Noor Hashimi merupakan pendidik yang telah banyak mengarah teater kanak-kanak. Berdasarkan pengalamannya dalam bidang penulisan dan pengarahan teater, Noor Hashimi sering diundang sebagai hakim, penceramah atau pembimbing bengkel teater (lakonan/pengarahan) anjuran pelbagai pihak termasuk DBP.


Noor Hashimi bin Hasan, pengarah dan penulis skrip “Laba Sang Bijaksana”

Pada tahun 2013, DBP pernah mementaskan teater kanak-kanak yang melibatkan Kumpulan Citra Cilik DBP yang terdiri daripada 30 orang anak staf DBP. Teater tersebut berjudul “Danial dengan Bawang Hitam” di bawah bimbingan Noor Hashimi. Sejak penubuhan Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja pada tahun 2006, telah banyak teater kanak-kanak dipentaskan. Jika teater kanak-kanak DBP sebelum ini lebih berbentuk muzikal dan cerita binatang, DBP pada tahun ini mengubah cita rasa dengan mengangkat genre bangsawan. Genre ini mula dilupakan oleh golongan dewasa apatah lagi kanak-kanak. Justeru, buat pertama kalinya DBP memilih pementasan teater bangsawan kanak-kanak ini.

Objektif teater kanak-kanak adalah untuk mendekatkan kanak-kanak kepada bangsawan supaya dapat mewarisi nilai-nilai murni untuk diterapkan dalam kehidupan harian mereka selain melahirkan kumpulan kanak-kanak yang berbakat besar dalam bidang teater dan persembahan seni sastera. Melalui teater, kanak-kanak dapat memupuk semangat bekerja secara berkumpulan, mendisiplinkan diri dan seterusnya mampu membina keyakinan diri. Penglibatan ini juga memupuk kesedaran dan apresiasi dalam kalangan masyarakat umum dan penggiat teater di Malaysia terhadap seni teater bangsawan kanak-kanak. Hasil garapan itu dapat melahirkan pengarah, pelakon dan tenaga produksi teater kanak-kanak tempatan yang profesional.

Adik Muhammad Danial Ayob sebagai Malim Indera

Pementasan teater kanak-kanak “Laba Sang Bijaksana” ini mengisahkan seorang putera bernama Malim Indera yang merupakan anak Raja Negeri Beringin Sari. Baginda gemar memberikan teka-teki kepada anak-anak pembesar istana. Sesiapa yang tidak dapat menjawab teka-teki tersebut, akan disuruh memakai tengkolok panjang.


Antara adegan yang mencuit hati penonton

Kebijaksanaan Putera Malim Indera telah membangkitkan perasaan iri hati dalam kalangan anak pembesar yang lain seperti Bayan, iaitu anak Bendahara Negeri Beringin Sari. Beliau telah berjumpa nujum dan diberitahu bahawa Putera Malim Indera bakal menjadi seorang yang masyhur apabila dewasa nanti kerana kebijaksanaannya itu. Nujum juga memberitahu, apabila baginda menjadi raja nanti, pembesar yang akan dipilih dalam kalangan orang yang bijaksana juga. Bayan membuat rancangan jahat bersama-sama kawan-kawannya untuk membuang Malim Indera ke hutan larangan.


Adik Wan Hasbur Rahman Wan Yusuf sebagai Bayan

Teater kanak-kanak ini merupakan satu cabang teater yang penting sebagai wahana untuk meningkatkan penghayatan dan kecintaan terhadap sastera seawal usia kanak-kanak lagi. Antara matlamatnya adalah mendedahkan kaedah pengajaran dan pembelajaran kepada kanak-kanak dalam aspek berkomunikasi menggunakan laras bahasa mengikut konteks dan situasi yang sesuai di samping menerapkan nilai-nilai murni dalam diri kanak-kanak. Menurut Noor Hashimi, pementasan ini menjadikan kanak-kanak lebih matang dalam pergaulan, tindakan dan pemikiran.

Semoga DBP akan terus mementaskan teater kanak-kanak dan seterusnya menggilap bakat kanak-kanak dalam bidang teater dan seni persembahan.

klikdbp






Mia Rangkul 4 Anugerah Teater Kebangsaan 2014



Ipoh, Perak- Sekali lagi sejarah tercipta! begitulah rekod kecemerlangan Adik Mia PERMATA Insan apabila berjaya merangkul sekali lagi anugerah di Peringkat Kebangsaan dalam bidang Teater.

Empat anugerah berprestij yang telah berjaya dirangkulnya pada tahun ini adalah, Anugerah Pelakon Wanita Harapan, Pelakon Wanita Harapan Keseluruhan, Peserta Wanita Terbaik dan Anugerah Platinium Bangsawan Kanak-Kanak.

Kejayaan bersempena Kem Semarak Teater Sekolah Menengah dan Rendah Peringkat Kebangsaan 2014 yang telah diadakan pada 22-26 Mei 2014 bertempat di Ballroom Hotel Syuen ini telah disertai oleh peserta dari semua negeri di seluruh Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan Sekolah Seni Malaysia (SseM).


Kem Semarak Teater pada tahun ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan di rasmikan dengan jayanya oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perak serta dihadiri oleh Pengarah Bahagian Kokurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

Semasa Peringkat Negeri Pahang, adik Mia telah terlibat dengan produksi teater muzikal. Pada kali ini, beliau terlibat pula dengan produksi bangsawan kanak-kanak. Tajuk persembahan teater yang dilakonkannya adalah “Akal Sejengkal Akal Sedepa”.

Setelah terpilih dalam sesi uji bakat, adik Mia telah di beri watak Mamunda, iaitu cucu kepada nenek kebayan Kemangi. Mamunda ialah ketua kepada tiga kembar, Mamundu dan Mamundi. Watak ini sangat mencabar bagi beliau kerana memerlukan gaya sebutan serta memek muka yang pelbagai.

Beliau berasa amat bersyukur kerana dapat membawa wataknya dengan baik sekaligus mencipta rekod kecemerlangannya sekali lagi dalam arena teater!

Untuk makluman, Adik Mia pada tahun lepas berjaya merangkul dengan Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik juga dalam Semarak Teater Sekolah Menengah dan Rendah Peringkat Kebangsaan.


Adik Mia tersenyum bangga sambil memegang trofi-trofi yang dimenanginya.

 permata insan

Cabaran pendidikan teater

Oleh HARYATI KARIM



KESABARAN amat diperlukan untuk melatih kanak-kanak dalam mempelajari teater kerana mereka terkenal dengan sifat degil dan suka bermain.

INDUSTRI teater dilihat semakin berkembang pada hari ini, meskipun begitu tahap perkembangannya di Malaysia sangat perlahan berbanding dengan negara luar.

Jika di luar negara sejak kecil lagi, ketika kanak-kanak baharu mengenal abjad, mereka telah dipupuk dengan seni persembahan tetapi ia kurang dipraktikkan di Malaysia.

Bukan tiada langsung, ada sekolah tadika atau sekolah rendah yang menyokong seni teater tetapi jumlahnya tidak banyak sedangkan kebaikan yang diperoleh daripada seni teater begitu banyak.

Menurut aktor dan pengarah teater, Taiyuddin Bakar yang kini sedang giat menjalankan persiapan teater kanak-kanak Kampung Semut dan Tanda Kecil, seharusnya seni persembahan atau teater diselitkan dalam pembelajaran pada peringkat tadika dan sekolah rendah.

“Sistem pelajaran di Malaysia mementingkan keputusan akademik sehingga ramai ibu bapa terlepas pandang bahawa aktiviti seni sebenarnya sangat berguna dalam proses perkembangan kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang terlibat dalam aktiviti seni mempunyai lebih keyakinan diri kerana mereka melakukan pementasan di hadapan orang ramai,” ujarnya yang telah berlakon dalam 28 buah teater, lima buah filem, 25 buah drama televisyen dan filem pendek.

Bukan itu sahaja, tambahnya seni teater juga membantu kanak-kanak lebih fokus, disiplin serta meluaskan kemahiran pergaulan mereka.

“Seni teater memerlukan latihan yang mana waktu latihan itu membentuk disiplin diri serta fokus untuk mendengar arahan. Mereka juga lebih bijak bergaul kerana seni teater diadakan secara berkumpulan,” katanya.


BENGKEL teater kanak-kanak di bawah kelolaan Rumah Anak Teater (RAT) dan Jarilima Productions terdiri daripada 23 orang pelajar yang berusia empat sehingga 16 tahun.

Taiyuddin yang sebelum ini pernah memenangi anugerah Pengarah Terbaik dalam Festival Teater Kuala Lumpur (2005) menerusi pementasan Anak Bulan di Kampung Wa’ Hassan menjelaskan disebabkan minat yang mendalam dalam seni teater menyebabkan dia rasa terpanggil untuk mengembangkan seni teater kanak-kanak.

“Saya minat teater dan saya suka kanak-kanak. Sebenarnya kanak-kanak mempunyai banyak keistimewaan dan saya suka bekerja dengan mereka.

“Kanak-kanak tidak pandai menipu, jika mereka suka mereka akan cakap suka begitulah sebaliknya. Saya bertanggungjawab untuk mencungkil bakat atau keistimewaan yang mereka sendiri pun tidak sedar yang mereka miliki,” ujarnya lagi.

Teater Sarang Semut dan Tanda Kecil

Rumah Anak Teater (RAT) dan Jarilima Productions dengan kerjasama rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bakal mengadakan dua pementasan teater kanak-kanak berjudul Kampung Semut dan Tanda Kecil.

Pementasan terbitan bersama Faisal Mustaffa dan Norzazila Zulkifli ini merupakan final daripada bengkel teater yang diadakan selama dua bulan di Linda Jasmine Studio.

Faisal memberitahu, bengkel teater yang diadakan di Linda Jasmine Studio itu terbuka kepada semua kanak-kanak yang berminat dengan bayaran RM150 sebulan.

Pementasan teater Kampung Semut dan Tanda Kecil bukanlah atas tujuan komersial atas mengaut keuntungan tetapi ia lebih kepada aspek pendidikan kerana kedua-dua naskhah yang dipilih penuh dengan pengajaran.

“Tujuan pementasan teater ini diadakan adalah sebagai persembahan final daripada bengkel yang dihadiri selama dua bulan.

“Bengkel hanya diadakan pada waktu cuti persekolahan dan hujung minggu sebagai aktiviti sampingan kanak-kanak. Apa yang saya lihat, kini kanak-kanak yang menyertai bengkel ini lebih matang dan lebih fokus berbanding pada peringkat permulaan bengkel ini dimulakan,” katanya.


Bengkel yang mempunyai 23 orang pelajar itu terdiri daripada mereka yang berusia empat tahun sehingga 16 tahun.

“Kami beri kebebasan kepada kanak-kanak ini untuk bereksperimen dengan apa yang ada di sekeliling mereka. Malah, prop untuk pementasan ini juga dibuat oleh mereka,” tuturnya.

Kedua-dua teater ini ini merupakan olahan dan diarahkan oleh pengarah Taiyuddin Bakar dengan aktor Nam Ron sebagai Penasihat.

Taiyuddin juga sempat menceritakan pengalamannya bekerja dengan kanak-kanak, katanya, kesabaran amat diperlukan kerana melatih kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa.

“Kanak-kanak, mereka degil dan suka bermain. Jadi, saya menggunakan umpan gula-gula dan coklat pada peringkat permulaan bengkel.

“Lama-kelamaan umpan itu tidak lagi diperlukan kerana minat, mereka dengan sendirinya akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya di dalam kelas,” ucap Taiyuddin.

Akui Taiyuddin, kedua-dua naskhah yang dipersembahkan sebenarnya agak berat untuk kanak-kanak kerana dialog yang agak panjang.

Bagaimanapun, kesemua kanak-kanak yang terlibat berjaya menghafal skrip teater dalam masa hanya tiga hari sahaja.

“Kanak-kanak senang untuk menerima apa sahaja ajaran yang diberikan, justeru, mereka mampu menghafal skrip yang panjang dalam masa yang singkat. Saya sendiri pun terkejut dengan kemajuan mereka,” luah pengarah ini lagi.


SENI teater memerlukan latihan yang mana waktu latihan itu membentuk disiplin diri serta fokus untuk mendengar arahan.

Teater Kampung Semut mengisahkan kehidupan semut di perkampungan mereka. Mereka hidup aman dan damai bersama rakan mereka yang lain iaitu kumbang, ulat bulu, rama-rama dan sesumpah.

Setiap hujung minggu mereka akan adakan jamuan beramai-ramai bagi meraikan kelahiran baru. Pada satu minggu mereka tidak dapat membuat jamuan mereka kerana telah dihalang oleh sekumpulan belalang yang jahat.

Belalang telah menyekat sumber makanan dan juga mencuri semua makanan mereka. Semut-semut dan kawan dalam kesedihan. Walau bagaimanapun, mereka ingin berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Persembahan teater Tanda Kecil pula cuba untuk mendekati kelompok manusia yang menjalani kehidupan tanpa menyedari kemusnahan alam yang sedang berlaku.

Mereka terus hidup dengan nafsu yang makin membesar untuk memenuhi tuntutan hidup. Akhirnya alam musnah dan manusia turut musnah bersamanya.

Kedua-dua teater ini akan dipentaskan dalam durasi 45 minit pada 2 hingga 5 Jun depan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Tiketnya pula RM15 (dewasa), RM10 (kanak-kanak), manakala percuma bagi kanak-kanak yang berusia tujuh tahun ke bawah.

kosmo online

Comments