Kemenangan Gaza


Penduduk Gaza raikan gencatan senjata jangka panjang

GAZA CITY: Penduduk Gaza meraikan gencatan senjata untuk tempoh jangka panjang yang dipersetujui Israel dan Palestin semalam, sekali gus menamatkan pertumpahan darah selama 50 hari yang dianggap paling ganas dekad ini.

Perjanjian itu yang dikuatkuasakan hari ini, mengakhiri keganasan yang tercetus sejak 8 Julai lalu yang sudah mengorbankan nyawa 2,143 penduduk Palestin manakala 69 di pihak Israel.

Pihak Palestin berkata, ia adalah perjanjian gencatan senjata yang kekal manakala seorang pegawai kanak Israel pula menyifatkan " ia tanpa syarat dan tidak terhad kepada masa'.

Washington pula memberi sokongan penuh terhadap gencatan senjata terbaharu itu.

"Kami amat menyokong dengan pengumuman gencatan senjata itu," kata jurucakap Jabatan Negara, Jen Psaki.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menyuarakan harapan agar gencatan senjata di Gaza itu akan membuka peluang ke arah perbincangan terakhir bagi membentuk perjanjian damai Israeli-Palestinian.

Di Gaza pula, ribuan penduduk keluar di jalan raya bagi meraikan gencatan senjata terbaharu itu dengan setengahnya melepaskan tembakan ke udara iaitu terdiri daripada pejuang Hamas yang bersenjata.

Koresponden AFP melaporkan, penduduk melambai dan bertepuk tangan dengan berbaris panjang di jalan raya sambil menyanyikan lagu kemenangan. Mereka turut mengibar bendera besar Hamas berwarna hijau.

Di masjid pula, pembesar suara jelas kedengaran dengan ucapan kesyukuran dan memuji keagungan Allah apabila perang selama tujuh minggu itu tamat dengan menyaksikan 1.8 juta penduduk Palestin terpaksa meninggal rumah kerana ketakutan akibat dibom tentera Israel.

"Terima kasih kepada Allah kerana perang sudah tamat. Saya tidak percaya saya masih bernyawa bersama anak-anak kami," kata Maha Khaled berusia 32 tahun kepada AFP.

"Ia satu peperangan yang amat kejam. Saya tidak pernah sangka saya akan melihat semula keamanan," katanya.

Kenderaan pula tersekat di jalan raya apabila pemandu membunyikan hon berterusan dengan wanita dan kanak-kanak berkejaran meraikan kemenangan.

Remaja lelaki pula memanjat bumbung rumah dan bangunan sambil mengibarkan bendera. - AFP


Berita Harian

Kemenangan mutlak milik Gaza


Gaza (Palestin): Langit Gaza kelihatan tenang ketika gencatan senjata jangka panjang bermula menandakan berakhirnya keganasan rejim Zionis Israel.

Di jalanan, orang ramai dilihat mengunjungi kedai dan bank dalam usaha untuk meneruskan kehidupan normal selepas diserang bertubi-tubi selama tujuh minggu.

Ribuan penduduk yang terpaksa melarikan diri sebelum ini kembali ke rumah masing-masing yang hanya tinggal sisa runtuhan.

"Di tanah kebanggaan Gaza, rakyat bersatu padu mencapai kemenangan menentang musuh Zionis," kata satu kenyataan Hamas.

Pegawai kesihatan Palestin berkata seramai 2,139, kebanyakannya orang awam dan 490 kanak-kanak terkorban sejak serangan bermula 8 Julai lalu.

Perjanjian gencatan menggariskan beberapa perkara penting antaranya menghentikan keganasan, membuka sempadan Gaza dan meluaskan zon nelayan di Laut Mediterranean.

Sementara itu Qatar antara negara yang memberi sokongan padu kepada perjuangan Hamas menawarkan untuk membangunkan semula Gaza.

"Perjanjian jangka panjang ini adalah atas pengorbanan dan semangat juang rakyat Palestin," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan negara pengeluar minyak itu.

Negara yang kini menjadi tuan rumah pemimpin Hamas, Khaled Meshaal itu bersedia untuk membantu membina semula infrastruktur secepat mungkin.

MyMetro


Kemenangan untuk Gaza


Sebahagian penduduk Palestin, memantau kerosakan pada sebuah bangunan yang runtuh selepas dibedil oleh tentera rejim Zinonis di Gaza City, semalam. - AFP

RAMALLAH 26 Ogos - Delegasi Palestin hari ini menyatakan, pihaknya telah mencapai persetujuan gencatan senjata 'jangka panjang' dengan Israel di Kaherah, bagi menghentikan pergolakan di Gaza yang masuk hari-50.

Bagaimanapun tiada maklum balas daripada pihak Israel terhadap persetujuan untuk menamatkan konflik yang berlanjutan selama tujuh minggu di wilayah itu.

Pegawai Palestin menyatakan, gencatan senjata itu akan dikuatkuasakan pada pukul 4 petang waktu tempatan (12 tengah malam ini waktu Malaysia).

Presiden Mahmoud Abbas juga akan memberikan perincian lanjut mengenai perkara itu dalam satu ucapannya di Tebing Barat.

"Menurut persetujuan itu, sekatan ke atas Genting Gaza akan ditamatkan dan tuntutan penduduk Gaza akan dipenuhi," jelas pegawai itu yang enggan dikenali.

Kejayaan mencapai persetujuan itu turut disahkan oleh timbalan pemimpin Hamas, Mussa Abu Marzuk di Facebooknya.

"Rundingan itu berakhir dengan perjanjian yang memperlihatkan ketegasan dan kemenangan penduduk Palestin," katanya.

Pegawai Palestin itu menambah, persetujuan tersebut dicapai selepas 48 jam usaha diplomasi menyeluruh oleh ketua delegasi Palestin ke Kaherah, Azzam al-Ahmed.

"Sepanjang 48 jam itu, Azzam berbincang dengan pelbagai pihak termasuk kumpulan pejuang Hamas, Jihad Islam dan pemimpin Mesir selain berulang-alik ke Ramallah, Gaza dan Doha," jelasnya.

Sementara itu di Gaza, jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri dijangka membuat pengumuman rasmi tentang persetujuan tersebut. - AFP

utusan online










Comments