29 Aug 2014

Dari Drama Ke Dunia Perniagaan : Rubiah Suparman


Era 70-an hingga 80-an drama radio dan televisyen  dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) cukup berpengaruh dalam masyarakat. Antara drama radio popular ialah Drama Kebun Pak Awang, Fajar DiBumi Permata, Panggung Drama, Sandiwara Radio, No. 5 Persiaran Satu, Bila Kelopak Berkembang, Telatah Pak Tani, Purbawara Radio dan banyak lagi. Manakala televisyen pula muncul dengan Drama Minggu Ini yang diterbitkan oleh Roslee Jalil, Abdul Rahman Hamid, Abdullah Zainol, Zahora Gany Bathusha dan ramai lagi. Selain itu barisan pelakon pula begitu diminati dan sering berlakon di drama radio atau televisyen seperti  Aziz Singah, Baharuddin Haji Omar, Khatijah Abu Hassan, Ismail Hudson, Zainordin Ismail, Rahim Razali, Hussein Abu Hassan, M. Osman, Afida Es, Fauziah Nawi, Fauziah Samad, Noraini Hashim, Rubiah Suparman, Normah Damanhuri, Asmahani Husin, Nancy Foo, Margaret Tan, Lai Joo Lian, Abu Bakar Omar, Omar Abdullah, Ismail Din, Yalal Chin, Ahmad Tarmimi Seregar, Karim Latif, Abu Bakar Juah, Mohamad Abdullah, Ahmad Busu, Khairul Azhar, Tawil, Abdullah Abdul Rahman,  Sidek Hussin, Marlia Musa  Musa Al Bakri, Samat Arshad, Razali Buyung, Zaiton Hussein, Asiah Sarji dan ramai lagi.

Pelakon Wanita Terbaik (FFM4), 1983

Antara nama itu terjelma sebaris nama Rubiah Suparman. Kehebatran dalam drama radio dan televisyen cukup terbilang. Rubiah juga terjun ke dunia perfileman menerusi Dayang Suhana, Bila Hati Telah Retak, Pertentangan, Bintang Pujaan, Potret Maria, dan lain lagi. Anak kelahiran Singapura pada 2 Julai 1947 ini memulakan kerjaya lakonan pada usia muda dan berkahwin dengan Roslee Jalil ketika nama sedang melonjak. Lakonannya melalui Bila Hati Sudah Retak membawa kejayaan apabila menang Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia. Rubiah tewas juga dalam mempertahankan perkahwinannya selepas dikurniakan dua anak. Apabila berkahwin dengan Zahari Mohamad Nor, Rubiah mula beralih arah ke dunia perniagaan. Bermula dengan Restoran Puteri di Brickfields pada 1984 kini ada empat cawangan iaitu di Taman Tun Dr Ismail, Cheras dan Sungai Penchala.

Mencari kembali Rubiah Suparman dalam imbau detik menjelang kemerdekaan ke-57

Serba boleh! Rubiah Suparman punya kemahiran tersendiri
Wartawan Sinar Harian
22 April 2012


Serba boleh! Rubiah Suparman punya kemahiran tersendiri


Walaupun industri kita mengalami lambakan muka baru, namun kehadiran mereka tidak semestinya melenyapkan artis yang telah lama mencipta nama dalam bidang seni. Rubiah Suparman, 65, nama yang tidak asing lagi dalam industri tempatan. Walaupun kehadirannya dalam industri hanya seketika, namun impak yang diberi sangat besar.

Tidak pernah menyangka kebolehannya dalam bidang lakonan, Rubiah menganggap pengalaman dalam lakonan memberikannya seribu satu kenangan. Mengakui sudah tawar hati untuk kembali berlakon, Rubiah kini hanya menumpukan perhatian kepada restoran miliknya, Restoran Puteri, yang ditubuhkan sejak 1984 lagi.

Menurut Rubiah, walaupun dirinya pernah bergelar pelakon, namun minatnya dalam bidang masakan telah mengubah hala tuju perjalanan hidupnya.

“Saya menubuhkan Restoran Puteri di Brickfield pada tahun 1984. Ketika itu, saya masih berlakon. Namun, atas cadangan suami dan sahabat karib saya, Habsah Hassan, saya cuba menguruskan restoran ini.

“Setelah melihat kejayaan restoran itu, saya komited menubuhkan cawangan di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI). Sehingga kini, saya menambah dua lagi cawangan di Sungai Penchala dan Shamelin Perkasa, Cheras.

“Alhamdulillah, setakat ini, sambutan daripada pengunjung amat membanggakan. Kini, saya memiliki hampir 40 pekerja untuk menguruskan restoran tersebut,” katanya yang berjaya mempertahankan restoran itu hampir 28 tahun.

Menurut Rubiah, menu yang sentiasa mendapat sambutan daripada pengunjung ialah masakan Melayu seperti ikan bakar, sup cendawan dan siput sedut. Bijak menguruskan masa yang ada, Rubiah juga berjaya menghasilkan empat buku masakannya sejak empat tahun lalu.

“Saya hasilkan buku masakan untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat. Tiada apa yang istimewa kerana ianya lebih tertumpu kepada masakan tradisional Melayu. Saya hanya bukukan resipi masakan lauk pauk dan kuih muih yang senang dibuat dan tidak memerlukan bahan yang sukar.

“Jika ada kelapangan masa dan peluang, saya ingin hasilkan buku terbaru. Buat masa terdekat ini, saya sibuk menguruskan perniagaan terlebih dahulu,” katanya yang menghasilkan buku masakan, Resipi Kuih Muih Melayu, Lauk Pauk Malaysia, Singapura, Indonesia, Resipi Turun Temurun dan Selera Ramadhan.


Pelakon Wanita Terbaik

Bercerita mengenai penglibatannya sebagai pelakon, Rubiah mengakui tidak pernah terlintas di benaknya untuk bergelar pelakon. Bermula sekadar menemani abangnya menghadiri persatuan seni, dari situ, Rubiah mula memasang angan-angan untuk mencuba bidang tersebut.

Katanya, bakat terpendam itu tidak pernah di tonjolkan di zaman kanak-kanak dan persekolahan kerana tidak pernah tahu yang dia mempunyai bakat itu.

“Saya seorang yang pemalu. Ketika zaman gadis lagi, saya tidak bebas untuk berhibur bersama rakan-rakan kerana keluarga sangat tegas. Ibu bapa saya tidak pernah menyokong untuk menceburi bidang ini dan saya tidak pernah diberi pendedahan. Sehinggalah saya cuba untuk menyertai lakonan pentas tanpa pengetahuan ibu bapa," katanya yang mula berlakon di era Jalan Ampas pada tahun 1966 dan menjayakan drama pentas, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Walaupun mula membintangi filem pertama, Dance Suhana, pada tahun 1976, namun nama Rubiah mula dikenali setelah menjayakan drama, Ribut. Pada tahun 1970, Rubiah mula berhijrah ke ibu kota untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan. Ditambah pula, suaminya ketika itu mendapat tawaran menjadi penerbit televisyen di Malaysia.

Sehingga kini, Rubiah berjaya membintangi sembilan filem dan ratusan drama seperti Sakit Hati, Naik Tangga Turun Tangga dan Mencari Restu. Rubiah juga berjaya menggondol anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-2 (FFM2) 1981 dan Pelakon Wanita Terbaik (FFM4), 1983. Namun, kerjaya seninya hanya bertahan sehingga tahun 1997 sahaja kerana lebih berminat untuk menumpukan perhatian pada perniagaan.

"Saya perlu memilih salah satu kerjaya itu dan dengan bantuan rakan dan suami, saya memilih perniagaan. Kalau berlakon, saya tidak boleh tumpukan perhatian kerana fikiran masih ingatkan restoran dan keluarga. Lagipun, saya dah tak minat untuk berlakon lagi ketika itu. Walaupun banyak tawaran, tetapi saya tetap dengan keputusan,” katanya yang sempat berlakon dalam filem, Hati Bukan Kristal, pada 1997.


Isu kerakyatan

Menyentuh isu kerakyatan yang menimbulkan telagah dalam kalangan artis tempatan, Rubiah sebagai anak kelahiran Singapura juga merasakan tempiasnya. Mengambil masa selama 10 tahun untuk mendapatkan kerakyatan di Malaysia, Rubiah berpendapat bahawa isu ini tidak perlu digembar-gemburkan.

“Sepatutnya, isu ini tidak timbul kerana kita sama-sama mencari rezeki yang halal. Lagipun, di Singapura, rata-rata orang Melayu tidak berpeluang untuk menceburi bidang seni.

sinar harian


Rasa bagai ‘air tangan ibu’
Oleh Noriah Idris

Rindukan masakan kampung? Masakan seperti siput sedut masak lemak cili padi, ikan pari asam pedas, daging salai lemak cili padi, ayam kari kentang, kerabu mangga, sup daging berempah, soto ayam, laksa Johor dan banyak lagi sedia disajikan jika berkunjung ke Restoran Puteri Penchala untuk berbuka puasa pada Ramadan nanti.

Lebih menyelerakan, murtabak Singapura, ABC cendol dan pelbagai bubur atau pencuci mulut serta kuih-muih seperti seri muka, kuih lapis, koci, talam pandan serta aneka kuih yang sukar diperoleh masa kini tetapi boleh didapati di restoran yang terletak di puncak bukit di Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bersempadan Sungai Penchala itu.

Restoran milik dua sahabat akrab, Rubiah Suparman, 66, dan Habsah Hassan, 64, mempertaruhkan lebih 60 menu menarik, termasuk pencuci mulut dan minuman, untuk dinikmati secara bufet bermula pada hari kedua Ramadan buat mereka yang gemarkan masakan Melayu tradisional.

Pengurus operasi restoran, Azlinda Mohd berkata, walaupun dikenali lebih 20 tahun lalu, dia tidak menafikan setiap tahun restoran itu sentiasa dipenuhi pengunjung. Untuk mengelak kejadian sama, pelanggan disaran membuat tempahan awal.



KAK Chah (kiri) bersama Rubiah menunjukkan sebahagian sajian pada bufet Ramadan di Restoran Puteri.


“Bagi mengelakkan kesesakan, orang ramai digalak membuat tempahan awal, terutama untuk 20 pelanggan ke atas dan seorang akan dapat makan percuma.

“Begitu juga jika 50 orang dan ke atas, dua pelanggan diberi percuma. Bahkan, jika tempahan melebihi 50 hingga 130 ke atas, kami sediakan Bilik Putera iaitu ruang di tingkat atas restoran berkenaan.

“Jika tidak membuat tempahan awal, dibimbangi hampir semua ruang dipenuhi pelanggan hinggakan mereka yang datang secara terus ke restoran tidak mendapat tempat. Justeru tidak mahu mengecewakan orang ramai, kami menggalakkan mereka membuat tempahan awal,” katanya.

Menurutnya, bagi hidangan bufet sepanjang bulan puasa, harga untuk dewasa, RM55 (nett) dan RM27.50 (untuk anak berusia 5 hingga 11 tahun) serta pelanggan digalakkan datang seawal jam 7 malam dan berakhir pada 10 malam serta menyediakan masakan Melayu paling berbaloi.

Ketika melancarkan promosi masakan sempena Ramadan baru-baru ini, kedua-dua pemilik iaitu Rubiah dan Habsah atau Kak Chah yang meraikan tetamu menyatakan, perkara dipentingkan dalam sajian di restoran itu seolah-olah pelanggan menikmati ‘air tangan ibu’ di kampung.

Sebenarnya, sebelum menceburi bidang pemakanan, Rubiah mesra disapa Kak Rubi dikenali menerusi drama Dayang Suhana (1977).

Dia mengalih perhatian kepada perniagaan restoran pada 1984 dan sesekali berlakon sehingga perniagaan terus dikembangkan kepada beberapa cawangan lain, membuatkan wanita berasal dari Singapura ini terus memberi sepenuh perhatian, sekali gus meninggalkan bidang lakonan.

Sementara itu, rakan kongsinya iaitu Kak Chah adalah penulis lirik versatil serta memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Cakera Emas dari WEA Recording Company (Warner Music pada 1984) serta bergelar wanita pertama memenangi kategori Lirik Terbaik dalam pertandingan Muzik Muzik 1987.

Dia pernah menulis lirik untuk penyanyi ternama seperti Sudirman Haji Arshad, Noorkumalasari, Zaiton Sameon, Francissca Peter, Rahim Maarof, Khatijah Ibrahim, Erra Fazira, Misha Omar dan ramai lagi serta disegani hingga ke hari ini.

Namun, dalam perniagaan restoran, mereka sepakat memberikan kualiti terbaik buat pelanggan, terutama penggemar masakan tradisional, kerana yakin sentuhan kedua-duanya dalam makanan Melayu asli memang menjadi.

“Dalam mengolah makanan, kami mengekalkan rasa tanpa menggunakan serbuk perasa yang mengandungi bahan seperti MSG kerana mahu mengekalkan rasa asli seperti sambal belacan dan rempah-ratus tersendiri supaya masakan itu memberi kepuasan sebenar kepada pelanggan.

“Untuk itu, masakan kampung seperti ayam bakar Puteri disaluti percik enak dan ikan percik bakar ala Terengganu antara resipi terbaru yang menjadi pertaruhan, selain kuih-muih kampung seperti lompat tikam, bubur, sago gula Melaka dan aneka kuih yang semuanya dimasak sendiri,” katanya.

Bagi penggemar masakan panas, gerai atau ‘patio’ dibuat khusus buat penggemar untuk menikmati mi goreng, kuetiau dan pelbagai yang dimasak secara terus supaya mengekalkan keenakan masakan.


Resipi sambal tumis udang petai:
(Untuk dua hingga tiga orang)

Bahan:
300 gram udang sederhana (bersih dan buang kulit)
5 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
100 gram cili (kisar)
1 paket petai (buang kulit dan belah dua)
1 sudu air asam jawa
Garam dan gula secukup rasa
Minyak untuk menumis

Cara membuatnya:
1. Panaskan minyak. Tumis cili kisar terlebih dulu sehingga masak. Masukkan bawang merah dan bawang putih dan tumis sehingga terbit bau, kemudian masukkan udang. Kacau lagi sehingga separuh masak. Masukkan petai dalam cili serta kacau selama seminit. Akhir sekali masukkan garam, gula dan air asam jawa. Sedia untuk dinikmati bersama nasi.


Alamat: Restoran Puteri Penchala, Lot 3074, Jalan Datuk Sulaiman, Taman Tun Dr Ismail, 6000 Kuala Lumpur

Telefon: 03-7728 4886

E-mel: puteripencala@gmail.com

MyMetro


Dari RTM ke dunia filem kenapa akhirnya jadi taukeh restoran?

Oleh: SHAZRYN MOHD. FAIZAL


RUBIAH SUPARMAN (kiri) dan Habsah Hassan (lima dari kanan) ramah melayan rakan pengiat seni yang hadir di Restoran Puteri, Sungai Penchala, baru-baru ini.

MEREKA yang mengikuti perkembangan industri hiburan tanah air, sudah pasti akan mengenali dua nama besar ini. Seorang pelakon hebat di awal 80-an dan seorang lagi merupakan penerbit filem, drama dan penulis lirik yang berjaya mencipta legasinya tersendiri.

Rubiah Suparman dan Habsah Hassan, dua insan yang berjiwa seni dan kemudiannya beralih arah ke bidang yang langsung tiada kaitan dengan jiwa mereka iaitu perniagaan restoran.

Mengapa memilih perniagaan tersebut dan bukan cabang perniagaan berasaskan seni?

Ketika ditemui pada majlis penghargaan oleh Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PPFM) sempena meraikan kejayaan Festival Filem Malaysia ke-19 baru-baru ini, Habsah menceritakan segalanya.

“Semuanya secara kebetulan dan ia juga daripada minat kami berdua yang suka kepada masakan. Idea untuk menubuhkan restoran bermula pada 1984, iaitu ketika kami masih berkhidmat di RTM lagi,” cerita Habsah Hassan memulakan bicaranya.

“Ketika itu kami memulakan secara kecil-kecilan dengan menjual masakan kami kepada para pelajar ITM (sekarang UiTM) yang berada di kampus Jalan Othman,” katanya lagi.

Setelah berhenti berkhidmat dari RTM, idea untuk menubuhkan restoran masih diteruskan sehinggalah ia menjadi realisasi pada Julai 1984.

Dengan bermodalkan RM100,000, cawangan pertama di Jalan Brickfields yang kini masih mendapat tempat di hati pelanggan, mula ditubuhkan.

“Saya hanya mengendalikan soal urusan publisiti dan pemasaran. Kiranya, saya hanya terlibat di belakang tabir sahaja. Selebihnya, diserahkan kepada Rubiah. Dialah orang kuat dalam penubuhan restoran ini,” jelas Habsah sambil merujuk kepada Rubiah Suparman yang sibuk melayan tetamu pada malam itu.

Selepas hampir 18 tahun penubuhan restoran yang pertama, mereka terus mengorak langkah dengan menubuhkan cawangan kedua di Taman Tun Dr. Ismail pada 2002.

Pelaburan RM1 juta

Seterusnya tanpa menoleh belakang lagi, sejak enam bulan lalu, cawangan ketiga yang tersergam indah di atas bukit di Sungai Penchala mula beroperasi melalui pelaburan bernilai hampir RM1 juta. Sekali gus menunjukkan kesungguhan dua sahabat ini dalam urusniaga restoran.

Apakah sudah tidak ada lagi rasa minat di hati kedua-duanya untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni lantaran restoran dijadikan pilihan utama?

Mungkinkah kegagalan filem Qaisy & Laila telah membuat penerbitnya Habsah Hassan merajuk hati?

“Tidak. Soal merajuk dan kecil hati tidak timbul langsung. Cuma saya memerlukan masa dan modal untuk menerbitkan filem seterusnya. Sebenarnya minat pada seni filem ini tidak pernah luntur di hati saya.

“Selepas Hati Bukan Kristal, saya mengambil masa yang agak panjang untuk menerbitkan Soal Hati dan kemudiannya Soalnya Siapa. Sekarang, saya perlu tunggu modal yang cukup untuk menerbitkan filem seterusnya selepas kegagalan Qaisy & Laila,” kata Habsah lagi.

Jelasnya lagi, idea untuk filem terbaru sudah ada tapi masih di awal perancangan sambil menerangkan jalan cerita yang bertemakan kemanusiaan dan kehidupan masih menjadi pilihannya.

Filem sulung terbitan Habsah, Hati Bukan Kristal pernah memenangi enam anugerah utama pada Festival Filem Malaysia ke-9 (1991) termasuk Filem Terbaik, Cerita Asal Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Harapan bagi Julia Rais.

Berbeza dengan Habsah, Rubiah Suparman mengambil keputusan menceburkan diri dalam bidang perniagaan setelah menyedari bidang lakonan untuknya tidak akan kekal selamanya.

“Nasib pelakon kita bukan seperti di Hollywood. Di sana, pelakon yang meningkat usia, masih menjadi pilihan pengarah dan penerbit filem. Tetapi di sini, berbeza. Pelakon veteran jarang diberi perhatian dan watak yang ditawarkan semuanya stereotaip.

“Disebabkan itu, saya perlu menyiapkan diri saya dengan satu bidang yang dapat menjamin masa depan saya dan membolehkan saya untuk terus hidup. Sampai bila saya boleh hidup dengan hasil lakonan yang tidak seberapa itu,” jelas Rubiah tegas.

Setakat ini ketiga-tiga Restoran Puteri milik dua sahabat ini masih mendapat tempat di hati pelanggannya yang cintakan masakan Melayu asli.

“Alhamdulillah, para pelanggan saya masih terus menyokong saya kerana kata mereka di zaman moden ini, susah untuk mencari masakan Melayu asli seperti yang kami sediakan. Kata-kata mereka itulah membuatkan saya terus bersemangat,” kata Rubiah.

Malah Rubiah ada perancangan untuk membuka lebih banyak lagi cawangan Restoran Puteri di seluruh negara tetapi katanya, semuanya berdasarkan kepada faktor kewangan dan tenaga kerja.

Pelakon Wanita Terbaik

Mungkin ramai yang terlupa bahawa Rubiah Suparman pernah memenangi dua anugerah yang terus memahatkan dirinya sebagai antara pelakon wanita terbaik negara ini.

Dua anugerah tersebut ialah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Bintang Pujaan pada Festival Filem Malaysia Ke-2 pada 1981 dan dua tahun berikutnya, anugerah Pelakon Wanita Terbaik melalui filem Bila Hati Telah Retak.

Dengan anugerah yang pernah dimilikinya itu, Rubiah memang berhak memperkatakan tentang perkembangan industri filem sekarang.

Katanya, “Apa yang saya lihat, sesetengah pelakon zaman sekarang tidak pandai menghayati watak dan mencorakkannya. Mungkin kerana sekarang semuanya berdasarkan populariti dan kecantikan. Bukan bakat semata-mata.

“Pengarah juga harus memainkan peranan dalam membentuk karakter pelakon yang berlakon di bawah bimbingan mereka. Dengan itu, barulah watak tersebut sampai kepada penonton,” kata Rubiah sambil menyebut nama Shuhaimi Baba yang dianggapnya sebagai contoh pengarah filem terbaik.

utusan online


‘Tak ingin berlakon lagi’
Oleh Hartati Hassan Basri

DALAM usia 64 tahun, hidupnya kini cukup bahagia dikelilingi suami, anak dan cucu serta rakan-rakan. Bagi Rubiah Suparman, tiada apa lagi yang diimpikannya selain diberi kesihatan yang baik dan dapat meneruskan kehidupan hariannya dengan tenang.

Katanya, kalau dulu dia sibuk di lokasi sebagai pelakon tetapi semua itu sudah lama ditinggalkannya kerana melihat tiada jaminan masa depan sebagai pelakon.

“Kalau tanya apa lagi impian yang ingin saya capai, sudah tidak ada.
Alhamdulillah, saya sentiasa mengucap syukur dengan kehidupan yang dilalui kini.

“Tidaklah mewah tetapi apa yang lebih penting bagi saya, kehidupan tenang dan diberi kesihatan yang baik untuk memudahkan bergerak ke sana ke mari.

“Paling saya bersyukur, diberi rezeki dan kesihatan, dapat menunaikan ibadah lima waktu sehari dan ada rezeki menunaikan umrah ke Makkah serta jalan-jalan melihat negara orang,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Rubiah atau mesra de­ngan panggilan Kak Ruby, memulakan kerjaya lakonan pada 1967 di Singapura dan filem Dayang Suhana mula membuka mata ramai pihak terhadap bakatnya manakala filem Bila Hati Sudah Retak mengukuhkan namanya apabila menang Aktres Terbaik pada Festival Filem Malaysia pada 1983.

Filem lain lakonannya ialah Potret Maria bersama Datuk Sarimah Ahmad dan Bintang Pujaan bergandingan dengan Datuk Sharifah Aini.

Dilahirkan di Chancery Lane, Singapura pada 2 Julai 1947, pembabitannya dalam dunia seni bermula sebagai penari, penyanyi dan pelakon kerana sering mengikut abangnya, Abbas, menyertai aktiviti dijalankan persatuan seni di tempat mereka. Bertitik tolak dari situ, Rubiah berlakon drama radio dan televisyen.

Apabila berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut suami, Roslee Jalil yang ditawarkan menjadi penerbit drama di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1972, kerjayanya makin berkembang.

Ketika itulah juga Rubiah mula mengenali Habsah Hassan yang bertugas di RTM sebagai penulis skrip radio. Banyak drama yang ditulis Habsah diterbitkan Roslee dan Rubiah menjadi pelakonnya. Bagaimanapun, rumah tangga Rubiah dan Roslee tidak kekal dan mereka bercerai selepas dikurniakan dua anak perempuan, Arnida dan Azida.

Mungkin kerana sama-sama asal Singapura, Habsah dan Rubiah sangat rapat. Mereka saling menyokong kerjaya seni dan paling penting, sahabat ketika susah dan senang.

Kata Rubiah, ada keserasian antara mereka berdua, tambahan pula Habsah sedia membantu dan menjadi pendengar setia apabila dia bercerita mengenai masalahnya.

Selepas lebih 15 tahun berlakon, berkat galakan suami, Zahari Mohamad Nor, Rubiah meneroka perniagaan dengan membuka Restoran Puteri di Brickfields pada 1984 kemudian mendapat peluang berniaga di kantin Permodalan Nasional Berhad (PNB) Jalan Tun Razak pada 1987. Perniagaannya semakin berkembang apabila membuka Restoran Dayang di Taman Tun Dr Ismail pada 1990.

Rubiah berehat seketika daripada lakonan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan. Apabila mendapat tawaran menarik, Rubiah kembali ke lokasi seperti Sayang Ibu (1988) dan juga siri Keluarga untuk TV3.

Katanya, dunia lakonan hanya tinggal kenangan buatnya. Dunia itu sudah lama ditinggalkannya. Kali terakhir Rubiah berlakon ialah filem Soalnya Siapa? bersama Erra Fazira dan Afdlin Shauki. Itupun atas pujukan kawan baiknya, Habsah yang menjadi produser filem itu.

“Tidak ada pula keinginan untuk kembali berlakon. Sekarang ini seperti sudah tertutup pintu hati,” katanya.

Rubiah dan Habsah juga berkongsi minat sama apabila meluaskan lagi perniagaan Restoran Puteri hingga ber­kembang maju dengan empat cawangan iaitu di Brickfields, Taman Tun Dr Ismail, Cheras dan juga di Sungai Penchala, Taman Tun yang menjadi kebanggaan dua sahabat ini.

Restoran Puteri yang terletak di atas bukit di Sungai Penchala berbeza dengan tiga restoran lain kerana menyediakan hidangan bufet khusus untuk pelanggan korporat yang membawa pelanggan dan rakan mereka menikmati masakan Melayu.

Bagaimanapun, ia hanya beroperasi pada waktu tengah hari dan juga majlis khusus tertentu seperti ulang tahun kelahiran, perkahwinan atau majlis perkahwinan yang me­nyediakan pakej khemah dan juga hiasan pelamin.

Kata Rubiah, mereka pernah cuba menjalankan perniagaan pada waktu malam dengan masakan ala carte tetapi kurang mendapat sambutan kerana faktor lokasi.

“Sebelum ini kami cuba masakan Barat kemudian masakan Thai.

“Apabila melihat minat ma­syarakat kita sekarang dengan masakan Cina Muslim yang disediakan panas-panas, saya dan Habsah berminat pula untuk mencuba.

“Kami sudah mendapat kerjasama Chef Muhd Haikal Tang dari Fish Castle untuk membimbing tukang masak kami menyediakan masakan Cina Muslim.

“Insya-Allah, ia akan dimulakan selepas Aidilfitri nanti. Hari ini saya mengundang rakan-rakan mencuba masakan yang disediakan Chef Muhd Haikal.

“Antaranya, ketam masak masam manis, udang, ikan, ayam dan juga sayur.

“Sementara itu, sepanjang Ramadan nanti, Restoran Puteri juga menyediakan bufet berbuka puasa,” katanya.

Pada malam itu, Rubiah turut menerima kejutan daripada anak-anak dan rakan-rakan apabila meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-64.

Tiga anak perempuannya, Arnida, Azida dan Nadia me­nyediakan pulut kuning untuk meraikan ibu tercinta.

Cahaya kegembiraan jelas terpancar pada wajah ibu tiga anak dan mempunyai lima cucu ini.

harian metro 


Sinar Rubiah tidak pudar
Oleh MUZLINA ABU BAKAR


Gambar NOOR ASREKUZAIREY SALIM
Wajah Rubiah Suparman hari ini.

RAMAI di kalangan pencinta drama dan filem Melayu yang membesar dengan lakonan aktres ini. Ketika RTM merintis penerbitan drama, nama pelakon ini antara yang sering mendominasi kaca televisyen.

Keayuan, kesantunan dan keperibadiannya memikat perhatian ramai.

Kerana itu Rubiah Suparman, 63, pernah tersenarai antara pelakon yang disenangi ramai.

Tanpa perlu imej penggoda atau seksi, Rubiah membina imej yang tersendiri

Apa yang paling utama ialah meletakkan minat serta kejujuran di tangga paling teratas setiap kali keluar mencari rezeki sebagai anak wayang.

Bertitik tolak daripada prinsip itulah, Rubiah ketika era kegemilangannya bebas daripada sebarang kontroversi.

Selepas secara rasmi meninggalkan gelanggang lakonan pada tahun 1996, Rubiah beralih angin menjadi usahawan secara sepenuh masa.

Isteri kepada Zahari Noh, 70, dan ibu kepada Arnida, 38, Azida, 35, dan Siti Nadia, 23, mengambil keputusan meninggalkan bidang lakonan sebaik selesai membintangi drama bersiri Umi dan memberi tumpuan pada perniagaan restoran yang diusahakannya.

“Bagi saya cukuplah penglibatan dalam bidang lakonan,” katanya dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Selepas bersara sebagai pelakon dan menceburi bidang yang sama sekali berbeza, ia tidak sedikit pun mengubah pendirian Rubiah.

Bahkan, Rubiah begitu kental pendiriannya yang mahu menjadi seorang yang lebih fokus kepada tuntutan hidup sebagai seorang Muslim.

“Apabila saya berhenti berlakon, ada peminat dan kawan yang bertanyakan apakah saya tidak menyesal meninggalkan dunia glamor.

“Jawapan saya amat mudah, bagi saya sesuatu itu ada hadnya. Cukuplah anugerah yang pernah saya terima dan pengalaman sebagai anak seni.

“Saya enggan lagi sibuk di lokasi sehingga lalai dengan tanggungjawab saya sebagai Muslimah. Saya juga sudah puas melalui arus glamor.

“Dalam usia begini, saya rasa lebih baik saya melebihkan perhatian pada bekalan saya di akhirat,” Rubiah berkongsi rasionalnya memilih untuk bersara sebagai anak wayang.

Lagi pula, dengan usia yang semakin meningkat, dia mudah rasa tertekan apabila melihat persekitaran lokasi penggambaran era ini.

“Persekitaran hari ini tidak sama seperti era saya mula-mula menceburi bidang lakonan. Ada segelintir pelakon hari ini yang saya perhatikan melakukan kerja sambil lewa.

“Ada pula ketika sampai di lokasi baru menghafal skrip dan menghayati watak.

“Bukan itu sahaja, malah ada yang tidak menghormati pengarah. Sebabnya ketika saya berlakon bukan pengarah menunggu pelakon tetapi hari ini saya lihat ada pengarah yang terpaksa menanti pelakon,” cerita Rubiah dalam nada terkejut.

Melihat suasana kurang sihat itu menyebabkan Rubiah tidak teragak-agak melepaskan gelaran sebagai pelakon dan memilih untuk beralih bidang.

utusan online

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena