kau akan mengerti




kau akan mengerti
bagaimana untuk membuang gerhana
menambat sengsara
melepaskan dirimu dari rangkul gundah
sesudah kau mengenal kesakitan
yang tiba dari jemari kegagalan
dan kau harus berani mencabar dirimu
untuk bebas dari rimba ketakutan
kerana rasa tak pasti akan membunuh
segenap wangi keyakinan
yang sering kaubajakan dalam jiwamu

kaujangan mudah menyerah
hanya pada luka-luka kecil dan beban remeh
hidup ini satu tanggungjawab satu amanah
yang perlu kausempurnakan
dengan tanganmu dengan gerak langkahmu
dengan segala dirimu
jangan tunduk dan merasa dirimu kerdil
lalu badai akan menghanyutkanmu
jauh dari pulau tuju
jangan begitu dalam langkah perjuangan ini
kita harus berani memulakan lagi kekuatan
menetas jalur suram menepis bayang ragu
kerana tak ada siapa lagi yang membawamu
ke dalam gelap kehampaan
selain dirimu sendiri
dan kaulah pula yang mampu mendorong dirimu
kembali ke laut perjuangan

kau akan mengerti
bahawa kelemahan bukan penyebab putus asa
kemiskinan bukan belati menikam telapak harap
bersedialah untuk bangkit dari rebah
kerana kita masih bisa berjalan jauh atau berlari
kejar mimpi-mimpimu
tuhan akan selalu menemani
bermohonlah agar segala yang kauambil
dipermudah oleh Allah Maha Pengasih

jangan menangis kerana kauterjatuh
sesudah memilih jalan terbaik itu
tetapi menangislah jika kaugagal
untuk keluar dari ketakutan
membiarkan dirimu hanyut
dalam gelora kegagalan




Comments