PIBG Cemerlang

Tradisi ganding bahu lonjak SMK Kampung Selamat
MOHD. FIRDAUS ISMAIL


ZAINI Ahmad dan Wan Chik Ahmad melihat tiga pelajar menjalankan aktiviti 
penjagaan pokok pokok herba.

TASEK GELUGOR 24 April _ Tidak banyak sekolah yang membuka ruang seluas-luasnya kepada ibu bapa untuk turut sama dalam proses pengajaran dan pembelajaran bersama anak-anak mereka seperti yang diamalkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Namun, siapa menyangka tradisi itu yang diamalkan sejak sekian lama menyumbang kepada peningkatan prestasi sekolah berkenaan sehingga dipilih menerima Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Cemerlang Kategori Sekolah Menengah Luar Bandar.

Pengiktirafan itu diberikan sempena Anugerah PIBG Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012/2013 pada 19 April lalu.

Menerusi pendekatan itu, pihak pengurusan sekolah berkenaan membuka peluang kepada ibu bapa membantu guru-guru dalam aktiviti seperti menunjukkan cara mengawet serangga dan tumbuh-tumbuhan herba kepada para pelajar.

Pendekatan itu ternyata dapat mewujudkan hubungan erat antara guru dan PIBG sekolah berkenaan sekali gus memberi manfaat kepada pelajar sekolah berkenaan.

Pengetuanya, Zaini Ahmad berkata, kerjasama sejak beberapa tahun lalu itu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif kepada pelajar di sekolah berkenaan.

Menurutnya, pendekatan itu juga membolehkan sekolah berkenaan mencatat prestasi akademik membanggakan selain tidak menyaksikan berlakunya masalah disiplin dalam kalangan pelajar yang serius.

“Lokasi sekolah ini terletak di kampung yang dikelilingi ladang kelapa sawit menyebabkan perlunya untuk kedua-dua pihak bekerjasama termasuk dalam aspek keselamatan pelajar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah berkenaan hari ini.

Menurut Zaini, pihak sekolah bersama PIBG juga secara konsisten menganjurkan pelbagai aktiviti melibatkan komuniti seperti program santai dan kenduri rakyat untuk mengenali masyarakat setempat.

Mereka juga, katanya, mengadakan kutipan derma untuk membantu beberapa keluarga miskin termasuk pelajar di sekolah berkenaan.

Tambahnya, pelaksanaan program berkenaan menghasilkan maklum balas positif apabila ibu bapa tidak lagi 'segan' untuk datang ke sekolah dan berkongsi pendapat.

Keadaan itu, ujarnya, berbeza berbanding sebelum ini yang mana kelibat ibu bapa di sekolah hanya boleh dilihat ketika mesyuarat PIBG atau ketika mengambil buku laporan anak masing-masing.

“Kini ibu bapa turut bekerjasama dan memberi sumbangan dalam mencantikkan kawasan sekolah dengan membina taman herba dan zoo mini untuk manfaat pelajar," katanya.

Dalam aspek pencapaian akademik pula, katanya, SMK Kampung Selamat yang baru berusia 11 tahun menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan.

“Dengan kekuatan seramai 65 orang guru dan 16 kakitangan, sekolah ini berjaya berada pada kedudukan 347 daripada jumlah keseluruhan 2,215 buah sekolah menengah di seluruh negara.

“Pencapaian dalam subjek Bahasa Inggeris juga baik kerana mencatatkan kelulusan 86.29 peratus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lepas selain dua calon berjaya mendapat 9A dan enam calon berjaya mendapat 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG SMK Kampung Selamat, Wan Chik Ahmad berkata, pihaknya berusaha menjayakan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan.

“Antaranya kita bekerjasama erat dengan ibu bapa, komuniti, sektor swasta secara meluas.

“Masyarakat juga akan membantu melaporkan kepada pihak sekolah jika ada aktiviti pelajar yang mencurigakan," katanya.

Dalam pada itu, Wan Chik memberitahu, pihaknya turut merancang program santai, ceramah agama dan kelas motivasi membabitkan penyertaan masyarakat setempat sebelum Ramadan ini.

utusan online

Kerjasama erat dengan PIBG kunci kejayaan SK Muzaffar Syah


BIBI Sakinah Haron Khan (empat dari kiri) dan Talib A. Samat (tiga dari kiri) serta guru-guru bergambar bersama-sama piala dan replika cek RM30,000 apabila memenang Anugerah PIBG Cemerlang Sekolah Rendah Peringkat Kebangsaan 2012-2013 di SK Muzaffar Shah, Ayer Tawar 3, Kota Tinggi.

KOTA TINGGI 24 April - Slogan 'Sekolah Berbudaya, Komited dan Berintegriti' yang diterapkan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Muzaffar Syah, Bibi Sakinah Haron sejak setahun lalu berjaya melonjakkan imej sekolah, sekali gus dinobatkan sebagai penerima Anugerah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Cemerlang peringkat Kebangsaan 2012/2013.

Anugerah berprestij yang diberikan Kementerian Pendidikan itu melayakkan SK Muzaffar Syah yang terletak di Felda Ayer Tawar 3 yang mempunyai 357 murid dan 31 guru itu melayakkan mereka memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM30,000.

Bibi Sakinah berkata, banyak faktor yang mendorong kejayaan tersebut, namun yang paling penting hasil kerjasama erat antara warga sekolah, murid-murid, masyarakat, ibu bapa serta Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi.

"Sejujurnya apabila saya ditugaskan ke sekolah ini pada 22 Februari tahun lalu, saya melihat dengan hati yang tulus ikhlas banyak peluang dan ruang untuk melonjakkan pencapaian sekolah dan sebagai langkah awal saya mengadakan perjumpaan dengan ibu bapa dan komuniti termasuk pertubuhan dan agensi yang ada dalam masyarakat.

"Selain ibu bapa saya mengadakan perjumpaan dengan pihak pengurusan Felda Ayer Tawar 3, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan PIBG sedia ada," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Bibi Sakinah berkata, selama ini masyarakat setempat tidak ada sebarang keistimewaan atau kebanggaan tentang sekolah tersebut.

Berikutan itu, pihak sekolah bersama barisan Ahli Jawatankuasa PIBG yang diketuai Yang Dipertuanya, Talib A. Samad telah memperkenalkan enam elemen yang perlu dibangunkan di bawah sarana sekolah.

"Dalam tempoh setahun, kesemua elemen itu saya terjemahkan antaranya, mewujudkan suasana yang kondusif, kaedah komunikasi yang berkesan, mengambil keputusan bersama dan mengambil tanggungjawab bersama.

"Kesemua elemen itu kita adun, terjemah dan dilaksanakan secara menyeluruh dan hasilnya cukup membanggakan sehinggakan komuniti termasuk ibu bapa dan pertubuhan serta agensi yang ada di kawasan Felda Ayer Tawar 3 menjadikan SK Muzaffar Syah sebagai 'keluarga' yang harus ditatang bagaikan minyak yang penuh.

"Inilah kenangan yang cukup manis dan cukup besar ertinya bagi saya apabila masyarakat sudah kenal dan mengakui bahawa SK Muzaffar Syah merupakan sebahagian daripada kehidupan mereka. Hakikat itu dapat dilihat mereka sanggup berkorban tenaga, wang ringgit dan idea demi kecemerlangan sekolah bertuah ini, " katanya yang mesra dipanggil bonda.

utusan online



Bicara Pengetua

ALHAMDULILLAH DAN SYUKUR..ke hadrat Ilahi di atas kejayaan SMKTTJ (Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar) Seremban menjulang Piala dan Hadiah Anugerah PIBG Cemerlang Peringkat Kebangsaan Kategori Sekolah Menengah Terbaik...di dalam Konvensyen & Anugerah PIBG Cemerlang Peringkat Kebangsaan yang di adakan di MAEPS, Serdang , Selangor pada 19 April , 2014 yang lalu..

Dengan kemenangan ini, SMKTTJ telah berjaya membawa pulang hadiah sebanyak RM30,000.00 , Piala utama dan Piala Iringan serta sijil.

Kegembiraan dan kepuasan yang tidak terhingga tergambar di setiap wajah para ibubapa, guru dan pelajar yang hadir memberikan sokongan dan hadir meraikan kejayaan ini.

Sesungguhnya kejayaan ini amat besar ertinya terhadap pengorbanan, komitmen dan kesungguhan serta kepuasan setelah segalanya dibalas oleh Allah dengan kejayaan yang hebat ini...!

Tidak hairanlah ramai diantara para ibubapa yang hadir pada majlis ini turut menitiskan airmata kegembiraan dan kepuasan dengan kejayaan ini. Inilah kejayaan yang bukan sedikit ertinya terhadap pengorbanan semua pihak terutamanya para ibubapa hebat sekolah ini yang sanggup mengorbankan waktu, tenaga, mwang ringgit dan perasaan di dalam membantu sekolah demi untuk melakarkan kecemerlangan yang hebat ini.

Mereka ini yang saban hari hadir ke sekolah memberikan khidmat dan sentiasa bersama sehingga malam hari dan sentiasa berlapang dada dan rela bekorban untuk bersama-sama menjayakan setiap program yang dianjurkan. Mereka berkorban tanpa mengira masa, dan tenaga serta wang ringgit demi untuk meringankan bebanan para guru di dalam memastikan anak-anak mereka dapat pendidikan yang terbaik .

Kegembiraan mereka ini juga turut dikongsi bersama oleh Yang Berbahagia Dato Pengarah JPNS , Dato Hjh. Kalsom Binti Khalid yang hadir sama pada majlis tersebut.


Saya secara peribadi mengucapkan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua warga sekolah, guru-guru, para pelajar, SMKTTJ Partner's , swasta, NGO, Agensi awam, Komuniti dan terutama ibubapa SMKTTJ yang hebat ini...


Kejayaan ini adalah bukti kesungguhan kita dan keyakinan kita bahawa KITA MAMPU CEMERLANG... Terima kasih buat ibubapa hebat ini yang sentiasa memberikan sokongan dan sentiasa yakin dan percaya terhadap segala perancangan sekolah di dalam mengejar kecemerlangan..semoga kita akan diberkati Allah dan semoga Allah membalkas segala kebaikan semuanya dengan kejayaan buat diri dan keluarga tuan-tuan..



Tahniah kepada YDP PIBG, Dato Hj. Mohamad Nordin yang sentiasa komited dengan usaha meningkatkan kecemerlangan sekolah dan senttiasa yakin akan hala tuju dan kaedah yang dilaksanakan oleh sekolah untuk mencipta kecemerlangan.

Ternyatalah...ANDA MEMANG HEBAT...

dan teruslah kita menCIPTA KEJAYAAN....

bicara seorang pengetua

Comments