Kedaulatan Islam Sebagai Agama Negara: Peranan Raja-Raja Melayu Berpaksikan Perlembagaan*
Shamrahayu A Aziz**
Pengenalan
Hubungan antara Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu (DYMM Raja-Raja Melayu) dan Agama Islam boleh dilihat menerusi Perlembagaan Persekutuan dan juga Perlembagaan negeri. Hubungan tersebut merangkumi, antara lain, peranan yang perlu dimainkan oleh raja-raja berkenaan Islam. Sama ada dengan kapasiti sebagai Ketua Agama di negeri masing-masing atau bersama dengan Majlis Raja-Raja, raja-raja boleh memainkan peranan besar untuk mendaulatkan Islam sebagai agama negara atau agama negeri sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan. Selain daripada itu sebagai simbol perpaduan, raja-raja juga boleh melaksanakan peranan untuk memartabatkan Islam. Kertas ini cuba mendalami peranan yang perlu dipenuhi oleh raja-raja bagi mendaulatkan agama Islam sebagai agama negara. Di samping mengetengahkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai peranan tersebut, kertas ini juga cuba memberi tafsiran berkenaan tujuan dan semangat Perlembagaan. Bagi memenuhi objektifnya kertas kerja ini saya cuba membawa kepada peserta seminar ringkasan sejarah berkenaan hubungan dan peranan raja-raja dan Islam, dari Alam Melayu sehingga peranan tersebut diisytiharkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sejarah Ringkas Pertalian dan Peranan Raja-Raja Melayu dan Islam
Hubungan antara Raja-Raja Melayu dan Islam dapat dilihat dengan jelas dalam lipatan sejarah Alam Melayu. Kita saksikan sejarah yang membuktikan pertalian antara Islam dan raja-raja bukan hanya satu tautan fizikal. Pertalian antara keduanya adalah tautan jiwa dan nurani yang menjadi begitu sinonim sehingga menjadikan Islam sebagai mandat yang hendaklah sentiasa dipenuhi tanggungjawabnya oleh raja-raja sepanjang tempoh takhtanya.
Kita maklum Alam Melayu begitu sinonim dengan agama Islam sehinggakan orang-orang Melayu dan Islam itu dianggap sebagai ganti antara satu sama lain; iaitu, yang dikatakan Islam itu adalah Melayu dan yang dikatakan Melayu itu Islam. Walaupun ini tidak semestinya benar, kerana Islam itu bukanlah terbatas kepada Melayu, tetapi oleh kerana hubungan antara keduanya adalah hubungan simbiotik, maka itulah pemahaman dan penerimaan masyarakat Melayu berkenaan Islam sehinggalah Melayu hendaklah sentiasa beragama Islam sebagaimana diisytiharkan dalam Perlembagaan (160(2)). Malah keputusan mahkamah juga berkata begitu (Azlina Jailani – Mahkamah Tinggi)
Atas peranan yang telah dimainkan oleh institusi raja berkenaan Islam, maka Islam berkembang di Alam Melayu bukan sahaja sebagai satu kepercayaan atau agama semata-mata. Raja-Raja telah menjadikan Islam berkembang dengan gemilang di Alam Melayu sebagai satu cara hidup yang mewarnai dan mencorak kehidupan serta budaya masyarakat. Penerimaan Islam sebagai cara hidup dan pemakaian sistem politiknya menerusi pemerintahan Raja-Raja Melayu menjadikan Alam Melayu ini sebuah tamadun yang makmur dan gemilang. Institusi raja telah memainkan peranan penting serta menjadi tunggak kepada pengembangan dan kegemilangan Islam di Alam Melayu.
Peranan raja sentiasa menjadi tumpuan dalam proses keIslaman di Alam Melayu. Kelihatan dengan jelas kesan dan pengaruh keislaman raja yang memeluk Islam ke atas rakyatnya. Setelah seorang raja memeluk Islam maka rakyatnya juga mentaati Islam. Pengislaman raja menjadi titik tolak kepada pengembangan Islam di Alam Melayu.
Mengenai Islam dan raja di Tanah Melayu, kewibawaan Raja-Raja Melayu berkaitan Islam telah membawa kegemilangan kepada Tanah Melayu dan menjadikan Tanah Melayu sebagai pusat perdagangan yang masyhur. Raja adalah sumber kestabilan dan kemakmuran negara dan merupakan contoh tauladan – menjadikan kedudukan raja sungguh tinggi sehinggakan setiap kata-katanya adalah undang-undang. Kalau bukan dengan kesungguhan raja, tidaklah Islam begitu tersebar di Alam Melayu dan seterusnya menjadi masyhur dan sebati di Tanah Melayu, termasuklah Empayar Melaka serta kesultanan sebelum dan selepasnya, seperti Kesultanan Terengganu, Kedah dan Perak. Malah dalam konteks undang-undang kesultanan-kesultanan ini mempunyai senarai undang-undang Islam yang bukan sedikit.
Dalam keadaan itu, bukan tiada cabaran atau rintangan yang dihadapi raja-raja dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup dan asas pemerintahan serta perundangan. Cabaran itu bukan pula sedikit. Raja-raja melalui cabaran dari sudut penyesuaian budaya. Perubahan daripada satu corak kehidupan kepada sesuatu yang berlainan menjadikan ia satu kejutan budaya dan ia bukan satu yang mudah.
Raja-raja juga menghadapi cabaran dalam mengubah kefahaman Hindu yang agak mendalam di kalangan masyarakat Alam Melayu termasuk juga Tanah Melayu. Begitu juga dengan cabaran yang datang daripada kuasa adat. Apabila disebut adat maka dengan sendirinya difahami bahawa ia merupakan sesuatu yang begitu tertanam dan membumi dalam masyarakat. Adat ialah amalan yang telah sekian lama mendapat tempat yang sangat selesa dalam budaya Alam Melayu sebelum kedatangan Islam. Maka secara resamnya, mengubah sesuatu yang telah menjadi amalan yang membumi itu bukan sesuatu yang mudah. Di sinilah juga peranan raja-raja menjadi terserlah.
Setelah Islam berjaya dijadikan sumber kepada cara hidup dan pemerintahan, cabaran seterusnya yang telah dihadapi Raja-Raja Melayu ialah pengaruh kuasa atau penjajah Barat di Alam Melayu. Kuasa Barat tidak datang ke ruang Alam Melayu dan Tanah Melayu ini dengan tangan kosong. Mereka membawa pengaruh bukan sahaja imperialisme fizikal tetapi juga sarat dengan misi keagamaan. Dengan misi dan pendekatan yang berkesan pengaruh penjajah Barat dalam hal keagamaan itu juga bukan calang-calang hebatnya di kalangan masyarakat Melayu. Ini menjadi cabaran yang besar kepada raja-raja. Kedatangan kuasa Barat yang membawa bersamanya ajaran Kristian dan undang-undang sekular dilihat sebagai mencabar kedudukan Islam dan undang-undangnya yang telah lebih seabad bertapak di Tanah Melayu. Fakta sejarah perundangan menyaksikan, terutamanya ketika pemerintahan British, undang-undang dari England telah diperkenalkan secara tidak langsung menerusi hakim-hakim Inggeris yang membuat keputusan berdasarkan undang-undang dan kefahaman mereka. Seterusnya British memperkenalkan undang-undang mereka secara formal dengan pengenalan Piagam-Piagam Keadilan. Kita mengambil perhatian juga bahawa Hakim Inggeris mengiktiraf kedudukan undang-undang Islam sebagai undang-undang yang tidak asing walaupun niat pengiktirafan ini boleh dipersoal. Walaupun ada yang menafikan kesan Piagam Keadilan terhadap perundangan negara, hakikatnya ialah Piagam tersebut telah memberi ruang yang lebih luas kepada hakim-hakim untuk merujuk kepada undang-undang Inggeris. Kewibawaan raja-raja mengekalkan kedudukan Islam di bawah naungan baginda sehingga kedudukan Islam itu kekal dan diiktiraf walaupun kedatangan Barat itu membawa ajaran Kristian dan juga undang-undang sekular yang begitu dominan.
Dengan kedatangan kuasa Barat, peranan dan sumbangan institusi raja bukan sedikit demi kelangsungan Islam walaupun dalam keterbatasan ketenteraan jika dibandingkan dengan kuasa Barat.[1] Raja-raja telah membuktikan kebolehan diplomasi sehingga institusi raja itu sendiri dapat dikekal dan agama Islam berjaya dipertahan walaupun beberapa negara beraja lain telah hilang sistem beraja bahkan agama yang berada di bawah naungan raja telah hilang daripada ruang perundangan. Di India contohnya, bukan sahaja sistem beraja yang hilang tetapi juga agama yang begitu berpengaruh juga telah dikeluarkan daripada perundangan sehingga Perlembagaan India yang merdeka mengisytiharkan negara tersebut sebagai sebuah negara sekular – sedangkan kita tahu agama Hindu begitu sebati dengan negara India sebelum penjajahan Barat – bahkan sehingga kini.
Ketika dalam proses kemerdekaan, cabaran besar datang kepada kedudukan agama Islam dengan berkembangnya pengaruh komunisme. Fahaman komunisme ini juga menjadi kebimbangan dan juga boleh dianggap sebagai cabaran yang telah dihadapi oleh raja-raja berkenaan peranan mempertahan dan memartabatkan agama Islam.
Cabaran atau rintangan yang telah disebut di atas telah mencabar kebijaksanaan raja-raja bagi menjaga dan mempertahankan agama Islam. Walaupun dalam liku dan rimbunan onak duri yang tebal telah ditempuhi itu, Islam tetap selamat di bawah naungan dan payung baginda.
Semangat juang yang tinggi serta sifat peribadi terpuji raja-raja telah berjaya mengharungi semua cabaran itu. Sifat warak dan keilmuan serta keperibadian raja telah menjadikan Kesultanan Melayu (Melaka, sebagai contoh, atau lama sebelum itu, Pasai) sebagai pusat keilmuan, pusat perdagangan dan kegemilangan Islam. Begitu juga contoh yang didapati pada Kesultanan Acheh, Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, Riau, Palembang dan beberapa kesultanan di Alam Melayu yang lain.[2] Ketokohan, kewibawaan dan keperibadian seorang raja yang memerintah diserasikan dengan unsur kudus, luhur dan suci. Jika sebelum Islam sifat-sifat ini dikaitkan dengan dewa dan kepercayaan lain tetapi setelah kedatangan Islam, sifat-sifat ini dikaitkan dengan Allah dan RasulNya serta para anbia dan wali-wali Allah. Percaya atau tidak sehingga kini kita mempunyai penulisan yang mengaitkan Raja-Raja dengan keturunan Rasulullah terus dari Mekah.
“dan jangan kamu sekalian lupa pada berbuat kebaktian kepada raja kamu. Oleh itu kata hukama, adalah raja yang adil itu dengan Nabi Sallahahu-‘alaihi wasallam umpama dua buah permata pada sebentuk cincin; lagipun raja itu umpama ganti Allah dalam dunia, kerana ia zulilahi-fi’l-‘alam; apabila berbuat kebaktian kepada raja seperti berbuat kebaktian kepada Allah Subhanahu-wa-Taala. Yakni berbuat kebaikan kamu akan Allah dan Rasul-Nya dan akan raja… hendaklah janganlah kamu lupai, supaya kebesaran dunia akhiratkamu perolehi”[3]
Di sinilah juga lahir konsep ‘kedaulatan’ raja. Ini bagi memberikan keyakinan kepada rakyat akan karisma pimpinan raja tersebut. Konsep ‘daulat’ raja dalam hubungannya dengan Islam boleh dikiaskan dengan keupayaan raja mendapat kepercayaan rakyat dalam mentadbir dan melaksana urusan Islam – sebagai lambang dan unsur sisiopolitik tradisi Islam yang istimewa sebagai tokoh yang berdaulat terhadap rakyat. Dengan prinsip Islam, konsep kedaulatan dikaitkan dengan keimanan, ketakwaan, keunggulan peribadi, keluhuran budi, dan pencapaian rohaniyah. Di sinilah letaknya juga peranan ulamak dalam memberi panduan menasihati dan memperingati raja-raja. Karisma mengenai Islam dan daya kepimpinan untuk Islam akan menjadikan seorang raja itu mampu mengekalkan daulat dan memikat rakyat kepada Islam.
Dalam keadaan kedaulatan raja ketika ini merujuk kepada Perlembagaan, ia amat jauh berbeza dengan kedaulatan raja terdahulu yang dikaitkan dengan karisma, kebolehan peribadi dan kewibawaan batang tubuh raja tadi. Bagaimana pun, dalam sistem berperlembagaan, walaupun kedudukan dan peranan raja berkaitan Islam jelas terpahat, ia bukan sesuatu yang tersendiri dan terpisah daripada keperibadian raja bagi memikat rakyat kepada Islam dan memartabatkan Islam. Ini kerana Islam itu harus diperlihat dan diperaku melalui keperibadian dan apa yang dimasyhurkan dalam Perlembagaan itu adalah bagi memudahkan institusi raja memainkan peranan mendaulatkan Islam.
Dalam proses kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan, raja-raja agak keberatan untuk meletakkan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun Suruhanjaya Reid menganggap raja-raja mempunyai reaksi negatif terhadap cadangan itu, Suruhanjaya tidak meletakkan alasan yang telah diutarakan oleh raja-raja. Dalam nota ‘perbicaraan’ ketika pertemuan antara wakil raja Melayu dan ahli Suruhanjaya, raja-raja menyatakan ketidaksediaan mereka itu berpunca daripada perbincangan mengenai sama ada perlembagaan yang dirancang itu patut memberi hak kepada Melayu untuk menukar agamanya dalam konteks kebebasan. Ketika berbicara tentang pertukaran agama, raja-raja memikirkan lebih baik untuk Islam dikekalkan sebagai urusan negeri-negeri.[4] Oleh itu pernyataan Suruhanjaya Reid berkenaan pandangan raja-raja berkenaan peruntukan Islam sebagai agama persekutuan tidak disertakan dengan keterangan menyeluruh.
Islam dalam Perlembagaan secara ringkas
Hakikat yang dapat kita lihat secara harfiah dalam Perlembagaan ialah Islam berada pada tempat yang sangat selesa dalam sistem perundangan negara. Kedaulatan Islam beriringan dengan kedaulatan Perlembagaan. Perlembagaan Persekutuan, sebagai sebuah perlembagaan bertulis mengisytiharkannya sebagai undang-undang tertinggi negara melalui per. 4(1). Perlembagaan juga mengisytiharkan Islam sebagai agama bagi negara dengan memaktubkan per. 3. Selain daripada per. 3 ini, terdapat beberapa peruntukan lain yang meletakkan Islam pada tempat yang tinggi dan berbeza daripada agama lain. Perkara-perkara lain itu termasuklah per. 12(2), 11(4) dan 150(6A) sert sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong berkaitan Islam. Kita juga telah melihat kedudukan Islam yang berbeza jika dibandingkan dengan agama lain sebagaimana dihujahkan oleh mahkamah dalam beberapa kes seperti Meor Atiqulrahman, Kamariah Ali, Azlina Jailani dan terbaru, kes Fathul Bari walaupun agak berbeza dengan pendekatan tafsiran yang dibuat dalam kes Che Omar Che Soh.
Bagi kepentingan munasabah kaum lain, Perlembagaan membenarkan bukan penganut Islam untuk mempunyai kebebasan beragama. Namun, raja-raja telah memainkan peranan penting ketika penggubalan Perlembagaan dengan memberikan peringatan kepada Suruhanjaya Reid supaya kebebasan beragama itu tidak merangkum kebebasan untuk menyebarkan agama bukan Islam di kalangan orang Islam atau menyebabkan orang yang beragama Islam menukar agama. Dalam kata-kata peguam yang mewakili raja-raja:
“The position is this in practice. Supposing a teaching order, in a broad sense, wants to establish an educational establishment in the stats – well, no difficulty in the past has been put for practical reasons in the way of their doing so, and they are encouraged by grants of land to come and do it but the understanding is that you must not try and convert Muslims. With all the others you can do what you like.”[5]
Peranan Raja-Raja Mengenai Islam Berpaksikan Perlembagaan
Kalau dahulu, sebelum Perlembagaan digubal, keselamatan, kemakmuran dan keamanan negara dikaitkan dengan pemerintahan raja yang adil dan tuah raja, perkara ini tidak jauh berbeza walaupun dengan adanya Perlembagaan bertulis. Walaupun negara menerima sistem pemerintahan demokrasi berparlimen, kita tidak meninggalkan insitusi raja. Kita masih mengekalkan sistem beraja walaupun telah ditukar kepada ‘raja berperlembagaan’. Selain daripada mengekalkan institusi raja, kita bahkan dari satu sudut, kita telah mengukuhkan institusi raja tersebut. Hal ini dapat dilihat bilamana kita menambah bilangan takhta dan memperaku pembentukan dan peranan Majlis Raja-Raja dalam Perlembagaan Persekutuan.
Bagi membincangkan peranan mendaulatkan Islam sebagai Agama bagi Negara, beberapa konsep dan peruntukan berkaitan kedudukan, kuasa dan tanggungjawab yang boleh dimainkan oleh DYMM Raja-Raja Melayu cuba diketengahkan dalam perbincangan di bawah.
Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan
Frasa ‘Raja Berperlembagaan’ tidak asing dalam kebanyakan sistem monarki yang diamalkan dalam dunia demokrasi hari ini. Frasa ini boleh diertikan sebagai menolak sistem feudal dan juga pemerintahan berdasarkan kehendak raja secara mutlak. Dengan kata lain, frasa ‘Raja Berperlembagaan’ juga melambangkan institusi raja bukanlah sistem feudal yang membolehkan raja bertindak sesuka hati tanpa sebarang kawalan atau tanpa sekatan. Dalam sistem raja berperlembagaan ini raja harus bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan yang telah menutup ruang kepada kuasa mutlak.
Menerusi sistem raja berperlembagaan sebagaimana dimaktubkan Perlembagaan Persekutuan, DYMM Raja-Raja bagi negeri-negeri hendaklah bertindak atas nasihat Majlis Eksekutif yang diketuai oleh Menteri Besar, manakala di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri dalam semua perkara kecuali dalam beberapa perkara yang disebut sebagai kuasa budi bicara.
Sebagaimana difahami daripada sejarah dan penerimaan prinsip raja sebagai Ketua Agama, kuasa, peranan dan tanggungjawab berkaitan hal-ehwal agama Islam serta adat istiadat Melayu sepenuhnya berada di bawah ruang lingkup budibicara DYMM Raja-Raja. Walaupun tidak dikelaskan begitu dalam per. 40 (peruntukan berkaitan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak atas nasihat) sebagai sebahagian daripada kuasa budi bicara, semangat Perlembagaan hendaklah diambil perhatian. Semangat Perlembagaan dalam konteks ini ialah, DYMM Raja-Raja Melayu merupakan Ketua Agama bagi negeri-negeri dan agama Islam adalah urusan negeri-negeri serta menurut tradisi dan warisan sejarah, Raja-Raja Melayu berkuasa penuh ke atas agama Islam. Kesannya di sini, dalam hal urusan berkaitan agama Islam dan adat resam atau adat istiadat Melayu, DYMM Raja-Raja tidak tertakluk kepada nasihat Jemaah Menteri. Seperti juga semasa pemerintahan Inggeris, raja-rajalah juga yang menggenggam kuasa berkaitan Islam. Islam (dan adat istiadat Melayu) kekal dalam kekuasaan dan budibicara baginda.
Kesan daripada itu, sebarang tindakan atau apa juga perkara berkenaan agama Islam dan Melayu hendaklah diurus dan diselenggara menurut kehendak Raja-Raja (berdasarkan nasihat-nasihat Mufti atau institusi lain yang diberikan tanggungjawab memberi nasihat dalam hal berkenaan agama Islam. Menerusi konsep raja berperlembagaan inilah juga raja-raja Melayu boleh melaksanakan peranan untuk mendaulatkan Islam sebagai agama bagi negara kerana kuasa Raja berkaitan agama Islam adalah konklusif. Sekiranya tidak, baginda tidak akan dapat memelihara Islam sebagaimana dimaksudkan di dalam sumpah jawatan (yang akan dibincangkan dibawah). Keadaan ini memberikan Raja satu posisi selesa sebagai Ketua Agama dan melaksanakan peranan mendaulatkan Islam sebagai Agama Negara.
Oleh itu, konsep raja berperlembagaan ini tidak boleh dijadikan sekatan kepada DYMM Raja-Raja Melayu untuk memartabatkan Islam sebagai Agama Negara.
Raja-Raja Melayu Sebagai Ketua Agama
Perlembagaan Persekutuan mengekalkan raja-raja Melayu sebagai Ketua Agama di negeri-negeri Melayu yang sembilan itu. Bahkan bagi negeri-negeri lain yang tidak mempunyai raja Perlembagaan Persekutuan menyatakan supaya dimasukkan ke dalam Perlembagaan negeri itu peruntukan bagi meletakkan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing (per. 3(3)). Melalui Perlembagaan Persekutuan juga Yang di-Pertuan Agong dijadikan Ketua Agama bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan (per. 3(5)).
Walaupun istilah ‘Ketua Agama’ ini agak baharu iaitu dalam tradisi kepimpinan berkaitan agama Islam, tetapi ia menggambarkan tentang kekuasaan dan tanggungjawab raja-raja terhadap Islam. Kedudukan sebagai ‘Ketua Agama’ tidak bersifat ‘ceremonial’. Terkandung di dalam kedudukan itu tanggungjawab yang besar. Istilah ‘ketua’ sebagaimana maksud literalnya ialah pemimpin yang mengepalai dan bertanggungan. Lahir daripada pengertian dan maksud literal perkataan ‘ketua’ itu, maka kedudukan ‘Ketua Agama Islam’ itu bermaksud seorang pemimpin yang bertanggungjawab untuk mempastikan agama Islam sentiasa terpelihara dan dihormati.
Perlembagaan bagaimana pun tidak memperincikan cara atau mekanisme yang perlu diikuti atau dipatuhi oleh Ketua Agama untuk menjadikan agama Islam itu agama yang terpelihara dan dihormati.
Kedudukan DYMM Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama tidaklah disebut perinciannya dalam Perlembagaan, kecuali apa yang dinyatakan peranannya dalam per. 38(6)(d) iaitu peruntukan berkaitan kuasa budi bicara Majlis Raja-Raja dalam “mempersetujui atau tidak mempersetujui supaya apa-apa perbuatan, amalan atau upacara agama diperluas ke Persekutuan secara menyeluruh.” Walaupun begitu kedudukan sebagai Ketua Agama itu difahami sebagai merangkum kuasa berkaitan perundangan dan pelaksanaan, termasuk pentadbiran, serta mungkin tertakluk kepada syarat-syarat tertentu, berkaitan kehakiman juga.
Peranan DYMM Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Agama telah diambil perhatian oleh undang-undang berkaitan Pentadbiran Agama Islam negeri-negeri.
Kedudukan sebagai Ketua Agama Islam tidak boleh dipandang sebelah mata. Bukan sahaja kerana ia satu tradisi yang telah menjadi amalan, tetapi juga kerana ia merangkumi hak, kuasa dan tanggungjawab yang diberikan oleh Perlembagaan, undang-undang tertinggi negara. Oleh itu pengiktirafan Perlembagaan tersebut seharusnya mempunyai kesan tertentu. Ia tidak harus dianggap sebagai sesuatu yang sia-sia. Hak, kuasa dan tanggungjawab tersebut mempunyai nafas dan hidup. Ia harus menjadi rujukan dan diterima dalam mendepani isu-isu berkaitan agama Islam.
Dari perpektif lain, keadaan sekitar atau orang sekeliling juga hendaklah sentiasa menghormati Ketua Agama. Sebagai Ketua Agama yang diiktiraf kuasa dan peranan Perlembagaan perlu diberikan ruang untuk didengar dan dipatuhi dalam apa jua keadaaan yang melibatkan agama Islam. Agak mustahil bagi seorang ketua, termasuk Ketua Agama, untuk melaksanakan tanggungjawab atau peranan sekiranya keadaan sekitar tidak kondusif untuk pelaksanaan tersebut.
Oleh itu, dalam konteks ini dalam apa juga keadaan, menerusi apa juga cara, Ketua Agama berperanan untuk meletakkan kedudukan agama Islam dalam keadaan selamat dan terpelihara serta dogma-dogma dan amalan-amalan agama, termasuk perundangannya dihormati dan ambil kira dalam apa jua keadaan.
Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong
Sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong yang diperturun di dalam Jadual 4 Perlembagaan meletakkan tanggungjawab perlembagaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga dan mempertahankan kedudukan Islam, walaupun baginda secara harfiah bukanlah Ketua Agama Islam bagi keseluruhan Persekutuan. (“…Dan lagi Kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa Agama Islam” – petikan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong). Oleh itu titah baginda Yang di-Pertuan Agong perlu didokong dalam isu berkaitan agama Islam. Sekiranya tidak, jawatan Ketua Agama Islam dan sumpah jawatan Yang di-Pertuan Agong tersebut hanyalah peruntukan Perlembagaan yang sia-sia. Ini tidak harus terjadi kerana Perlembagaan bukan dokumen yang sia-sia dan kaku. Seluruh peruntukan perlembagaan mempunyai firasat dan nafas tertentu, dan ia tidak diwujudkan dalam kekosongan.
Memberi perlindungan kepada pendakwah dan sarjana Islam, bergaul rapat dengan pemikir Islam mewujudkan lunas-lunas positif dalam penerapan keilmuan Islam dan seterusnya penumbuhan peradaban Islam.
Dalam sumpah jawatan itu juga Yang di-Pertuan Agong hendaklah membina pentadbiran yang adil. Sifat adil adalah kunci kepada segala perkara dan sifat inilah juga yang boleh dijadikan ruang untuk memjalankan peranan mendaulatkan Islam.
Peranan Raja disokong Undang-Undang Jenayah Syariah
Dalam konteks undang-undang jenayah Syariah di Malaysia, mengingkari titah raja dalam urusan agama Islam adalah satu perbuatan jenayah. Titah Raja mengenai Islam bukan merupakan omongan kosong yang boleh diabaikan. Ia adalah titah yang mempunyai sanksi Perlembagaan. Dalam konteks ini, titah Raja merupakan nasihat yang perlu diperakui dan dituruti. Dengan mempunyai kekuatan ini, raja-raja boleh menjalankan peranan mendaulatkan Islam dengan lebih semurna.
Pengembangan Agama Bukan Islam
Kita telah dekati pernyataan peguam mewakili raja-raja dalam proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Setelah berjaya meletakkan sekatan kepada kebebasan beragama sebagaimana peruntukan per. 11(4) dan juga senarai negeri, maka adalah menjadi peranan raja-raja yang memerintah pada ketika ini supaya pengembangan agama bukan Islam bukan sahaja dapat dibendung, tetapi juga disekat sepenuhnya. Maka dalam merealisasikan kedudukan Islam sebagai agama negara, maka cubaan memurtadkan orang Islam dalam gerakan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam perlu diambil perhatian sebaik mungkin oleh raja.
Kita maklum juga banyak negeri telah meluluskan undang-undang bagi mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam dan ini boleh membantu raja dalam melaksanakan peranan ini.
Rakyat dan Raja
Karisma raja tidak akan berkesan tanpa sokongan rakyat, terutamanya barisan pemerintahan dan pentadbiran. Dengan kata lain, peranan mempertahan dan mendaulat Islam sebagai agama negara tidak tersekat kepada raja-raja sahaja. Rakyat juga hendaklah menjaga dan membina kemantapan Islam sebagai agama negara. Atas tradisi, peranan dalam pemerintahan dikongsi antara pembesar rakyat dan raja. Kadi dan fakih berada bersama dalam pentadbiran dan setara dengan pembesar utama. Sebagai contoh, ini jelas dalam sejarah Melaka, Kelantan dan negeri-negeri lain di Tanah Melayu. Keadilan mungkin tidak akan dicapai jika merujuk kepada raja yang memerintah sahaja. Pimpinan rakyat hendaklah membantu raja dalam mengendalikan pemerintahan yang adil. Dalam konteks ini para Mufti dan Majlis Penasihat raja-raja bagi negeri hendaklah menjalankan tanggungjawab dan peranan mereka supaya raja juga dapat melaksanakan peranan dengan sebaik mungkin. Konsep musyawarah merupakan kunci kepada pemerintahan yang adil. Peranan alim ulamak yang berada disekitar raja-raja juga tidak boleh diketepikan. Mereka inilah juga yang dapat menjadikan raja itu sebagai raja yang berwibawa.
Penutup
Peranan institusi raja adalah penggerak utama dalam pelaksanaan hukum Islam dan kedaulatan Islam sebagai agama negara. Dengan pengiktirafan telah sekian lama, sudah tiba masanya bagi DYMM Raja-Raja merealisasikan kedudukan baginda sebagai Ketua Agama. Bagi merealisasikan peranan ini keseluruhan kerangka Perlembagaan dan pentadbiran Islam hendaklah diberikan nyawa. Untuk keharmonian negara, Ketua Agama harus dilihat dalam konteks Malaysia, dan sudah tiba masanya untuk Malaysia membentuk konvensyen perlembagaan yang tersendiri, terutamanya mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan kedudukan Raja sebagai Ketua Agama. Malaysia harus melihat kepada salasilah dan nilai tempatan, dan seterusnya membina tamadun perlembagaan yang tersendiri. Raja harus meletakkan satu penanda aras dalam menentukan hala tuju dan kedudukan Islam di negara ini. Kesungguhan raja-raja pada awal kedatangan Islam ke Alam Melayu dan Tanah Melayu hendaklah menjadi taudalan kepada raja-raja semasa dalam mendaulatkan Islam sebagai agama negara. Sebagai contoh, usaha yang begitu gigih selepas pemelukan agama Islam hendaklah dijadikan inspirasi raja-raja Melayu.
Raja-raja bukan sahaja Ketua Agama yang menaungi Islam agama negara, tetapi harus menjadi perancang, penyusun, penggerak dan seterusnya pelaksana kepada Islam serta hukum hakamnya dan seterusnya berjaya membawa Islam ke arah kesejahteraan dan kesejagatan.
*Kertas yang dibentangkan sempena Seminar Mendaulatkan Islam Sebagai Agama Negara, anjuran MUAFAKAT, pada 5 Jan 2013 di Pusat Islam Kuala Lumpur
**Profesor Madya (Dr) di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beliau boleh dihubungi melalui emel shamrahayu@gmail.com
[1] walaupun kita tidak dapat menafikan ada di kalangan raja yang leka dan terpedaya.
[2] Auni Abdullah (1991), Islam dalam Sejarah Politik dan Pemerintahan di Alam Melayu, Kuala Lumpur: Nurin Enterprise, 36 – 48
[3] W.G. Shellabear, sebagaimana dipetik Muhammad Yusoff Hashim (1989), Kesultanan Melayu Melaka, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 156 – 157
[4] CO 889/8 XC22193 – Public Record Office(London) Hearing of Counsel on behalf of Their Highnesses the Rulers held in Executive Counsel Chamber, Maxwell Road, Kuala Lumpur pada Jumaat dan Sabtu, 14 dan 15 September 1956, h. 104 (92)
muafakat
Comments
Post a Comment