Drama Pendek

TV3 Anjur Pertandingan Drama Pendek 
Oleh FERIDE HIKMET ATAK


KUALA LUMPUR: TV3 akan mengadakan pertandingan Drama Pendek menerusi Festival Drama Kuala Lumpur (DFKL) pada tahun hadapan bersempena ulang tahun ke-30 saluran televisyen itu.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan TV3 dan TV9, Sherina Nordin, pertandingan berkenaan akan bermula pada 1 November hingga 30 Disember 2013 yang dibuka untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Panjang drama yang disyaratkan hanyalah lima minit bertemakan kehidupan, percintaan dan komedi, berkisar realiti kehidupan masyarakat Malaysia.

"Objektif kami menganjurkan pertandingan ini bagi menggalakkan golongan amatur yang sering memuat naik pelbagai video di YouTube dalam usaha melihat idea-idea baru yang lebih segar.

"Tiga pemenang yang dipilih akan diberi slot selama lima minit untuk karya mereka disiarkan di TV3," katanya pada sidang media yang diadakan di Terrace, pusat beli-belah Bangsar (BSC) di sini pada Rabu.

Menurut Sherina, selain berpeluang menyiarkan hasil karya di televisyen, pemenang tempat pertama akan mendapat RM10,000, tempat kedua, RM5,000 manakala peserta tempat ketiga akan menerima RM3,000.

Sekiranya karya mereka benar-benar berbakat, TV3 akan memberi peruntukan bagi membolehkan pemenang menghasilkan karya untuk disiarkan di mana-mana slot saluran televisyen itu.

Karya drama pendek yang dihasilkan boleh dihantar menerusi www.veedo.my.

DFKL, merupakan sebuah acara yang julung kali diadakan dengan penglibatan karyawan industri kreatif termasuklah pengarah, penulis skrip, pelakon dan pengacara.

Sebelum berlangsungnya pertandingan berkenaan, TV3 dan juga TV9 akan mengadakan siri jelajah ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi tujuan promosi bermula 2 hingga 16 Disember depan.

Atas tujuan itu TV3 juga akan menganjurkan bengkel yang dikelolakan oleh penggiat seni berpengalaman seperti Khabir Bhatia, Azma Aizal, Ahmad Idham dan Rosyam Nor.

Berikut adalah 11 IPT yang terlibat dengan bengkel DFKL

2 Disember 2013 : Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Universiti Selangor (UNISEL)

4 Disember 2013: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan Universiti Putra Malaysia (UPM)

6 Disember 2013: Kolej Universiti Shahputra (UCSA) dan Kolej Antarabangsa IKIP

10 Disember 2013: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Melaka dan Universiti Multimedia Melaka (MMU)

12 Disember 2013: Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Johor dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor

16 Disember 2013: Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang

mstar online


Rangsang bakat pengarahan
Oleh Syanty Octavia Amry

Tidak mahu bakat generasi muda terhadap pembikinan drama atau cerita disiarkan menerusi laman web seperti YouTube semata-mata, TV3 dengan kerjasama TV9 sepakat me­nganjurkan pertandingan drama pendek sempena Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) yang akan berlangsung pada 1 November hingga 30 Disember ini.

Pertandingan sempena ulang tahun ke-30 TV3 pada tahun depan itu terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berbakat dalam bidang pengarahan drama dengan pertandingan ini mempertaruhkan drama berdurasi lima minit bertemakan kehidupan, percintaan atau komedi.

Bukan itu saja, bermula 2 Disember hingga 16 Disember depan, siri jelajah DFKL turut diadakan di beberapa kampus terpilih bagi memberi penerangan mengenai perkara membabitkan penerbitan drama seperti pengarahan, penulisan skrip (drama/rancangan TV/iklan), lakonan dan kandungan & muzik.


Antara karyawan terbabit berkongsi pengalaman mereka ialah Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ro­syam Nor, Khabir Bhatia, Ahmad Idham, Sabri Yunus, Isma Yusuf, Wan Hasliza, Erma Fatima, Siti Jasmina, Rozie Rashid, Fauziah Nawi, Azmeer dan Habsah Hassan.

Ditemui pada majlis pelancaran festival berkenaan baru-baru ini, Pengurus Besar Kumpulan, Pemasaran Kreatif & Komunikasi, Media Prima Berhad, Nini Yusof berkata, DFKL diadakan bertujuan mencari pelapis muda dalam menghasilkan drama yang berkualiti di samping memberi ruang mereka menunjukkan bakat yang terpendam.


“Pertandingan Drama Pendek kemuncak DFKL yang melihat tiga pemenang akan dipilih namun hanya juara yang layak diterima drama mereka untuk dipanjangkan menjadi sebuah telefilem.

“Pertandingan ini terbuka kepada warga Malaysia dan durasi drama selama lima minit serta bertemakan kehidupan, percintaan atau komedi yang berkisar realiti masyarakat di sekeliling kita.

“Jika sebelum ini mereka yang berkebolehan dalam menghasilkan drama sering menggunakan Internet seperti YouTube sebagai medium menunjukkan kebolehan masing-masing, melalui festival ini ruang mereka terbuka luas untuk mempamerkan bakat yang ada dan kami sangat mengalu-alukan penyertaan mereka,” katanya.

Kepada yang berminat untuk menyertai pertandingan ini boleh menghantarkan video drama pendek menerusi www.veedo.my. Kemuncak pertandingan, tiga pemenang yang layak akan diumum sebagai pemenang pada Februari tahun depan.

Sementara itu, Rosyam berkata, ia adalah satu idea yang menarik dan kena tepat pada waktu­nya. Internet banyak memainkan peranan dalam membantu orang ramai menunjukkan bakat mereka dalam berkarya.

“Dengan platform yang diberikan TV3 dan TV9 ini, saya berharap lebih ramai lagi anak muda yang akan tampil menunjukkan bakat mereka dalam menghasilkan sesebuah drama yang selama ini hanya dapat ditonton di Youtube saja.

“Saya juga akan berkongsi pengalaman sebagai pelakon dan mahu semua tahu lakonan juga boleh dijadikan satu bidang perniagaan jika kena pada caranya. Diharap dengan adanya pertandingan seperti ini dapatlah generasi muda melahirkan lebih banyak idea yang kreatif ke satu arah yang gemilang,” katanya.

Bagi pengarah dan penerbit, Ahmad Idham, sebagai pengarah dia sentiasa menyokong festival seperti ini dengan pengalaman dalam bidang pengarahan diharap dapat dikongsi bersama-sama pelapis pengarah baru.

“Semakin banyak pe­ngarah muda yang mula menunjukkan kebolehan dan idea dalam bidang pengarahan, sebagai orang yang lama dalam bidang ini rasanya perlu untuk bertukar-tukar idea dan pendapat dengan perkongsian itu dapatlah kita tahu apa diinginkan generasi muda masa kini,” katanya.

myMetro


Ahmad Idham Speaker Drama Festival Kuala Lumpur
ExcellentPictures / October 10, 2013


Penerbit dan pengarah Excellent Pictures, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, telah dilantik sebagai speaker sempena festival drama yang pertama dan terbesar iaitu Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL). Acara yang dianjurkan bersama di antara stesyen televisyen nombor satu tanah air, TV3 dan TV9, adalah sempena ulang tahun ke 30 penubuhannya.

Ahmad Idham, berdasarkan pengalaman dalam bidang penerbitan dan pengarahan, telah dipilih bersama-sama dengan pengiat seni lain seperti Khabir Bhatia, Sabri Yunus dan Isma Yusuf, dalam menjadi speaker untuk kategori pengarahan.

Speaker yang dipilih akan mengadakan kursus di beberapa lokasi terpilih, dengan setiap peserta berpeluang mempelajari teknik bagaimana hendak berkomunikasi dengan pelakon, seterusnya membantu pelakon menyampaikan sesuatu watak dengan berkesan. Selain itu, setiap speker juga akan memfokus setiap aspek dari segi teori dan teknikal pengarahan.

Menurut Sherina Nordin, Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Drama Festival Kuala Lumpur merupakan usaha dua stesen televisyen di bawah Media Prima Berhad untuk menyumbang seterusnya memartabatkan industri drama tanah air.

Tambahnya lagi, melalui DFKL, stesen televisyen dan para karyawan dapat memberi pendedahan kepada orang ramai secara menyeluruh mengenai pembikinan sesebuah drama.

DFKL yang akan berlangsung, melibatkan pertandingan drama pendek yang terbuka kepada seluruh warganegara Malaysia. Pertandingan ini akan bermula pada 1 November hingga 30 Disember 2013. Setiap penyertaan melibatkan drama pendek berdurasi selama 5 minit dengan bertemakan kehidupan, percintaan dan komedi.

ExcellentPictures

Comments