Kumpulan Teater Badan Budaya DBP


Kumpulan Teater Badan Budaya DBP

Oleh RASDI DAUD


 DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP), sebuah institusi yang memperjuangkan kedaulatan bahasa dan kesusasteraan Melayu mengambil beberapa pendekatan antaranya, termasuk pementasan teater sebagai usaha untuk memasyarakatkan sastera kebangsaan.

Kumpulan Teater Badan Budaya DBP atau nama asalnya Keluarga Seni DBP telah ditubuhkan seawal era tahun 1960-an. Pada era 1970-an nama Keluarga Seni DBP ditukar kepada Kelab Teater DBP, dan pada tahun 1986 sekali lagi pertukaran nama kelab dibuat dan kini dikenali sebagai Kumpulan Teater Badan Budaya DBP. Kumpulan ini diasaskan oleh Sasterawan Negara Usman Awang semasa allahyarham bertugas di DBP.

Penubuhan Kumpulan Teater Badan Budaya DBP merupakan usaha untuk mencungkil bakat dalam kalangan staf DBP, khususnya sebagai pemangkin kepada kegiatan seni teater Melayu tanah air. Hal ini terbukti dengan munculnya ramai bakat baru yang telah digilap dalam dunia seni teater seperti Johan Jaafar, Othman Hj. Zainuddin, Anuar Ridhwan, Dinsman dan Zakaria Ariffin. Mereka ini lebih cenderung dalam pementasan teater bercorak absurd.

Drama “Tamu di Bukit Kenny” karya Usman Awang merupakan pementasan teater pertama Kumpulan Teater Badan Budaya DBP yang dipentaskan pada tahun 1967. Drama ini berkisar pada kisah kehidupan zaman merdeka. Pada era tahun 1980-an, Kumpulan Teater Badan Budaya DBP berjaya mementaskan beberapa buah teater yang diadaptasikan daripada sajak tanah air dan novel terkenal.

Kebangkitan teater bercorak realisme telah mula kelihatan pada dalam era tahun 1990-an. Raja Lawak (1993), karya dan arahan Zakaria Ariffin adalah sebuah teater bercorak komedi yang terbaik pernah dihasilkan buat pertama kalinya di Malaysia.

Selain itu, karya terjemahan asli juga mula dibawa masuk pada era ini seperti “Penghuni Paya” (1991) karya Wole Soyinka, arahan Anuar Ridhwan, dan ”Teman” (1993) karya asal milik Kobo Abe.

Dengan adanya mutu dan reka bentuk persembahan yang mantap yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa, Kumpulan Teater Badan Budaya DBP telah mewakili Malaysia sebanyak dua kali dalam Pesta Kesenian Kuala Lumpur pada tahun 1985 dan 1986 serta Festival Dramadi Singapura pada tahun 1986 melalui pementasan “Hari-hari Terakhir Seorang Seniman” dan “Salina”.

Perjuangan kumpulan teater ini bagai tiada noktahnya, melalui drama “Tuk Selampit” karya Anuar Nur Arai dan arahan Zakaria Ariffin, Kumpulan Teater Badan Budaya DBP sekali lagi mewakili Malaysia dalam First Asean Theater Festival di Manila pada tahun 1987 dan Malaysia Fest pada tahun 1988 dan 1989.

Pada bulan September 1992, Kumpulan Teater Badan Budaya DBP berpeluang mengadakan pementasan “Matinya Seorang Pahlawan” sempena Minggu Sastera Malaysia di Universiti London.

Aktivis teater yang tidak asing, A. Wahab Hamzah berjaya mengarahkan teater bertajuk “Pesona Al-Amin” pada tahun 2000. Teater ini diadaptasi daripada puisi terpanjang hasil nukilan Sasterawan Negara A. Samad Said. Puisi ini memancarkan sejarah pejuang yang berabad lamanya yang membawa keistimewaan dan kelainan bersesuaian dengan masyarakat Islam sejagat. Penerapan nilai-nilai rohani turut dimuatkan dalam puisi ini, malah sehingga kini tiada lagi karya seperti ini ditemui dalam sejarah perkembangan kesusasteraan Melayu di Malaysia, khususnya dalam genre puisi.

Teater “Intan yang Tercanai” juga arahan A. Wahab Hamzah telah tersenarai dalam tiga kategori Anugerah Seni BOH-Cameronian 2009. Ketagori yang dicalonkan ialah Karya Asal Terbaik oleh Noordin Hassan, Pelakon Lelaki Terbaik oleh Rasdi Daud dan Penataan Muzik dan Bunyi Terbaik oleh Hafiz Askiak. Dua daripada tiga pencalonan telah dimenangi, iaitu Karya Asal Terbaik, dan Penataan Muzik dan Bunyi Terbaik.



Kumpulan Teater Badan Budaya DBP terus mengorak langkah bersama-sama aktivis teater seperti Usman Awang, Baha Zain, Ismail Dahaman, Dinsman, Mishar, Othman Hj. Zainuddin, Zakaria Ariffin, Johan Jaafar, Anuar Ridhwan, Salmiah Hassan dan A. Wahab Hamzah. Selain itu, terdapat beberapa nama tenaga di belakang tabir yang menjadi tonggak kepada Kumpulan Teater Badan Budaya DBP seperti Fadzil Agussalim, A. Rahman Salim, Ku Mustapha Ku Yusoff, A. Ghapar Abdullah, A. Bakar Buyong, A. Murad Ahmin dan lain-lain.

Dengan berbekalkan cinta dan minat yang mendalam terhadap dunia seni teater, ramai bakat baru yang dicungkil dalam kalangan staf DBP. Antaranya Rasdi Daud, Ali Osman, Bohari Ibrahim, Shaari Shafie, Siti Haslinda, Nor Adirah Abdul Rahim, Hamidah Alham, dan Jamaluddin Hassan. Beberapa orang pelakon ternama dalam lakon layar dan drama tv seperti Imuda, Sabri Yunus, dan Shahrizan Ahmad (Abon) juga lahir daripada Kumpulan Teater Badan Budaya DBP.

Sumber

Konsistensi Badan Budaya DBP

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menerusi Badan Budaya DBP akan mementaskan teater Hikayat Qaziq pada 18 hingga 28 Ogos ini. Naskhah teater karya Siti Jasmina Ibrahim ini diangkat sebagai pemenang sayembara mengarang sempena ulang tahun ke-50 DBP tahun lalu.

Lebih jauh daripada itu teater arahan A. Wahab Hamzah ini adalah konsistensi Badan Budaya DBP dalam tradisi berteater di negara ini. Suatu waktu dulu, kumpulan ini digeruni kerana di dalamnya ada nama-nama besar dalam dunia teater; bermula dengan Sasterawan Negara Usman Awang, Baha Zain, Ismail Dahaman, Ghani Abdullah, Johan Jaaffar, Noor Azam hinggalah generasi terbaru A. Wahab Hamzah, Rasdi Daud, Ghafar Abdullah dan beberapa lagi.

Tetapi sejak sedekad lalu, Badan Budaya DBP semacam hilang selepas pementasan teater Sungai Mengalir Lesu adaptasi novel karya Sasterawan Negara A. Samad Said, arahan A. Wahab Hamzah. Sungai Mengalir Lesu semacam memberi petanda kelesuan yang berterusan Badan Budaya DBP.

Apa lagi ketika itu Badan Budaya DBP kehilangan orang kuat yang sangat tegas, Fadzil Agussalim yang telah bersara dari DBP.

Maka pementasan Hikayat Qaziq ini membuktikan kumpulan ini tetap konsisten sebagai penggerak pementasan teater yang unggul.

Barangkali banyak yang terlupa bahawa pada 27 Julai lalu telah genap 40 tahun usia Badan Budaya DBP yang diasaskan oleh Usman Awang. Kumpulan ini bermula dengan pementasan pertama teater Tamu Bukit Kenny karya Usman Awang diarahkan oleh Baha Zain. Fakta ini membuktikan Badan Budaya DBP telah merentasi sejarah jatuh bangun yang panjang.

Pementasan Hikayat Qaziq adalah pementasan ke-50 Badan Budaya DBP, pada usianya ke -40 tahun sempena ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara. Ini adalah sejarah tentang sebuah kehebatan kumpulan yang didukung oleh mereka yang menyayangi teater, tidak kira dari dalam atau luar DBP.

Badan Budaya DBP menerima sentuhan lakonan, pengarahan mahupun naskhah daripada nama-nama besar seluruh warga teater negara ini. Mereka semua pernah terlibat dalam pementasan teater bersama Badan Budaya DBP.

Maka apabila A. Wahab mengusahakan pementasan Hikayat Qaziq di bawah jenama Badan Budaya DBP, berakhirlah kelesuan yang bermula sejak pementasan Sungai Mengalir Lesu pada 16 hingga 18 September 1997. Sepuluh tahun lalu Johan Jaaffar pernah menulis, “Selagi DBP mengekalkan suasana yang kondusif untuk budaya dan seni berkembang, selagi itulah Badan Budaya DBP akan bertahan.” Kini konsistensi itu telah dibuktikan.

Utusan online


Membawa karya sastera ke pentas
Johan Jaafar

Banyak sudah diperkatakan tentang perlunya filem mengambil bahan daripada karya sastera tempatan. Tidak mudah sebenarnya membuat adaptasi karya sastera ke filem, TV atau pentas. Pengalaman mengajar saya, jikalau diikutkan hati karya sastera – khususnya cerpen atau novel – elok tinggal sebagai karya sastera. Membawanya ke pentas memerlukan kemahiran yang khusus, dengan masalahnya yang tersendiri.

Sebagai bekas aktivis teater, perhatian saya tentunya ialah menggunakan novel dan cerpen untuk pentas. Pada hari ini pentas kecil dan besar menggelegak dengan pelbagai persembahan. Sebahagian besar karya yang dipentaskan merupakan karya yang ditulis khusus untuk teater.

Kurang pementasan karya sastera

Saya amat percaya bahawa karyawan teater juga harus menjengah khazanah kesusasteraan Melayu yang kaya. Memang ada usaha membawakan karya sastera ke pentas, tetapi jumlahnya amat kecil. Dalam sejarah pementasan teater Badan Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak tahun 1967, daripada lebih 60 drama yang pernah dipentaskan hanya 15 peratus merupakan karya adaptasi.

Adaptasi pertama oleh kumpulan DBP dilakukan oleh Dinsman yang juga mengarahkan novel Abdullah Hussain berjudul Intan pada tahun 1975. Hanya sembilan tahun kemudian, kumpulan itu mementaskan drama adaptasi Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (HHTSS) karya Anwar Ridhwan. Saya yang membuat adaptasinya ke pentas.

Pada tahun 1986, Othman Haji Zainuddin membuat adaptasi Zaman Gerhana daripada novel A. Samad Ahmad. Pada tahun yang sama saya membawa Salina karya A. Samad Said ke pentas diikuti oleh cerpen Rumah Kedai Di Jalan Seladang oleh wartawan dan sasterawan terbilang A. Samad Ismail. Pada tahun 1997, Zakaria Ariffin membuat adaptasi novel Sungai Mengalir Lesu karya A. Samad Said dan diarahkan oleh A. Wahab Hamzah. Pada tahun 1998 pula, Zakaria membawakan novel Imam karya Abdullah Hussain ke pentas.


A. Wahab Hamzah menterjemahkan puisi panjang A. Samad Said berjudul Al-Amin untuk teater pada tahun 2000. Fauziah Nawi mencuba mengadaptasi Orang Kota Bharu karya S. Othman Kelantan ke pentas pada tahun 2003. Sebuah novel terkenal A Samad Ismail, Patah Sayap Terbang Jua telah dibawakan ke pentas oleh Othman Haji Zainuddin pada tahun 2005. Di luar daripada kumpulan DBP, Rohayah Attan telah membawakan novel Anugerah ke pentas.

Sebelum HHTSS saya banyak mengarahkan drama karya saya sendiri. HHTSS membuka jendela baharu untuk saya mencuba membawakan sebuah novel yang kompleks untuk teater. Novel ini menggunakan sudut pandangan watak utamanya Pak Hassan, tukang cerita yang punya sejarah panjang dan tragis. Cerita banyak berlegar dalam fikirannya, menggunakan apa yang disebutkan dalam sastera sebagai teknik ‘stream of consciousness’. Membawakan cerita itu keluar daripada kerangka minda watak utamanya tidak mudah. Saya memilih untuk menggunakan Tuk Selampit (tukang cerita) yang menceritakan kisah Pak Hassan.


Salina pula novel pertama dan terbaik A. Samad Said. Novel ini lebih episodik sifatnya dan agak mudah dibawa ke pentas. Namun demikian, kekuatan penceritaan dua watak utamanya, Salina dan Abdul Fakar amat mencabar. Demikian juga pelbagai watak di dalam Kampung Kambing yang menjadi latar belakang novel itu tidak mudah untuk diterjemahkan ke pentas. Saya percaya novel ini amat sesuai difilemkan bagi mengingatkan kita kisah Singapura dan masyarakat Melayu pada tahun-tahun selepas perang.

Rumah Kedai Di Jalan Seladang merupakan cerpen pertama A. Samad Ismail di dalam majalah Dewan Sastera. Sayang sekali cerpen ini tidak memenangi Hadiah Karya Sastera pada tahun terbitnya (1988). Cerpen ini padat dengan pelbagai watak, ditulis secara bersahaja, tetapi penuh suspen dengan plot yang kemas dan bahasa yang baik.

Berdepan pelbagai masalah


Saya percaya mereka yang membuat adaptasi daripada karya sastera berdepan dengan pelbagai masalah. Mediumnya berbeza, demikian juga pendekatannya. Apa yang dibaca tidak sama dengan apa yang ditonton di pentas. Wahana linguistik dan visual menuntut perbezaan lain bagi menanganinya.

Tetapi itu tidak bermakna karya sastera harus diabaikan. Terlalu banyak karya bermutu tinggi yang perlu diperkenalkan ke persada teater. Dan memperkaya teater itu sendiri.

Berita Harian



Comments