Warisan : Lagu Rakyat



Masyarakat Melayu sememangnya terkenal dengan kepelbagaian seni irama dan lagu yang amat menggamitkan nostalgia. Kini di Wikipedia bahasa Melayu bertindak untuk mengetengahkan lagu-lagu rakyat yang terkenal yang acap kali diperdendangkan di Alam Melayu. Lagu-lagu rakyat ini mungkin mengalami sedikit asimilasi dari segi aturan liriknya, gaya nyanyiannya, dendangan lagu bersama dengan alat muzik serta cara penyampaiannya yang dipelbagaikan. Hal ini berlaku disebabkan perkembangan lagu-lagu rakyat masyarakat Melayu itu yang telah tersebar luas merentasi samudera dan pelbagai negara yang dipenuhi pelbagai ras-dan-rumpun-adat budaya. Lagu-lagu rakyat disini tidak seharusnya dilihat dalam konteks yang sempit dengan maksud, hanya sesebuah negara asal dimana sesuatu lagu rakyat itu mula tercipta sahaja berhak menjadi pemilik lagu tersebut, sebaliknya lihatnya pada sudut pandang yang positif, lagu-lagu rakyat masyarakat Melayu harus dikembangkan penggunaaanya dan diperkayai maksud tersirat dan keindahan bahasa kiasannya yang tinggi, agar dunia dapat mengetahui bahawa lagu-lagu rakyat ini mampu menyatu padukan suatu rumpun yang besar di Alam Melayu.

Lagu rakyat masyarakat Melayu adalah lagu-lagu atau nyanyian yang berasal dari sesutu kawasan dalam Alam Melayu tidak kira kawasan itu terletak di negara Indonesia, Malaysia, Singapura, Brunei hatta dimana-mana pelusuk pulau terpencil di Nusantara sekalipun, dan merupakan lagu-lagu yang amat popular di kawasan tersebut. Biasanya lagu rakyat menceritakan perihal masyarakat, alam, haiwan, tumbuh-tumbuhan ataupun senario semasa di kawasan tersebut. Lagu rakyat biasanya akan dinyanyikan semasa bermain, mendodikan anak, hiburan setelah penat membanting tulang dan juga semasa majlis-majlis keraian. Lagu-lagu rakyat juga dilihat amat suka didendangkan secara berkumpulan oleh anak-anak dara sunti dan kanak-kanak Melayu.




Ala Canggung

Antara lagu-lagu rakyat masyarakat Melayu yang popular sehingga kini adalah:

Ala Canggung
Ambil Madu Lebah
Anak Ayam (lagu rakyat)
Anak Itik Tok Wi
Anak Ondeng (a.k.a Lagu Lembu Patah Tanduk)
Ayam den lapeh

Bapaku Pulang dari Kota
Burung Kakak Tua (lagu rakyat)
Can Mali Can
Dadong
Geylang Si Paku Geylang
Hello Hello (lagu rakyat)
Hijau (lagu rakyat)
Inang rodat
Jambatan Tamparuli
Joget Tari Lenggang (a.k.a Joget Pahang)
Jong Jong Inai

Kenek Kenek Odeng
Ketipang Payung
Kurik Kundi
Lemak manis (lagu rakyat)
Lenggang Kangkung

Tepuk Amai-Amai

Menghilir di Sungai Pahang
Pak Ketipak Ketipung
Pak Pung Pak Mustafe
Puteri Santubong
Rasa Sayang
Tepuk Amai-Amai
Trek Tek Tek
Tualang Tiga
Ulek mayang


Mengembali populariti lagu rakyat
Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR


IPOH 3 Ogos - Dendangan bait-bait lagu rakyat yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan begitu mudah untuk diikuti meskipun baru pertama kali didengari.

Apatah lagi lagu-lagu seperti Tepuk Amai-Amai, Jong-Jong Inai, Rasa Sayang serta Lagu Tiga Kupang yang disulami rentak gubahan puisi itu sangat popular dan digemari masyarakat tradisional untuk menghibur hati.

Lagu rakyat yang lazimnya diperturunkan secara lisan dari generasi terdahulu ini secara tidak langsung mempunyai nilai didikan tersirat yang turut diselitkan dalam pelbagai variasi.

Diiringi dengan alatan muzik seperti rebana, serunai mahupun gamelan, lirik lagunya yang menjalinkan kombinasi perkataan gandaan, imbuhan mahupun akronim membentuk sebuah irama yang cukup indah.

Bukan sahaja untuk menzahirkan emosi, intipati lagu-lagu rakyat antara lain turut diadunkan dengan nilai-nilai keagamaan, jenaka, nasihat, kasih-berkasihan termasuk longat negeri.

Ia sekali gus mencerminkan budaya masyarakat setempat yang ditonjolkan melalui penceritaan secara kiasan meskipun tidak menggambarkannya dengan penuh deskriptif.

Hakikatnya, lagu rakyat melambangkan kekayaan pemikiran dan seni budaya bangsa. Di Perlis misalnya, antara lagu-lagu rakyat yang dikenali termasuklah Hadrah, Canggung, Berendoi dan Beduan.

Menyedari kepentingan menjulang kembali lagu-lagu rakyat terutamanya dalam kalangan generasi muda, Jabatan Pengajian Politeknik menganjurkan Festival Kebudayaan dan Warisan Politeknik Malaysia (FKWPM) baru-baru ini.

Diadakan buat julung kalinya pada tahun ini, ia disertai oleh 27 buah politeknik di seluruh negara dalam festival yang berlangsung selama tiga hari.

Setiausaha Kerja festival tersebut, Hafidzah Ahmad Abas berkata, pemilihan pertandingan lagu rakyat sebagai salah satu fokus utama FKWPM adalah bagi memperkenalkannya kepada generasi muda.

Menurut Hafidzah, lagu rakyat yang mempunyai mesej dan nilai-nilai murni dalam konteks kemasyarakatan wajar diteruskan demi kelangsungan budaya selain mampu memupuk kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.

"Pertandingan lagu rakyat yang disertai oleh 12 politeknik ini berupaya memupuk permuafakatan dalam kalangan pelajar tanpa mengira kaum dan agama.

"Selain itu, ia juga secara tidak langsung mampu meningkatkan semangat patriotisme dengan hanya mengikuti irama dan rentak yang cukup menghiburkan," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Festival tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Temenggor, Datuk Hasbullah Osman dan turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Md. Nor Yusof.

Dalam pada itu, Hafizdah yang juga merupakan Pegawai Kebudayaan di Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh berkata, antara kriteria utama pertandingan yang dinilai termasuklah penghayatan persembahan bersama interaksi bersama penonton.

Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang yang berjaya menonjolkan pembawaan mesej melalui persembahan kreativiti dengan gaya tersendiri muncul sebagai juara pertandingan lagu rakyat tersebut.

Tempat kedua dan ketiga pertandingan masing-masing dimenangi dua politeknik dari Perak iaitu PUO dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS), Behrang.

"Menariknya tentang pertandingan lagu rakyat ini ialah ia disertai oleh sekumpulan enam pelajar daripada setiap politeknik melibatkan lelaki dan perempuan daripada pelbagai kaum termasuk masyarakat orang asli," katanya.

Pada festival tersebut, Hafidzah berkata, selain lagu rakyat, pertandingan sukan rakyat turut dianjurkan bagi memupuk silaturrahim dan semangat kerjasama antara pelajar pelbagai kaum.

Menurutnya, antara permainan yang dipertandingkan termasuklah batu seremban, sepak raga bulat, congkak, galah panjang serta seni pembuatan wau.

"Semua permainan yang dipilih merupakan permainan tradisional yang semakin dilupakan lebih-lebih lagi apabila permainan dunia siber mula mendapat tempat di hati generasi muda.

"Bagi memeriahkan festival, aktiviti lain yang turut dianjurkan termasuklah acara memasak bubur lambuk, bazar jualan kraftangan, pameran warisan pengantin Melayu dan India, pertandingan melukis, karaoke lagu warisan termasuk persembahan kebudayaan." katanya.

Sumber : Utusan Online

Lemak Manis


Festival Puisi dan Lagu Rakyat

FESTIVAL Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2011 anjuran Kampung Karyawan dan Institut Darul Ridzuan (IDR) akan diadakan di Hotel Puteri Bayu, Pasir Bongak, Pulau Pangkor, pada 31 Disember dan 1 Januari ini.

Kampung Karyawan dalam kenyataannya berkata, festival yang bakal disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir itu, akan menampilkan enam makalah yang bertemakan Arah tuju Bahasa dan Sastera Melayu di Era Globalisasi.
“Pemakalah yang terbabit ialah Pensyarah Universiti Negeri Surabaya, Prof Emeritus Dr Budi Darma; Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Rahman Napiah (Mana Sikana) dan Pengarah Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Madya Datuk Zainal Abidin Borhan. “Turut membentangkan makalah ialah Penerima Anugerah Penulisan SEA 1980, Datuk (Dr) Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain; Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Aminudin Hashim dan Karyawan Tamu Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat),” katanya dalam kenyataan melalui e-mel, baru-baru ini.

Kenyataan itu berkata, festival yang mendapat kerjasama Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) itu, bakal menghimpunkan penyair dan karyawan tanah air serta serantau termasuk dari Thailand, Indonesia, Singapura, Rusia dan Iran.

“Antara yang membacakan puisi ialah Zambry; Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin; Ketua Pegawai Eksekutif ITNM, Mohd Khair Ngadiron; Aminudin; dan Setiausaha Agung PENA, Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir).

“Penyair dan penulis yang akan mendeklamasikan puisi ialah Dr Ahmad Razali Yusuf, Khalid Salleh, Zaiton Ajamain, Marsli NO, Rahimidin Zahari, Shamsuddin Othman, Salmiah Ismail, Onn Abdullah, Chai Loon Guan dan Rajeswari Seetha Raman,” kata kenyataan itu. Kenyataan itu berkata, festival berkenaan turut menampilkan Pemenang Anugerah Penulisan SEA 2010 dari Thailand, Zakaria Amitya dan Suthep Khamheng, selain Dr Victor Pogadev dari Russia; Norhasnah Adam (Singapura) serta Tarmizi Rumah Hitam, Inggit Putria Marga dan Anwar Putra Bayu (Indonesia).

“Persembahan sastera tradisional pula bakal dibuat oleh Prof Madya Datuk Dr Mohd Rosli Saludin yang menyampaikan teromba, manakala lagu rakyat pula dialunkan oleh Aripin Sa’id dan Yusop Najmi & Sutera,” kata kenyataan itu.

Sumber : Berita Harian

Ulek Mayang


Festival Puisi Dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 2012


Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor 3 akan berlangsung di Arena Pangkor dan Pantai Pasir Bogak mulai 15 hingga 17 Disember 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, festival anjuran bersama Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Yayasan Kampung Karyawan Malim (YKKM) akan melibatkan peserta yang lebih ramai berbanding tahun lalu.

"Tema festival kali ini ialah “Meningkatkan Harmoni Menerusi Seni” dan menyasarkan golongan ahli akademik, guru, penyair, sasterawan, aktivis seni, remaja sekolah, penuntut IPT dan masyarakat setempat untuk sama-sama menjayakan program ini,'' katanya pada sidang media di Ipoh hari ini.

Menurut beliau, antara penyair yang akan memeriahkan festival ini ialah Arbak Othman, Ghaffar Ibrahim, Ismail Kasan, Johan Jaaffar, Victor Pogadev dan Zabidin Ismail di samping persembahan lagu rakyat oleh Monoloque, Najwa Latiff, Couple, Jimmy Pelikat, ASTAKA, Dewan Kesenian Binjai dan Grup Pemuisi Esastera.

Katanya, jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan juga mengambil bahagian dalam pameran, antaranya K-Perak, MESCO, Legasi Mashdar, UiTM Sri Iskandar, Polis DiRaja Malaysia (Perak), Yayasan Bina Upaya, Dewan Bahasa Pustaka dan ESastera.

Zainol Fadzi berharap Festival kali ini akan menyatukan penggiat seni dan masyarakat supaya dapat menaikkan kualiti seni di negara ini.

Sumber : Peraknews


Diam Pak Ngah diam berisi

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL


PAK Ngah dan Mak Ngah bersama kumpulan Swatari yang dianggotai oleh kanak-kanak yang masih lagi mencintai seni dan budaya bangsa.

BERBANDING sedekad yang lalu, nama Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah hari ini agak sunyi dan sepi.

Lagu-lagu ciptaannya tidak lagi berkumandang dan jarang sekali dimainkan di radio-radio.

Lantas timbul satu persoalan yang mengatakan adakah kini Pak Ngah sudah tidak berminat menghasilkan lagu-lagu tradisional?

Dulu nama Pak Ngah berada di puncak sehingga berjaya meletakkan namanya sebagai antara komposer terbaik negara yang pernah dilahirkan.

Malah, tidak keterlaluan dikatakan industri muzik tempatan hari ini sudah semakin suram dengan ketiadaan lagu-lagu tradisional yang cukup popular sedekad yang lalu.

Bukan itu sahaja, ada juga kata-kata nakal yang mengatakan Pak Ngah merajuk dengan industri apabila muzik tradisional kini semakin jauh dipinggirkan dan tidak lagi mendapat tempat seperti dahulu.

Bertemu dengannya di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini dan mengajukan pertanyaan itu kepadanya, dengan pantas Pak Ngah meningkah dakwaan itu.

"Tidak lagi aktif mencipta lagu seperti dahulu bukanlah bermakna saya merajuk mahupun berkecil hati," itu jawapan yang terpacul dari mulut pejuang muzik tradisional ini pada pertemuan itu.

Sebaliknya, tumpuan beliau kini ialah mengurus dan mengendalikan acara-acara di bawah syarikatnya, Pak Ngah Productions Sdn. Bhd., yang membuatkan beliau tidak menang tangan.

"Ini bukan bermakna saya melupakan terus bidang penciptaan lagu. Sebaliknya, saya kini hanya mengkhususkan kepada lagu-lagu kempen untuk kerajaan serta lagu patriotik," kata Pak Ngah penuh ramah membuka bicaranya petang itu.

Sebut sahaja nama Pak Ngah, rasanya seantero negara kenal dengan figura tersohor ini dan karya-karya agungnya itu.

Siapa yang dapat melupakan fenomena lagu Cindai, Balqis dan Nirmala yang disenandungkan dengan indah oleh penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza.

Bukan itu sahaja, karya Pak Ngah juga cukup sinonim dengan Noraniza Idris apabila Ratu Irama Tradisional itu membuat kemunculan semula pada tahun 1997 dengan album pop tradisional, Ala Dondang.

Lagu-lagu ciptaannya yang mendapat sambutan serta menjadi siulan ramai adalah seperti Dikir Puteri, Dondang Dendang, Tinting, Hati Kama, Samrah Mentari, Yayadan, Nazam Berkasih, Candak dan banyak lagi.

Kejayaan yang membanggakan sehingga tercetusnya satu evolusi apabila album duet Noraniza dan Siti berjudul Seri Balas yang memuatkan lagu keramat, Hati Kama telah diangkat sebagai Album Terbaik AIM 1999.

Sejarah juga telah tercipta apabila ia merupakan julung kalinya album berkonsepkan tradisional dijulang dengan gelaran tertinggi dalam anugerah muzik penuh berprestij itu.

Semua kenangan manis itu akan bersemadi dan terpahat indah dalam lipatan sejarah bagi empunya diri.

Namun, jauh di sudut hatinya, Pak Ngah tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya apabila muzik tradisional kini sudah semakin jauh ditinggalkan.

Apatah lagi lagu-lagu berkenaan juga sudah tidak lagi mendapat tempat di corong-corong radio popular berbanding sedekad yang lalu sewaktu lagu-lagu berkenaan mula menjengah pasaran.

Tegas Pak Ngah, seharusnya radio memainkan peranan yang penting untuk terus mengangkat lagu-lagu warisan bangsa lantaran pengaruh genre muzik itu sangat besar.

Berdasarkan analisis Pak Ngah, stesen radio tidak memberikan sokongan secara menyeluruh untuk memelihara khazanah bangsa.

Justeru beliau berpendapat, apabila radio popular tidak lagi memutarkan lagu-lagu tradisional, ia secara tidak langsung menyebabkan populariti lagu-lagu berkenaan hilang sedikit demi sedikit.

"Memang mustahil untuk lagu-lagu ini akan berkembang kalau hanya mahu bergantung kepada stesen-stesen radio milik Radio Televisyen Malaysia (RTM) sahaja. Bukan itu sahaja, penerimaan terhadap lagu-lagu tradisional ini yang semakin berkurangan membuatkan saya sedikit ralat.

"Tetapi, saya harus sedar ini adalah realiti yang harus saya terima dan ia bukanlah satu halangan buat saya untuk terus berjuang dalam memartabatkan genre muzik ini," ujar anak jati Kuala Lumpur ini meluahkan apa yang terbuku hatinya.

Sehubungan itu, untuk meneruskan kelangsungan usahanya memelihara lagu-lagu Melayu, seniman yang berusia 51 tahun ini sedang dalam perancangan untuk menerbitkan album mini Juara Bintang Klasik Nusantara 2007 kategori lelaki, Mohammad Elfee Ismail yang merupakan anak kepada penyanyi veteran, R. Ismail.

Sememangnya, impak menerusi muzik yang dihasilkan Pak Ngah ternyata telah membawa namanya bukan sahaja di seluruh nusantara tetapi juga ke seluruh dunia.

Siapa yang dapat lupa lagu Cindai dan Dikir Puteri yang berkumandang pada malam penutup Sukan Komanwel 1998 yang disaksikan lebih 100 juta penonton di seluruh dunia.

Perbualan semakin rancak tatkala Pak Ngah mengkhabarkan satu berita gembira yang membuatkan dirinya rasa benar-benar dihargai hasil daripada kuasa dan penangan muziknya.

Memandangkan nama dan pengaruh muzik Pak Ngah begitu besar di Indonesia, rupanya ada pihak yang masih mempercayai kredibiliti dan kehebatan beliau dalam menghasilkan muzik irama Malaysia.

Semuanya bermula daripada seorang promoter dari Indonesia yang berkunjung ke Malaysia semata-mata mahu mencari Pak Ngah untuk sebuah projek rakaman album seorang artis baru Indonesia.

"Namun, selepas menilai kemampuan artis itu saya tidak begitu yakin dia mampu membawakan konsep tradisional dan etnik. Dia (promoter) menerima pandangan saya dengan hati terbuka.

"Tetapi, tidak berapa lama selepas itu, dia kembali lagi menemui saya untuk projek yang lain pula. Apabila melihat kesungguhannya yang datang dari jauh hanya mahu menemui saya, akhirnya saya mengalah," ceritanya penuh bersungguh.

Lantas, Pak Ngah menganjurkan satu uji bakat di Jambi, Indonesia sekitar awal tahun ini dan mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih daripada 50 orang.

Hasilnya, tiga orang telah disenarai pendek oleh Pak Ngah dan menyedari kekuatan mereka akan terserlah seandainya digabungkan bersama, maka dengan itu tertubuh kumpulan yang diberi nama Bidadari.

Album sulung Bidadari yang dianggotai oleh Puteri, Pipin dan Wulan itu sudah pun dipasarkan oleh Warner Music Indonesia dan mendapat respons yang cukup positif meskipun membawa konsep pop etnik.

Memuatkan 10 buah lagu yang merangkumi enam buah lagu Melayu klasik seperti Penawar Rindu, Empat Dara dan Hari Ribut. Selebihnya adalah komposisi baru oleh Raja Kobat dan dirinya sendiri iaitu lagu Silang Silik.

"Album ini sememangnya menepati cita rasa pendengar dan masyarakat Indonesia yang kita tahu begitu banyak muzik etniknya. Saya begitu optimis dengan kemampuan Bidadari dan genre yang dipertaruhkan mereka," ujar bapa kepada sepasang cahaya mata ini lagi.

Namun satu yang pasti, Pak Ngah berkali-kali menegaskan, dia sesekali tidak akan tunduk kepada kehendak ramai jika ada yang mahukannya memodenkan lagu-lagu irama Malaysia.

"Cara saya bekerja adalah berbeza dengan komposer lain. Saya tetap menghormati cara orang lain bekerja kerana masing-masing ada caranya," katanya ringkas.

Bagaimana pula dengan lagu Jelmakanlah Ayumu yang diciptanya untuk Siti dalam album Lentera Timur di mana komposisi lagu berkenaan menampilkan sisi lain Pak Ngah dengan apa yang pernah dicipta untuk Siti sebelum ini.

"Itu semua adalah kerana mengenangkan Siti sebagai seorang sahabat dan memenuhi kehendaknya yang mahu menampilkan pembaharuan dalam album itu," ujarnya tentang lagu tersebut yang dimuatkan dalam Album Terbaik AIM 2009 itu.

Sementara itu, ketika ditanya tentang perkembangan terkini Swatari, Swara dan Swakarya di bawah Pak Ngah Productions, tuan punya badan menjelaskan selama lapan tahun beroperasi, sambutannya semakin menggalakkan.

Sehingga kini, Swatari memiliki 100 orang ahli di bawah pengawasan isterinya, Datin Sharifah Mahani Syed Kassim atau lebih dikenali sebagai Mak Ngah serta mempunyai 10 orang tenaga pengajar di mana enam daripadanya adalah kanak-kanak.

Sementara itu, Swakarya yang merupakan pemuzik-pemuzik iringan di bawah pimpinan Pak Ngah sendiri pula mempunyai bilangan ahli seramai 60 orang.

Swara yang sering menjadi penyanyi latar dalam majlis persembahan pula mempunyai enam orang penyanyi latar tetap dan 60 orang jika untuk persembahan koir.

"Alhamdulillah, apa yang saya usahakan selama ini bersama isteri mendapat sambutan. Saya bangga kerana masih lagi ada anak-anak muda zaman ini yang mahu melibatkan diri dalam seni dan budaya warisan bangsa kita.

"Insya-Allah, dengan sokongan berterusan saya mahu melebarkan serta meluaskan lagi legasi seni saya ini," ungkapnya penuh harapan.


Sumber : Utusan Online


Comments