Perkembangan Kritikan Sastera Malaysia (Bah Akhir)


 Perkembangan Kritikan Sastera Malaysia (Bahagian Akhir)
Tahap Mutakhir

Kecenderungan pengkritik untuk menggunakan pendekatan baru terus hidup dan berlanjutan. Muncul kecenderungan baru yang mahu melihat kritikan sastera diterapkan dengan nilai-nilai keagamaan iaitu nilai Islam. Ia mengundang kepada wujudnya diskusi, seminar dan polemik dalam perkembangan kritikan sastera Melayu. Polemik yang paling penting berlaku di antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad yang disiarkan dalam Dewan Sastera November 1982 dan Januari 1983. Polemik tersebut berkisar mengenai permasalahan teori Islam di mana teori ini bertolak dari doktrin, falsafah, dan teologi. Kedua-dua tokoh membicarakan aspek doktirn dan falsafah yang menjadi dasar pegangan.

Shahnon Ahmad melihat asas Islam yang melibatkan semua aspek di antaranya termasuk kesusasteraan. Ia terbit dari dunia dalaman yang terpancar darinya pandangan yang selari dengan pegangan teologi yang benar. Jika akidah tidak benar maka amalan lahirnya akan terbatal. Sastera Islam dianggap sebagai satu ibadah di mana ia membawa nilai-nilai Islam dari individu muslim yang menghasilkan karya semata-mata kerana Allah. Manakala Kassim Ahmad melihat dari sudut lahiriah. Beliau melihat Islam sebagai agama universal. Oleh itu sebarang hasil sastera sama ada yang dihasilkan oleh orang Islam atau bukan Islam yang mana tidak bercanggah dengan prinsip Islam maka ia dianggap sebagai sastera Islam. Pandangan ini selari dengan pandangan politiknya yang melihat bahawa Islam sebagai agama universal dan mempunyai nilai-nilai yang universal.

Menurut Hashim Awang (1988:116) perkembangan sastera di Malaysia akan mencapai kematangan yang lebih mantap kerana kebanyakan dari pengkritik kini mengambil sikap yang lebih objektif terutama dalam kerja-kerja kritikan yang dihasilkan. Pengkritik lebih memberi tumpuan terhadap aspek-aspek karya sastera daripada aspek-aspek di luar lingkungan karya sastera. Pengkritik juga turut memberi perhatian terhadap nilai huraian dan analisis yang dikemukakan. Para pengkritik sudah mula menguasai aspek analisis dan huraian yang baik dalam kritikan mereka.

Kemunculan pengkritik-pengkritik muda seperti Sahlan Mohd Saman, Mana Sikana dan Rahman Shaari yang mendapat pendidikan formal dalam bidang kesusasteraan turut memberi perhatian terhadap bidang kritikan. Pengkritik muda yang dianggap prolifik pada 1980-an ialah Mana Sikana yang menghasilkan beberapa buah buku kritikan seperti Teras Sastera Melayu Moden (1982), Aliran Dalam Sastera Melayu (1982), Sastera Islam di Malaysia (1983), Pemikiran Islam Dalam Sastera Melayu (1983), Esei dan Kritikan Drama (1983), dan Esei-Esei Kesusasteraan (1985).

Dekad 1980-an menyaksikan Kassim Ahmad mengubah kecenderungan kritikannya terhadap sastera Islam tetapi dalam bentuk yang lebih terbuka dan bercanggah dengan idealisme Shahnon Ahmad. Umar Junus pula tertumpu kepada teori baru dalam kritikan. Dalam Sejarah Melayu : Menemukan Diri Kembali (1983) Umar Junus menerapkan tiga teori berbeza tetapi saling melengkapi iaitu estetika penerimaan, intertekstualiti, dan semiotik.

Comments