Muzik dan Jiwa

 Muzik dan Jiwa

Muzik adalah warna-warna yang bergabungan, bergumpalan antara nada dan intonasi, rentak dan ritma yang menerbit bicara. Bicaranya adalah muzik yang bergema dan bergetar memasuki telinga dan singgah di pentas jiwa.

Ada keheningan mengalir dari pancar warna itu. Sebagai manusia kita mudah terarah dengan irama dan lantunan muzik.  Sebenarnya dalam diri kita bergumpal dengan muzik yang tak didengar : degup jantung, alir darah, hembus nafas, kocak rasa, gerak fikir, dan hayun langkah. Ia bergerak dan berkelana dalam tubuh kita saban ketika. Ia adalah muzik yang tak kedengaran di pendengaran tetapi ada. Kerana itu apabil kita ditemukan dengan muzik dan irama yang mengalir ke dalam jiwa, kita mudah pesona, mudah luluh, mudah tertikam oleh baur emosi.

Dalam puisi muzik hadir dalam rentak dan ritma ungkap kata dan notasi nada bagaimana kata-kata itu diujarkan. Pengujaran atau pengucapan dalam puisi adalah muzik yang digerakkan oleh intonasi, tone dan nadanya. Gerak muzik yang terzahir dalam deklamasi adalah lagu dan irama yang memintalkan muzik jiwa.
Jiwa puisi itu dan jiwa penikmat serta pendeklamatornya.

Kesan therapeutic dalam puisi

Puisi Melayu Tradisional terutama pantun dan syair dikatakan memiliki bahasa muzik yang amat indah. Keindahan kata, tone, nada dan ritma memberi suara yang terbaik buat kedua-dua puisi ini. Jika dibacakan pantun atau syair, maka ia harus bernada dan bertempo yang membina muzik dan nadanya. Keistimewaan kedua syair dan pantun adalah pengaruh therapeutic di dalamnya. Bahasa yang dapat mencanai jiwa dan membangkitkan detak dan dentuman emosi. Keupayaan therapeutic ini persis memberi tenteram, tenang, kelazatan, dan kesegaran pada emosi. Ia dapat menyembuhkan dan dapat membina tenteram. Kerana itulah Puisi Melayu Tradisi lahir dalam pelbagai variasi seperti nazam, rubai,  bahasa berirama, dan seloka yang dapat mengukuhkan keupayaan therapeutical di dalam puisi itu. Yang menyembuhkan ini bukan sekadar bahasanya tetapi alunan, nada, rentak, ritma dan tone apabila puisi itu diujarkan.

Perhatikan pada rangkap-rangkap pantun  di bawah. Unsur therapeutic dapat dirasakan dari keindahan bahasa, rentak, nada, intonasi, dan ritma puisi. Aspek kesantunan, ketenangan, kemanisan, kejujuran, kesucian jiwa jelas terpancar dalam baris-baris pantun ini. Ia membina keluhuran jiwa dan menolak segenap dimensi buruk dan kekacauan emosi. Dengan itu pantun ini menghadirkan saranan kejiwaan yang kuat iaitu bermurah hati, berbudi bahasa, kejujuran, keikhlasan, pengorbanan, dan berbuat baik atau berjasa adalah elemen hidup yang membawa kepada ketenangan dan keharmonian. Jiwa yang berbalut segenap nilai itu tidak akan mudah terpesona dengan kemungkaran, dan kejumudan fikiran. Pantun ini menjadi asuhan jiwa secara halus

Pisang emas dibawa belayar, 
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar, 
Hutang budi dibawa mati.

Pulau Pandan jauh ke tengah, 
Gunung Daik bercabang tiga,
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Tenang-tenang air dilaut
Sampan kolek mudik ke tanjung,
Hati terkenang mulut tersebut, 
 Budi yang baik rasa nak junjung.


 Dr James W Pennebaker menjelaskan " one of the most widely published researchers on the benefits of writing, says in his book, Opening Up: The Healing Power of Expressing Emotions, that writing about emotional topics improves the immune system by reducing "stress, anxiety and depression, improves grades in college (and) aids people in securing new jobs." (Pennebaker, 40). "Disclosing secrets beneficially reduces blood pressure, heart rate, and skin conductance." (Pennebaker, 52). Gregory Orr says that when we share secrets "we take a small step from survival to healing; a step analogous to the one a poet makes when he or she shares poems with another reader or an audience." (Orr, 88)

Kalau dilihat lebih jauh lahirnya mantera adalah kerana keupayaan nada, irama dan tone yang memberi ruang penyembuhan. Malah mantera atau chanting ini menjadi banyak amalan dalam agama seperti budha, hindu, dan sebagainya.

Semakin menarik apabila puisi ini digabungkan ke dalam persembahan muzikal yang melibatkan peralatan muzik dan nyanyian. Pantun yang didendangkan dengan muzik akan memperkuatkan bahasa pantun lahir dengan iringan muzik. Muzik menambah warna dan rupa pada lirik pantun. Muzik yang dihasil secara kreatif dapat membina momen terindah untuk dinikmati. Lahirlah muzik jiwa yang menarik dan indah hasil gabungan seni puisi dan seni muzik. Barangkali kerana kehadiran pantun dan syair inilah dikir barat satu persembahan muzik tradisional di pantai timur begitu diminati. Kesan therapeutic  akan melekat di jiwa.

pantun budi - tan sri s.m. salim

Dalam lagu di atas pantun telah disebatikan dengan muzik dan irama yang indah. Kehadiran pantun terasa lebih indah dan memberi impak emosi yang kuat ke dalam jiwa pendengar. Gabungan muzik dan puisi ini berupaya menjadikan pantun dapat disampaikan dalam bentuk yang lebih kontemporer serta memberi kesan kejiwaan yang mendalam.

seri mersing - sharifah aini

Kehadiran pantun dapat mengindahkan lagi lagu seri mersing ini. Alunan muzik dan pantun dapat membina notasi dan warna emosi yang mendalam. Tidak hairanlah kenapa lagu ini begitu mengusik jiwa.



selasih kusayang - ahmad jais dan rafeah buang

Lagu selasihku sayang amat terkesan ke dalam emosi. Muziknya yang indah dan ungkap kata yang puitis yang dirohkan oleh pantun menjadikan lagu ini segar dan bermakna sepanjang masa.

Pantun, Muzik dan Jiwa berpaduan dalam dua cebisan filem Melayu ini dan menjadikan ia sentiasa meragut emosi yang mendalam.




Sila baca :

Poetry As Healer
The Therapeutic Benefit Of Poetry
Muzik Serta Pengaruhnya Pada Emosi

Comments

  1. wow!!!suke lagu dulu-dulu mcm lagu p.ramle...walaupon cume lagu,banyak menceritakan pasal kehidupan(maknanya mudah diterima)..sory bahasa pasar ek...heheheh...

    ReplyDelete

Post a Comment