Membaca Kejayaan


 
 Kejayaan Tidak Datang Dengan Mudah

"Walaupun dapat keputusan cemerlang tetapi tak boleh gembira sangat sebab belum dapat kerja lagi, masih jauh perjalanan dan banyak cabaran.". Demikian luah hati seorang ayah yang hanya bekerja sebagai buruh terhadap kejayaan cemerlang anaknya. Hambali Md Noor, 43 merupakan antara ayah yang dapat tersenyum bangga di atas kejayaan anaknya Nurul Hidayah Awang, 20 antara pelajar cemerlang STPM 2012. Nurul Hidayah merupakan pelajar Melayu cemerlang antara sembilan pelajar paling cemerlang di sekolahnya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ibahim, Sungai Petani dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.42.


“Bagaimanapun, saya terharu dan bersyukur dengan keputusan ini dan diharapkan supaya dia terus cekal serta bersedia menghadapi lebih banyak cabaran dalam hidup yang mampu mematangkan dirinya,” tambah Hambali.

Sementara menunggu keputusan STPM diumumkan Hidayah yang kini bekerja sambilan sebagai guru tadika. Dalam keriangan dan kegembiraan mencapai kecemerlangan yang digenggamnya, Hidayah mengenang kesusahan hidup keluarganya.

“Kesusahan bapa bekerja dan ibu pula seorang suri rumah membuatkan saya nekad untuk mendapat jawatan yang baik dalam pekerjaan selain membantu membesarkan adik-adik yang masih kecil,” katanya. Hidayah berazam untuk menjadi pakar ekonomi dan membalas segala jasa kedua ibu dan bapanya yang bersusah payah membesarkan dia dan enam adik lain. Ketika ditanya perasaannya mendapat keputusan itu, dia berkata tidak menyangka kerana tahu STPM lebih sukar dari peperiksaan biasa. “Saya merancang untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya dalam bidang ekonomi,” katanya.

Mengulang pencapaian STPM 2012, Pengetua SMKI, Nasrudin Abd Rahman berkata, pencapaian STPM tahun 2012 menunjukkan peningkatan di mana sekolah mendapat kelulusan penuh 100 peratus pencapaian berbanding pada tahun sebelumnya hanya 94.59 peratus. SMKI juga merupakan antara 11 sekolah paling cemerlang di negeri Kedah yang memperoleh kelulusan 100 peratus dengan nilai Gred Purata Sekolah sebanyak 2.5.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Klang memperoleh A dalam mata pelajaran Pengajian Am, Bahasa Melayu, Sejarah dan Pengajian Perniagaan serta B bagi mata pelajaran Ekonomi. Khuzaidah Mohd, 19 yang mencapai keputusan cemerlang 4A 1B STPM 2012 dalam meraikan kejayaannya bertekad untuk membantu keluarganya keluar daripada kepompong kemiskinan. Kemiskinan yang dialami keluarga telah mendorong Khuzaidah Mohd. belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya memperoleh keputusan cemerlang

"Melihat kerja keras dan kepayahan ayah, saya bertekad untuk berjaya dalam pelajaran dan mengubah taraf kehidupan keluarga" kata Kuzaidah.

Lebih membanggakan apabila dia turut terpilih sebagai pelajar Melayu terbaik STPM di negeri Selangor
Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, dia mahu mengubah nasib keluarga kerana tidak sanggup melihat bapanya berterusan membuat dua pekerjaan iaitu sebagai pemandu lori dan nelayan.

"Keputusan cemerlang ini juga saya hadiahkan untuk ayah yang telah berpenat lelah membanting tulang semata-mata memastikan perut anak-anaknya berisi," katanya dalam tangisan kegembiraan.

Keputusan STPM 2012 melakar detik-detik manis dalam kehidupan seorang pelajar yang berasal dari keluarga miskin.. “Saya tidak pernah mengikuti kelas tuisyen seperti rakan-rakan lain kerana ayah tidak mampu,” kata seorang pelajar cemerlang  STPM dari gugusan Felda Sahabat, Kota Kinabalu.  Fauziah Laiman, 20, berkata kesempitan hidup keluarganya bukan penghalang baginya untuk berusaha bersungguh-sungguh dan bukan alasan untuk tidak mencapai keputusan cemerlang.

“Saya tekad membantu keluarga saya supaya mereka dapat hidup lebih selesa,” kata anak keempat daripada enam beradik yang bercita-cita menjadi pendidik itu.  Fauziah, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana, memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.75 iaitu 3A dan 1B. Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana ialah satu-satunya sekolah  menengah di gugusan Felda Sahabat dan sekolah yang ditutup pada 1 Mac berikutan krisis pencerobohan di Kampung Tanduo itu, dibuka semula 11 Mac. Sekolah itu mempunyai 50 calon STPM dan enam daripada mereka berjaya mencatat keputusan cemerlang.

Fauziah berkata bagi mencapai cita-citanya, dia sentiasa memastikan masa yang terluang terutama selepas tamat sesi persekolahan dimanfaatkan dengan mengulang kaji pelajaran, selain melakukan solat Hajat.

“Keputusan ini ialah hadiah istimewa untuk ibu bapa saya. Saya bercadang melanjutkan pelajaran di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) atau  Universiti Malaysia Sabah,” katanya yang berasal dari Felda Sahabat 3.

Seorang lagi pelajar sekolah itu, Noor Azilah Amit, 20, berkata keputusan cemerlang itu diperoleh hasil kerja kerasnya yang belajar hingga jam 2 pagi setiap hari. “Kalau ikut keputusan percubaan, memang saya tidak puas hati. Saya terpaksa berusaha lebih untuk membolehkan saya menjadi pelajar cemerlang.

“Penat memang penat apabila belajar  hingga dua pagi dan esoknya terpaksa menghadiri persekolahan seperti biasa, tetapi saya telah berazam mahu mengubah kehidupan keluarga saya,” kata rakan karib Fauziah itu. Noor Azilah, dari Felda Sahabat 5, memperoleh PNGK 3.50 (3A, 1C) dan dia yang juga bercita-cita menjadi guru, berhasrat menyambung pelajaran ke UPSI atau Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Kelantan mencatat sejarah terbaik dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2012 apabila 12 calonnya mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil, berbanding hanya empat orang tahun sebelumnya, iaitu peningkatan tiga kali ganda.  Jumlah tersebut tidak termasuk tujuh lagi calon yang mendapat keputusan A bagi empat daripada lima mata pelajaran diambil, sekali gus menjadikan sebanyak 19 calon kesemuanya berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 tahun ini.


Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, peratus calon lulus penuh pula adalah seramai 5,399 calon iaitu 95.12 peratus daripada keseluruhan 5,676 calon, mengatasi pencapaian peringkat nasional iaitu 92.67 peratus. Beliau berkata, pihaknya berbangga kerana peratusan kecemerlangan pelajar yang memperoleh keputusan empat dan lima prinsipal juga berjaya mengatasi peringkat nasional iaitu 53.7 peratus atau 3.048 calon berbanding 47.39 peratus, malah enam mata pelajaran turut mengatasi pencapaian nasional iaitu Perkomputeran, Kesusasteraan Melayu, Sains Sukan, Geografi, Bahasa Cina dan Seni Visual.

Seramai empat pelajar negeri Kelantan telah dipilih sebagai pelajar terbaik peringkat nasional berbanding seorang sahaja pada 2011. Empat pelajar cemerlang tersebut ialah  Azira Mohd. Asri dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa; Nurhanisah Deraman (SMK Cherang Ruku), Ahmad Herman Rodzi (SMK Ketereh) dan Siti Aidah Othman (SMK Tendong).

Mengulas pencapaian STPM 2012, Pengarah Pelajaran Kelantan menjelaskan , “Apa yang menarik adalah trend kecemerlangan ini tertumpu di sekolah luar bandar dan saya berterima kasih atas kesunguhan warga pendidik melaksanakan kesemua perancangan sama ada yang diatur pihak sekolah atau jabatan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM negeri Kelantan 2012 di pejabat Jabatan Pelajaran negeri di Kota Bharu

Membaca catatan kejayaan di atas, jelas bahawa untuk meraih kejayaan cemerlang memerlukan tekad, kezaman dan kegigihan yang tinggi. Membaca kejayaan pelajar-pelajar memberi simpul bahawa kesmikinan dan kesusahan keluarga bukan penghalang. Kejayaan mampu diraih meski mereka berada dalam lingkungan kekurangan. Bagi mereka yang gigih dan berani berjuang segenap kesakitan dan kesengsaraan harus dijadikan bunga semangat untuk berjaya.

Kita harus belajar dari mereka. Kita harus bertekad seperti mereka.







Comments

  1. Alhamdullilah..bukan mujdah nak berjaya..Tapi tak sukar andai rajin dan sentiasa berusaha..:D

    ReplyDelete
  2. Nak berjaya kenalah berusaha lebih la kan..Kejayaan tidak datang bergolek jika tiada usaha dan tawakal kepadaNya :) Btw tahniah buat mereka yg berjaya dalam SPM ^_______^

    ReplyDelete

Post a Comment