Pendekatatan-Pendekatan Kritikan Bahagian 2


Pendekatan-Pendekatan Kritikan (Bahagian 2

Pendekatan Kemanusiaan (Psikologi)

Konsep

Pendekatan Kemanusiaan memberi tumpuan terhadap hubungan sastera dengan kejiwaan manusia. Karya yang dihasilkan melalui dua tahap.

Pertama, peringkat merangka dan berfikir iaitu dalam keadaan separuh sedar (subconcious). Ia berada pada tahap ilham dan pengembangan cerita berlaku dalam fikiran pengarangnya. Tahap kedua di mana pengarang menulis karya berkenaan, ia berlaku secara sedar (concious). Tanggapan bagi pendekatan kemanusiaan ialah proses penciptaan pada tahap separuh sedar boleh melahirkan karya yang baik dan bermutu sekiranya pengarang berjaya mengemukakan apa yang bergolak di peringkat subconcious. Dalam penulisan karya kreatif pengarang boleh mengemukakan sudut pandangan maha mengetahui atau aliran kesedaran dalam menyelami gelodak jiwa atau peribadi watak. Dengan itu pembaca akan dapat mengetahui bagaimana sesuatu konflik itu tercetus serta bagaimana penyelesaian berlaku terhadap sesuatu konflik.

Dasar utama dalam pendekatan kemanusiaan ialah untuk melihat bagaimana karya sastera itu memberi kesan terhadap kejiwaan manusia. Bagaimana keupayaan sesebuah karya sastera itu dapat membongkar aspek psikologi manusia dan mempunyai kebenaran terhadap apa yang dipaparkan berdasarkan aspek psikologi tersebut.

Prinsip Pendekatan Kemanusiaan

Karya sastera dapat menghuraikan hubungan antara watak dalam karya sastera dengan manusia di luar teks atau masyarakat. Karya sastera merupakan peniruan sebahagian daripada kehidupan manusia. Pengarang melukiskan gambaran luaran dan kejiwaan manusia. Pengkritik akan lebih mudah memahami aspek-aspek kejiwaan manusia yang dipaparkan oleh pengarang dengan melihat setiap tindak tanduk watak yang dipaparkan pengarang. Dengan membincangkan aspek perwatakan ia akan dapat memberi peluang untuk memahami dengan mendalam makna karya sastera berkenaan. Watak menjadi inti kepada karya sastera dengan itu kejayaan watak dan penyorotan jiwa watak merupakan suatu kejayaan terhadap karya berkaitan.

Karya yang mempunyai aspek pengajaran, makna, pemikiran dan falsafah yang mendalam. Karya-karya yang dianggap berjaya melalui pendekatan kemanusiaan ialah karya-karya yang dapat memaparkan simbol atau perlambangan yang universal sifatnya serta mempunyai perkaitan dengan mitologi, kepercayaan, tradisi, moral, tamadun dan aspek kehidupan. Hubungan dan pengertian simbol diberi perhatian penting dalam karya sastera. Sebuah karya yang baik perlu sarat dengan perlambangan dan ia sesuatu yang bersifat asli dan besar maknanya. Unsur-unsur simbolisme ini pula dikaitkan dengan ambiguiti dan konotasi dalam karya sastera. Pengajaran atau mesej yang disampaikan dalam karya sastera dapat dijadikan iktibar atau pedoman. Pembaca akan dapat memahami segala mesej yang tersurat dan tersirat dalam karya sastera melalui tindakan dan kesan yang dialami oleh sesuatu watak.

Melihat gambaran kejiwaan pengarang dalam karya yang dihasilkan. Menerusi kajian ini dapat dilihat bagaimana gambaran psikologi pengarang yang dicernakan dalam karya yang dihasilkan. Ia dapat membongkar banyak rahsia berkaitan dengan pengarang serta kecenderungannya untuk menghasilkan karya berkenaan. Kajian ini akan mendedahkan kepada penganalisis bagaimana pertalian yang wujud di antara kejiwaan pengarang dengan karya yang dihasilkan serta tujuan sebenar pengarang menghasilkan sesuatu karya. Apabila menonton drama Matinya Seorang Pahlawan karya Usman Awang ia sebenarnya menonton sorotan sikap dan pemikiran pengarang itu sendiri.

Melihat kesan karya sastera terhadap kejiwaan pembaca. Ia memberi penekanan bagaimana sesebuah karya sastera mampu memberikan kesan psikologi terhadap pembaca. Pembaca mengalami kartasis dan mengalami kepuasan melalui penikmatan terhadap sesebuah karya sastera. Kesan yang ditinggalkan oleh karya sastera akan melahirkan pengaruh tertentu terhadap pembaca seperti mesej, unsur didaktik dan kepuasan kepada pembaca. Unsur-unsur kekaguman dalam drama akan melahirkan kesan perasaan dan kekaguman terhadap sesuatu peristiwa yang dipaparkan dalam karya sastera.


Proses Dalam Pendekatan Kemanusiaan

Penjelasan terhadap pengarang. Melalui kajian kemanusiaan ia dapat menjelaskan jiwa pengarang seperti cita-cita, aspirasi dan keinginan pengarang. Karya merupakan bayangan atau refleksi terhada hasrat pengarang. Cita-cita, aspirasi dan keinginan pengarang dapat dikesan melalui tema serta perutusan yang dibawakan dalam karya berkenaan. Melalui kajian ini juga pengkaji dapat menyorot atau membuat tanggapan terhadap rahsia pengarang melalui riwayat hidup atau peristiwa penting yang membentuk peribadi pengarang.

Pentafsiran terhadap perwatakan dan tema sesebuah karya. Pengamatan, wawasan dan huraian dilakukan dengan lebih mendalam terhadap kejiwaan watak yang digambarkan. Dengan menumpukan perbincangan terhadap perwatakan akan dapat mendedahkan keseluruhan makna karya berkenaan. Penelitian dilakukan terhadap aspek kejiwaan watak serta memahami hakikat dan kudrat manusia serta kemanusiaannya. Kajian adalah untuk meneliti apakah yang menyebabkan sesuatu watak itu bertindak. Pembaca akan terdedah kepada gambaran kejiwaan manusia yang lebih realistik. Analisis kejiwaan manusia akan dapat menjelaskan gambaran manusia yang lebih tepat melalui aspek dalaman jiwa manusia.

Meneliti faktor-faktor berkaitan proses penciptaan. Kajian proses penciptaan dilakukan dengan meneliti karya sastera itu sendiri. Melalui keterangan tertentu dalam karya dapat difahami bagaimana proses penciptaan karya berlaku. Selain itu keterangan dan pengakuan pengarang dapat membantu penganalisis untuk memahami bagaimana proses penciptaan terjadi. Analisis yang dilakukan dapat melihat perkaitan di antara unsur psikologi pengarang dengan karya yang dihasilkan.

Melihat unsur-unsur atau ciri-ciri psikologi dalam sesebuah karya. Tugas penganalisis adalah untuk menjelaskan unsur psikologi dalam karya yang dihasilkan. Segala pernyataan perlu disokong dengan alasan, hujah serta contoh bagaimana unsur psikologi itu diserapkan ke dalam karya sastera. Tidak semestinya hanya komponen watak yang menjelaskan aspek psikologi. Ia juga melibatkan komponen bahasa, latar, plot dan sebagainya.

Fungsi Pendekatan Kemanusiaan

Pendekatan kemanusiaan memberi pendedahan terhadap jiwa manusia dan kehidupan dalam karya sastera. Dimensi kejiwaan manusia dapat disoroti dalam sesebuah karya sastera dengan melihat bagaimana kejiwaan sesuatu watak itu dibangunkan. Dengan melihat aspek kejiwaan itu kita akan lebih memahami bagaimana watak-watak itu bertindak serta kaitannya dengan kehidupan. Aspek fizikal atau lahiriah tidak mendedahkan gambaran sebenar sesuatu watak. Dengan melihat aspek kejiwaan kita akan lebih memahami bagaimana pemikiran, kejiwaan dan naluri sesuatu watak.

Pengalaman kejiwaan manusia menjadi bahan utama penelitian sesebuah karya sastera. Melalui pendekatan kemanusiaan sesebuah karya sastera dilihat dari aspek kejiwaan yang dialami oleh pengarang atau watak-watak dalam karya berkenaan. Pengalaman pengarang dan kejiwaannya akan diterjemahkan ke dalam karya sastera menerusi tindak-tanduk watak-wataknya. Ini bermakna ketika membaca novel Sandera karya Arenawati kita dapat memahami aspek kejiwaan dan kesan kejiwaan pengarang yang mempengaruhi penciptaan karya berkaitan.

Pendekatan kemanusiaan dapat menggambarkan bagaimana sesebuah karya sastera terhasil dari suatu proses mental yang kompleks. Proses penciptaan sesebuah karya sastera berkait rapat dengan sikap dan keadaan diri pengarang ketika menghasilkan karya sastera. Proses penciptaan menurut pendekatan kemanusiaan melalui peringkat separuh sedar (subconcious) iaitu pengarang akan memanifestasikan apa yang tergambar dalam fikirannya dan diolah sebagai sebuah karya sastera.

Dapat melahirkan kesan emosi kepada pembaca. Pembaca akan mengalami kesan tertentu setelah menikmati sesebuah karya sastera. Kesan itu merupakan suatu kartasis kepada pembaca setelah berhadapan dengan pelbagai pergolakan yang dibangkitkan dalam karya sastera. Kesan itu akan memberi pengaruh kepada pembaca seperti unsur-unsur didaktif yang terdapat dalam karya sastera atau kepuasan dan keseronokan pembaca setelah menikmati sesebuah karya sastera.


Pendekatan Estetik atau Keindahan Bahasa

Konsep

Estetik merupakan cabang falsafah yang bertujuan untuk membuat pengkajian atau penyelidikan untuk memperkatakan tentang keindahan. Ia melibatkan aspek penghuraian tentang keindahan sebagai suatu ciri karya seni serta prinsip-prinsip mutlak dalam penilaian estetik. Ahli falsafah estetik beranggapan bahawa terdapat sikap estetik yang boleh dikenali. Sesuatu benda atau objek estetik akan melahirkan sikap estetik kerana benda-benda itu menjadi tujuan utama pemerhatian atau penghayatan karya sastera. Sikap estetik ialah keupayaan untuk memisahkan sesuatu benda dengan benda lain. Benda yang diperhatikan bukan sekali imbas atau dilihat dari sudut kepentingan atau kegunaannya. Seseorang peneliti akan bertindak balas dengan benda yang diperhatikan dan membentuk kepada pengamatan. Jika terdapat tujuan-tujuan lain dalam penghayatan teks bermakna suatu ketidakadilan dilakukan terhadap teks berkenaan. Apa yang penting dalam sikap estetik ialah teks itu sendiri dapat memancarkan kepada pembaca apa yang ada pada teks berkenaan Tujuan penting pembacaan teks adalah untuk mendapatkan kenikmatan daipada karya berkenaan.

Prinsip Pendekatan Estetik

Kesan pembacaan suatu teks akan melahirkan pengalaman estetik kepada pembaca. Apabila menikmati suatu karya akan melahirkan pengalaman estetik kepada pembaca. Pengalaman estetik akan bercampuraduk dengan pengalaman peribadi yang pelbagai sifatnya. Namun begitu pengalaman peribadi tidak seharusnya mengganggu pengalaman estetik yang baru dialami ketika menikmati teks. Pengalaman yang diperolehi dari pembacaan teks adalah pancaran keindahan karya berkenaan dan tidak boleh diganggu oleh pengalaman lain. Sebaliknya jika pengalaman lalu itu dapat memperjelaskan makna atau meningkatkan tahap penikmatan pembaca ia dapat digunakan sebagai suatu yang berguna dalam menikmati keindahan teks. Pengalaman ini dikenali sebagai keserasian estetik.

Kesan keindahan pengalaman, perasaan, imaginasi, dan wawasan. Melalu pembacaan terhadap sebuah karya sastera akan melahirkan sikap estetik untuk mendapatkan pengalaman estetik. Sesebuah karya dinilai dari aspek kesan terhadap keindahan pengalaman, perasaan, imaginasi atau wawasan seseorang pengkritik. Sesuatu yang memikat di dalam karya berkenaan akan memberi kesan terhadap pengalaman, perasaan atau imaginasi. Ia akan membentuk interaksi yang kukuh di antara pembaca dengan karya yang dinikmati. Nilai estetik yang ditemui dalam karya sastera bergantung kepada kecenderungan, pengalaman atau keserasian estetik bagi setiap pembaca. Pancaran nilai estetik yang dilahirkan melalui karya inilah menjadikan sesebuah karya sastera itu dianggap memiliki nilai keindahan yang tinggi.

Memahami dan menghayati keindahan bahasa dalam karya sastera. Sastera sebagai sebuah pengucapan seni yang indah memiliki pelbagai keindahan. Unsur keindahan yang diberi perhatian dalam melihat nilai estetik sesebuah karya sastera adalah keindahan bahasanya. Kesan keindahan bahasa ini dilihat dari sudut penggunaan, pola bahasa, kemerduan, bunyi, simbol dan makna yang dapat menyentuh pengalaman estetik pembaca. Pancaran keindahan bahasa ini akan membawa pembaca merasa kagum, terpikat, atau terpesona dengan pengupacan dan pemilihan kata yang digunakan dan mampu melahirkan makna yang indah dan menarik terhadap pembaca. Kesan-kesan perasaan seperti sayu, hiba, terpersona, terpikat, gerun, atau lucu merupakan kesan estetik yang dapat dinikmati oleh pembaca.

Keindahan dalam pengolahan karya. Kesan keindahan terhadap pengolahan karya dilihat terhadap aspek bentuk yang memikat dan menarik pengalaman estetik pembaca. Aspek-aspek naratif sesebuah karya turut memberikan kesan keindahan dengan melihat bagaimana sesuatu unsur dalam karya itu dapat mencetuskan suatu impak terhadap pembaca seperti merasa terkejut, ingin tahu, suspens dan sebagainya.

Proses Dalam Pendekatan Estetika

Penelitian dilakukan ke atas karya sastera dengan melihat karya sastera secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum dapat menikmati keindahannya. Nilai estetik merupakan sesuatu yang subjektif dan ia amat bergantung kepada citarasa atau pengalaman pembaca. Apabila embaca berhadapan atau menghayati sesebuah karya sastera tidak mustahil akan wujud nilai estetik yang berbeza di antara seorang dengan yang lain.

Namun begitu pengkritik harus berupaya menjelaskan dengan bukti yang konkrit dan rasional bagaimana sesebuah karya itu memiliki estetiknya. Sesebuah karya tidak dinikmati secara paksaan sebaliknya karya itu sendiri mampu menarik pembaca. Tarikan inilah yang akhirnya melahirkan suatu kesan estetik yang menjelaskan bagaimana aspek estetik itu dimiliki oleh karya berkenaan.

Pendekatan estetik diaplikasikan terhadap sesatu karya sastera berkecenderungan untuk memperjelaskan nilai-nilai keindahan yang terungkap di dalam karya berkenaan. Tigas perkara penting diberi keutamakan dalam penelitian estetik iaitu melihat kesan keindahan emosi, pengalaman, imaginasi dan wawasan. Kedua, memahami dan menghayati keindahan penggunaan gaya bahasa pengarang dalam menghasilkan karya sastera. Ketiga, melihat keindahan dan keistimewaan pengarang dalam pengolahan karyanya.

Melalui kritikan menggunakan pendekatan estetik para peminat atau pembaca dapat menikmati dan memperolehi banyak pengalaman estetik. Pembaca akan dapat berkongsi pengalaman orang lain khususnya dalam bidang sastera. Ia memberi manfaat kepada pembaca kerana mereka dapat mengecapi pelbagai cita rasa dan pelbagai pengalaman.

Comments