Akta Hak Cipta

Dibelenggu Akta Hak Cipta
Zurinah Hassan
06 Mac 2016 



Antologi merupakan koleksi karya beberapa orang penyair yang dipilih kerana mapan atau penyair yang berpotensi, manakala sajak yang dipilih dianggap bermutu dan mewakili penyair berkenaan. Sajak-sajak yang dipilih ini biasanya telah terbit di dalam pelbagai media. Bilangan sajak mungkin lima atau sepuluh buah untuk seorang penyair, mempunyai tema tertentu ataupun bebas bergantung pada konsep buku yang disusun. Penyusun antologi ialah pengkaji dan sarjana.

Setelah memilih penyair dan sajak-sajak, penyusun akan menulis surat kepada penyair yang terpilih untuk memohon izin menerbitkan karyanya di dalam buku yang sedang disusun itu. Penyair hanya perlu menyatakan setuju atau tidak dan menurunkan tandatangan. Bahkan kadang-kadang surat yang diterima daripada penyusun berakhir dengan ayat yang lebih kurang berbunyi, “Jika kami tidak mendapat sebarang jawapan dalam tempoh sebulan maka dianggap saudara bersetuju dan sajak-sajak akan diterbitkan dalam antologi berjudul sekian-sekian”.

Dengan cara itu terbitlah sejumlah antologi bersama misalnya Titian Zaman (DBP, 1979), Bunga Gerimis (Penerbit Fajar Bakti, 1986) Himpunan Sajak (DBP, 1981), Bintang Mengerdip (DBP, 1984), Malaysia dalam Puisi, (DBP, 1984), Di Penjuru Matamu (1975), Puisi Sepanjang Zaman, (DBP, 1988), Lagu Kehidupan (DBP, 1982), Mustika Diri (DBP, 1994), Lukisan Zaman (Marwilis Publisher, 1991). Selain usaha para sarjana, terdapat juga pelbagai antologi yang diterbitkan oleh persatuan penulis di seluruh negara.

Kita juga dapat berbangga dengan antologi yang menggabungkan penyair-penyair Malaysia, Indonesia dan Brunei seperti Puisi-Puisi Nusantara (DBP, 1981) disusun oleh Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Dengan terbitan antologi bersama ini, puisi-puisi Melayu juga dapat diketengahkan ke peringkat antarabangsa melalui terjemahan seperti yang diusahakan oleh Muhammad Haji Salleh melalui buku The Pupeteer’s Wayang, Voices of Malaysian Poets (DBP, 2009) dan Emas Tempawan / Burnished Gold (DBP, 2006).

Penerbitan antologi puisi, cerpen dan drama ini merupakan sumbangan yang besar kepada perkembangan sastera Melayu. Kumpulan-kumpulan karya ini memberi manfaat khasnya untuk pembelajaran di sekolah dan kajian di institusi pengajian. Masyarakat umum yang berminat tetapi tidak sempat membaca semua kumpulan puisi perseorangan, boleh membaca antologi bersama ini.

Antologi seperti ini juga sangat besar peranannya dalam mendokumentasikan perkembangan puisi tanah air. Misalnya kumpulan seperti Puisi Sepanjang Zaman memberi maklumat yang jelas tentang perkembangan penulisan puisi di Malaysia. Khalayak mendapat pengetahuan dan berguna untuk mengkaji penulis-penulis penting dalam sejarah sastera tanah air. Kumpulan Mustika Diri pula mendokumentasikan perkembangan penulis wanita Malaysia dalam pelbagai genre iaitu puisi, skrip drama, esei dan cerpen.

Bagi pihak penyair, ini adalah sesuatu yang baik kerana sajak-sajak yang dicipta dengan susah payah dapat menemui pembaca melalui lebih daripada satu saluran. Misalnya sajak saya Sungai Kelang telah disiarkan di sebuah majalah. Kalau tidak disiarkan kembali maka di situ sahajalah riwayat sajak tersebut. Dengan adanya usaha menyusun antologi bersama, sajak yang sama boleh dimuatkan kembali dalam antologi bertemakan sungai dan bila ada antologi khas untuk penulis wanita, ataupun penulis utara.

Ternyata penerbitan ini sungguh berguna. Tetapi kini suasana itu telah hilang.

Kita tidak kekurangan penyusun tetapi penerbitan seperti ini telah dirumitkan oleh Akta Hak Cipta berdasarkan Konvensyen Barnes yang dikuatkuasakan sejak 1987.

Akta tersebut memperuntukan bahawa hak cipta sesuatu karya dimiliki oleh pengkarya dan penerbit karya seumur hidup campur 50 tahun selepas pengkarya meninggal dunia. Hal ini bertujuan untuk melindungi karya dan memastikan seseorang pengkarya akan terus menerus mendapat bayaran dan bayaran ini dibayarkan kepada pewaris sehingga 50 tahun selepas pengkarya meninggal dunia.

Akta tersebut memang ada kebaikannya. Di negara kita manfaat akta tersebut hanya dinikmati oleh ramai pengkarya dalam bidang muzik. Dengan perlindungan ini penulis lirik yang telah meninggal dunia, misalnya Allahyarham Loloq, meninggalkan royalti hak cipta kepada warisnya dalam jumlah yang banyak.

Akta ini digunakan oleh penerbit terbesar Malaysia, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Tetapi apakah kesan Akta tersebut kepada bidang penulisan? Setakat ini belum ada penulis yang meninggalkan royalti sebanyak Allahyarham Loloq. Sebaliknya peruntukan yang termaktub pada akta tersebut dilihat mendatangkan lebih banyak kesusahan berbanding keuntungan. Oleh itu tidak banyak lagi antologi bersama yang diterbitkan sekian lama, kecuali antologi Komsas (yang juga bermasalah bersabit akta ini). Kalau ada penerbitan antologi bersama ia memuatkan karya-karya baru dan kurang bernilai sebagai bahan kajian.

Selain menyukarkan penerbitan antologi bersama, akta ini membawa situasi di mana seorang pengarang merasakan karya yang dicipta dengan susah payah terperuk begitu saja dan tidak dapat dibaca oleh masyarakat. Buku tidak diulang cetak dengan alasan masih banyak dalam stor. Tetapi anehnya apabila mahasiswa atau pusat-pusat pengajian tinggi yang memerlukannya tidak jumpa di mana-mana termasuk di Kedai Buku DBP. Sajak-sajak tidak dapat diterbitkan kembali kerana terikat dengan akta tersebut.

Memang sukar menerbitkan antologi pada masa ini. Seorang kawan sedang menyusun sebuah antologi cerpen penulis wanita dan seorang lagi dalam proses menerbitkan antologi wanita negara Asia Tenggara. Antologi ini akan menjadi khazanah yang berharga khasnya untuk dokumentasi sejarah perkembangan sastera.


Antologi cerpen itu masih tersangkut kerana beliau tidak dapat atau belum mendapat kelulusan daripada penerbit asal sedangkan cerpen itu penting dan kalau tidak dimasukkan akan cacatlah buku tersebut. Dalam kes antologi sajak wanita Asia Tenggara itu, sepatutnya dimuatkan sajak-sajak penting yang telah dihasilkan oleh wanita. Malangnya oleh sebab bimbang hal-hal yang mungkin berbangkit bersangkutan hak cipta ini, penyelenggara meminta penyair menulis sajak-sajak baharu. Maka antologi itu masih tersangkut kerana bukan semua penyair boleh mencipta sajak dengan cepat. Dan apabila siap kelak ia tidak lagi menjadi satu dokumentasi.

Penulis adalah Sasterawan Negara.

utusan online


Comments