Tugu Negara

Model Tugu Negara rindu rakan
Oleh Amin Ridzuan Ishak



Siapa tidak mahu jumpa mereka? Beritahu sahaja bila, saya sedia datang kalau kesihatan mengizinkan. Kalau saya jumpa Ramli, saya mahu terus peluk dia. Dia baik dengan saya dan sudah tentu saya mahu tahu apa nasibnya sekarang," Prebet Zainal Buyong


JEJAK Di Sebalik Tugu Negara menemukan BH dengan Prebet Zainal Buyong. Pada usia 81 tahun, Zainal yang mesra membahasakan dirinya Pak Zainal, masih kelihatan sihat, bertenaga dan sarat dengan jenaka.

Pak Zainal adalah seorang daripada model bagi pembinaan Tugu Negara. Arca pejuang negara memegang bendera pada Tugu Negara, itulah Pak Zainal.

Bertemu beliau di kediamannya di Kampung Kuala Atok, dekat Raub, Pahang, Zainal berkata, beliau pada awalnya keberatan untuk menerima tawaran itu, yang bertujuan memperingati jasa wira negara yang terkorban ketika mempertahankan kedaulatan tanah air.



ZAINAL melihat gambar Tugu Negara daripada telefon bimbit. - Foto Luqman Hakim Zubir

Beliau sebaliknya mencadangkan nama Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman, untuk diabadikan sebagai Tugu Negara berikutan jasanya membebaskan negara daripada cengkaman penjajah.

"Ketika itu, saya baru balik dari operasi di hutan pada tahun 1958 dan kembali ke berek di Kem Ipoh Road (kini Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh). Kami dipilih secara rawak oleh seorang pengukir tugu dari Austria yang datang seorang jurugambar berbangsa Inggeris.

"Mereka bagi tahu hendak buat tugu dan perlu mengambil gambar kami. Saya kata, tidak payahlah kami....baik suruh Tunku Abdul Rahman kerana jasanya terlalu besar untuk mencapai kemerdekaan negara. Mereka tetap pilih kami. Kata mereka, model tugu mesti anggota tentera dan menjadi kesalahan kalau kami tidak mematuhi arahan itu. Kami pun mulalah ambil gambar dalam tempoh 30 minit..kalau lihat tugu sekarang begitulah gaya kami pada masa itu," katanya yang berasal dari Slim River, Perak.


ZAINAL menunjukkan sijil berhenti daripada perkhidmatan dalam tentera. - Foto Luqman Hakim Zubir

Bercerita lanjut, Zainal berkata, pada mulanya beliau diletakkan di bahagian bawah dan bukannya sebagai pemegang bendera. Bagaimanapun, kedudukan itu diubah.

"Pada mulanya, anggota tentera berbadan sedikit gempal berada di atas tetapi mungkin kawan lain tidak tahan mengangkatnya, maka saya yang paling kurus diarah menggantikannya," katanya sambil menambah pada awalnya bukan bendera yang harus dipegang tetapi bulan sabit.

Zainal berkata, mereka difahamkan pengukir dari Austria itu kemudiannya membawa gambar mereka serta melakukan kerja mengukir sehinggalah ia ditempatkan di Jalan Parlimen, Kuala Lumpur.

"Pertama kali melihatnya, ada orang kata macam orang putih sahaja, bila lama-lama tengok, baru ada orang perasan yang memegang bendera itu serupa saya. Mungkin kerana hidung saya mancung sedikit, mereka cakap macam orang putih. Keluarga dan orang kampung yang melihat Tugu Negara pun kata ia serupa saya, mereka kata 'macam Pak Tam Sanor' (nama panggilan Zainal di kampung)," katanya.

Tahun lalu, adalah kali terakhir Zainal ke Tugu Negara.



MODEL Tugu Negara, Zainal Buyong. - Foto Luqman Hakim Zubir

"`Saya' (patung) masih kelihatan seperti saya walaupun ia pernah diletupkan oleh komunis," katanya yang memiliki tujuh anak dan 14 cucu hasil perkongsian hidup dengan Shariah Mat Sari, 75.

Mengimbau saat itu, Zainal berkata, daripada empat anggota tentera yang bersamanya untuk dijadikan model Tugu Negara, beliau mengenali dua anggota iaitu Hashim dan Ramli disebabkan nombor badan (tentera) mereka yang berdekatan. Zainal memegang nombor 9406 manakala Hashim 9407 dan Ramli 9408.

"Saya paling rapat dengan Ramli. Saya difahamkan Ramli membuka kedai kopi di Sungai Petani, Kedah, manakala Hashim sudah meninggal dunia di Pulau Pinang. Saya tak dapat apa-apa berita daripada rakan-rakan saya ini selepas kami berhenti dari tentera pada tahun 1960," katanya.

Ditanya sama ada beliau ingin berjumpa dengan anggota tentera yang bersama-samanya menjadi model Tugu Negara, tampak jelas perasaan teruja Zainal dan dengan pantas beliau menjawab `ya'. Beliau juga meminta supaya perjumpaan itu diatur segera dan dijayakan di Tugu Negara.

"Siapa tidak mahu jumpa mereka? Beritahu sahaja bila, saya sedia datang kalau kesihatan mengizinkan. Kalau saya jumpa Ramli, saya mahu terus peluk dia. Dia baik dengan saya dan sudah tentu saya mahu tahu apa nasibnya sekarang," katanya.


SIJIL berhenti tentera Zainal. - Foto Luqman Hakim Zubir

Dianggap kebal, tarik minat tentera British dalami Islam

Masih terbayang dalam ingatan Prebet Zainal Buyong tembakan bertalu-talu komunis ke arahnya dalam satu serangan hendap di Gunung Bungsu, Kulim, Kedah pada tahun 1954.

Menceritakan semula detik cemas itu, model Tugu Negara itu berkata, beliau ditugaskan menjadi antara anggota barisan hadapan untuk mengesan kelibat musuh yang berkemungkinan besar bersembunyi di sebalik pokok.

"Saya pakai senapang automatik dan sebaik saja sampai ke kawasan bukit ada bunyi bom yang menyebabkan satu lubang besar...10 ekor gajah pun boleh masuk. Jalan semuanya ditutup dan kami yang kira-kira 100 orang diketuai seorang pegawai Tentera British dikenali sebagai Mejar Speller berdepan dengan kira-kira 300 askar komunis," katanya.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, Zainal berkata, kepalanya tiba-tiba tersekat di pokok meranti berkembar dan tidak boleh dikeluarkan.

"Komunis menembak bertalu-talu ke arah saya tetapi yang menghairankan tidak kena, Mejar Speller suruh saya tunduk tetapi tidak boleh kerana beg tersangkut pada pokok. Tidak lama kemudian, datang seorang anggota menarik beg dan berjaya selamatkan saya, selepas itu barulah saya dapat menyertai pertempuran dan dapat bunuh beberapa askar komunis," katanya.

Kejadian itu rupanya, kata Zainal, membuatkan Speller kehairanan bagaimana Zainal boleh terselamat. Speller bertanyakan hal itu kepada seorang pegawai tentera, Kapten Nordin.

"Dia kata kenapa saya tidak kena tembak oleh bandit (musuh), apa dia buat? Ada orang jawap Zainal kebal dan belajar ilmu sihir (black magic), Speller kemudiannya kata dia mahu belajar 'taktik' saya itu. Saya beritahu dia, itu bukannya black magic tetapi saya sebenarnya berdoa kepada Allah supaya melindungi ketika itu...ada doa saya baca," katanya.

Jawapan Zainal itu rupa-rupanya menarik minat Speller untuk mendalami agama Islam, malah beliau menyatakan kesediaannya untuk memeluk Islam.


SIJIL berhenti tentera Zainal. - Foto Luqman Hakim Zubir

"Speller kemudiannya mengajak saya ke England bagi membolehkannya mendalami apa saya buat sehingga terselamat dalam serangan di Gunung Bungsu. Puas saya berfikir dan akhirnya, saya buat keputusan tidak pergi kerana tidak tahu berbahasa Inggeris. Ada kawan yang mahu mengikut Speller tetapi Speller hanya mahu bawa saya. Dia betul-betul berminat mahu tahu apa yang terjadi," katanya.

Zainal mengakui berasa ralat kerana tidak mengikuti Speller ke England kerana ia mungkin mengubah kehidupannya dan mendapat banyak manfaat, termasuk menguasai bahasa Inggeris.

"Bila fikir balik memang menyesal dan ramai kata saya rugi tidak ambil peluang berkenaan yang tidak selalu datang," katanya.

Menutup bicara, Zainal sempat meninggalkan pesan buat rakyat Malaysia terutamanya golongan muda supaya sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran dan ancaman.

"Kita tidak tahu bila ancaman atau musuh itu datang walaupun keadaan sekarang aman dan sejahtera. Paling penting, jadikan askar dulu-dulu sebagai contoh...yang sentiasa bersedia berdepan apa juga keadaan," katanya.

ZAINAL di hadapan kediamannya di Kampung Kuala Atok, Raub, Pahang. - Foto Luqman Hakim Zubir





Mat Shupur patung Tugu Negara
Oleh Alzahrin Alias dan Nasaruddin Parzi


TUGU Negara adalah lambang kebanggaan negara. Ia simbolik perjuangan askar melawan penjajah, teguh berdiri dengan kibaran Jalur Gemilang, yang dijulang oleh perajurit bersadur gangsa ini.

Tugu Negara yang tersergam indah di tengah-tengah ibu kota, mempunyai tujuh patung lelaki yang menggambarkan kejayaan askar Tanah Melayu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.

Setiap satu patung ini mempunyai wataknya yang tersendiri dengan melambangkan pimpinan, getir, persatuan, siap sedia, kekuatan, keberanian dan pengorbanan.

Ramai yang mengetahui kewujudan Tugu Negara ini, tetapi apakah kita pernah terfikir siapa individu di sebalik kemegahan patung Tugu Negara ini?

 TUGU Negara simbolik perjuangan askar negara menentang penjajah.

Setiap arca perlu ada modelnya, mustahil untuk menghasilkan tugu sebegini jika tiada model atau contoh yang perlu diikuti, tambahan pula pengukir tugu ini seorang yang berbangsa Austria-Amerika.

Tugu ini sebenarnya diukir berdasarkan kepada contoh sebenar askar yang melakonkan aksi kemenangan menentang penjajah, penuh dengan bahasa tubuh yang boleh menceritakan 1,001 kisah perjuangan.

BH Plus berjaya menjejaki seorang bekas askar Melayu yang terpilih menjadi model pada ukiran Tugu Negara.

Jika diperhatikan, raut wajahnya sama seperti insan seusia dengannya. Tiada lagi kerisauan mengenai keselamatan negara dan hanya menghabiskan hari tuanya di rumah yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Namun, insan ini menyimpan sejarah dan pelbagai memori, menjadi seorang yang terbabit dalam mencipta satu sejarah atau tugu peringatan negara.


MAT Shupur menceritakan kisahnya terpilih menjadi model untuk Tugu Negara.

Mat Shupur Khamis, 78, ketika menceritakan mengenai pembabitannya dalam pembinaan tugu penting negara ini menyatakan semuanya berlaku tanpa dirancang.

Ketika itu, beliau yang bertugas di Kem Askar Sungai Besi dipanggil oleh pegawai atasan bersama-sama 60 orang rakan setugas yang lain bagi menjalani pemilihan.

"Saya dipanggil untuk pemilihan kerana pegawai mahu melihat pergerakan kami, gaya berjalan, ketika bertempur dan juga reaksi wajah. Pada mulanya saya tidak tahu untuk apa tapi setelah diberikan taklimat barulah tahu ini untuk pembinaan tugu peringatan.

"Tapi tidak tahu pula tugu peringatan ini adalah tugu utama negara," katanya dengan raut penuh rasa bangga.

Mat Shupur menyatakan mereka perlu bergaya dan berlakon seolah-olah sedang bertempur melawan musuh dan bagaimana reaksi mereka apabila berjaya memenangi pertempuran itu.

Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan perlu memperlihatkan gaya lakonan sebelum ditapis dan akhirnya, kumpulan Mat Shupur berjaya menambat hati pegawai ketika itu.

"Bila berjaya, kami sekali lagi dipanggil untuk melakonkan aksi sama sebelum diambil gambar. Zaman dulu bukan macam sekarang, ambil gambar tidak sampai lima minit sudah boleh siap.

"Ketika itu, kami perlu berada dalam satu posisi selama lebih setengah jam. Terpaksa keras saja. Watak saya pula sebagai patung yang terbaring di bawah sekali, bayangkan selama setengah jam itu saya ditindih oleh rakan-rakan di atas.

"Tapi disebabkan jiwa dan semangat ketika itu sebagai seorang askar, kami kena bertahan walaupun ia hanya untuk mengambil sekeping gambar saja. Disiplin sebagai seorang askar tetap perlu dijaga," katanya.

Mat Shupur berkata, gambar mereka kemudiannya dihantar ke luar negara untuk diukir pula oleh pengukir terkenal, Felix de Weldon dan diperbuat daripada gangsa.


PENGUKIR Tugu Negara, Felix de Weldon.

Pada tahun 1963, Tunku Abdul Rahman sendiri telah melantik Felix de Weldon untuk mendirikan Tugu Negara bagi melambangkan kebebasan negara. Idea itu timbul ketika lawatan Tunku ke Amerika Syarikat pada tahun 1960.

"Beliau tertarik dengan Memorial Peperangan Anggota Marin Amerika Syarikat sehingga bertemu sendiri dengan de Weldon untuk memintanya mengukir monumen kebangsaan Malaysia," katanya.

Bercerita lanjut, Mat Shupur berkata, segala proses membina tugu itu dibuat di luar negara sebelum dihantar semula melalui kapal laut untuk didirikan di sini.

Ditanya perasaannya menjadi sebahagian daripada sejarah penting negara, Mat Shupur dengan mata yang berkaca berkata, beliau pastinya berbangga.

"Sekurang-kurangnya apa yang saya lakukan ini dapat dikongsi bersama dengan anak cucu. Sebagai seorang askar yang terbabit dalam penentangan menentang musuh negara demi mencapai kemerdekaan, saya merasai kepentingan Tugu Negara ini sebagai lambang kedaulatan dan kekuatan negara.

"Saya tidak kisah jika tiada yang tahu siapa di sebalik patung Tugu Negara itu, cukup sekadar jika mereka tahu dan menghargai perjuangan dan keperitan askar kita menentang penjajah," katanya.

Info Tugu Negara

Tugu Negara atau Tugu Peringatan Negara disiapkan pada 8 Februari 1966.

Pembinaannya sebagai penghormatan kepada lebih 11 ribu perajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama (1914-1918), Perang Dunia Kedua (1935-1942) dan ketika Darurat (1948-1960).

Tugu Negara terletak di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen.

Tugu setinggi 15 meter itu diperbuat daripada gangsa dan direka oleh pengukir Austria, Felix de Weldon.

Tugu ini juga pernah menjadi antara arca berkumpulan yang tertinggi di dunia.

Terdapat tulisan yang cukup bermakna di Tugu Negara ini, yang berbunyi 'Demi memperingati wira-wira yang menjaga keamanan dan kebebasan. Semoga mereka dirahmati Allah.

bhonline

Comments