26 Jan 2018

Pak Ya Cong Codei : Pak Ya Sang Wira?

Pak Ya Cong Codei
Ku Seman 

Barangkali sebahagian penonton sudah muak dengan paparan artifisial di televisyen selama ini. Tidak habis-habis dengan berebut harta, bercinta dan hasad dengki yang tidak dibina dan diberi “nyawa” sebagai sebuah karya drama. Barangkali juga paparan yang sambil lewa itu tersasar jauh dari realiti sosial kononnya orang Melayu terlebih kaya dan matlamat hidup untuk berkereta mewah dan berfoya-foya dengan teman wanita sahaja.

Oleh hal yang demikian, kita wajar berbangga apabila Pak Ya Cong Codei menjadi topik bualan di pelbagai lapisan masyarakat. Ini menunjukkan wacana kemanusiaan yang dibawa oleh drama ini sampai kepada sasaran khususnya penonton drama Melayu.

Selama ini sebahagian besar drama Melayu di televisyen tidak lebih satu eskapisme sosial. Drama-drama menuntut kita meninggalkan realiti dan masuk dalam eskapisme sosial. Sebaliknya drama adalah sebuah interpretasi semula realisi sosial itu.

Ia bukan sebuah realiti sebagaimana anutan sesetengah pembuat drama atau filem yang bersungguh-sungguh memaparkan “realiti” yang mereka fahami. Kalau dunia pelacur mesti menunjukkan perbuatan melacur. Ini adalah penyakit kronik sesetengah pembuat drama atau filem kita. Hingga ada pembuat filem berkata, kalau adegan seks filemnya dipotong hilang “mesej” filem itu. Apa ni?



Pak Ya Cong Codei dirasakan begitu dekat dengan penonton bukanlah realiti tetapi sebuah interpretasi. Sabri Yunus membuat intreperpretasi semula realiti itu kemudian diletakkan dalam milieu sosial yang digarap dengan penuh sedar akan estitekanya. Milieu (latar sosial) dalam drama ini sangat baik persembahannya; sebuah komuniti orang Kelantan di pinggir Kuala Lumpur. Malah ini menjadi sebahagian daripada karakter drama ini.

Elemen kedaerahan misalnya komuniti Kelantan dan dialog dalam loghat Kelantan adalah sebahagian milieu sosial. Bagaimanapun tetap Malaysia kalau pun tidak global sifatnya. Imej Kuala Lumpur sebenarnya sangat klise dan basi dari relung lensa banyak drama Melayu. Tetapi Sabri Yunus mengungkap Kuala Lumpur dari sudut pandang geografi dan sosial yang lain.

Kekuatan Pak Ya Cong Codei pada wacana sosial dan kemanusiaan yang diangkatnya. Ceritanya seorang mafia kampung yang gedebe dari Kelantan diupah oleh seorang peguam terkenal mencari anaknya yang diculik pekerjanya sendiri.

Saya selalu percaya filem atau drama bukanlah cerita. Sebagai sebuah karya seni, cerita yang menarik sekalipun tidak ke mana kalau tidak membawa wacana. Kosong. Oleh itu wacana kemanusiaan yang dihamparkan Sabri Yunus lebih besar daripada ceritanya tentang mafia kampung dan rencah seksual pada permulaannya.

Pak Ya dibawa keluar dari watak klise mafia yang gemar membunuh, setidak-tidaknya samseng dengan orang sekeliling. Pak Ya seorang yang humanis, musuh yang mahu membunuhnya, Datuk Sahak dibiarkan terus hidup dengan deraan keinsafan. Pak Ya menekankan dialog yang dia bukan pembunuh, yang paling kejam dilakukan hanya menembak di telinga hingga tembus.

Kenapa Sabri Yunus mengemukakan watak Datuk Sahak sebagai peguam? Saya fikir bukan kebetulan sebaliknya terancang. Sabri Yunus mahu memberitahu, orang yang arif undang-undang yang berjaya melanggar undang. Datuk Sahak menjalankan perniagaan haram dengan Tony. Tetapi Pak Ya yang tidak arif undang-undang, mafia pula tetapi dia ada kelebihan kerana ada jiwa dan humanis.

Kerana itu juga Pak Ya memberikan semua upah RM40,000 mencari anak Datuk Sahak kepada ibu Rashdan, lelaki yang melarikan anak Datuk Sahar. Dia melarikan kerana dendam. Ibu Rashdan memerlukan RM40,000 untuk pembedahan jantung. Kesudahannya Pak Ya balik ke kampungnya dengan tangan kosong. Pak Ya mafia yang gagal kerana ada kemanusiaan dalam dirinya.

Saya melihat hal-hal kemanusiaan diungkap dengan pendekatan yang sangat menarik. Rashdan yang menculik anak Datuk Sahak bukan kerana jahat. Dia hanya mahu membalas dendam terhadap pembunuhan ayahnya oleh Datuk Sahak. Tetapi di suatu tahap, kemanusiaan mengatasi dendam dan berhasrat menyerahkan gadis itu kepada keluarganya. Adegan Rashdan berhujah dengan gadis yang diculik itu sangat menarik dan terkawal pembikinannya.

Banyak juga drama lain yang cuba membawa isu kemanusiaan tetapi banyak juga terperangkap dengan didaktik, ala khutbah dan dialog yang membosankan. Ini disebabkan tidak mampu mengikis keterujaan untuk memberi “mesej”. Apa itu mesej?

Karya seni bukan membawa mesej. Tidak perlu menonton drama kalau hendak mendapatkan mesej, dalam Whatsapp Group sangat banyak mesej “yang baik-baik”. Karya seni membawa wacana pemikiran pembuatnya, maka khalayak kenalah berfikir, bukan menelan bulat-bulat seperti membaca Whatsapp.

Kesimpulannya drama Pak Ya Cong Codei yang tidak ada pelakon kacak dan jelita, penuh gosip dan skandal dengan VIP itu dan ini, kereta mewah menjalar, ruang pejabat mewah, seolah-olah sedemikianlah kedudukan orang Melayu dalam perniagaan tetapi tetap menarik perhatian semua lapisan penonton. Ini membuktikan formula basi membariskan “batang pisang” membuat catwalk di depan kamera sebenarnya tidak terbukti berjaya. Harap pembuat drama sedar akan hakikat ini.

Kuseman.com





Pok Ya Cong Codei Cerita Orang Gedebey Kelantan



Telemovie Pok Ya Cong Codei ni memang korang kena tengok. Sabri Yunus menggarap cerita ini dengan sangat baik walaupun aku harapkan watak Rashdan (Fikri) lebih baik bermaian dalam permainan emosi. Ini kerana cerita ini banyak unsur komedi dan permainan emosi tu dipaksikan pada watak rashdan.

Plot cerita ini bergerak pada Pok Ya yang dilakonkan otai Sabri Yunus. Watak Mustapha Kamal pun tak perlu dikomen lagi. Dia dengan Sabri Yunus memang menjadi terutama sekali ketika babak mereka dalam satu frame. Watak yang sangat jujur, semulajadi dan bersahaja menunjukkan Sabri Yunus berada dalam kelas tersendiri.

Skrip yang mencuit hati dan bahasa yang tidak terlalu dramatik. Dia bukan la gangster yang acah-acah gentleman cakap lembut dengan perempuan. Dalam kasar bahasanya ada sayangnya dia dengan bini dan anak-anak buah dia juga.

Watak Pok Ya adalah definisi gangster otai yang memiliki anak buah dan rakan yang sanggup mati demi beliau kerana dia ada satu sisi yang membuatkan pok ya disayangi. Dia ada prinsip yang kuat dalam hidup dan sentiasa komited dengan tugasan dia. Dia seorang yang amanah dan kalau berjanji dia akan pegang janji.



Beliau berhadapan dengan cabaran di alam teknologi. Whatsapp pun tak ada. Pakai handphone legend. Terpaksa keluar ke KL untuk tugasan, tinggalkan bini muda yang baru sebulan kawin. KL bukan area yang Pok Ya gemar sangat. Dia bercakap Kelantan pekat.

Sabri Yunus sebenarnya bermain serampang dua mata dalam cerita ini. Dalam pada dia membawa watak Pok Ya yang gangster lama, dia turut ‘mempermainkan’ watak itu dengan beberapa sisi naif Pok Ya yang buatkan kita gelakkan Pok Ya.

Membuatkan kita tak akan menuduh Sabri Yunus terlalu mengangkat sisi seorang gangster dalam cerita ini. Ini kerana ada suapan alter ego watak Pok Ya yang memang 360 degree.

Banyak pengajaran dalam cerita ini daripada latar masyarakat yang berbeza dan hubungan sosial yang berbeza. Itu yang paling penting dan Sabri Yunus suap kepada audien dan menyampaikannya dengan cara yang sangat santai dan dalam cerita yang berwatak utamakan seorang gangster.

dailyrakyat 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena