cikgu azizan

Cikgu Azizan dilepaskan
Oleh Ifwan Tun Tuah


SEREMBAN: Mahkamah Majistret di sini, hari ini melepas tanpa membebaskan guru dikenali sebagai Cikgu Azizan daripada pertuduhan mencederakan muridnya, April lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap, 44, atau Cikgu Azizan, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh di Mahkamah Majistret di sini, Oktober lalu, dan hari ini sepatutnya menjadi hari pertama proses perbicaraan. Azizan diwakili peguam Francis Pereira.

Lebih 300 orang yang menyokong Cikgu Azizan termasuk guru dan penduduk sekitar Taman Semarak, selain wakil Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hadir di Kompleks Mahkamah Seremban memberi sokongan moral kepadanya sejak jam 8 pagi tadi.

Mereka bersorak apabila Cikgu Azizan keluar dari mahkamah kira-kira jam 9.30 pagi dan dimaklumkan pertuduhan terhadapnya ditarik balik.

Cikgu Azizan ketika ditemui, bersyukur dengan keputusan berkenaan dan memberi jaminan kes berkenaan tidak melemahkan semangatnya untuk terus mendidik.

bhonline 



'Tiada dendam, saya doakan dia berjaya'
Oleh Ifwan Tun Tuah


SEREMBAN: "Saya maafkan anak murid itu dan keluarganya. Saya doakan dia berjaya pada masa depan dan menjadi anak yang baik,".

Cikgu Azizan atau Azizan Manap, 44, tenang mengungkap kata-kata itu sejurus dilepas tanpa dibebas di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan muridnya, April lalu.

Beliau yang berkemeja biru dan kelihatan sebak ketika ditemui pemberita, berkata kes itu tidak menjejaskan semangatnya untuk terus mendidik anak bangsa.

"Saya tidak berdendam dengan sesiapa dan menganggap semua anak murid sebagai anak saya sendiri.

"Saya akan terus mengajar seperti biasa. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan selama ini," katanya di perkarangan Kompleks Mahkamah di sini, hari ini.

Lebih 300 orang yang menyokong Cikgu Azizan termasuk guru dan penduduk sekitar Taman Semarak, Nilai, hadir sejak jam 8 pagi.

Yang turut hadir, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak dan Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock serta Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Md Fakarudin Ab Rahman.

Terdahulu, Majistret Mohd Zaki Abd Rahman, membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Hazeelia Muhammad, memaklumkan pihak pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Taman Semarak, Nilai itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri seorang murid lelaki berusia 11 tahun, di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh di Mahkamah Majistret di sini, Oktober lalu, dan hari ini sepatutnya menjadi hari pertama proses perbicaraan.

bhonline






Lebih 200 guru akan hadir sokong Cikgu Azizan
Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

SEREMBAN: Lebih 200 guru akan memberi sokongan kepada rakan mereka dikenali Cikgu Azizan, yang bakal menghadapi perbicaraan kes mencederakan anak muridnya di Mahkamah Majistret di sini, Selasa ini.

Pengerusi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) negeri, Abu Hurairah Suak, berkata pada 27 November lalu, iaitu penyerahan dokumen pertuduhan di mahkamah sama, lebih 100 guru berkumpul bagi memberikan sokongan.

"Saya amat berharap kali ini lebih ramai guru akan hadir memberi sokongan kepada Cikgu Azizan. Sokongan ini amat penting bagi menaikkan semangat beliau," katanya ketika dihubungi di sini, tadi.

Abu Hurairah berkata, selain guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid turut memberikan sokongan kepada Cikgu Azizan yang berdepan dengan pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, NUTP juga akan menyediakan bantuan guaman bagi mempertahankan Cikgu Azizan dan akan berusaha membantu sebaik mungkin.

Mengikut laman web www.pendidik2u.my, Cikgu Azizan ditahan selepas dipercayai mendenda muridnya kerana kesalahan menghidu gam dan mempengaruhi tiga lagi rakan lain, buli, memukul murid lain dan ponteng sekolah dengan memanjat pagar.

Sebutan kes diadakan pada 31 Oktober lalu diikuti 27 November bagi penyerahan dokumen pertuduhan, manakala 19 Disember ini adalah perbicaraan kes.

Jika didapati bersalah, Cikgu Azizan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau kini bagaimanapun diikat jamin sebanyak RM500.

Sejak beberapa hari lalu, viral mengenai kisah Cikgu Azizan yang meminta orang ramai supaya memberikan sokongan kepada beliau di mahkamah, dan jika tidak dapat berbuat demikian, boleh juga menyokong menggunakan media sosial dengan #PrayForCikguAzizan.

bhonline


Guru Malaysia, tolong sokong Cikgu Azizan - NUTP
Oleh Nadia Hamid

KUALA LUMPUR: Guru di seluruh negara diseru tampil menzahirkan solidariti dan sokongan moral kepada guru Sekolah Rendah Taman Semarak, Nilai, yang bakal dihadapkan ke mahkamah, Selasa ini atas tuduhan mengenakan disiplin tegas terhadap seorang pelajarnya.

Guru berkenaan dikenali sebagai Cikgu Azizan, dikatakan menampar seorang pelajar yang didakwa melakukan kesalahan disiplin berat berulang antaranya, menghidu gam, bergaduh, ponteng kelas dan membuli pelajar lain di sekolah.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), dalam satu kenyataan Jumaat lalu, menyeru semua guru di seluruh negara hadir memberikan sokongan kepada Cikgu Azizan, yang mungkin kehilangan jawatan sekiranya didapati bersalah dalam perbicaraan.

"NUTP akan menyediakan peguam untuk membela Cikgu Azizan. Pada masa sama, NUTP ingin memanggil semua guru di Malaysia hadir memberikan sokongan moral, dengan datang ke mahkamah pada 19 Disember, jam 8.30 pagi di Mahkamah Majistret Seremban," katanya.

Kenyataan itu ditandatangani Setiausaha Agung NUTP, Henry Tan Huat Hock.

Sementara itu, NUTP dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru Taman Semarak, Nilai, dan qariah masjid setempat akan mengadakan Majlis Solat Hajat Dan Solidariti untuk Cikgu Azizan, malam ini.

Majlis diadakan di Masjid Taman Semarak, Nilai itu dijangka turut dihadiri Presiden NUTP, Kamarozaman Abd Razak.

"Tuan, puan dijemput hadir sebagai solidariti mempertahankan Cikgu Azizan yang akan didakwa di mahkamah, 19 Disember ini, atas ketegasan beliau mendidik dan menjaga disiplin pelajar di sekolah.

"Kepada yang bukan Islam, anda juga dijemput tetapi perlu jaga sensitiviti masjid dengan pakai pakaian bersesuaian," katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook rasmi NUTP.

Terdahulu, satu majlis solat hajat turut diadakan di Surau Taman Semarak 1.

Pada 31 Oktober lalu, Azizan menghadiri pendengaran sebutan pertama kes di Mahkamah Majistret Seremban dan didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Jenayah, kerana secara sukarela menyebabkan kecederaan.

Sekiranya didapati bersalah, Azizan akan menghadapi hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Menurut laporan yang disiarkan sebuah laman web, selepas pendengaran pertama, hakim menetapkan Azizan diikat jamin RM500.

Laporan itu menyebut Azizan digari dan ditempatkan bersama 13 tahanan lain, yang terbabit kesalahan jenayah serius termasuk dadah.

"Dia didakwa kerana mengambil tindakan disiplin terhadap pelajar itu. Untuk maklumat anda, dia melakukannya kerana pelajar itu menghidu gam di sekolah dan mempengaruhi tiga pelajar lain untuk melakukan perkara sama.

"Kesalahan itu dilakukan sejak tahun lalu. Pelajar itu juga terbabit kes buli, memukul pelajar lain dan ponteng sekolah," kata laporan itu.

Kes Azizan menjadi viral di laman sosial dan mendapat sokongan ramai pihak.

Sokongan kepada Azizan diperluaskan menerusi hashtag #PrayForCikguAzizan selain nasihat kepada guru lain untuk mengambil iktibar daripada kes berkenaan sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian sama kepada mereka, satu hari nanti.

bhonline

Comments