23 Oct 2017

cardoba


Air mata menitis di Cordoba
Rencana dan foto ISMAIL DIN
19 Ogos 2012


Istana Nazari, Alhambra. (Gambar diambil dari atas menara).

KIRA-KIRA dua setengah jam berada di udara dari Leeds, England, penerbangan tambang murah RyanAir selamat mendarat di lapangan terbang Malaga - pintu masuk ke Andalusia.

Dari sini bermulanya kembara kami sekeluarga ke Andalusia, Sepanyol. Oleh kerana lawatan ini tidak melalui pakej pelancongan, kami menyewa kereta selama enam hari untuk memudahkan pergerakan.

Sejurus keluar dari lapangan terbang, wakil Marbesol, syarikat kereta sewa sudah menunggu membawa kami ke garaj berhampiran untuk mengambil kereta.

Urusan sewa-menyewa dibuat secara online dan bayaran yang dikenakan €230 (RM949).

Pertama kali memandu stereng sebelah kiri timbul gementar dan kekok terutama ketika memasuki bandar sibuk.

Malaga adalah bandar pelabuhan terletak menghadap laut Mediterranean, tempat lahir pelukis terkenal Picasso.

Semasa pemerintahan Islam dahulu ia menjadi pelabuhan utama kepada pemerintahan Amir di Granada.

Salah satu tarikan pelancong di bandar ini adalah muzium Picasso. Sayangnya, kami tidak sempat ke sana kerana kereta rosak di tengah jalan.

Kesal dengan apa yang berlaku, saya terus ke tempat penginapan Flatotel Apartmentos di Benalmadena, sebuah bandar peranginan tepi pantai, 20 kilometer (km) di barat Malaga.

Esoknya kami ke Gibralatar. Perjalanan sejauh 120km sungguh menarik melintasi tujuh terowong. Kiri kanan lebuh raya dikepung bukit-bukau dengan hutan pokok renek.

Di lereng bukit tersergam rumah penduduk bercat putih. Jangkaan saya penghuninya tentu orang berada.

Kira-kira dua jam perjalanan kami tiba di Gibralatar. Bandarnya sangat kecil, berkeluasan 6.5 km persegi dengan penduduk 29,000 orang.

Asalnya kepunyaan Sepanyol tetapi menjadi tanah jajahan Inggeris. Matawang yang digunakan pound sterling.

Dari segi sejarah, pada abad kelapan, ia menjadi tempat pendaratan tentera Islam di bawah pimpinan Tariq bin Ziyad dalam misinya menyerang semenanjung Iberia.

Nama Gibraltar diambil sempena nama Jabal Tariq (Gunung Tariq). Enam jam kami berada di Gibraltar. Acara lawatan yang sempat dilakukan adalah melihat ikan lumba-lumba liar di Selat Gibraltar dan menaiki kereta kabel ke The Rock dengan bayaran € 35 seorang.

Sesi lawatan hari itu, macam tidak direstui. Selama dua jam tidak ada seekor ikan lumba-lumba pun yang muncul. Pelancong yang berada di dalam bot hampa. Balik ke tempat parkir, kereta kena rantai (clamp) kerana tempat itu dilarang meletak kereta.

Petang itu saya kerugian € 75 kerana membayar denda tetapi hati sedikit terubat kerana sempat bersolat Asar di Masjid Ibrahim yang tersergam indah di dataran Eropa Point.

Masjid ini dikatakan terbesar di Eropah dan pembinaannya dibiayai oleh Raja Fahd dari Arab Saudi.

Seterusnya kami ke Sevilla yang terletak 200km di barat laut Gibraltar. Sevilla adalah ibukota wilayah Andalusia, terletak di tebing sungai Guadalquivir dan terkenal dengan matador dan sukan lawan lembu.

Kota ini mempunyai sejarah unik. Orang Rom mula mendudukinya tetapi mencapai kegemilangan dengan kehadiran orang Arab pada abad kelapan.

Kelihatan bangunan lama gabungan senibina Islam dan Katholik sungguh menarik. Setiap istana dan gereja mencerminkan adunan dua budaya sehingga hampir mustahil melihat gereja yang bukan asalnya masjid.

Acara pertama melawat Plaza de Toros iaitu stadium sukan lawan lembu yang dibina pada 1761 dan dapat menampung seramai 14,000 penonton.

Stadium ini adalah objek wisata yang mesti dilawati ketika berada di Sevilla. Di bahagian bawah stadium terdapat muzium sejarah dan tradisi sukan lawan lembu. Bayaran masuk €6.50.

Seterusnya kami ke istana Alcazar, kira-kira 15 minit berjalan dari stadium. Istana ini tersergam indah di tengah bandar. Pada abad ke-12, ia adalah kubu dan kediaman Khalifah Al Mohad.

Istana ini sungguh hebat dengan hiasan dalaman terserlah senibina Islam yang halus dan cantik dengan gerbang dan laman yang menarik.

Ia masih digunakan oleh keluarga diraja Sepanyol jika melawat Sevilla. Berhampiran istana terletak sebuah gereja, dikatakan yang terbesar di Sepanyol dengan menara La Giralda. Menara setinggi 82 meter menjadi ikon kota Sevilla asalnya menara azan masjid.

Dari istana, kami ke Torre del Oro yang terletak di tebing sungai Guadalquivir. Del Oro adalah menara kawalan dan kubu tentera semasa pemerintahan Al Mohad. Sekarang ia dijadikan muzium maritim. Dari sini kami dapat melihat panaroma kota Sevilla.

Lawatan diakhiri dengan menyusuri sungai Guadalquivir dengan bayaran €15 seorang. Pelayaran selama sejam sungguh menarik, melintasi enam jambatan yang mempunyai reka bentuk berlainan antara satu sama lain.

Di sepanjang dua tebing sungai terdapat bangunan bersejarah seperti menara, gereja, pavilion, muzium, teater, penempatan penduduk serta hotel dan bangunan moden.

Dari pelabuhan yang terletak di sungai inilah Christopher Columbus memulakan pelayarannya ke Amerika dan Magallanes mengelilingi dunia.

Jejak sejarah Andalusia diteruskan lagi. Kami bergerak pula ke Cordoba yang terletak 145 km ke timur Sevilla. Cordoba mempunyai penduduk kira-kira 250,000 orang. Semasa pemerintahan Islam, ia menjadi ibukota wilayah Andalusia.

Puncak kegemilangan adalah semasa pemerintahan Abdul Rahman III (912 - 961). Ketika itu ia adalah kota terbesar di Eropah Barat lengkap dengan masjid, perpustakaan, universiti, pasar dan balai cerap.

Ia adalah kota ilmu dan budaya, pusat sarjana Islam, Yahudi dan Kristian berkarya dan berwacana. Ilmuwan yang lahir di kota ini antaranya Ibnu Rushd dan Musa bin Maimun.

Bahagian paling menarik di bandar ini adalah Kota Zaman Pertengahan, diisytiharkan UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia, di mana di sinilah terletaknya masjid Cordoba.

Tanpa berlengah dengan bayaran €8 saya terus masuk ke masjid yang berkeluasan 24,000 meter persegi. Masjid Cordoba sungguh indah walaupun 12 abad berlalu, kehebatannya tetap kekal mempesonakan.

Masjid ini telah dipunggah dan dibina semula sebagai gereja Katholik tetapi bangunan asalnya iaitu gerbang yang berbentuk ladam kuda yang disokong oleh deretan 850 tiang seri tetap mencuri perhatian pelawat.

Di tengah pelawat yang ramai, saya terpandang seseorang sedang mengesat air mata di pipi di balik tiang sambil merenung ayat Quran yang terukir cantik di mihrab.

Jangkaan saya, pelawat ini tentu memahami maksud ayat tersebut dan merasa pilu mengenangkan nasib yang menimpa masjid ini. Laungan azan sudah tidak berkumandang di sini.

Di luar masjid di sepanjang jalan hadapannya, pelawat bertali-arus. Terdapat deretan kedai cenderamata, kafe dan restoran.

Tidak jauh dari masjid kelihatan tempat hentian kereta kuda. Dengan bayaran €45, kami sekeluarga menyewa kereta kuda berpusing-pusing sekitar kota. Selama sejam, Raphel pemandu pedati membawa kami menyusuri kota tua yang bersejarah itu.

Melalui jalan sempit di kawasan penempatan lama Yahudi melihat binaan dan rumah lama kesan peninggalan Roman dan Islam.

Rumah lama bercat putih kelihatan masih utuh, di balkoni bergantungan bunga kertas yang sedang berkembang membawa saya bernostalgia ke zaman kegemilangan silam.

Esoknya kami ke Medina Al Zahrah, terletak lapan km di barat Cordoba. Medina Al Zahrah adalah sebuah kompleks besar kota-istana terletak di kawasan seluas 112 hektar.

Dibina oleh Khalifah Abdul Rahman III sebagai pusat kerajaan Islam di Sepanyol.

Selain istana khalifah, kompleks ini lengkap dengan dewan tetamu, masjid, pejabat kerajaan, taman, berek tentera, bengkel, kolam dan tempat mandi awam.

Tetapi pada tahun 1010 ia telah dijarah dan musnah akibat perang saudara dan kini tinggal menjadi puing-puing sejarah.

Rangka binaan lama, tiang dan gerbang menjadi saksi kehebatan sebuah kerajaan yang telah hilang.

Kami tinggalkan runtuhan bandar purba itu dengan penuh kenangan menuju ke Granada, kira- kira 200 km di tenggara Cordoba.

Granada adalah kota terakhir pemerintahan Islam di Sepanyol. Kota ini jatuh ke tangan raja Katholik pada 1492.

Kota yang mempunyai 300,000 penduduk ini mempunyai sebuah monumen hebat yang menjadi daya tarikan pelancong ke Sepanyol iaitu Istana Alhambra. Istana ini juga diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Tapak Warisan Dunia.

Alhambra mempunyai dua seksyen utama iaitu Istana Nazari dan kubu pertahanan Alcazaba. Istana Nazari yang dianggap permata Alhambra mempunyai berpuluh bilik dan ruang. Antaranya mexuar, cuarto de comares, cuarto de los leones dan sala de los Reyes (dewan diraja).

Sungguh teruja kami melihat ukiran halus dan cantik di lengkung gerbang dengan tulisan khat Arab menghiasi dinding bangunan.

Mexuar adalah balai penghadapan, tempat khalifah bertemu rakyat jelata manakala Cuarto de Comares adalah kediaman rasmi khalifah yang paling cantik dan paling mewah hiasannya.

Cuarto de Los Leones adalah kediaman keluarga diraja dengan lamannya terdapat 12 patung singa mengelilingi pancuran air.

Tidak jauh dari istana terdapat taman luas - Taman Generalife yang dihiasi dengan pokok teduhan dan pokok bunga tersusun rapi. Penyair menggambarkan keindahannya sebagai taman syurga di dunia.

Oleh kerana kesuntukan masa, kami hanya sempat menikmati kehebatan Alhambra selama lima jam kerana terpaksa bergerak ke Malaga untuk mengejar jadual penerbangan pulang.

Jejak sejarah Andalusia selama enam hari sungguh berkesan di jiwa. Menyaksikan kejatuhan sebuah kerajaan akibat pengkhianatan dan komplot dalaman sesama sendiri.

Kegemilangan kerajaan Islam silam tinggal menjadi kenangan dan pengajaran.

utusanonline

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 mimbar kata, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena