kenangan hentian putra

Hentian Putra tinggal kenangan


BANGUNAN Hentian Putra yang menyediakan perkhidmatan bas dari Kuala Lumpur ke Kelantan dan Terengganu kini sedang dirobohkan untuk tujuan pembangunan. - UTUSAN ONLINE

Fauzi Suhaimi

30 April 2017 2:02 PM

KUALA LUMPUR 30 April - Kenangan warga kota dari Kelantan dan Terengganu yang berebut untuk mendapatkan tiket bas pada musim perayaan, ditinggalkan bas dan ditipu ulat tiket serta banyak lagi bagai terpadam sekelip mata.

Ini kerana, sejarah dan kenangan yang dicoretkan di Hentian Putra, Jalan Putra, di sini ketika dahulu seakan-akan lenyap selepas isu pemindahan hentian tersebut yang dipusatkan di Terminal Bas Selatan (TBS) pada Disember 2014.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati, kerja-kerja merobohkan bangunan itu giat dilaksanakan sejak dua hari lalu.

Menurut salah seorang bekas pengguna perkhidmatan itu, Mohd. Asyraf Mohamad Musa, sejarah itu kini hanya tinggal kenangan dan tiada lagi bunyi gema suara orang pantai timur khususnya pada musim cuti perayaan di hentian bas berkenaan.


“Saya pernah menggunakan perkhidmatan bas di hentian tersebut suatu ketika dahulu dan ia sudah pasti akan menggamit kenangan selapas melihat struktur bangunan itu sedang dirobohkan.” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE



Hentian Putra tutup, bas Pantai Timur ke TBS 1 Disember

21 November 2014

KUALA LUMPUR 20 Nov. – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan perkhidmatan bas ekspres laluan Pantai Timur yang melibatkan perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan di Hentian Bas Putra (HBP) dipindahkan ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), berkuat kuasa 1 Disember depan.

SPAD dalam kenyataannya berkata, tindakan tersebut diambil berdasarkan laporan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada awal Ogos lalu tentang keada­an bangunan HBP yang tidak lagi selamat kerana kerosakan pada struktur bangunan yang lama.

“Laporan itu dibuat berikutan beberapa siri mesyuarat yang membincangkan pelbagai isu seperti kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan bagaimana membendung aktiviti ulat tiket.

“TBS yang terletak di Bandar Tasik Selatan mempunyai kapasiti yang cukup untuk menampung keperluan perkhidmatan bas ekspres bagi laluan pantai timur dan operasi bas dapat dijalankan dengan lebih cekap serta teratur,” katanya.

Tambahnya, TBS menawarkan kemudahan yang selesa dan moden kepada penumpang serta memberi pelbagai pilihan ke pusat bandar seperti transit aliran ringan (LRT), KTM Komuter, KLIA Transit, bas dan teksi.

“Skrin paparan jadual perjalanan bas juga digunakan di terminal ini yang menyenaraikan jadual ketibaan dan pelepasan setiap bas dan dilengkapi sistem tiket berpusat yang dilihat mampu membendung aktiviti ulat tiket,” katanya.

“Selain itu, terminal ini juga mempunyai 500 kamera litar tertutup (CCTV) yang dipantau oleh polis bantuan, khidmat simpanan bagasi, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kedai serbaneka dan medan selera,” katanya.

utusanonline


Tutup Hentian Putra Januari 2015
Isnin, 13 Oktober 2014 12:48 PM
Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK



KUALA LUMPUR: Operasi bas di terminal Hentian Putra akan ditamatkan dan dipindahkan ke lokasi baharu selewat-lewatnya Januari 2015.


Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk J Loga Balan Mohan bagaimana berkata, lokasi baharu hentian bas bagi laluan pantai timur itu masih belum ditentukan.

Menurut beliau, pada masa ini perkhidmatan bas di Hentian Putra hanya beroperasi di luar terminal kecuali kaunter tiket.

"Hentian Putra yang digunakan sebagai hentian bas ekspres pantai timur mengalami kerosakan struktur paip air buat kali kedua. Oleh itu operasi bas dari terminal itu dihentikan mulai 8 Ogos lalu.

"Pada masa ini operasi bas adalah di luar terminal kecuali kaunter tiket dan ruang menunggu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Isnin.

Beliau menjawab soalan Ahmad Baihaki Atiqullah (PAS-Kubang Kerian) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan berhasrat untuk menaik taraf kemudahan Hentian Putra yang sudah lama dan uzur.

"Memandangkan terminal akan dipindahkan, DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menaik taraf kemudahan di terminal ini.

"Bagaimanapun penyelenggaraan biasa seperti tandas, penghawa dingin, lampu, surau dan kebersihan kawasan akan dilakukan seperti biasa sehingga tarikh pemindahan," katanya.

mstar




























Comments