maju dan sejahtera

Mesej di sebalik lagu Maju dan Sejahtera

Oleh TAUFIK SALIMIN
Foto FAIRUZ IZYANA AYUB, AMIR KHALID dan ARKIB UTUSAN


Pak Ngah dan Siso, dua nama besar dalam industri muzik negara bukan sahaja menjadi pejuang lagu komersial berirama Malaysia tetapi menjadi nadi dalam menyemarakkan semangat nasionalisme dan patriotisme.

SELEPAS debut Cindai menjadi penyeri muzik irama Malaysia, muncul pula Ya Maulai sebelum peminat seperti dirasuk dengan kehebatan lagu Nirmala.

Di sebalik lagu-lagu itu, ada seorang pencipta yang mencurah idea kreatif dengan iltizam untuk memartabatkan irama Malaysia.

Nama Suhaimi Md. Zain atau lebih dikenali dengan nama Pak Ngah cukup sinonim dengan lagu-lagu etnik kreatif sehingga karya itu diiktiraf dalam beberapa pertandingan berprestij membabitkan industri muzik negara.

Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa Pak Ngah juga adalah nadi kepada himpunan lagu-lagu berunsur patriotisme dan nasionalisme.

Sebagai contoh, Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia antara dua buah lagu yang cukup sinonim setiap kali menjelang hari kebangsaan.

Begitu juga hakikatnya dengan lagu Hari Wilayah, Maju dan Sejahtera yang digubah pada penghujung 2010 untuk dinyanyikan bermula 2011.

“Ya, orang kenal saya melalui lagu-lagu dendangan Datuk Siti Nurhaliza kerana kami berdua dulu sentiasa berkolaborasi terutamanya dalam memperjuangkan lagu-lagu bercorak etnik kreatif,” luahnya sambil melihat helaian kertas tertera nota muzik.

Menurut Pak Ngah, sudah lebih 80 buah lagu patriotik atau bertema dihasilkan.

Gubahan

Pak Ngah sendiri mengakui, ramai yang tidak tahu bahawa beliau turut mencipta lagu sedemikian.

Ramai yang tahu beliau adalah pejuang dan pencinta seni muzik tradisional tetapi Pak Ngah kurang dikenali menerusi lagu bertema biarpun hakikatnya merupakan komposer kepada lagu-lagu itu.

Begitu juga dengan lagu Maju dan Sejahtera. “Lagu Hari Wilayah ini digubah untuk dinyanyikan pada 1 Februari 2011 sehingga ke hari ini. Ia masih mengekalkan tajuk yang sama iaitu Maju dan Sejahtera cuma Pak Ngah diminta mengubah komposisi lagu berserta lirik yang ditulis Syed Isa Syed Omar (Siso),” katanya yang masih aktif memperjuangkan lagu-lagu irama Malaysia.

Mengakui lagu itu mempunyai kekuatan sebelum digubah, Pak Ngah menyedari tanggungjawab sangat besar untuk memastikan kualiti lagu itu lebih baik serta mesej disampaikan diterima warga wilayah.

Caranya, beliau mengambil inspirasi daripada lagu kebangsaan England iaitu God save the Queen, Stars and stripe dari Amerika Syarikat dan Majulah Singapura (Singapura).

Menurutnya, lagu-lagu itu sangat menonjolkan semangat patriotisme dan sudah pasti karyanya nanti mempunyai kekuatan tersendiri.

“Selepas itu, saya ke London untuk mencari ilham sambil bercuti. Selepas kembali ke Malaysia kira-kira seminggu selepas itu, saya menyusun atur nota-nota muzik untuk menyiapkan lagu ini.

“Untuk menyiapkan lagu ini tidak mengambil masa terlalu lama dan ia dihasilkan dalam dua versi iaitu panjang serta pendek,” ujarnya.

Mengimbas momen tersebut peluang itu datang daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang mahu menukar lagu tersebut kepada susunan muzik lebih segar.

Peluang


berbasikal sambil mengibarkan bendera menjadi acara tradisi sempena sambutan Hari Wilayah pada setiap tahun.

Lagu Maju dan Sejahtera yang dimainkan sejak 2006 itu lebih kepada bentuk pop.

“Saya menganggap ia satu peluang keemasan yang tidak boleh ditolak kerana ia sangat penting pada kerjaya sebagai seorang komposer.

“Ini kerana, ia dimainkan setiap hari bekerja terutamanya di sekolah dan saya menganggap lagu ini adalah peninggalan terbesar sebagai seorang pencipta lagu,” jelasnya.

Ceritanya lagi, pada ketika itu, kira-kira enam pencipta lagu terkenal tanah air dipanggil untuk berbincang mengenai perkara tersebut dan sudah tertulis, rezeki itu menjadi miliknya.

Kaedah penulisan

Pak Ngah memberitahu, tatkala diberi mandat, beliau terus mendapatkan Siso untuk menulis lirik kerana yakin pasangan ‘kembarnya’ itu boleh mencurahkan idea kreatif.

Siso ketika ditemu bual Kosmo! menjelaskan, peluang bekerjasama dengan Pak Ngah memang tidak boleh ditolak kerana beliau mengagumi bakat komposer pejuang irama Melayu itu.

“Sebab itu saya memberi komitmen terbaik kerana bekerja dengan Pak Ngah adalah impian ramai penulis lirik,” kata anggota kumpulan Kopratasa itu.

Lagu yang berdurasi seminit 26 saat itu memerlukan lirik yang ringkas tetapi padat dan mempunyai makna. Siso yang menjadi tunjang kepada Pak Ngah untuk lagu Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia itu berkata, dia mengambil tiga kaedah dalam penulisan lirik.

“Saya menggunakan teknik mudah, padat dan berkesan kerana lagu-lagu patriotik perlu menggunakan bahasa yang difahami.

“Ia bukan sahaja dinyanyikan orang muda tetapi pelajar sekolah juga perlu faham cerita menerusi lirik tersebut,” jelasnya.

Katanya, setiap lirik itu dihasilkan berdasarkan konsep atau peranan wilayah itu selain gambaran ekspresi penduduk yang menetap di tiga wilayah iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Setiap penghasilan karya pasti ada ganjarannya, namun baik Pak Ngah mahupun Siso, mereka langsung tidak mempersoalkan mengenai bayaran.

Bagaimanapun, mereka mendaftarkan karya tersebut dengan Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP) yang berfungsi memantau putaran lagu, sekali gus akan mendapat royalti setiap tahun.

Pada masa sama, jauh di sudut hati kedua-dua insan seni itu mahu mendengar lagu Maju dan Sejahtera dialunkan dalam rentak orkestra bagi membakar semangat lagu tersebut.

Menurut Pak Ngah, muzik orkestra lebih terkesan di jiwa jika ia dikendalikan oleh pemuzik tersohor seperti Datuk Mokhzani Ismail mahupun Datuk Ramli MS.

“Ini sangat penting kerana lagu itu juga menjadi lagu keramat bagi atlet Wilayah Persekutuan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma).

“Pada masa sama, ia juga menaik taraf lagu itu kerana ia bukan sahaja dinyanyikan pada Hari Wilayah tetapi setiap hari di sekolah,” kata Siso.

kosmo


Maju dan Sejahtera

Inilah Wilayah Bumi Yang Bertuah
Maju Membangun Dijulang Megah
Aman Sentosa Disepanjang Masa
Teguh Disemai Sentiasa
Membara Semangat Setiap Warganya
Cergas Mindanya Semangat Waja
Pada Wilayah Ditumpah Setia
Hormat Hormati Penuh Mesra
Bersatulah
Berbaktilah
Semua Warga Wilayah
Sayangilah
Lindungilah
Sepenuh Jiwa Raga
Kita Jaga Keharmonian Semua
Maju Sejahtera
Wilayah Persekutuan






PM isytihar Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan
2 Februari 2002


DR. MAHATHIR Mohamad menandatangani plak pengisytiharan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan di Putrajaya, semalam. Turut menyaksikan upacara itu ialah Abdullah Ahmad Badawi (tiga dari kiri), Ketua Setiausaha Negara, Samsudin Osman (dua dari kiri) dan Dr. Mohamad Khir Toyo (dua dari kanan). - Gambar ZAINI HUSIN.

PUTRAJAYA 1 Feb. - Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan secara rasmi Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan dalam satu majlis penuh bermakna yang diadakan di Dataran Perdana di sini.

Pengisytiharan itu menjadikan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga di negara ini selepas Kuala Lumpur dan Labuan.

Selain itu, ia mencatat sejarah kepada pembangunan negara apabila menjadi pusat pentadbiran negara yang baru secara rasmi.

Menurut Dr. Mahathir, penubuhan Wilayah Persekutuan Putrajaya merupakan satu lagi petanda bahawa proses ke arah mencapai Wawasan 2020 sedang berjalan dengan baik.

``Kerananya juga sebuah negara Malaysia yang maju akan menjadi satu kenyataan,'' katanya sewaktu berucap pada majlis pengisytiharan tersebut.

Antara yang hadir pada majlis yang penuh simbolik itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohd. Khir Toyo, menteri-menteri, timbalan-timbalan menteri, Menteri-Menteri Besar, Ketua-Ketua Menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para diplomat asing.

Turut hadir ialah beberapa pemimpin pembangkang termasuk Timbalan Menteri Besar Kelantan, Abdul Halim Abdul Rahman.

Perdana Menteri berkata, kerajaan merasa amat gembira kerana berjaya membangunkan Putrajaya lebih-lebih lagi selepas kerajaan Selangor bersetuju menyerahkan kawasan tersebut kepada Kerajaan Pusat untuk dijadikan Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, dengan terbinanya bandar tersebut akan membolehkan kerajaan mempertingkatkan lagi khidmatnya kepada rakyat dengan lebih cekap, cepat dan berkesan.

``Dengan itu juga, pembangunan yang lebih pesat akan dapat dinikmati secara langsung oleh Selangor dan secara amnya oleh seluruh negara,'' katanya lagi.

Dr. Mahathir berkata, Putrajaya yang mengabadikan jasa dan kenangan terhadap Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj itu sebenarnya dibina dengan ciri-ciri kemajuan yang dihasratkan oleh negara untuk memacu ke arah kemajuan yang melewati rangka Wawasan 2020.

Ujarnya, bandar tersebut juga dilengkapi dengan infrastruktur tercanggih dari segi komunikasi serta urusan pejabat dan diharap dapat menghasilkan pentadbiran yang moden, cekap, berkesan serta maju.

Kata beliau, pembinaan bandar itu tidak mengabaikan kepentingan penduduknya apabila mereka disediakan dengan suasana dan kemudahan yang membentuk cara hidup yang selaras dengan tahap kemajuan negara.

Pada ucapan yang sama, Dr. Mahathir sekali lagi membidas pihak-pihak tertentu yang masih melemparkan pelbagai tohmahan terhadap kerajaan berhubung pembinaan Putrajaya termasuk mengatakannya sebagai projek mega yang membazir.

Jelas beliau, tuduhan sedemikian yang `amat aneh' itu pasti tidak akan timbul jika golongan berkenaan memahami tentang putaran ekonomi dan kepentingan pembangunan bandar baru.

``Kenapakah tidak ada tuduhan seperti ini apabila Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan bandar-bandar lain dirancang dan dibangunkan?

``Jawapannya ialah politik yang mencari isu untuk memburukkan kerajaan,'' katanya.

Tegas Dr. Mahathir, golongan tidak bertanggungjawab ini sanggup mengetepikan kepentingan negara semata-mata demi kepentingan politik mereka.

``Hanya dengan kepentingan politik ini, mereka sanggup bersubahat dengan orang asing dan menuduh kononnya Putrajaya adalah projek mega dan membazir,'' katanya.

Beliau menegaskan, pembaziran tidak berlaku dalam pembinaan Putrajaya kerana ia tidak sedikitpun menjejaskan kewangan negara.

``Jika ada pembaziran sudah tentu kewangan negara kita tenat dan bermasalah. Tetapi seperti mana semua tahu, kita bukan sahaja mampu membiayai perbelanjaan negara malah rizab kita lebih tinggi daripada sebelum kegawatan,'' katanya.

Tambah Perdana Menteri, Putrajaya bukannya didirikan semata-mata untuk pemimpin kerajaan pada hari ini.

Sebaliknya, ujar beliau, bandar itu adalah untuk semua pemimpin akan datang iaitu pemimpin sebuah negara yang sudah mencapai tahap pembangunan yang tinggi dan maju.

``Kita tidak ingin melihat setiap kali pemimpin baru ditabalkan maka rumah baru perlu dibina untuknya atau lebih buruk lagi bandar baru dijadikan ibu kotanya,'' kata beliau.

Pada majlis yang sama, Perdana Menteri turut menurunkan tandatangannya pada plak perisytiharan Putrajaya sebagai tanda simbolik bandar itu secara rasmi menjadi sebuah Wilayah Persekutuan.

Oleh: ZULKIFLI JALIL dan AKMAR HISHAM MOKHLES

utusan online


Comments