Wayang Kulit Kelantan dan Edo Ito Ayatsuri Ningyo



 Wayang Kulit Kelantan dan Edo Ito Ayatsuri Ningyo

Bersempena DiverseCity 2015: Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur, ITBM akan sekali lagi membawakan persembahan gabungan budaya dua negara iaitu Wayang Kulit Kelantan dan patung boneka Jepun, Edo Ito Ayatsuri Ningyo. Wayang Kulit Kelantan menggunakan prinsip cahaya dan bayang daripada patung kulit pelbagai watak, manakala Edo Ito Ayatsuri Ningyo menggunakan boneka yang dikawal utas benang untuk mewujudkan pergerakan halus sebagaimana tingkah laku manusia.

Wayang Kulit Kelantan memaparkan hikayat Ramayana dengan watak Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana. Karakter wataknya diperbuat daripada belulang, iaitu kulit lembu, kerbau atau kambing dan dimainkan di sebalik tabir (kelir) dengan prinsip cahaya dan bayang. Pergerakan dikawal oleh Tok Dalang dalam bahasa Melayu (dialek Kelantan). Wayang Kulit Kelantan diiringi alat muzik tradisional seperti serunai, gendang (ibu dan anak), gedombak (ibu dan anak), geduk (ibu dan anak) kesi, canang dan gong.

Manakala Edo Ito Ayatsuri Ningyo adalah satu antara boneka Jepun tradisional yang mempunyai sejarah lebih 375 tahun sejak zaman Edo pada abad ke-17. Ia dikelaskan kepada lelaki, wanita dan haiwan, yang mempunyai struktur dan ciri-ciri pergerakan tertentu dengan penggunaan papan manipulasi. Penceritaan yang sering dimainkan ialah Kappore, Yoidore, Kurokami Shishimai dan Mabuta no Haha. Boneka dikawal oleh seorang pemain dengan menggerakkan atau menarik benang dan penceritaannya disampaikan dalam bahasa Jepun bersama iringan pemain muzik tradisional Shasimen.

Persembahan unik ini menyerlahkan bahawa perbezaan budaya tidak menjadi penghalang untuk disatukan di pentas yang sama. Persembahan ini kali kedua diadakan di Malaysia selepas pementasan pertama yang diadakan di Akademi Seni Warisan dan Budaya Kebangsaan (ASWARA) pada Disember lalu. Gabungan dua seni persembahan tradisional Malaysia dan Jepun ini akan diselaraskan oleh Tok Dalang Roslan Harun serta Shiokawa Kyoko dan Nakamura Toshiko (pemain shamisen) dengan menampilkan tenaga muzikal Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dari Istana Budaya.

Dapatkan tiket anda di http://diversecity.my/tixi

Comments