teater tenggelamnya kapal van der wijck

RM2.4 Juta Untuk Pementasan 'Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck'
19 Ogos 2015

Teater Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck - Nabila Huda & Amar Baharin

Wartawan: Mizz Ayu
Jurugambar: Farid Mad Noh

Karya agung, ‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ (TKVDW), tulisan Prof. Dr. Hamka atau nama sebenarnya, Haji Abdul Malik Karim Amrullah bakal dipentaskan di Istana Budaya (IB) pada 12 hingga 18 Oktober. Dibawakan oleh IB, GenSem dan CTRA Production, teater ini bakal dibarisi oleh pelakon-pelakon popular masa kini seperti Nabila Huda, Amar Baharin, Syarul Ridzwan dan Amyra Rosli.

Dalam sidang media yang berlangsung pada Selasa, pihak penerbit mendedahkan pementasan ini bakal menelan belanja kira-kira RM2.6 juta bagi memastikan karya yang pernah diadaptasi ke filem ini dapat direalisasikan dengan jayanya.

“Setakat ini kita mengganggarkan kos kira-kira RM2.4 juta untuk pementasan ini. Ini kerana kita mahukan satu hasil yang cukup baik. Bukan mudah untuk menenggelamkan sebuah kapal di IB, jadi kita kena pastikan ia menjadi. Daripada kos itu, setengah juta akan diperuntukkan kepada kerja-kerja teknikal.


Nabila Huda akan membawa watak Hayati

“Selain itu, kita juga berkemungkinan akan membina sebuah replika kapal. Cuma, kita belum tahu lagi bagaimana replika itu akan dihasilkan. Sama ada mengikut konsep multimedia atau sebaliknya,” ujar Siti Rohayah Attan, Penerbit Bersama yang mewakili CTRA Production.

Mengulas tentang pemilihan pelakon yang dilihat terdiri daripada pelakon-pelakon muda, Siti Rohayah memberitahu pihaknya dan juga IB sepakat mensasarkan generasi muda untuk ke IB bagi menyaksikan pementasan ini.

“Jika melihat kepada pemilihan pelakon, memang kali ini kita sengaja memilih ‘pucuk-pucuk muda’ kerana kita mahu melihat generasi baru hadir ke IB untuk menyaksikan teater ini. Ketika pementasan ‘Di Bawah Lindungan Kaabah’ tempoh hari kita sudah pun memilih pelakon-pelakon yang lebih berusia, jadi kali ini kita cuba pendekatan berbeza,” ujar Siti Rohayah.



Pastinya peminat tegar novel ini tidak sabar menyaksikan sendiri penghayatan Nabila Huda dan Amar Baharin

Jelas Siti Rohayah lagi, pihaknya tidak gusar dengan pemilihan pelakon-pelakon baru kerana yakin masing-masing mampu menjayakan watak yang dipertanggungjawabkan. Malah turut memaklumkan, pengarah pementasan TKVDW, Mohamad Azhar Zainal, juga merupakan generasi baru dalam pengarahan teater.

Aktres popular Nabila Huba akan menggalas watak utama sebagai Hayati, Amar Baharin sebagai Zainuddin, Syarul Ridzwan sebagai Muluk dan Amyra Rosli sebagai Khatijah.

Sementara itu, Ketua Pengarah IB, Dato’ Mohamed Juhari Shaarani memberitahu, pemilihan karya Hamka itu adalah atas kehendaknya sendiri memandangkan dia sudah lama mengagumi novel yang diterbitkan pada tahun 1939 itu.


Amar Baharin bakal menggalas watak Zainuddin

“Sebenarnya kita sudah lama merancang untuk membawa naskah ini di IB. Iaitu sejak pementasan ‘Natrah’ lagi. Bagaimanapun kita terpaksa bagi laluan kepada produksi lain kerana bukan mudah untuk mementaskan karya yang begitu besar ini. Saya secara peribadi memang sangat kagum dengan karya Hamka ini. Saya merupakan salah seorang peminat novel ini, jadi sudah pasti saya mengharapkan yang terbaik untuk pementasan ini nanti. Saya percaya pemilihan pelakon bertepatan dan mereka mampu menjayakan watak masing-masing dengan baik,” ujar Juhari.

‘Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck’ mengisahkan persoalan adat yang berlaku di Minangkabau dan perbezaan latar belakang sosial yang menghalangi hubungan cinta sepasang kekasih sehingga berakhir dengan kematian.

Zainuddin, anak yatim piatu yang lahir daripada golongan miskin, telah pergi ke Minangkabau iaitu tempat asal ayahnya. Namun kedatangannya tidak mendapat sambutan baik di tengah-tengah struktur masyarakat yang bernasabkan kepada ibu itu. Dia dianggap tidak mempunyai pertalian darah dengan keluarganya di Minangkabau meskipun berayah Minang, sedangkan ibunya berketurunan Bugis.



Amar Baharin dan Nabila Huda bersama pengarah, Azhar Zainal

Ketika di Minangkabau, Zainuddin jatuh hati kepada Hayati, seorang perempuan keturunan Bangsawan yang menjadi tempatnya meluahkan perasaan melalui surat-surat kirimannya. Bagaimanapun, hubungan cinta mereka tidak mendapat restu keluarga Hayati dan pasangan ini akhirnya terpisah apabila Zainuddin mengambil keputusan berpindah ke tempat lain. Tambah tragik, Hayati mungkir janji untuk setia dengan mengahwini orang lain.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan pementasan ini di IB. Tiket-tiket sudah boleh dibeli dengan membuat tempahan di talian 03-40265558 atau 03-87754666. Tiket-tiket berharga RM37.10, RM58.30, RM90.10, RM121.90 dan RM164.30. Selain persembahan pada jam 8.30 malam, terdapat juga persembahan tambahan pada jam 3 petang pada 17 dan 18 Oktober.

tontonextra



INFO RINGKAS

TARIKH/ MASA
12 – 18 Oktober 2015 8.30 Malam & 3.00 Petang

TEMPAT
Panggung Sari, Istana Budaya

MAKLUMAT LANJUT BERKENAAN TIKET
Sila hubungi 017-8716060/ 012-2977220/017-2004249 8 03-61866592
FB: ctraproduction/ email: marketingActraproduction.com

HARGA TIKET
RM 37.10, RM 58.30, RM 90.10, RM 121.90, RM 164.30 & RM 270.30

Tempahan Hotline: +603 87754666
Tempahan Online: redtix.airasia.com/

Istana Budaya Jalan Tun Razak – +603 40265520









foto fb istana budaya

Comments