kekuatan diri

Miliki jiwa besar bina kekuatan diri 
Oleh Mazlina Ismail
 20 Mac 2015


foto hiasan

Ajaran Islam membawa dan merubah diri daripada 'zero to hero', mentransformasikan manusia daripada individu biasa kepada luar biasa. Pada zaman jahiliah, masyarakatnya seperti belalang di padang pasir yang tiada matlamat hidup, namun kedatangan Islam menjadikan mereka masyarakat hebat seperti singa.

Ini digambarkan melalui ungkapan 'ahli ibadah di malam hari, singa di siang hari' dengan perjuangan mereka menyebarkan dakwah Islam pada siang dan tekun beribadah pada sebelah malam. Ia juga menyaksikan sejarah manusia melalui didikan dan tarbiah daripada Baginda Rasulullah SAW.

Hasilnya, mereka berjaya menguasai dua kerajaan besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi. Kerajaan Rom mula jatuh pada 14 Hijrah, manakala Parsi sekitar 17 Hijrah. Begitulah penjelasan Ustaz Muhammad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D'Zahra di IKIMfm, jam 10.00 pagi Isnin lalu ketika membicarakan tajuk 'Individu Hebat Dalam Rumah Tangga'.

Untuk menjadi orang yang hebat, Islam mengubah hati dan akal individu seseorang sehingga mereka mampu menguasai diri, akhirnya mengalahkan musuh mereka juga. Bagaimana mungkin menjadi manusia hebat jika diri belum mampu menghindari daripada melakukan perkara mungkar.

Muhammad mengajak mengimbau peristiwa berlaku sekitar 3000 tahun lalu ketika awal penemuan besi iaitu zaman peralihan antara gangsa dan besi. Ia adalah kisah Talut dan Jalut yang dirakamkan dalam al-Quran (surah al-Baqarah, ayat 246 hingga 252).

Ketika itu, Palestin dikhabarkan mempunyai sumber besi yang banyak sehingga seorang raja bernama Raja Jalut berhasrat menawannya bagi menguasai sumber besinya untuk membuat banyak senjata. Lalu Allah SWT mengutus seorang bernama Talut untuk memimpin Bani Israel.

Talut telah berpesan kepada tenteranya seperti mana yang dirakamkan dalam al-Quran: "Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai. Maka sesiapa antara kamu meminum airnya, dia meminumnya, kecuali dengan seceduk tangan. Maka dia adalah pengikutku." (Surah al-Baqarah, ayat 249)

Ujian ketahanan diri 

 foto hiasan

Walau bagaimanapun, apabila tiba di sungai itu, ramai pengikut yang ingkar perintah dan tidak mengendahkan larangannya. Sebenarnya di sini bukan masalah minum air banyak atau sedikit, tetapi ujian daripada Allah SWT untuk melihat siapakah yang benar-benar mempunyai ketahanan diri yang kuat.

Sehinggalah apabila mereka bertemu tentera Jalut, kelompok tentera yang meminum air banyak tadi merasakan tidak mampu melawan tentera Jalut yang sebegitu ramai, tetapi tentera yang setia dengan Talut dan meminum hanya seceduk tangan mempunyai keyakinan tinggi mereka mampu mengalahkan musuh.

Apabila peperangan meletus, Nabi Daud yang pada ketika itu masih muda remaja yang turut berperang bersama tentera Talut berjaya membunuh Jalut.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah ini ialah jika kita berjiwa besar, kita mampu mengalahkan musuh walaupun bilangan mereka lebih ramai. Peristiwa ini mengajar pentingnya kekuatan diri dan kawalan nafsu dalam hidup ini.

 Menjadi orang hebat perlu melakukan beberapa perkara termasuk mengehadkan kemahuan bagi melatih supaya berdisiplin, memiliki kekuatan akal dan hati yang kuat. Contohnya, mengehadkan diri daripada makan banyak.

Banyak amalan dalam Islam yang mendidik kita mendisiplinkan dari dengan bersifat sederhana. Contohnya, pada bulan Ramadan kita tidak dibenarkan makan pada siang hari. Itu had yang ditetapkan oleh Allah SWT bertujuan melatih kita untuk mengawal diri.

Walhal, jika kita makan ketika berseorangan, tiada siapa pun yang tahu tetapi kita tidak melakukannya kerana mampu mengawal diri. Begitu juga dalam rumah tangga, kita perlu mengehadkan kemahuan membeli-belah. Jangan membeli apa sahaja yang diinginkan tanpa ada keperluan.

Cara disiplinkan anak 


 foto hiasan

Sebaliknya, hadkan dan paksa diri menabung. Begitu juga dalam mendidik anak. Orang tua-tua dahulu mengehadkan anak mereka bermain supaya pulang sebelum Maghrib. Itu disiplin yang cuba dididik oleh orang dahulu terhadap anak supaya mereka menjadi orang yang berdisiplin dan mampu mengawal diri.

Membina kekuatan diri, hati perlu berjiwa besar mengambil tanggungjawab. Suami perlu berjiwa besar memberi nafkah untuk keluarga kerana tanggungjawab itu terletak kepada suami walaupun isterinya bekerja. Mengambil tanggungjawab dan menunaikan tanggungjawab adalah latihan menjadikan kita orang hebat.

Tanggungjawab suami menyediakan keperluan keluarga sementara tanggungjawab isteri menguruskan rumah tangga. Apabila masing-masing menunaikan tanggungjawab, rumah tangga akan rukun, damai dan ahlinya hidup harmoni.

Orang yang kuat ialah yang mampu menahan marah seperti mafhum hadis, orang yang kuat bukanlah orang yang menang kerana bergusti, tetapi orang itu mampu mengawal dirinya apabila dalam keadaan marah. Sementara sabar adalah sifat yang cantik dan sifat itu jika dimiliki menjadikan seorang itu hebat.

* Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

bhonline

Comments