Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35



 


Institusi raja perlu bertenaga, dinamik, jadi payung penyatuan
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA dan MOHD HAZLI HASSAN

KUALA KANGSAR 6 Mei - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini bertitah, takhta pemerintahan perlu bertenaga, bersifat dinamik dan meyakinkan serta memenuhi peranan sebagai payung penyatuan.

Dalam titah ucapan Diraja Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35, Sultan Nazrin menegaskan, sistem Raja Berpelembagaan dan demokrasi yang diamalkan di negara ini memperuntukkan secara perundangan peranan dan tanggungjawab tertentu Raja Pemerintahaan.

“Institusi raja bukan cermin lama untuk melihat wajah tua. Takhta permerintahan bukan sekadar ornamen hiasan. Sepuluh peratus iaitu 19 daripada 183 Perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan raja.

“Takhta perlu bertenaga, bersifat dinamik lagi meyakinkan, memenuhi pernanan sebagai payung penyatuan dalam landskap politik yang semakin memperlihatkan unsur-unsur perpecahan, yang semakin mengancam keharmonian hubungan antara agama, antara kaum,” titah Sultan Nazrin.

Jelas Sultan Nazrin, kuasa raja tidak dipertikai selagi raja tidak memperlihatkan sifat menyeleweng dan selagi raja mematuhi hukum yang telah termaktub.

“Raja pemerintah adalah payung kedaulatan negara, wajib memberi naungan saksama kepada setiap warga, tanpa mengira kaum, agama. Takhta pemerintahan berperanan sebagai tonggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan, payung penyatuan, instrumen kesatuan dalam kepelbagaian.

“Semestinya taktha pada setiap ketika tidak bersifat partisan, malah wajib mencuar tinggi di atas segala polemik kepartian, demi memastikan peranan takhta diterima baik, ketika takhta diperlukan berperanan sebagai penimbang tara untuk mendamaikan sebarang persengketaan,” tegas Sultan Nazrin.

Titah Sultan Nazrin lagi, keluhuran institusi raja perlu dipelihara daripada sebarang penodaan, agar rakyat kekal menabur bunga setia.

“Istiadat pagi ini melambangkan citra untuk terus mendaulatkan institusi raja, satu pelanjutan adat, satu kesinambungan budaya, berlangsung dalam era modenisasi, betapa adat, betapa kekayaan budaya, kukuh teranyam dalam tradisi negara bangsa.

“Sekali gus mengekalkan identiti satu tamadun pemerintahan, negeri beraja, rakyat bersultan, yang telah sekian lama berakar dalam sistem berkerajaan dan bernegara di bumi ini,” titah Sultan Nazrin.

Sementara itu, Sultan Nazrin menegaskan sebagai sultan yang baru diamanahkan menakhodai bahtera negeri, masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

“Pelayaran yang panjang ini tidak mungkin dapat dilakukan secara berseorangan. HambaMu mohon untuk dikurniakan para wazir dan pembesar negeri serta anggota pentadbiran yang memiliki iman dan takwa seperti yang pernah dikurniakan kepada Khalifah ketujuh Uthmaniyah, Sultan Muhammad al-Fateh,” titah Sultan Nazrin. - UTUSAN ONLINE

utusan online







Istiadat pertabalan Sultan Perak penuh adat
SAIFULLAH AHMAD, ROSDALILAH ZAHARI, SHAHRIZAL AHMAD ZAINI, RIDAUDDIN DAUD & MUHAMAD ADZHAR TAJUDDIN
6 Mei 2015


Istiadat pertabalan Sultan Perak penuh adat Laluan masuk pintu istana tenang. - Foto Sinar Harian


KUALA KANGSAR - Istiadat Pertabalan Sultan Perak ke-35 pagi ini bermula seawal jam 8 pagi dengan kehadiran tetamu-tetamu diraja dan pemimpin-pemimpin negara.

Beberapa pemimpin dilihat mula memasuki Istana Iskandariah antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali dan beberapa pemimpin lain.

Acara kemudiannya diteruskan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli yang menerima tabik hormat dari Rejimen Askar Jurutera Diraja.

Kemudian diikuti dengan keberangkatan tiba Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Besar Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Muadzam Shah menerima tabik hormat dari pasukan yang sama.

Sejurus selepas itu, keberangkatan Raja Muda Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah pula menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan.

Kira-kira jam 9 pagi, keberangkatan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim untuk menerima tabik hormat dari Kawalan Kehormatan.

Selepas menerima tabik hormat, lagu kebesaran Negeri Perak dimainkan dan kemudiannya Tuanku memeriksa Kawalan Kehormatan.

Selepas itu, baginda berdua berangkat meninggalkan Istiadat Kawalan Kehormatan di Dataran Istana Iskandariah untuk acara Tabal Adat di Balairong Seri Istana Iskandariah,‎

sinar harian



Comments