Teater : Baik Punya Cilok




TEATER BAIK PUNYA CILOK ISTANA BUDAYA


Pada awal bulan Mac 2015, sebuah undian telah dijalankan dimana orang ramai diberi pilihan untuk menentukan filem apakah yang patut dijadikan persembahan pentas di Istana Budaya. Antara filem yang tercalon dalam undian adalah filem Pontianak vs Orang Minyak, Baik Punya Cilok, Lemak Kampung Santan, Papadom, Sumolah dan Buli.



Keputusan menunjukkan yang rata-rata peminat filem dan peminat teater ingin melihat Baik Punya Cilok, arahan Afdlin Shauki pada tahun 2005, dibawa ke pentas teater, sewajar dengan ulangtahun ke-10 filem tersebut.

Seperti filemnya, Teater Baik Punya Cilok akan mempertemukan semula watak Aben (Afdlin Shauki), Bob (Awie), Jerry (Hans Isaac) dan Wak (Datuk AC Mizal) di atas satu pentas.



Afdlin Shauki yang merupakan penulis dan pengarah asal juga akan memikul tanggungjawab yang sama untuk pementasan ini. Elemen komedi dan intipati yang terdapat dalam filem akan dikekalkan di dalam produksi teater Baik Punya Cilok. Kelainan yang akan ditampilkan adalah elemen muzikal yang akan disuntik di dalam pementasan ini. Pengarah muzik yang akan menjayakan teater ini adalah Pacai.


Teater Baik Punya Cilok akan berlangsung dari 25 April 2015 sehingga 1 Mei 2015 di Istana Budaya.

Harga tiket bermula dari RM56, RM85, RM110, RM140, RM160, RM190.

Promosi istimewa sehingga 1 April 2015 : Jika anda membeli tiket ‘Teater Baik Punya Cilok’ DAN ‘Lawak Ke Der 2015’, tiket untuk setiap persembahan akan diberi diskaun sebanyak 20%!

Tiket boleh dibeli di laman www.ticket2u.biz, di kaunter box-office Istana Budaya atau boleh hubungi talian 03 4253 2241.

SINOPSIS RINGKAS

Kisah lucu 4 orang sahabat, Aben, Bob, Jerry dan Wak yang berpakat untuk merompak Tauke Wong, seorang tauke kedai pajak, bagi mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak yang telah dipajakkan ketika Wak mahu mengahwini Nazatul. Menyedari nilai keronsang itu begitu tinggi, Tauke Wong tidak mahu menjualkan kembali kerongsang tersebut, lalu menaikkan harga bunganya berganda. Wak tidak mampu membayarnya.

Dalam keadaan yang terdesak, 4 sahabat itu merancang untuk merompak Tauke Wong, hanya kerana untuk mendapatkan kembali kerongsang tersebut. Lagaknya seperti Robin Hood abad baru. Leman mendesak agar mereka mengajar Tauke Wong dengan merompak apa sahaja barang yang ada di kedai pajak itu. Sahabat yang lain tidak bersetuju dengan ide Leman kerana mereka sebenarnya bukanlah pencuri dan jauh di sudut hati, mereka sebetulnya takut dengan akibat yang bakal menimpa. Namun, Leman kemudiannya telah menarik diri di saat akhir.

Rancangan harus diteruskan dan persiapan rapi diatur. Setelah melakukan beberapa siri latihan, perbincangan dan strategi, akhirnya hari yang ditunggu-tunggu pun tiba bagi membuktikan kejantanan mereka. Tanpa diduga, kejutan telah menanti mereka di kedai Tauke Wong. Kedai tersebut telahpun dirompak terlebih dahulu oleh orang lain! Lebih malang lagi mereka berempat yang terpalit lumpurnya. Dengan sarung kaki wanita sebagai topeng dan timun serta terung yang dibalut bagi menampakkan seperti senjata, mereka telah ditahan polis ketika di kedai Tauke Wong, atas cubaan merompak. Hanya Jerry yang terlepas kerana berada di dalam kereta yang bakal mereka gunakan untuk melarikan diri. Kawan-kawan yang berada di lokap mula mencurigai Jerry. Ini kerana Jerry mempunyai beban hutang akibat suka berjudi. Namun begitu, Jerry jugalah harapan kawan-kawannya untuk membuktikan yang mereka tidak bersalah dan seterusnya mendapatkan kembali kerongsang nenek Wak.

media galaksi



Baik Punya Cilok ke pentas IB
MARINA SAHABUDIN,
15 April 2015

SELEPAS 10 tahun filem sentuhan pengarah prolifik Afdlin Shauki ditayangkan, kini naskhah tersebut kembali mengimbau kenangan para penonton. Cuma bezanya, ia diangkat dalam versi teater dan dipentaskan di pentas berprestij Istana Budaya (IB).

Menariknya pemilihan filem berkenaan berdasarkan undian yang dijalankan kepada audiens selama tiga bulan untuk menentukan filem mana yang layak untuk dipentaskan di IB.

Antara filem yang telah dicalonkan adalah Pontianak VS Orang Minyak, Lemak Kampung Santan, Papadom, Sumolah, Buli dan Baik Punya Cilok.

Antara ke semua filem tersebut, Baik Punya Cilok berjaya menarik perhatian peminatnya dan mendapat undian tertinggi sekali gus layak diangkat ke pentas IB.

Pada masa sama, Afdlin yang merupakan pengarah asal dan penulis skrip filem tersebut turut diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab yang sama bagi pementasan itu.

Menurut Afdlin, pementasan tersebut diharap dapat mengubat kerinduan peminat filem berkenaan yang ingin melihat teraju utamanya, Hans Isaac, Datuk Ac Mizal, Awie serta Afdlin sendiri beraksi bersama.

“Walaupun belum dipentaskan kami telah mendapat respons baik terhadap pementasan ini daripada peminat. Mungkin kerana kesukaran untuk kami bersatu membuatkan mereka tidak sabar mahu melihat kami bersama.

“Jadi, nantikan sahaja pementasan ini nanti. Yang pasti kami tidak akan menghampakan mereka,” katanya pementasan tersebut akan bermula pada 25 April sehingga 1 Mei.

Sementara itu, Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, pementasan teater berkenaan pastinya mengembalikan nostalgia Cuci The Musical yang pernah dibintangi empat pelakon tersebut.

"Kejayaan pementasan berkenaan dua tahun lalu pasti membuatkan peminat rindu untuk melihat aksi mereka di pentas IB. Harapan saya, ini bukan buah tangan terakhir daripada mereka memandangkan mereka ada keunikan tersendiri.

"Apa pun, saya hanya boleh berharap kerana mereka ada memberitahu, faktor umur membuatkan mereka tidak sesuai untuk melakukan pementasan sedemikian lagi," katanya.

Jadi cabaran besar Afdlin Shauki

Mengakui bukan mudah untuk menyatukan empat bintang filem Baik Punya Cilok, Afdlin Shauki berkata, ia merupakan satu cabaran besar baginya untuk merealisasikan pementasan tersebut.

Baginya, tidak lengkap teater adaptasi berkenaan jika salah seorang mereka tiada atau digantikan dengan pelakon lain.

“Walaupun selepas 10 tahun berlalu, saya yakin peminat masih ingat akan pelakon-pelakonnya. Sementelah setiap pelakon punya karakter dan peranan tersendiri,” katanya pada sidang media teater Baik Punya Cilok baru-baru ini.

Namun, kerana nilai persahabatan antara Afdlin, Awie, Hans Isaac dan Datuk Ac, masing-masing cuba memberikan ruang untuk menjayakan pementasan tersebut.
Kata Afdlin, dia sangat terharu dengan komitmen yang diberikan mereka.

“Masing-masing punya agenda dan jadual yang padat. Jika Datuk Ac sibuk dengan mengacara, Awie pula akan menunaikan umrah dan Hans sendiri punya komitmen terhadap kariernya sendiri.

“Kerana itu, kami berhadapan dengan masalah masa antara satu sama lain untuk memastikan sesi latihan berjalan dengan lancar nanti,” katanya.

Mengenai pementasan tersebut, Afdlin menjelaskan, elemen komedi dan intipati yang terdapat dalam filem berkenaan akan dikekalkan dalam produksi teater Baik Punya Cilok.

“Ini penting supaya penonton dan peminat filem ini tidak tertanya-tanya jika plotnya berbeza atau diubah. Cuma gaya pementasan mungkin akan berlainan kerana ia dipentaskan secara ‘live’. Malah, mungkin terdapat lebih babak spontan dan di luar jangkaan,” katanya.

Sedikit mengenai teater ini, ia berkisarkan empat sahabat iaitu Aben, Bob, Jerry dan Wak yang berpakat untuk merompak Tauke Wong.

Bagaimanapun apa yang dirancang mereka tidak menjadi kerana kedai tersebut dirompak terlebih dahulu sebelum rancangan mereka dilaksanakan.

Di sinilah konflik bermula apabila mereka meragui kesetiaan dan persahabatan masing-masing dalam mencari kebenaran.

Kembalikan memori

Sementara itu Hans berkata, idea mengangkat filem berkenaan ke pentas teater merupakan hasil perbincangannya bersama Afdlin.

“Apabila saya dan Afdlin menyuarakan kepada Awie dan Datuk Ac untuk membikin teater ini, mereka terus bersetuju. Saya sendiri sangat berbesar hati apabila mereka menerimanya dengan hati terbuka meskipun sibuk dengan tugasan masing-masing,” katanya.

Tambah pengarah dan penerbit popular ini, respons positif daripada rakan seperjuangannya itu membuatkan mereka lebih bersemangat.

“Saya sendiri tidak sangat selepas 10 tahun kami akan beraksi semula menerusi karya yang sama. Lebih menarik, ia dijayakan di pentas IB yang audiensnya bukan calang-calang.

“Apa yang penting, pementasan ini telah mengembalikan memori kami di ketika bersama-sama menjayakan filem tersebut. Harapan saya, peminat memberikan sokongan kepada teater ini nanti,” katanya tidak mahu mengambil masa lebih panjang kerana faktor usia.

Teruja bekerjasama

Dalam pada itu hos popular, Datuk Ac turut berkongsi rasa terujanya kerana diberi peluang terlibat dalam produksi teater itu. Ujarnya, tiada apa yang lebih bermakna sepanjang kariernya apabila diberitahu mengenai perancangan tersebut.

“Pada awalnya memang terkejut, tetapi kejutan yang sangat menggembirakan. Walaupun pernah bersama muka bersama Hans sebelum ini, namun semua itu sudah berlalu dan demi teater ini, kami telah pun bersatu kembali,” katanya.

Bagi penyanyi terkenal, Awie, dia juga merindui detik-detik penggambaran filem Baik Punya Cilok dilakukan.

“Sebenarnya, karakter kami di luar dan dalam penggambaran sama sahaja. Tiada bezanya. Kerana itu, saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka bertiga. Pasti banyak kerenah lucu yang berlaku nanti.

“Apa pun, saya harap pementasan ini berjaya kerana kami tidak punya masa yang cukup untuk menjalani latihan secara konsisten,” katanya.

sinar harian

Comments

Post a Comment