Ibn Khaldun

Muqadimah Ibn Khaldun dan peradaban ilmu Islam


Nama Ibnu Khaldun atau nama sebenarnya Abdurrahman Khaldun rahimahullah (Wafat: 808H), bukan sesuatu nama yang asing dalam dunia pemikiran Islam. Pemikiran Ibnu Khaldun sangat terkenal tentang sosiologi, ilmu sejarah dan politik. Ia menjadi bahan kajian penting para pemikir dan ahli ilmu muslim di Timur dan Barat.

Pemikiran Ibnu Khaldun terus dimanfaatkan ke dalam pelbagai bidang kajian ilmu, sosial, ekonomi, kajian sejarah, peradaban, pemerintahan, dan bidang-bidang pentadbiran kepolitikan. Dimanfaatkan oleh sama ada dari kalangan ilmuan muslim mahupun yang kafir.

Ibnu Khaldun turut dikenali sebagai bapa sosiologi dan ahli sejarah yang banyak membuka lembaran baru corak berfikir dalam dunia kepolitikan. Tatkala menyelami pemikiran Ibnu Khaldun, maka kita akan ditarik untuk mengimbas ke belakang, iaitu pada abad 14 masihi.

Pada ketika itu kebudayaan Arab-Islam sedang dilanda kemunduran. Krisis ini kemudian merebak ke jaringan-jaringan politik sebagai kesan dan akibat atas pecahnya imperium Islam menjadi negara-negara kecil yang dikendalikan oleh penguasa lemah dan tidak memiliki wawasan kerakyatan.

Bermula dari pengalaman dan penelitiannya yang tajam, Ibnu Khaldun mengutarakan idea-idea kritis tentang isu berkaitan kemasyarakatan dan kenegaraan. Akhirnya lahirlah karya besarnya, Muqaddimah. Sebuah karya yang merupakan pengantar dari kitab Al-‘Ibar yang diselesaikannya pada usia beliau 45 tahun.

Muqaddimah, Ibnu Khaldun membahaskan fungsi dan peranan besar ilmu sejarah. Beliau memuatkan di dalamnya tentang makna dan hakikat sejarah serta method beberapa mazhab atau aliran pembukuan sejarah.

Lalu kemudian beliau mengkritis beberapa perkara lalu membentangkan pula kecerobohan, kesilapan-kesilapan, dan kesalahfahaman para periwayat dan penulis kitab-kitab sejarah di dalam menukil peristiwa-peristiwa sejarah secara semberono. Beliau jabarkan antara periwayatan sejarah yang boleh diterima pakai dan yang tidak.

Sejarah menurut Ibnu Khaldun memiliki fungsi yang besar dan tujuan yang mulia. Kerana melalui sejarah kita mengenal asal keadaan bangsa-bangsa terdahulu dari sudut tamadun, moral, akhlak, budaya, pentadbiran, dan tokoh-tokoh yang berjasa. Mereka yang mahu melakukan pelbagai kajian dan membuat tindakan dalam sesuatu perkara, dia pasti akan merasakan perlunya merujuk dan meneliti informasi dalam sejarah.

Menurut Ibnu Khaldun, pembukuan sejarah bukanlah sekadar mengetahui kisah-kisah, dokumentasi, mengenal penguasa dan tokoh, atau meraih ilmu, tetapi lebih lagi dari itu iaitu demi mengenal peristiwa-peristiwa masa lampau dalam rangka memahami dan membina masa depan yang lebih baik.

Selain itu, Ibnu Khaldun juga membahaskan topik kepolitikan, kekuasaan, penaklukan, dan tanggungjawab dalam pemerintahan. Kekuasaan dan politik menurut Ibnu Khaldun memiliki kedudukan dan tujuan yang seharusnya diformalasikan untuk kemanusiaan dalam menjalankan amanahnya kepada Allah. Kerana keduanya secara naluri berkait dengan fitrah manusia dan pola fikirnya yang condong meraih kemaslahatan. Dalam rangkuman maksud ini, keperluan manusia terhadap keamanan, perlindungan, kesejahteraan, kestabilan, dan selainnya yang seumpama adalah termasuk dalam bahagian tanggungjawab pemerintahan dan kekuasaan.

Terlalu banyak untuk disebutkan di sini tentang gagasan Ibnu Khaldun melalui Muqaddimah-nya yang cukup masyhur ini. Di antara lain di dalam buku ini, beliau mengupas tentang ashabiyah, kemasyarakat, budaya dan negara, pembinaan bangsa dan negara, kependidikan, ilmu-ilmu dan sumbernya, peradaban, ketamadunan, kekhilafahan serta kerajaan-kerajaan dan pemerintahan silam, penjanaan ekonomi dan sumbernya serta banyak lagi.

Beliau, hidup di keadaan politik dan kesukuan yang rumit. Ketika itu, Ibn Khaldun berpindah-randah antara Morocco (Maghribi), Andalusia dan Mesir tempat kewafatannya. Beliau adalah individu bernama besar yang muncul tatkala dunia Islam sedang bergolak dan berpecah-belah menjadi negeri-negeri kecil.

Beliau adalah tokoh yang amat mencintai ilmu sejak usia kecil lagi. Beliau menguasai al-Qur’an, ilmu hadis, ushul fiqh, sastera, sejarah, dan ilmu mantiq. Ketika usia beliau mencecah 45 tahun, beliau mengasingkan diri dari hiruk-pikuk dan kesibukan manusia lalu berkomitmen terhadap bidang penulisan dan sejarah. Sehinggalah akhirnya beliau berjaya menyelesaikan sebuat karya penting yang memiliki kedudukan istimewa oleh ramai kalangan ilmuan, iaitu buku Al-‘Ibar Diwanul Mubtada’ wal Khabar bersama Al-Muqaddimah yang cukup masyhur hingga hari ini. – Sumber Atsar Ent

12 Februari  2015 oleh  yadim

yadim 


 Biografi

Abd Al-Rahman Ibn Muhammad Ibn Khaldun (عبد الرحمن بن محمد بن خلدون الحضرمي) ataupun lebih dikenali dengan Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sains Islam yang hidup antara tahun 1332 - 1395.

Nama penuhnya adalah Abd al-Rahman ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Abi Bakr Muhammad ibn al-Hasan Ibn Khaldun lahir pada 27 Mei 1332 di Tunisia dan meninggal 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir.

Keluarga Ibn Khaldun merupakan orang berada yang memberikan pendidikan terbaik kepadanya. Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sejarah Arab teragung, juga dikenali sebagai bapa kepada sejarah kebudayaan dan sains sosial moden. Ibn Khaldun turut mengembangkan falsafah tidak berasaskan keagamaan paling awal, terkandung dalam karyanya Muqaddimah (“Pengenalan”). Ibn Khaldun juga menulis sejarah Muslim di Afrika Utara yang terulung.

Ibn Khaldun menjawat beberapa jawatan di bawah pemerintah Tinisia dan Morocco dan pada tahun 1363 bertindak sebagai duta raja Moor di Granada, kepada Pedro Kejam Castile "the Cruel of Castile".

Ibn Khaldun belayar ke Alexandria pada Oktober 1382, dimana beliau menghabiskan riwayatnya sebagai guru dan pensyarah di Al-Azhar dan universiti lain. Ibn Khaldun juga pernah dilantik sebagai Hakim Diraja oleh Sultan Abul Abbas, Cairo dan mengerjakan haji pada 1387.

Ibn Khaldun menyertai orang-orang Mesir dalam kempen mereka memerangi Tamerlane, pemerintah Mongol, dan bertanggung jawab mengatur penyerahan diri bandar Damsyik semasa ketiadaan Sultan Faraj.

Karya teragungnya iaitu Muqaddimah bermula sebagai penulisan mengenai sejarah orang-orang Arab dan Barber, tetapi mengandungi pendekatan saintifik mengenai pemahaman sejarah, politik, dan ekonomi. Ibn Khaldun juga mempercayai bahawa perkara yang di kurniakan Allah boleh dibuktikan secara empirikal (secara pengalaman dan kajian).


Ibn Khaldun juga memajukan konsep ekonomi, perdagangan dan kebebasan. Ibn Khaldun membangunkan idea bahawa tugas kerajaan hanya terhad kepada mempertahankan rakyatnya dari keganasan, melindungi harta persendirian, menghalang penipuan dalam perdagangan, mencetak dan menguruskan penghasilan wang, dan melaksanakan kepimpinan politik bijaksana dengan perpaduan sosial dan kuasa tanpa paksaan.

foto : ibn khaldun

Dalam bidang  ekonomi, Ibn Khaldun memajukan teori nilai dan hubungkaitnya dengan tenaga buruh, memperkenalkan pembahagian tenaga kerja, menyokong pasaran terbuka, menyedari kesan dinamik permintaan dan bekalan keatas harga dan keuntungan, menolak cukai yang tinggi, menyokong perdagangan bebas dengan orang asing, dan percaya kepada kebebasan memilih bagi membenarkan rakyat bekerja keras untuk diri mereka sendiri.

Tambahan lagi, Ibn Khaldun terkenal kerana hasil kerjanya dalam sosiologi, astronomi, numerologi, kimia, dan sejarah. Secara berseorangan, Ibn Khaldun telah meletakkan titik mula bagi tradisi intelelek pemikiran bebas Islam dan Arab, kerajaan bertanggung jawab, pasaran efficent, penyiasatan sains empirikal, pengkajian sosialogi, dan penyelidikan sejarah.

"Sesiapa jua yang mengambil harta orang lain, atau menggunakannya untuk kerja paksa, atau membuat tuduhan yang tidak wajar hendaklah ingat bahawa ini adalah apa yang Pemberi Hukum maksudkan apabila melarang ketidakadilan."
- Ibn Khaldun

wikipedia


Comments