Festival Teater Malaysia 2014

Tuah Penggali Intan
NOR ATIEYAH YUSOFF,
FOTO : IHSAN JKKN
4 November 2014




AKHIRNYA, tirai Festival Teater Malaysia (FTM) 2014 yang berlangsung di Auditorium DBKL berlabuh dengan acara cukup gemilang pada Sabtu lalu.

Segala persoalan kini terjawab selepas Persatuan Seni Persembahan Sifar, Sarawak menerusi pementasan teater Penggali Intan berjaya membawa pulang piala dan wang tunai sebanyak RM10,000.

Tempat kedua pula, dimenangi Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah menerusi teater Vito Il Mafioso, manakala Kelab Teater Rimba, Universiti Kebangsaan Malaysia memenangi tempat ketiga menerusi teater Alahai Menantu! masing-masing membawa pulang piala serta wang tunai berjumlah RM8,000 dan RM6,000.

Majlis penyampaian hadiah ini turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN), Datuk Norliza Rofli; Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mesran Yusof dan artis tempatan seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Raja Azrey Raja Kamaruzaman, Arja Lee, Janet Khoo serta Nas Adilla.

Kemenangan Persatuan Seni Persembahan Sifar, Sarawak mengejutkan semua pihak apatah lagi mereka turut merangkul lima anugerah di festival berprestij itu.

Mereka berjaya membolot trofi Juara FTM, Pengarah Terbaik, Pelakon Pembantu Wanita, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita.

Menurut pengarahnya, Abdillah Untong, kemenangan itu di luar jangkaan kerana kebanyakan peserta mempunyai kekuatan masing-masing.

"Saya tidak meletak sebarang harapan untuk menang anugerah apatah lagi bergelar juara malam ini dan serah segalanya pada Tuhan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dengan kejayaan ini. Ia merupakan hasil penat lelah kami bersama selepas berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan sebelum ke pertandingan akhir," ujarnya.

Tambah Abdillah lagi, keserasian antara peserta turut memainkan peranan penting untuk menjayakan persembahan tersebut.

"Faktor ini merupakan kekuatan kumpulan kami apatah lagi setiap ahli kumpulan mempunyai hubungan kekeluargaan antara satu sama lain.

"Dahulu Sifar hanya dianggotai ahli keluarga sahaja, sekarang kami telah membuka penyertaan kepada umum agar seni ini diwarisi kepada golongan muda," kata suami kepada Haslina Hasbi (Pelakon Pembantu Wanita) itu.

Dalam masa yang sama, Abdillah berkata wang kemenangan itu akan digunakan sebaiknya untuk persatuan itu bergerak lebih aktif di masa hadapan.

"Ianya akan digunakan sebagai dana kumpulan kerana agak sukar untuk kami dapatkan tajaan dari segi kewangan," katanya.

KTR tidak berputus asa

Sementara itu, Pelakon Wanita Terbaik, Yuhana Mohd Yusof berkata, Kelab Teater Rimba (KTR), UKM sebenarnya berdepan dilema untuk mementaskan karya Alahai Menantu!.

"Saya sedar peratusan teater komedi untuk menjadi juara agak tipis. Namun, saya percaya akan lakonan lebih penting berbanding perkara lain.

"Kami tetap bersyukur walaupun perolehi tempat ketiga dan tidak pernah putus asa untuk berkarya," katanya.

Jelas Yuhana yang pernah merangkul anugerah sama pada 1993 (Teater Abiss), dia berpegang kepada pendirian setiap pementasan bergantung kepada karakter pelakon.

Biarpun sibuk dengan tugasnya sebagai tenaga pengajar di universiti swasta, Yuhana akan terus menyumbang bakti supaya seni persembahan ini tidak luput dek zaman.

Kembali kepada asas teater

Selaku Ketua Juri FTM, Meor Hashim Manap berkata, pemenang kali ini dipilih atas kriteria-kriteria tertentu.

Menurutnya, pemilihan setiap kumpulan untuk dinobatkan sebagai juara agak sukar.

"Persembahan dinilai berdasarkan draft drama yang jelas, rumit dan bulat.

"Kekuatan teater dapat dilihat menerusi fungsi teater sebagai medium penyampaian dan arahan lakonan," katanya.

Menurutnya, teknik yang digunakan tidak membantu pelakon tanpa penuh penghayatan dan kecelaruan skrip.

"Teknik sekadar membantu perjalanan cerita sahaja tetapi belum tentu dapat menjadi pengukur kejayaan pementasan," jelasnya.

Tambah Meor, ada kumpulan yang terlalu bergantung kepada teknik sahaja sehingga mengabaikan skrip lakonan dan asas pementasan.

"Akhir kata, saya mahu teater kembali kepada asas semula dan tidak terlalu bergantung kepada mekap atau teknik bombastik sehingga lakonan terumbang ambing," katanya.

sinar harian

Teater Alahai Menantu menghiburkan
NOR ATIEYAH YUSOFF,
FOTO: IHSAN JKKN
28 Oktober 2014


TIRAI Festival Teater Malaysia (FTM) 2014 dimulakan dengan persembahan penuh bertenaga oleh Kelab Teater Rimba (KTR), Ahad lalu. Kelab yang mewakili Selangor dalam pertandingan ini, mempertaruhkan naskhah yang bertajuk Alahai Menantu yang dipentaskan di Auditorium DBKL.

Ternyata walaupun tidak dibarisi pelakon terkenal namun sekumpulan anak muda dari dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mampu memberikan persembahan yang cukup hebat dalam pementasan mereka.

Dengan jalan cerita yang membawa penonton melihat kepada pertembungan dua budaya dalam masyarakat dan juga elemen kekeluargaan, ternyata, teater yang diarahkan oleh Muhammad Khairul Anwar atau Nuex Rosli, 28, penuh cukup segala rencahnya.

Persembahan mantap selama dua jam itu mengisahkan Pak Usop dan Mak Bibah yang menerima perkhabaran gembira tentang kepulangan anak mereka, Judin daripada London melalui surat kiriman anak tunggal mereka itu.

Namun begitu, perkhabaran gembira itu diselitkan juga dengan berita bahawa Judin akan membawa pulang tunangnya dari London, seorang gadis berbangsa asing bernama Mary.

Hal ini amat merunsingkan Mak Bibah yang sebenarnya telah lama memasang hajat untuk menjodohkan anaknya, Judin dengan Normah, seorang gadis kampung yang merupakan anak kepada Pak Lang dan Mak Kiah.

Mulanya, kedua ibu bapa Judin tidak merestui perhubungan tersebut kerana berbeza bangsa dan agama. Lebih-lebih lagi, budaya Mary yang jauh berbeza dengan keluarga Judin yang masih mengamalkan budaya ketimuran.

Tidak hanya itu, kepulangan Judin bersama Mary yang disambut gembira oleh kedua ibu bapanya. Dalam diam, Mak Bibah dan Mak Kiah ada niat tersembunyi untuk memisahkan pasangan tersebut.

Namun begitu, hati Mak Bibah mula terbuka dengan Mary apabila mengetahui gadis tersebut anak yatim piatu. Akhirnya, Mak Bibah dan Pak Usop merestui perhubungan itu dan mengadakan perkahwinan anak mereka dalam tempoh terdekat.

Di saat perkahwinan Judin menjelang, Mary memutuskan hubungan mereka serta merta akibat persilihan faham dan meninggalkan kampung tersebut.

Hati Judin terluka dengan apabila perkahwinannya terbatal manakala Mak Bibah dan Pak Usop pula tidak mahu anak tunggal membujang terus mencari pengganti Mary dengan segera. Akhirnya, Judin terpaksa menerima gadis pilihan keluarganya.

Perkara utama yang menarik perhatian penulis adalah kreativiti mereka dalam mementaskan naskhah ini kerana mampu meninggalkan kesan di hati penonton.


Sarat unsur komedi

Selain itu, jalan cerita teater ini begitu santai dan mudah difahami. Dengan menyelitkan unsur humor, suspens dan aksi yang bersahaja membuatkan sesiapa yang menonton tidak bosan menonton teater ini hingga ke penghujungnya.

Bahkan lakonan mantap para pelakon yang menghayati watak masing-masing wajar dipuji. Terutamanya, watak Mak Bibah yang banyak membantu menghidupkan suasana dengan karakternya sebagai ibu.

Begitu juga watak Pak Usop yang dilihat membantu dengan humor dan bahasa tubuh yang berkesan. Pengarah turut melakukan ‘gempak’ apabila watak Faizal, lelaki lembut itu tampil dengan aksi berani memakai kasut bertumit tanpa sebarang masalah.

Bukan itu sahaja, kerjasama krew di belakang tabir meliputi props, pencahayaan dan muzik juga wajar diberi pujian. Kesempurnaan itu mencantikkan lagi jalan cerita ini dan dari segi masa pula, pertukaran babak ke babak tidak mengambil tempoh panjang sehingga penonton terpaksa menunggu lama.

Namun begitu, apa yang mencacatkan sedikit perjalanan cerita apabila masalah percakapan yang agak laju sehingga penonton tidak memahami apa yang dilontarkan.

Begitu juga dengan perpisahan Judin dan Mary tidak begitu jelas sehingga penonton tertanya-tanya akan perkara itu. Secara keseluruhannya, pementasan ini berjaya menarik perhatian penonton dengan unsur komedi mereka.

sinar harian

foto mangga online

FTM 2014: Penggali Intan bolot empat kategori
Oleh Ridzuan Abdul Rahman .
.

Kembalinya sang juara. Itulah perkataan sesuai diungkapkan buat Persatuan Seni Persembahan Sifar Kuching, Sarawak (SIFAR) yang dinobatkan sebagai juara Festival Teater Malaysia 2014 (FTM 2014) yang berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Sabtu lalu.

Bekas juara Festival Teater Malaysia 2008 menerusi teater Tukang Ensera karya Awangku Merali Pangeran Mohamed ini sekali lagi membuktikan kejaguhan mereka mengharumkan nama Sarawak apabila memenangi empat kategori utama yang dipertandingkan

Naskhah Penggali Intan karya Kirdjomulyo arahan Abdillah Untong merangĂ‚­kul gelaran Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Malek Hassan), Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Haslina Mohd Hasbi) dan Juara FTM 2014 yang membawa pulang Piala Pusingan dan Piala Iringan.

Tempat kedua FTM 2014 yang berlangsung pada 26 Oktober hingga 1 November dimenangi oleh Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mementaskan teater berjudul Vito Il Mafioso karya Khairul Amin, arahan Tasia Alina Ismail.

Mereka pernah memenangi gelaran Pelakon Harapan Wanita Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada FTM 2012.

Tempat ketiga pula dimenangi Kelab Teater Rimba, Universiti Kebangsaan Malaysia menerusi teater Alahai Menantu!! karya Razali Taib, arahan Nuex Rosli yang mewakili negeri Selangor.

Mereka turut mengungguli kategori Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi oleh Yuhana Mohd Yusof mengulangi kejayaan serupa pada FTM 1993 menerusi naskhah teater Abyss.

FTM 2014 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menampilkan enam kumpulan yang berjaya ke pentas akhir iaitu Kelab Teater Rimba UKM mewakili Selangor, Persatuan Penggerak Seni Budaya (Kuala Lumpur), Kumpulan Teater Remaja

Harapan (Kedah), Grup Teater Lab, UMS (Sabah), Persatuan Seni Persembahan Sifar (Sarawak) dan Anak Seni Pendidikan (Kelantan).

Abdillah yang ditemui menyifatkan persaingan diterima daripada peserta lain begitu sengit dan tidak menyangka kemenangan berpihak kepada mereka.

"Kumpulan yang bertanding semuanya hebat dan kami sendiri seakan tak percaya mampu bawa pulang beberapa hadiah utama. Kami berdepan kekangan dana untuk aktif dalam teater kerana kebanyakan orang berpengaruh di Sarawak lebih suka menaja perkembangan sukan bagi mendekati masyarakat berbanding teater.

"Bagaimanapun, kami beruntung kerana mendapat sokongan penaung Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof. Dengan kejayaan ini, diharapkan semua pihak bersama menyemarakkan seni persembahan teater kerana Sarawak banyak melahirkan pelakon yang hebat," katanya yang bertugas di Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sarawak.

Haslina pula gembira kerana meraih kemenangan pertama dalam FTM. Dia yang juga isteri Abdillah, sudah beberapa kali menang anugerah dalam pertandingan teater peringkat negeri Sarawak.

"Akhirnya kemenangan berpihak kepada saya. Semua orang ada keinginan untuk menang dan saya bersyukur kerana berjaya meraihnya. Dahulu saya seorang guru di sekolah seni di Kuching dan melepaskan jawatan kerana menumpukan perhatian kepada perkembangan teater.

"Kini saya mengajar secara sambilan di sekolah di sana. Saya memang minat teater dan sekarang wariskan pada anak iaitu Hardiani Izzati, 16, dan Aideil Ikhwani, 13, pula sebagai pelapis," katanya.

Kejayaan yang dikecapi Yuhana agak manis kerana pengajar di Universiti Nottingham Malaysia, Semenyih ini sudah lama tidak aktif dalam teater.

"Saya antara pengasas Kelab Teater Rimba pada 1992 dan selepas itu berjaya menang gelaran pada FTM 1993. Namun, saya berehat selama 10 tahun apabila berhijrah ke Sabah.

"Kini saya kembali aktif dalam KTR selain mencari pelapis baru untuk teater. Kalau dikirakan jarak saya berehat memang lama. Justeru saya gembira apabila berjaya masuk dalam FTM tahun ini kerana bukan mudah nak menyertainya.

"Dalam teater, kita harus buat orang percayakan karakter dan bukan diri kita yang sebenar. Tak dinafikan kami berdepan dilema untuk buat Alahai Menantu kerana ia genre komedi.

"Apabila berbincang, kami sepakat nak buat juga kerana berfikir yang penting ialah lakonan. Kami yakin dalam cerita ini ada sesuatu. Ia komedi tapi menyampaikan satu isu yang berat," katanya.

Teknik menarik yang ditampilkan belum cukup membantu UMS muncul juara. Bagaimanapun, pengarahnya Tasia Aliana tetap gembira dengan kejayaan yang diraih.

"Secara jujur saya tak meletakkan kemenangan sebagai matlamat utama. Apa yang dibuat ialah cuba menampilkan kelainan dalam persembahan kami. Menduduki tempat kedua pun sudah cukup menjadi bonus buat kami," katanya.

Pengurus Pentas teater Vito Il Mafioso, Zaki Mat Rashid yang dipilih sebagai pemenang Sinografi Terbaik FTM 2014 turut melahirkan perasaan bangga kerana sekali lagi berjaya mengharumkan nama UMS.

"Kami dapat menyerlahkan idea yang dikehendaki dalam semua aspek seperti solekan dan pakaian. Kemenangan yang diraih secara kerja berpasukan ini lebih penting dari kemenangan individu," katanya.

FTM 2014 diadili barisan juri profesional terdiri daripada Mior Hashim Manap, Christopher Ling dan Rosnan Nordin.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarah JKKN, Datuk Norliza Rofli dan Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Mesran Yusof. Turut hadir memeriahkan majlis dan menyampaikan hadiah kepada pemenang ialah pelakon teater Raja Azrey Raja Kamaruzaman, Datuk Jalaluddin Hassan, Hairi Safwan dan Nas Adilla.

hmetro online


Enam Naskah Teater Berentap Di Festival Teater Malaysia 2014

Ditulis oleh Liyana pada October 27, 2014.

Dalam usaha mengangkat bakat generasi baru dalam lakonan, pengarahan dan produksi, Festival Teater Malaysia 2014 (FTM 2014) kali ini menampilkan sebanyak enam naskah teater dari enam negeri yang telah berjaya ke peringkat akhir.

Sebanyak 68 buah kumpulan teater yang telah bertanding dari seluruh negara dan hanya enam buah negeri sahaja layak ke peringkat kebangsaan.



Antara yang berjaya ke peringkat akhir adalah Kelab Teater Rimba, Universiti Kebangsaan Malaysia mewakili negeri Selangor yang akan mempertaruhkan naskah ‘Alahai Menantu’ karya Razali Taib dan arahan Nuex Rosli.

Persatuan Penggerak Seni Budaya mewakili Kuala Lumpur akan mempertaruhkan naskah mereka yang berjudul ‘Penjuru Empat Karma’ arahan dan karya Mohd Firdaus Kamaruddin.

Seterusnya, Kumpulan Teater Remaja Harapan yang mewakili negeri Kedah akan mementaskan Teater Transit Warga Tanah karya Abu Afif dan arahan Abu Hurairah Roslan.

Wakil dari Negeri Sabah daripada Grup Teater Lab, Universiti Malaysia Sabah pula mempertaruhkan karya mereka berjudul naskah ‘Vito ll Mafioso’ karya Khairul Amin dan arahan bakat muda dunia pengarahan Tasia Alina Ismail.

Persatuan Seni Persembahan Sifar mewakili Negeri Sarawak akan mementaskan Teater Penggali Intan karya Kirdjomulyo dan arahan Abdilah Untong.


Manakala Pantai Timur mewakili Kumpulan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) akan mementaskan teater ‘Iyakah Tok Janggut’ karya dan arahan Zack Zaideen.

FTM 2014 diadakan selama tujuh hari bermula semalam 26 Oktober hingga 1 November bermula pada jam 8.30 malam bertempat di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dan masuk adalah percuma.

Majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah pula akan diadakan pada 1 November 2014 jam 8.30 malam di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Juara pertandingan bakal memenangi wang tunai sebanyak RM10,000.00 beserta dengan Piala Pusingan dan Piala Iringan.

mangga online



Comments