alangkah ranumnya buah kejayaan

Dari manakah untuk belajar mencari semangat dan kekuatan 
mengusung genta perjuangan yang tak pernah mudah
belajarlah dari senyum manis dan ranum buah kejayaan yang pernah
mereka hasilkan dan mereka ukirkan menjadi nyata

belajarlah dari pengalaman perjuangan mereka yang pernah tiba
ke pengkalan setelah sekian lama bertarung dalam laut juang
tak pernah surut semangat tak pernah pudar harap
semuanya dilalui dengan tabah dan yakin diri

belajarlah dari senyum kejayaan yang manis terukir
bahawa mereka pernah meraih segenap yang datang dalam mimpi
bahawa kita pun tidak berbeza dengan mereka
dan kejayaan menunggu kita di sudut-sudut jauh itu

alangkah ranumnya buah kejayaan
marilah kita memetik pengalaman
segenap detik dan denyut perjuangan
menjadi iktibar dan bara semangat
kerana kita pun ingin melihat satu detik
senyum itu begitu manis terukir
dari ranum kejayaan......


Sahabat sejati bantu kejayaan pelajar istimewa
25 November 2014

Emy Aridah Aripin (dua dari kiri) bersama tiga sahabatnya (dari kiri), Hazimah Zaiman, Noor Kaziemah Sariman dan Azizah Abdul Kadir pada hari terakhir Istiadat Konvokesyen Ke-16 UMS di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

KOTA KINABALU 24 Nov. – Pengorbanan tiga sahabat sejati menjadi tulang belakang kepada kejayaan gadis istimewa dari Kampung Inuman, Beaufort, Emy Aridah Aripin, 26, yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam bidang Perakaunan.

Cuma berketinggian 98 sentimeter dan memiliki berat kira-kira 24 kilogram, Emy Aridah sangat terhutang budi dengan bantuan yang dihulurkan oleh rakan-rakan seperjuangan dan pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) sepanjang pengajian di universiti tersebut bermula 2010.

Namun baginya, pengorbanan yang dihulurkan oleh tiga sahabat baik iaitu Hazimah Zaiman, Noor Kaziemah Sariman dan Azizah Abdul Kadir merupakan 'azimat' sejati kepada kejayaannya menamatkan sesi pengajian.

Jelasnya, persahabatan baik itu terjalin sejak menuntut di Politeknik Kota Kinabalu dalam kursus Diploma Perakauan bermula 2007 dan seterusnya menyambung pengajian di UMS.

“Mereka bertiga merupakan sahabat baik saya sejak dari Politeknik Kota Kinabalu. Saya berasa sangat bersyukur kerana mempunyai sahabat sejati yang sanggup menghulurkan bantuan selama ini tanpa meminta sebarang balasan.

“Namun Azizah masih belum menamatkan pengajian dan bersama kami dalam konvokesyen pada hari ini kerana terlibat dalam satu kemalangan, tetapi dia tetap hadir meraikan kami semua,” katanya yang ditemui pada hari terakhir Istiadat Konvokesyen Ke-16 UMS, di sini hari ini.

Gadis istimewa itu menerima tepukan gemuruh daripada semua graduan dan barisan kepemimpinan UMS yang berada dalam Dewan Canselori ketika menerima segulung ijazah daripada Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Mohd. Harun Abdullah.

Mengulas lanjut, Emy Aridah berkata, tiga sahabatnya itu sering menghulurkan bantuan terutama ketika mengulangkaji pelajaran dan membawanya berulang-alik ke bilik kuliah dengan menaiki kereta.

Menurutnya, bantuan yang dihulurkan banyak memberi kekuatan kepadanya untuk mencipta kejayaan, selain sokongan tidak berbelah bahagi daripada ahli keluarga terutama ayah dan ibu tercinta.

Emy Aridah juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pengurusan UMS yang telah banyak membantu terutama dalam menyediakan tempat penginapan di tingkat paling bawah di kolej kediaman.

Tambahnya, dia juga berasa sangat bertuah kerana sudah mendapat pekerjaan di sebuah firma audit iaitu SL Yong & Chia sejak September lalu.

“Saya berterima kasih kepada pihak syarikat yang sudi menerima saya sebagai pekerja dan menerima layanan yang baik daripada rakan sepejabat,” katanya.

utusan online


Graduan PhD termuda mahu terus belajar
25 November 2014

Aziz Karia

SHAH ALAM 24 Nov. – Siapa sangka anak kecil yang pandai membaca pada usia tiga tahun, kini merupakan salah seorang Graduan Ijazah Kedoktoran Falsafah (PhD) dalam Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam pengkhususan Ekonomi.

Aziz Karia, 25, berkata, usia muda bukan penghalang untuk beliau mencipta kejayaan sebesar itu terlalu awal, kerana selagi kita bernama manusia pendidikan adalah suatu pro­ses yang berterusan hingga ke akhir hayat.

“Sebelum ini ada yang menganggap adalah terlalu awal untuk saya menggenggam gelaran sebagai Doktor Falsafah Termuda kerana usia saya baharu mence­cah awal 20-an.

“Pandangan mengatakan saya terlalu muda untuk PhD merupakan cabaran untuk saya berjaya dalam kursus tersebut. Hasil bimbingan penyelia kursus, Dr. Imbarine Bujang dan Prof. Dr. Ismail Ahmad, saya berjaya melengkapkan kerja kursus dan menamatkan pengajian mengikut masa ditetapkan,” katanya selepas menerima ijazah tersebut pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-81, di sini hari ini.

Aziz berkata, semasa kecilnya, beliau agak nakal hingga tidak minat belajar, namun bapanya, Karia Mat, 59, dan ibunya, Hamisah Anuar Hassan, 58, tidak pernah berputus asa untuk mendidiknya hingga berada pada tahap membanggakan hari ini.

Tambahnya, beliau ingin membantu keluarga yang banyak berjasa kepada dirinya selama ini sebelum meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi hingga berjaya bergelar Profesor termuda pula.

“Saya ingin membalas jasa bapa yang merupakan seorang pemandu lori dengan kerajaan dan ibu hanya menjual kuih bagi menampung kehidupan seharian.

“Buat masa ini, saya bekerja sebagai seorang pensyarah di UiTM Sabah yang saya belajar dengan mendapat Biasiswa Skim Tenaga Pengajar Muda UiTM pada peringkat PhD,” katanya.

utusan online


Usia tidak halang terima PhD
24 November 2014

YUSSOF LADI (dua dari kanan) bersama tiga lagi graduan yang menerima anugerah sempena Konvokesyen UMS di Kota Kinabalu, Sabah, semalam.

KOTA KINABALU 23 Nov. – Faktor usia bukan penghalang mencipta kejayaan yang lebih gemilang malah boleh dijadikan pemangkin untuk melakukan yang terbaik dan seterusnya merea-lisasikan usaha bagi menyumbang bakti dalam bidang akademik.

Begitulah kesungguhan yang ditunjukkan oleh Yussof Ladi, 61, apabila berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang komunikasi di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Beliau yang ditemui di majlis Konvokesyen UMS kali ke-16 menyatakan tetap bersemangat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi meskipun telah mema-suki usia warga emas.

Menurutnya, tekad meneruskan pengajian pada usia yang semakin lanjut adalah kerana percaya pada prinsip proses pembelajaran seumur hidup.

“Ilmu perlu diteroka dan dicari sepanjang hayat. Berpegang kepada prinsip ini, saya meneruskan hasrat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan menjayakan impian untuk menyumbang khidmat dalam bidang akademik,” katanya yang ditemui, di sini hari ini.

Beliau yang merupakan bekas pegawai di Jabatan Penerangan Brunei memilih untuk melanjutkan pelajaran di UMS kerana lokasi ne-geri ini yang berjiran dengan negara kelahirannya.

Menurutnya, dengan ijazah yang diperolehnya, beliau bertekad untuk menyumbang bakti kepada masyarakat menerusi penulisan buku ilmiah dalam bidang komunikasi.

“Saya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang ini melalui kajian berhubung Perkembangan dan Kebebasan Akhbar di Brunei.

“Dengan sedikit ilmu yang ada ini, saya berhasrat menerbitkan buku berbentuk ilmiah bagi memberi manfaat kepada orang ramai,” tambahnya.

utusan online


Comments