Topeng-Topeng : Dari Puisi Ke Teater




Sinopsis Teater Topeng-Topeng

“…Aku seharusnya berada di tengah kawan-kawan… atau berbicara dengan diplomat, profesor atau peguam…” – Baha Zain. Cerita berlaku di sebuah bistro yang selalu menjadi kunjungan beberapa orang profesional untuk melepaskan penat selepas seharian selepas bekerja di kantor. Kehadiran mereka merancakkan suasana di bistro pada suatu malam. Di bistro mereka bebas kerana dapat meninggalkan topeng yang dipakai untuk sementara waktu..

“…dalam gendang perang nanti malam akulah Rawana dengan topeng Hanuman.” – Baha Zain. Sedang mereka rancak berdebat sambil berpesta, Watak 1 mendapat berita kematian ibunya. Berita ini mengejutkan mereka dari khayalan dan omongan para pelayan di bistro itu.

Kematian membuatkan manusia sedar ada yang mengatur segalanya. Inilah yang dirasakan oleh Watak 1 ketika menerima khabar yang ibunya telah meninggal dunia sekali gus membawanya merenung kembali kehidupan yang telah dilaluinya.

“…ibu…aku telah mencuba…tapi…Tuhan lebih pintar dari ikhtiar manusia. Pada kebesarannya engkau kembali…”- Baha Zain


MENYINGKAP TEATER PUISI TOPENG-TOPENG
21 Sep 2014 - Mingguan Malaysia (Pancawarna)



Kerana puisi itu ringkas dan padat dengan kata yang terpilih maka ia perlu cermat ditatap. Makna yang direnungi menerbitkan keindahan tersendiri di luar kertas atau gajet terkini. Apabila menonton dengar puisi di pentas ia memerlukan kecermatan yang lebih. Kita akan didorong menghayati keindahan bahasa yang dilafazkan atau digerakkan oleh pelakunya. Pelakunya akan memindahkan keindahan dan makna yang tersirat melalui nada suara dan gerak. Adakala ia dibantu dengan bunyi-bunyian dan hiasan latar. Maka kita sebagai penonton harus lebih bersedia sebab puisinya bukan lagi berbentuk tulisan.

Bukan sebarang puisi boleh dipindahkan ke pentas. Bukan sebarang orang boleh menyampaikannya sama ada berseorangan atau berkumpulan. Lagilah mencabar puisi-puisi dijalin sebagai sebuah pementasan teater. Jalinan ini dibentuk secara keseluruhan atau petikan baris-baris tertentu. Ini membawa erti pementasan puisi bukan hiburan ringan. Bukan boleh ditonton sambil lewa. Penonton perlu ada ilmu bantu, sekurang-kuranya mesra puisi.

Dalam berkarya, penulis bertanggungjawab dengan puisinya. Pengarah bertanggungjawab dengan puisi-puisi yang dijalinnya. Pelaku menyampaikan dengan tertib pentas. Penganjur juga bertanggungjawab dengan biaya yang dilaburkan. Inilah yang dipertontonkan melalu teater Topeng-Topeng.

Teater Topeng-Topeng berdasarkan puisi-puisi dan cerita karya Sasterawan Negara Baha Zain yang diolah oleh Iryanda Mulia Ramly dan diarah bersama Fauziah Nawi. Diterbitkan bersama oleh Stefani dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) di Wisma ITBM baru-baru ini.

Mengapa Iryanda memilih jalan sukar menyediakan naskhah teater untuk dipentaskan? Dia harus selami pemikiran orang lain yang berada di luar pemikiran sendiri. Lebih menyukarkan untuk memilih dan merangkaikan kegeligaan dalam keseluruhan kebernasan pemikiran Baha Zain ke dalam satu naskhah. Ini tentu sekali ada perkara yang wajib dikongsi bersama-sama khalayak lewat kumpulan puisi Baha Zain; Tiga Catatan Perjalanan dan Jalan Desa Ke Kota serta cerita Berguru Kepada Binatang.

Iryanda ada ketajaman pengamatan (dan keresahan) sebagaimana penyairnya. Dia mengasaskan: kembara jiwa Sang Perenung adalah satu penerokaan dan telah menyibak topeng-topeng yang melekat di balik tabir di mana kebenaran kemas tersembunyi dan kini tiada lagi mampu berselindung.

Iryanda bersama-sama Fauziah Nawi mengarah dengan berani menyingkap ‘pengakuan’ Baha Zain: Dalam gendang perang nanti malam, akulah Rawana dengan topeng Hanuman. Juga, kamu sekalian punai, kucing, buaya dan cacing kalau mahu menjadi pemimpin yang besar harus pertama-tama kuat seperti aku. Itulah kekuasaan. Harus ada kuku dan taring yang tajam. Itulah kewibawaan. Dengan dua sifat itu, barulah kamu boleh memerintah.

Bukan sebarang kerja atau orang mampu mentafsir ‘pengakuan’ ini. Perlu latihan tegar lagi tubi pelakon. Syabas dengan lakonan Fauziah Nawi, Sabera Shaik, Farah Ahmad, Yanee Ahmad Zulkifli, Chi Azim, Azman Hassan, Irfan Poizi dan Emy Pesen yang Berjaya membawa penonton melihat apa di sebalik topeng bahasa, bangsa, pemimpin dan peristiwa di sekeliling kita. Saya cukup seronok dengan pengucapan semua pelakon. Tiada seorang pun terpengaruh dengan gaya ‘puisi sayembara’.

Kehebatan lakonan Fauziah Nawi sukar ditonton lakonannya dalam mana-mana drama televisyen atau filem sebagai satu pakej lakonan. Fauziah Nawi menyedarkan kita kerisauan Baha Zain. ‘Gangguan Cacing’ bukan sebarang lucu untuk kita. Mereka bergerak melawan arus jam. Gerakan mereka berlandaskan gerakan randai dan makyung. Melawan arus jam ini perlukan pentafsiran lagi. Ini hasil tafsiran Masnoor Ramly sebagai pengarah seni, pereka set dan props, seorang pelukis tersohor.

Stefani sentiasa memberi penanda aras setiap kerja seni mereka. Bagaimana pula dengan penanda aras ITBM? ITBM telah meletakkan penanda aras untuk sebarang teater yang hendak dipentaskan di Panggung Bumbung ITBM. Kejayaan pertama dengan teater pertama, Topeng-Topeng, menjadi penanda aras. Dengan kelengkapan terhad sebagai panggung teater ia dapat memikat semua lapisan penonton, termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Dr. Asmah Mohamad Ali.

Apabila penanda aras ini diletak atau ada, maka bukan sebarang kerja teater boleh dibawa ke Panggung Bumbung ini. Kerja teater mesti tegar. Sebelum ini Stor Teater DBP membuktikan. Ia akan menjadi buah mulut. Barulah sepadan dengan imej ilmu yang menjadi teras ITBM. Naskhah harus ada pemikiran. Wawasannya dapat memandaikan anak bangsa’. Ini sesuai dengan janji Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron, “Penonton tidak akan pulang ‘kosong’. Ini membawa erti bukan sebarang naskhah yang boleh dipentaskan. Pementasan itu harus berbekalkan kesan yang mendalam kepada penonton.”

Lumrah badan/pementasan teater/kesenian lemah pengurusan. Semua percaya dengan pengurusan yang baik, perhubungan yang baik lagi mesra tentu dapat memikat khalayak. Dulu pun pernah ada usaha mewujudkan sebuah penggung teater di sekitar Taman Melawati tetapi gagal kerana masalah jarak dengan Kuala Lumpur. Saya percaya ITBM membuka gelanggang baharu penuh hemah.

Kesungguhan ITBM harus diperhatikan dengan rapi. Kos bukan sedikit untuk menampung pementasan. Tiada satu pun pementasan teater di dunia mana-mana sekalipun memberi pulangan langsung. Kos satu kali pementasan tidak sepadan dengan kos keseluruhan satu hari penerbitan. Bagaimana untuk mendapat pulangan? Biar saya tolong jawab juga. Kemajuan tamadun bangsa bukan diukur dengan wang semata-mata.


DEDIKASI BAHA ZAIN
31 Aug 2014 - Mingguan Malaysia



Teater Topeng-Topeng yang bakal dipentaskan bermula 8 hingga 12 September di Dewan Utama, Wisma Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) merupakan sebuah dedikasi khas buat Sasterawan Negara Baha Zain.

Mengangkat bait-bait terpilih daripada himpunan puisi judul yang sama, Fauziah Nawi akan mementaskan sebuah persembahan ekspresif yang disampaikan melalui tona suara, ekspresi gerakan badan dan mimik muka.

Menariknya tanpa plot khusus cuma bergantung daripada bait-bait puisi Baha Zain itu, para pelakon akan membentuk jalan ceritanya.

Pernah dipentaskan sebelum ini oleh Dewan Bahasa Pustaka (DBP), kali ini Topeng-Topeng diterbitkan Stefani Events dengan kerjasama ITBM.

Selain Fauziah, pementasan itu turut dibintangi Sabera Shaik, Azman Hassan, Farah Ahmad, Chi Adzim, Yanee Ahmad Zulkifli, Mohd. Nor Hafiz dan Raja Emy Shahril.

Topeng-Topeng mendapat sentuhan Iryanda Mulya Ramly yang mengolah puisi tersebut dalam bentuk sebuah pementasan.

Kisah bermula daripada sebuah keterasingan yang melompat dari reality kehidupan ke ruang waktu, sang perenung menerjah pelbagai wajah mewakili sifat-sifat yang berlegar di ruang fikiran kembara jiwa sang perenung tersebut.

Kembara jiwa sang perenung adalah satu penerokaan dan telah menyibak (mengungkap) topeng-topeng yang melekat di balik tabir apabila kebenaran kemas tersembunyi dan kini tidak lagi mampuberselindung.

Di tugu waktu ketika bertemu dan menunggu, ternyata segalanya akan berlalu ditinggalkan oleh masa yang tak akan pernah terhenti dan pasti tidak pernah menunggu. Topeng-topeng kan tersibak jua walau hati retak.

itbm 



Teater Topeng-Topeng Sarat Satira Politik

Oleh: FAIZAL RIDUAN


KUALA LUMPUR: Teater “Topeng Topeng” yang diadaptasi dari dua karya Sasterawan Negara, Dato’ Dr Baharuddin Zainal (Baha Zain) buat kali keduanya selepas tahun 2008 dipentaskan semula oleh Stefani Event milik ikon teater Fauziah Nawi dengan Institut Terjamahan dan Buku Malaysia (ITBM) sehingga Ahad ini.

Teater yang diangkat daripada karya “Kumpulan Puisi Terpilih Baha Zain” dan “Berguru Pada Binatang” yang diterbitkan oleh ITBM itu disambung dua hari lagi berikutan permintaan tinggi dari penonton adalah sebahagian daripada strategi memanjangkan hayat sesebuah buku atau karya untuk dihayati masyarakat serta difahami oleh generasi akan datang.

Sebelum ini, Sasterawan Negara yang ke-12 itu telah mempunyai kompilasi puisi “Perempuan dan Bayang-bayang” (1974), “Dari Catatan Tengah Malam” (1978), “Tiga Catatan Perjalanan” (1980), “Jalan Desa Ke Kota” (1994) dan “Menangguhkan Kebenaran dan Sajak-Sajak Lain” (2008).

Pengarahnya Fauziah Nawi yang mengolah semula karya tersebut menyifatkan bahawa Topeng Topeng sebagai “Shakespeare Melayu”, yang penuh warna emosi dengan rasa amarah, sedih, gembira, dan bahagia, tetapi terselit juga emosi komikal. Keunikan pengadaptasian bait-bait puisi ke bentuk lakonan melalui pentas teater menjadikan teater ini.

“Topeng Topeng ibarat satu keperluan bagi peribadi Stefani atau boleh saja dikatakan sebagai satu obsesi. Bahasanya yang indah, lelucon, satiranya, kehalusan sindirannya serta sifat maskulin yang terserlah di setiap bait kata sungguh mematangkan hingga kami terpanggil untuk menyatakan mengapa tidak sekali lagi untuk berkongsi magisnya Topeng Topeng bersama penonton?”

Pengarah Urusan ITBM Mohd Khair Ngadiron yang juga penerbit bersama teater Topeng Topeng pula melihat sesebuah buku yang diterbitkan bukan hanya untuk dibaca, tetapi boleh disebar luaskan dengan menghasilkan karya berpandukan kreativiti seperti pementasan teater.

“Kami konsisten dalam usaha mengadaptasi karya terbaik yang mempunyai nilai tambah kepada bentuk teater. Ini merupakan antara inisiatif ITBM untuk mengangkat sastera serius sebagai usaha bersama-sama Kerajaan bagi meningkatkan tahap pemikiran bangsa.”

“Memindahkan puisi menjadi dialog untuk dilontarkan di atas pentas bukan perkara yang mudah dan lebih sukar lagi memaknakannya dengan lakonan yang sarat ekspresi, penjiwaan dan gerak fizikal,” ulasnya mengenai teater selama 50 minit itu.

Topeng Topeng dijayakan oleh pelakon teater berpengalaman, antaranya Fauziah Nawi dan Sabera Shaik, dan para pelakon yang berbakat besar, iaitu Azman Hassan, Farah Ahmad, Chi Adzim, Yanee Ahmad Zulkifli, Mohd Nor Hafiz dan Raja Emy Shahril. Teater ini turut diarahkan bersama Iryanda Mulya Ramly, yang juga merupakan pengarah muzik dan gerak lakon teater.

“Saya kira ia satu eksperimen yang berani oleh Fauziah Nawi. Kebiasaan teater diangkat daripada sebuah skrip drama dan mungkin ini adalah percubaan pertama daripada nashkah puisi. Malah pementasannya yang abstrak juga adalah satu eksperimen yang berjaya,” komen Baha Zain yang ditemui selepas pementasan pada Malam Gala baru-baru ini.

“Dr Victor Pogadaev yang menterjemah puisi saya ke bahasa Rusia juga turut menggunakan tajuk ‘Topeng-Topeng’. Begitu juga dengan persembahan fragmen karya saya oleh A Wahab Hamzah bersama kumpulan ASWARA turut ambil tema ‘Topeng-Topeng’. Saya tidak tahu mengapa ramai orang sukakan tajuk ‘Topeng-Topeng’,” ulas beliau berseloroh yang melihat tajuk puisi yang ditulisnya pada bulan Julai 1971 di Jakarta mempunyai tuah dalam 150 puisi terpilih dalam kompilasi buku terbarunya itu.


“Sesiapa sahaja yang membaca puisi saya, mereka bebas untuk mempunyai tafsiran dan tanggapan sendiri. 10 orang pembaca bebas untuk memilik 10 tafsiran masing-masing. Saya tiada halangan dan menghargai tafsiran mereka. Itulah dinamika sesuatu karya seni. Apabila ia mendapat respon dengan pelbagai khalayak pembaca. Jika saya mahu kebebasan menulis maka saya pun sewajarnya memberikan kebebasan pada pembaca untuk mentafsirnya,” jawabnya apabila ditanya apakah Fauziah Nawi berjaya mengangkat falsafah berat karyanya.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang turut hadir dalam persembahan istimewa di Wisma ITBM d. Ketika di minta untuk memberikan komentar mengenai teater yang sarat dengan aksi satira, sinikal dan sarkastik terhadap aktor pemimpin politik, Perdana Menteri paling berkuasa selama 22 tahun itu sekadar ketawa kecil dan mengakui karektor jelik sebegitu memang sedia wujud.

mysuaranet

Comments