Petikan Gitanjali : Tagore



69
arus hidup ini jugalah
yang mengalir di nadiku
siang dan malam
mengalir di dunia dan menanti
dalam irama teratur

hidup ini jugalah yang memancar gembira
di debu dunia
di helaian rumput
tiada terkira banyaknya
memecah dalam ombak daun
dan bunga 
tiada sekatan

hidup ini jugalah
yang beralun di buaian samudera
yang hidup dan mati
yang surut dan pasang

terasa kini padaku
anggotaku mendapat kemuliaan
kerana sentuhan dunia kehidupan ini
dari kenanganku datangnya
dari denyut kehidupan berabad
yang kini menari dalam darahku

rabindranath tagore

terjemahan oleh latiff mohidin

Comments