Topeng-Topeng

Topeng Topeng di ITBM
Oleh RASDAN AHMAD

FAUZIAH Nawi (tengah) bersama-sama sebahagian pelakon Topeng Topeng yang akan dipentaskan di Kuala Lumpur, September ini.

KEINDAHAN bahasa, kehalusan sindiran satiranya serta sifat maskulin yang ada kepada puisi Topeng Topeng, karya Sasterawan Negara Baha Zain menjadi tarikan kepada aktivis teater, Fauziah Nawi untuk mementaskan puisi ini.

Usaha itu juga adalah sebagai gerakan untuk melanjutkan jangka hayat sesebuah buku mahupun karya untuk terus dihayati oleh masyarakat selain daripada difahami oleh generasi muda hari ini.

Mendapat kerjasama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Topeng Topeng diterbitkan oleh produksi Stefani Events atau dulu dikenali Sanggar Teater Fauziah Nawi.

"Melihat kepada kehebatan puisi Topeng Topeng ini, saya rasa terpanggil untuk mementaskannya dalam bentuk teater. Pada mulanya saya sendiri berjumpa dengan Baha Zain untuk menyatakan hasrat saya.

"Alhamdulillah beliau terima dan merestui karyanya itu untuk dijadikan naskhah teater. Kemudian saya berjumpa dan berbincang dengan Pengarah Urusan ITBM, Mohd. Khir Ngadiron untuk bekerjasama mementaskan karya ini.

"Ternyata kedua-dua perjumpaan dan perbincangan ini menemui jalan yang baik," jelas Fauziah pada sidang media teater tersebut di ITBM, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pernah menjalinkan kerjasama dengan beberapa karya Sasterawan Negara yang lain seperti Usman Awang dan S. Othman Kelantan, Fauziah yakin mampu merealisasikan pementasan kali ini melalui pengalaman yang ada.

"Seperti yang dilakukan Baha Zain dan Sasterawan Negara yang lain, mereka membenarkan saya untuk mengubah sedikit cerita asal mengikut kesesuaian namun jalan cerita tetap sama.

"Buat masa ini kerjasama dengan golongan sasterawan ini memang memberikan pengalaman baru dan berharga kepada saya.

"Kebanyakan Sasterawan Negara yang saya lihat cukup tegas dalam kerjaya namun sebenarnya mereka semua cukup romantik," jelas Fauziah sambil ketawa.

Keunikan teater ini terletak pada jalan cerita tanpa plot berlandaskan sebuah karya puisi, selain susunan bahasa yang indah dalam menyampaikan jenaka dan sindiran yang seharusnya membuka minda serta mendidik para penonton.

Teater ini secara keseluruhannya membuka imaginasi penonton terhadap persembahan ekspresif daripada bait-bait puisi Baha Zain oleh pelakon tanpa plot khusus membentuk jalan cerita.

"Tajuk Topeng Topeng dipilih daripada puisi Baha Zain yang popular yang isi dan maksud puisi ini dijadikan tema skrip.

"Puisi-puisi beliau yang lain dipilih untuk menyokong dan membantu perkembangan tema dan plot teater ini," tambah Fauziah.

Topeng Topeng sebelum ini pernah dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 2008.

Cetus cinta

Selain itu usaha ini juga dilihat untuk mencetuskan rasa kecintaan generasi muda terhadap karya kreativiti yang hanya dilihat pada perspektif sebagai bahan bacaan semata-mata.

Baha Zain atau nama sebenarnya Baharuddin Zainal terkenal dengan puisi-puisi yang berbahasa indah tetapi mudah untuk difahami oleh semua golongan.

Puisi-puisinya walaupun ditulis pada era 60-an dan 70-an tetap melahirkan kepelbagaian rasa dan emosi ke arah mencari keseimbangan sikap dalam kehidupan.

Pementasan teater ini membariskan gabungan nama besar antaranya Fauziah Nawi dan Sabera Shaik selain Azman Hassan, Farah Ahmad, Chi Adzim, Yanee Ahmad Zulkifli, Mohd. Nor Hafis dan Raja Emy Shahril.

Topeng Topeng akan dipentaskan selama lima hari bermula 8 hingga 12 September ini di Dewan Wisma ITBM, Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Tiket dijual pada harga RM15 manakala RM 10 bagi pelajar sekolah dan institut pengajian tinggi. Tiket-tiket boleh dibeli di Kaunter Khidmat Pelanggan ITBM atau hubungi Norzaiti Abdul Talib 03-41451840.

utusan online



PEMENTASAN TEATER TOPENG-TOPENG PRODUKSI BERSAMA ITBM & STEFANI EVENTS


Saksikan pementasan Teater Topeng-Topeng produksi anjuran bersama Institut Terjemahan & Buku Malaysia dan Stefani Events (Sanggar Teater Fauziah Nawi) akan dipentaskan bermula 8 hingga 12 September 2014. Pementasan akan berlangsung pada jam 8.30 malam di Dewan Utama, Wisma ITBM.

Teater Topeng-Topeng merupakan dedikasi khas buat Sasterawan Negara Dato' Baha Zain, melalui himpunan puisi terpilih beliau. Teater ini dipentaskan seluruhnya hanya menggunakan bait-bait puisi SN Dato' Baha Zain, dan diterjemahkan melalui ton suara, ekspresi gerakan badan dan mimik muka.

Diolah oleh Iryanda Mulya Ramly serta dibintangi pelakon tersohor; Fauziah Nawi dan Sabera Shaik, bintang teater yang sedang meningkat naik; Azman Hassan, Farah Ahmad, Chi Adzim, Yanee Ahmad Zulkifli, Mohd Nor Hafiz, Raja Emy Shahril.

Kisah berangkat dari sebuah keterasingan yang melompat dari realiti kehidupan ke ruang waktu, sang perenung menerjah pelbagai wajah. Ianya mewakili sifat-sifat yang berlegar di ruang fikiran kembara jiwa sang perenung tersebut. Kembara jiwa sang perenung adalah satu penerokaan dan telah menyibak topeng–topeng yang melekat di balik tabir di mana kebenaran kemas tersembunyi, dan kini tidak lagi mampu berselindung. Di tugu waktu ketika bertemu dan menunggu, ternyata segalanya pasti akan berlalu ditinggalkan oleh masa yang tak akan pernah terhenti dan pasti tidak pernah menunggu. Topeng-topeng kan tersibak jua walau hati retak.

Tiket boleh di dapati dengan harga RM15 (Dewasa) dan RM10 (Pelajar & Kanak-Kanak). Untuk pembelian tiket sila hubungi 03-4145 1800, Bahagian Komunikasi ITBM.

Selamat Menonton!

itbm


Comments