Pementasan Drama : Kaedah Membina Upaya Kreatif Pelajar

Saya berkesempatan menyaksikan beberapa persembahan drama pentas di sekolah.  Apa yang jelas adalah bekat besar yang dimiliki oleh pelajar dan keupayaan mereka menterjemahkan skrip drama pentas ke dunia lakon begitu memberangsangkan. Sudah pastinya di belakang pementasan ini adalah tenaga guru sebagai pembimbing yang begitu gigih memberi bimbingan dan tunjuk ajar sehingga pementasan itu berjaya disempurnakan.

Saya merasa bangga dengan  sekolah yang berupaya mengadakan pementasan sebagai salah satu aktiviti kokurikulum pelajar. Kesempatan yang diberikan kepada murid terlibat dalam dunia lakon dan pentas ini adalah suatu penerokaan pengalaman yang besar manfaatnya bagi pelajar berkaitan. Tidak kurang pula ada sekolah yang tidak langsung memberi peduli pada pementasan drama ini. Ia merupakan satu kehilangan pengalaman bagi pelajar.

Sememangnya pementasan drama bukanlah perkara wajib kepada pelajar. Tidak banyak sekolah yang meletakkan drama sebagai niche area yang sentiasa diberi keutamaan dan sebagai kebitaraan sekolah. Meskipun drama sebenarnya bukan asing kepada semua pelajar. Sejak dari tingkatan 1 hingga tingkatn 5 mereka telah membaca drama menerusi teks KOMSAS Bahasa Melayu. Sayang sekali kehadiran teks itu hanya dinikmati melalui pembacaan semata-mata dan jarang dipentaskan untuk penghayatan pelajar.

Saya dapat mengesan bahawa antara halangan besar kepada pementasan drama adalah kemahiran seni persembahan drama yang tidak dimiliki oleh guru untuk didedahkan kepada pelajar. Kemahiran yang terbatas akan menyebabkan guru tidak memilih untuk mementaskan drama. Ia juga berkait dengan sumber kewangan yang terhad. Mementaskan drama memerlukan kos yang agak besar untuk kostum, lampu, latihan dan sebagainya. Namun ia masih boleh dilakukan dengan kos yang minimum.

Kemahiran drama sebenarnya masih terpisah dalam kalangan pelajar. Masih banyak pelajar yang tidak terdedah dengan kemahiran ini sama ada menonton apa lagi berlakon. Drama itu sendiri sudah pasti memerlukan kemahiran tertentu dimiliki oleh pembimbing atau guru untuk didedahkan kepada pelajar. Tanpa pendedahan yang mencukupi sebuah pementasan akan menjadi hambar dan tidak menepati metod atau teknik pementasan yang sebenarnya.


Sebagai garis panduan ringkas izinkan saya jelaskan beberapa kemahiran asas untuk didedahkan kepada pelajar tentang atau yang perlu dikuasai pelajar sebelum terjun ke alam pementasan. Saya percaya bahawa pementasan drama antara upaya penting yang dapat menjana kreativiti pelajar. Kita harus yakin bahawa pelajar sememangnya memiliki kreativiti yang tinggi sekiranya mereka dapat digilap dan dipupuk dengan sempurna. Alam pementasan drama ini sebenarnya antara wahana penting mendisiplinkan pelajar serta memberi mereka kepekaan dan menyuburkan bakat kreatif pelajar.

1. Memahami dunia teks drama
Kefahaman terhadap dunia teks drama ini adalah kemahiran pertama yang perlu didedahkan kepada pelajar. Pelajar membaca teks drama dan mereka perlu memahami segenap isi dan penceritaan yang terkandung dalam teks drama. Kemahiran yang perlu didedahkan adalah bagaimana pelajar dapat membuat korelasi antara watak, sifat-sifat watak, latar masa, latar budaya, latar masyarakat, nilai yang dipancarkan dalam karya drama serta melakukan imaginasi terhadap sifat, perangai dan gaya bergerak  atau berinteraksi watak yang dipaparkan.

Setiap pelakon yang mahu memerankan watak-watak berkenaan perlu membuat kajian watak secara mendalam. Kajian ini berdasarkan karakter yang dipancarkan dalam teks atau hubungan antara watak yang dijelaskan dalam teks. Kajian ini memerlukan banyak masa. Pelajar boleh menggunakan buku catatan atau jurnal berkaitan dengan karakter yang ditemui menerusi watak yang dimainkan. Komunikasi antara watak dengan watak lain boleh membantu menjelaskan watak itu siapa.

Kajian watak ini harus juga disertakan dengan daya imaginasi yang begitu mendalam dalam diri pelajar. Soalan seperti siapa, apa, bila,  mengapa, bagaimana, di mana antara soalan yang dapat ditumpukan untuk membina kefahaman watak.  Semakin pelajar berinteraksi dengan watak melalui pembacaan semakin banyak mereka dapat menyelami karakter watak itu.


Ia bukan kerja mudah dan ringkas tetapi memerlukan ketuntasan pelajar membuat penyelidikan. Inilah antara lorong penting pelajar menemui watak yang mereka akan perankan.

Yang penting adalah kajian watak ini jug harus melibatkan kajian terhadap watak-watak lain yang terlibat. Jikalah ia memainkan peranan sebagai ayah, maka kajian terhadap watak isteri atau ibu serta anak-anak, kawan-kawan mereka juga harus dibuat. Pelajar yang terlibat dengan pementasan harus memahami dan mengenali semua karakter dalam drama berkenaan. Ia boleh dikongsi dengan pelajar lain yang sama memerankan watak lain. Catatan dari jurnal boleh dikongsi untuk memperluaskan pengetahuan atau informasi watak.

Ini bermakna interaksi antra pelajar sentiasa berlaku, saling bertukar pandangan serta memberi imaginasi terhadap watak.  Jelas bahawa kemahiran berbahasa pelajar dapat digilap serta interaksi antara pelajar menimbulkan rasa mesra, toleransi dan yakin diri.

2. Mempertajam daya kreativiti artikulasi 
Drama melibatkan artikulasi dan gerak. Artikulasi adalah sebutan yang dilafazkan menerusi dialog atau kata bual dalam drama. Daya artikulasi sudah pasti melibatkan daya pernafasan dan sebutan. Kemahiran ini harus digilap dari semasa ke semasa. Asas dalam kemahiran ini penggunaan ayat-ayat  pendek yang dilatih sebutannya berkali-kali. Sebutan yang dibuat dalam nada dan intonasi yang berbeza-beza. Tujuannya adalah supaya pelajar dapat mengalami sendiri maksud kata-kata yang diujarkan, nada sebutan serta intonasi yang sesuai. Variasi ini memberi kefahaman kepada pelajar bahawa suatu ayat dapat diujar dengan kepelbagaian nada dan intonasi serta memberi maksud dan kefahaman yang berbeza-beza.

Latihan ini perlu dilakukan untuk melatih gerak bibir, memek muka, gerak dan intonasi pengujaran. Yang penting dalam latihan artikulasi ini adalah pengujaran yang jelas dan  dapat didengar oleh audien. Pelajar harus faham bahawa hakikat pementasan teater bebeza dengan alam drama tv atau drama radio. Meskipun sekarang ini ada alat bantu audio digunakan dalam pementasan namun asas kemahiran artikulasi harus dikuasai murid. Alat audio tidak dapat membantu pengujaran yang tidak jelas atau kabur. Alat audio tidak boleh membantu nada dan intonasi yang salah dalam pengujaran. Alat audio bukan langkah mudah untuk menunjukkan pemain drama memiliki kualiti vokal yang baik.

Kualiti vokal hanya dapat diperolehi melalui artikulasi yang sempurna dan bervariasi. Ia memerlukan latihan dan daya sebutan yang kerap diulang. Inilah antara ketahanan  diri yang perlu ada pada setiap pelakon. Ia bukan saja memerlukan tenaga yang banyak tetapi ketahanan mental dan fizikal yang kukuh. Tenaga yang banyak diperlukan dalam pementasan terutama dalam menzahirkan artikulasi yang jelas. Banyak kelemahan ketara dalam aspek vokal para pelakon. Mereka bukannya tidak berupaya untuk menzahirkan vokal yang baik tetapi mereka kurang latihan dan pendedahan serta ghairah untuk terus berlakon menggunakan skrip sebenar menyebabkan pelajar tidak memiliki kemahiran vokal yang baik terus berlakon.


Latihan vokal memerlukan ruang terbuka dan tertutup yang baik  Latihan di ruang terbuka seperti di padang, gelanggang terbuka atau kawasan lapang membolehkan vokal diluahkan oleh pelajar. Mereka dapat menguji upaya vokal masing-masing. Yang penting bukan nada yang tinggi seperti menjerit tetapi suara yang jelas dan dapat didengar dengan baik oleh audien. Latihan juga boleh dibuat dalam dewan tertutup dengan pelbagai variasi nada dan intonasi.

Latihan vokal kebiasaannya dilalukan bersama gerak. Gerak memberi indetifikasi tertentu pada laras vokal. Gerak dapat membantu membina perbezaan nada dan intonasi pengujaran kata. Latihan vokal digabungkan dengan gerak seperti melompat, baring, merangkak, berlari, tunduk atau mendongak. Semua itu akan memberi pengalaman vokal yang berbeza-beza kepada pelajar. Pengalam ini penting untuk nantinya mereka alirkan ke dalam gerak dan vokal dalam lakon.

Sebuah pementasan memerlukan kejituan jiwa dan kekebalan semangat. Ia bukan kerja mudah dan menagih masa yang panjang.

Saya akan menambah beberapa catatan lain kemudian , buat sementara hanya di sini noktahnya.




Comments