Imbasan Teater : Muzikal Patriot


Patriot' semarakkan perjuangan askar Melayu

Diterbitkan: Khamis 31 Jul, 2008

Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ


INI bukanlah kali pertama Istana Budaya mementaskan teater berbentuk patriotik dan bercorak ketenteraan.

Sebelum ini, teater Muzikal 23250 Tragedi Bukit Kepong yang bercorak ketenteraan pernah dipentas di situ. Begitu juga teater Merdeka! Merdeka! Merdeka! dan Muzikal Putra yang bercorak patriotik serta banyak lagi.

Kali ini, IB kembali menyemarakkan semangat patriotik dengan menghidangkan teater Muzikal Patriot yang membawa kisah pengorbanan cinta, darah dan air mata.


Farah dan Syukor selaku pelakon utama Muzikal Patriot.
(Foto The Star oleh Kevin Tan)

Muzikal arahan Ab. Rahman Adam yang juga merupakan bekas tentera ini antaranya melibatkan pelakon Raja Farah, Muhamad Syukor Ibrahim, Ashraf Muslim, Mahmud Ali Basha, Zila Bakarin, Zaibo, Datuk Jalaluddin Hassan, Baharudin Omar atau Anjang Aki, Aishah Atan, Hairina Abd. Halim atau Mama Rina AF6 dan ramai lagi.

Selepas menonton muzikal terbitan Aleena Communications Sdn. Bhd. yang sedang dipentaskan sekarang hingga 3 Ogos ini, penulis berpendapat aspek koreografi, lakonan, audio, visual dan grafik serta bantuan props dan lain-lain telah berjaya menghidupkan suasana muzikal Patriot ini.

Namun, ada satu aspek yang membuatkan penulis dan rakan-rakan penulis tertanya-tanya iaitu garis cerita (story line) muzikal ini. Ada sedikit kelonggaran cerita yang membuatkan mesej yang diberikan seolah-olah tidak sampai kepada kami.

Kisah cinta dan pengorbanan serta semangat memperjuangkan kemerdekaan tanahair saling berebut tempat untuk dipersembahkan di atas pentas tersebut.

Oleh itu, kedua-dua aspek tersebut masing-masing ditonjolkan hanya sedikit sahaja tanpa diluahkan kesemuanya.

Walaubagaimanapun, penulis masih terhibur dan tertarik dengan lakonan Raja Farah sebagai Sapura dan Syukor sebagai Yahya yang menghidupkan pementasan tersebut.


Antara bahagian ketenteraan yang ditonjolkan dalam muzikal ini.

Kedua-duanya bagaikan ada chemistry sehingga mampu membuatkan penonton rasa terkesima dan sayu apabila melihat kisah cinta terhalang ini.

Walaupun Farah baru pertama kali berlakon teater, dia berjaya membawakan watak Sapura dengan baik. Cuma ada sedikit 'rencah' yang perlu ditambah lagi kerana babak yang memerlukan emosi kurang ditonjolkan sepenuhnya oleh Farah.

Sebetulnya, watak Yahya tidak selalunya digalas oleh Syukor kerana dia akan bergilir-gilir dengan Ashraf Muslim untuk memainkan peranan tersebut. Ketika majlis pratonton itu, Ashraf hanya melakonkan watak salah seorang askar Melayu di medan perang. Jadi, tiada banyak babak yang menonjolkan Ashraf ketika itu.

Selain lakonan Raja Farah dan Syukor, aksi pelakon lain seperti Zila Bakarin, Mahmud Ali Basha, Datuk Jalaluddin Hassan, Aishah Atan, Mama Rina, Zaibo dan rakan-rakannya juga menarik untuk ditonton. Ini kerana, mereka berjaya menjiwai watak masing-masing yang mampu meninggalkan kesan kepada penonton. Suasana sedih, suram, ketawa dan pelbagai reaksi lagi kedengaran di dalam Panggung Sari itu.

Zila begitu hebat ketika melakonkan babak menggodanya yang memang sudah sinonim dengan aktres seksi itu. Namun, tidak banyak babak yang dilakonkan oleh Zila. Dia hanya muncul ketika babak tari-menari.

Lakonan Raja Farah dan Syukor bagaikan ada 'cemistry'.

Dari segi koreografi, pujian patut diberikan kepada koreografer Mahmood Ibrahim. Tarian yang dipersembahkan oleh barisan pelakon dan penari dari Istana Budaya lebih membuatkan pementasan itu menjadi menarik.

Ia ibarat penyeri kepada teater itu. Tambah menarik apabila aksi silat turut dihidangkan dalam teater ini yang menjadi salah satu seni untuk mempertahankan diri.

Begitu juga kepada pengarah artistik Lokman Ghani yang berjaya menghidupkan latar set yang pelbagai dan kreatif. Ada beberapa bahagian yang menonjolkan dua set di mana terdapat dua keadaan digabungkan menjadi satu.

Memang menarik, misalnya ketika babak Sapura disandingkan dengan sepupunya Zulkifli lakonan Mahmud Ali Basha berada di bawah manakala babak peperangan yang melibatkan Yahya dan askar Melayu lain dipentaskan di bahagian atas.




Muzik dan koreografi turut menghidupkan muzikal ini.

Audio dan muzik juga mampu memberikan kesegaran kepada penonton agar mereka bertahan menonton muzikal ini sehingga ke akhirnya. Tanpa kedua-dua elemen ini, penonton mungkin cepat bosan kerana ceritanya kadangkala boleh menimbulkan mood muram dan suram.

Cerita ini juga diselang-selikan antara babak melibatkan tentera dan babak di kampung. Misalnya, lagu dijadikan sebagai jambatan yang menyatukan antara cerita ketenteraan dan keluarga Sapura di kampung.

Tahniah diucapkan kepada pengarah muzik Datuk Suhaimi Md. Zain atau Pak Ngah yang berjaya menghasilkan muzik yang sedap didengar kerana Pak Ngah sememangnya terkenal sebagai pencipta lagu dan lirik yang pakar dalam genre irama tradisional.


Props dan latar set yang menarik turut menceriakan pentas
dan membuatkan penonton tertarik untuk menontonnya.

Ketika mendengar Syukor menyanyikan lagu-lagu ciptaan Pak Ngah, tidaklah janggal sangat mendengarnya kerana suara itu memang milik Syukor. Namun, lain pula apabila tiba bahagian Raja Farah kerana dia hanya miming sahaja.

Farah pernah berkata yang beliau akan menyanyikan lagu-lagu itu sendiri. Tetapi, alih-alih suara orang lain pula yang timbul!

Begitu juga dengan masalah mikrofon yang dihadapi oleh Aishah Atan yang melakonkan watak ibu Sapura. Suaranya kurang kedengaran apabila mikrofonnya tiba-tiba tidak berfungsi ketika babak awal dalam muzikal ini.

Kata Aishah, "Ini merupakan kali kedua saya mendapat mikrofon yang rosak. Masa latihan baru-baru ini pun, macam tu juga."

Selepas sejam berlalu, muzikal ini disusuli dengan latar visual dan grafik bercorak ketenteraan. Rasanya, penekanan yang menonjolkan semangat ketenteraan boleh jadi di bahagian ini. Di akhir cerita, penonton juga dipaparkan dengan grafik pejuang-pejuang terdahulu yang telah dikurniakan pingat masing-masing.

mstar



Muzikal Patriot sempena bulan kemerdekaan

oleh WANDA IDRIS

BUKAN mudah menggarap sebuah kisah perang dalam satu pementasan teater muzikal. Namun itulah cabaran yang ingin direalisasikan oleh Rahman Adam dalam pementasan Patriot yang dipentaskan mulai 29 Julai hingga 3 Ogos di Istana Budaya.

Rahman berkata, dia cuba bereksperimen dengan menggabungkan elemen perang dan muzikal dalam usaha memberikan kepuasan kepada khalayak.

Ini kerana, bukan semua penonton suka menyaksikan cerita perang yang agresif semata-mata dan ada kelompok yang gemarkan pengaruh pementasan muzikal.

“Justeru saya cuba memberikan sentuhan terbaik untuk menggabungkan kedua-dua elemen tersebut dan kini latihan untuk menjayakan teater ini sedang rancak dijalankan,” kata Rahman ketika dihubungi petang Rabu lalu.

Menurut pengarah itu, pementasan bagi mengutip derma sempena Rayuan Hari Pahlawan 2008 selain meraikan bulan kemerdekaan dan Hari Angkatan Tentera itu akan dijayakan oleh Shukor Ibrahim dan Ashraf Muslim bagi memegang watak utama, Leftenan Yahya dan Raja Farah sebagai Safura selain Datuk Jalaluddin Hassan, Mahmud Ali Bashah, Zaibo, Zila Bakarin dan Baharuddin Omar.

“Malah Mama Rina AF6 juga buat pertama kalinya akan berlakon dan menjayakan pementasan ini. Saya dapati walaupun pertama kali berlakon, sepanjang latihan dia berjaya memindahkan imej rocknya kepada seorang ibu yang penyayang dan penyedih,” ujarnya yang menulis sendiri skrip pementasan tersebut.

Dibantu oleh Lokman Ghani sebagai pengarah artistik dan Datuk Suhaimi Mohd. Zain (Pak Ngah) sebagai pengarah muzik, Patriot yang menceritakan tentang perjuangan dan pengorbanan orang Melayu ketika menentang tentera Jepun semasa Perang Dunia Kedua diterbitkan oleh Aleena Communications Sdn. Bhd. dan dinaungi oleh Datin Seri Jeanne Abdullah dan dipengerusikan oleh Laksamana (B) Tan Sri Anuar Mohamad Nor.

Pementasan tersebut mendapat kerjasama dan sokongan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Kementerian Pertahanan. Kemuncak pementasan pada 3 Ogos dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Patriot mengisahkan tentang seorang pegawai muda Askar Melayu, Leftenan Yahya yang menentang tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua bersama-sama dengan pasukan askar bersekutu dari Australia dan British.

Menyintai gadis sekampung bernama Safura namun kedua-dua ibu bapa Safura mahu menjodohkandengan Zul yang juga merupakan sepupunya yang kaya raya.

Zul pula bersekongkol dengan MPAJA (Malayan People Anti Japanese Army) dan bila perang tamat, dia menjadi orang kanan ketua komunis.

Yahya pula apabila tahu gadis idamannya ditunang dan dikahwinkan dengan orang lain telah pergi berjuang menentang komunis dan akhirnya terkorban sebagai patriot.

“Pementasan ini bertemakan cinta namun ia bukan semata-mata mengenai kisah antara dua insan tetapi lebih utama cinta kepada negara,” jelas Rahman.

utusan online


Raja Farah ke pentas hidup - Pegang watak utama Teater Muzikal Patriot

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT



DIA boleh dikategorikan masih baru dalam dunia seni tanah air. Masih di peringkat mengasah bakat bagi memahat nama, pelakon remaja Raja Farah yang dikenali menerusi lakonannya di layar lebar dan layar kaca tiba-tiba diumumkan sebagai pelakon utama sebuah pementasan teater.

Bukan calang-calang teater tetapi khabarnya teater yang bertemakan semangat patriotik.

Sebenarnya, jarang sekali lantai teater tempatan mempersembahkan ceritera si baju hijau berceloreng, sebagai bahan penceritaan.

Apabila aktivis teater sekitar tahun 60-an dan 70-an, Rahman Adam mahu kembali dengan buah tangan terbarunya, Teater Muzikal Patriot, pasti ramai yang tertarik untuk menyedut nafas teater perang ini yang bakal dicorakkan penuh variasi, sarat melodi, retak tari dan himpunan lagak humor.

Menyatukan perang dan muzik di atas pentas, kisah sang perajurit benteng pertahanan negara ini, pasti, bibit percintaan dan kasih yang terpaksa dikorbankan demi kecintaan terhadap negara tidak terpinggir daripada menjadi arus penceritaan.

Bunyinya agak klise, tapi arah mana lagi sesebuah kisah yang bertemakan perjuangan dan semangat nasionalisme jika tidak dikemaskan dengan episod cinta yang tidak kesampaian. Ini elemen tragik yang tidak akan dipersiakan setiap pembikin, baik teater, drama, filem mahupun drama radio.

Teater ini besar, sebesar hasrat murninya untuk mengutip dana yang mahu disumbangkan kepada Tabung Rayuan Hari Pahlawan 2008.


PERNAH berdampingan di layar kaca, Raja Farah dan Ashraf kini berpadu tenaga dan aura di pentas teater.

Namun, apabila nama-nama seperti Raja Farah dan Asyraf Muslim dipilih untuk menjana watak heroin dan hero muzikal ini, timbul pertanyaan, layakkah pucuk muda menjadi aset yang menunjangi kejayaan pementasan besar ini kelak.

Lengkap berkebaya persis si gadis sunti era zaman 40-an, Raja Farah tidak gentar saat diminta membela diri. Akuinya, sejak terjun ke persada lakonan beberapa tahun lalu, impian untuk berlakon teater tidak pernah padam di benaknya.

"Saya sudah lama menantikan tawaran begini. Apabila dipanggil untuk uji bakat, saya datang dengan harapan yang besar. Saya memang mahu terlibat dengan teater ini. Alhamdulillah, nasib saya baik dan saya diterima.

"Baik atau buruknya berlakon teater ini, bawa watak ini, saya terima, bagi saya, kalau saya tidak bermula sekarang, bila lagi, jadi saya buat, buat yang terbaik," jelas Raja Farah penuh yakin saat ditemui pada majlis pelancaran Teater Muzikal Patriot di Istana Budaya, baru-baru ini.

Dari kata-katanya, gadis muda ini cuba memberitahu bahawa, berjaya atau tidak, hanya penonton sahaja yang akan memberi jawapan setelah menyaksikan lakonannya kelak.

Kali pertama mengenali teater, komitmen Raja Farah terhadap muzikal ini boleh dipuji. Demi tuntutan latihan dan penghayatan watak yang intensif, gadis muda yang sedang mengukir nama di layar perak dan TV ini sanggup melepaskan tawaran lain agar muzikal ini dapat diutamakan.

"Ada beberapa tawaran yang harus saya tolak, ada juga sanggup tunggu sampai teater ini habis. Itu antara pengorbanan yang harus saya lakukan.

"Teater ini benar-benar memerlukan komitmen seratus-peratus daripada saya," jelas Raja Farah yang manis bersalut kostum Sapura, watak gadis kampung yang menjadi kekasih, pegawai muda Rejimen Askar Melayu yang bernama Leftenan Yahya, lakonan Ashraf Muslim.



Bukan sahaja ujian pertama buat Raja Farah di lantai pementasan Teater Muzikal Patriot juga menguji kematangan lakonan Raja Farah untuk menyesuaikan dirinya di sisi dua hero, Ashraf Muslim dan Muhamad Syukor Ibrahim memandangkan kedua-dua pelakon ini, sengaja dilatih Rahman Adam sebagai pemegang watak Yahya.

"Ashraf sudah pernah digandingkan dengan saya dalam drama TV sebelum ini. Kami juga sudah lama berkawan, jadi tidak susah untuk serasi dan meluahkan emosi dalam babak cinta di pentas.

"Tetapi, Syukor pula lain. Dia memang orang teater, cara dia lain, tapi Syukor pandai, dia gunakan pendekatan sendiri untuk dapatkan keserasian di dalam dan luar latihan.

"Dia ambil berat tentang saya, itu cara dia. Masa latihan untuk teater ini, saya banyak berlatih dengan Syukor. Malangnya beberapa hari lepas dia jatuh sakit, justeru Ashraf yang akan jadi pengganti kalau sakitnya berterusan," beritahunya lagi.

Mendefinisikan teater sebagai bidang seni yang menuntut kawalan emosi yang cukup kuat, Raja Farah menambah lagi: "Keyakinan diri adalah perkara yang paling penting, dalam latihan, tapi saya takut tidak dapat mengawal emosi gugup semasa dalam persembahan sebenar.

"Segala-galanya perlu dikawal begitu juga dengan lontaran vokal, itu yang paling susah. Sebutan kena jaga, begitu juga dengan bahasa tubuh dan pergerakan."

Dari segi kelayakan untuk menjadi seorang pelakon dan komitmen yang dicurah, dua kualiti itu memang ada pada diri Raja Farah, bagaimana pula dengan kemampuan gadis muda ini untuk menawan khalayak teater yang lebih selesa dengan nama-nama besar untuk beraksi di pentas gah bernama Panggung Sari?


APAKAH impak yang ada pada Raja Farah dan Ashraf mampu memikat audiens terhadap Teater Muzikal Patriot?

Mendapatkan kepastian, tuan empunya produksi ada alasan tersendiri.

"Memang dia mentah dalam teater, tapi saya puji kesanggupan Raja Farah untuk memenuhi jadual latihan yang kami tetapkan.

"Sebelum Raja Farah, sebenarnya sudah ramai pelakon wanita lain yang ditawarkan watak Sapura, tetapi mereka menolak kerana tidak sanggup dengan jadual yang panjang.

"Mampu atau layakkah Raja Farah bawa watak besar ini, saya tidak lihat itu sebagai masalah kerana yakin Raja Farah ada peminat tersendiri.

"Dia muda dan paras rupa pun menarik dan saya memang nak beri peluang ini untuk dia, biar satu masa nanti, dia pun boleh menjadi seorang pelakon pentas yang baik, kerana dia ada potensi," hujah Rahman Adam yang juga percaya Raja Farah boleh menari dan menyanyi dengan baik untuk menjayakan muzikal ini kelak.

Rahman juga menjelaskan kemunculan Ashraf dalam muzikal ini awalnya sebagai pelakon gantian untuk watak Yahya. Itu prinsip pengarahannya, tegas Rahman.

"Saya juga masih memikirkan untuk mencari pelakon gantian untuk watak utama, sebagai persediaan jika berlaku perkara yang tidak diingini.

"Macam Syukor, mulanya keracunan makanan tapi sakitnya berlarutan, terpaksalah Ashraf yang jayakan keseluruhan persembahan kelak. Jika tidak, mereka akan bergilir-gilir," tambah Rahman yang benar-benar berharap Teater Muzikal Patriot ini bakal meninggalkan kesan sebagai salah sebuah persembahan istimewa tahun ini.

Sebagai informasi, Teater Muzikal Patriot juga dibarisi pelakon handalan lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Zila Bakarin, Mahmud Ali Basha, Zaibo, Zack Taipan, Baharudin Omar serta penampilan istimewa daripada Mama Rina AF6 yang membawa watak sebagai ibu kepada Yahya.

kosmo online



Comments