Bahasa Novel

Gaya bahasa novel Melayu
Oleh DR. AMINUDIN MANSOR


Gaya bahasa novel yang menarik dengan tajuk baharu akan dapat memikat para pembaca membaca sesebuah novel. Gaya bahasa juga berkait rapat dengan teknik penceritaan sesebuah novel. Tema dan perwatakan juga memainkan peranan penting dengan penerapan gaya bahasa yang sesuai.

Terdapat pelbagai gaya bahasa dalam novel antaranya gaya bahasa dialog, gaya bahasa monolog, gaya bahasa bercerita dengan pelbagai keragaman bahasa dan langgam penceritaan iaitu pemilihan kata (diksi), penggunaan ayat pendek dan ringkas tetapi bermakna dengan unsur metafora, personifikasi, hiperbola, imejan dan peribahasa.

Selain itu, terdapat beberapa fungsi gaya bahasa antaranya dapat mengindahkan karya dan bunyinya sedap didengar melalui pemilihan kata yang puitis, memberi gambaran yang jelas dan tepat, memberikan kesan yang mendalam, dapat menghidupkan cerita dan melancarkan cerita. Seni bahasa juga mendukung dan mengandungi keindahan estetik. Di samping itu, dapat memberikan identiti yang tertentu kepada seseorang pengarang.

Melalui kajian dan penelitian beberapa pengarang novel seperti Keris Mas, Shahnon Ahmad, Abdullah Hussain, A. Samad Said, Arenawati, S. Othman Kelantan, Azizi Haji Abdullah, Fatimah Busu, Zaharah Nawawi lebih kepada gaya bahasa penceritaan diselitkan dengan gaya bahasa simile.

Terdapat juga unsur-unsur gaya bahasa baharu dalam penceritaan seperti Anwar Ridhwan dalam Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (1979) dan Penyeberang Sempadan (2012) mencari tradisi dan pembaharuan dari segi tema, manakala Ismail Abbas (Amil Jaya) menggali tradisi suku kaum di Sabah seperti Ngayau (1979) dan Bagaton (1987) dan tema perjuangan dalam politik oleh Rahman Haji Yusof melalui novelnya Tak Seindah Impian.


Sebagai contoh, Azizi Haji Abdullah dalam novelnya Harga Sebuah Maruah menggunakan langgam penceritaan terus dengan imbasan kembali seperti, " Rakyat itu selalu diam. Tapi ia pencatat tidak pernah lupa. Rakyat itu seperti naga. Melingkar dengan berat badan dan diam dalam keheningan sendiri. Pancainderanya tajam kuat intuisinya dengan akal budi. Lalu jangan sekali-kali melukakannya. Jangan melukakannya berkali-kali. Kerana sekali ia bangkit. Rosaklah segala apa-apa."

Novel ini menceritakan kisah perjuangan rakyat kerdil di sebuah perkampungan terpencil, mengukur harga diri dan hidup mati bukan dengan harta benda dan wang. Mereka punya semangat, punya roh kehidupan yang perlu dipertahankan , air mata dan darah menjadi taruhan demi sebidang tanah warisan nenek moyang. Terdayakah mereka menentang akta dan undang-undang yang mewakili arus pembangunan, sedangkan hidup bukan semusim sahaja, tetapi untuk selama-lama. Novel ini mengusap rindu rasa dan kecintaan petani kepada tanah mereka, kerana tanah adalah segala-galanya. Keindahan gaya bahasanya diselitkan dengan pelbagai puisi lama dan juga pantun.

Dalam novel Daerah Beta, Azizi Haji Abdullah juga meneruskan teknik langgam penceritaan terus dengan tema perjuangan penduduk kampung menentang pembangunan yang tidak dirancang. Daerah Beta bukan sebarang daerah, ia daerah yang menentukan hidup mati, maruah dan harga diri rakyat yang bertarung dengan kerenah penguasa dan birokrasi atas nama pemodenan dan pembangunan.


Seperti yang diceritakan dalam novel Daerah Beta keheningan perkampungan baharu ini mula tergugat. Kematian misteri penduduk kampung semacam mangsa pembunuhan bersiri. Malah bayi dalam kandungan juga menderita: lahir tidak cukup bulan dan cacat. Dalam tertanya-tanya, penduduk kampung dikejutkan dengan tunjuk perasaan pada malam.

Azizi Haji Abdullah menggunakan gaya bahasa penceritaan terus. "Kami bantah!!!" jerit kumpulan di sebelah kiri. "Kami bantah !!! jerit pula kumpulan di sebelah kanan. Tiba-tiba dalam tempik sorak itu, meriam air dari kereta perisai polis memuntahkan pelurunya. Nampak air berwarna kekuningan mendesah bercabang-cabang, menyembur kumpulan yang hendak mara merempuh benteng anggota polis antirasuah itu."

Bentuk penceritaan secata terus dan imbas kembali ini terdapat juga dalam novel-novel lain karya Azizi Haji Abdullah seperti Garis Lintang Anak Haram (1968), Senja Belum Berakhir (1971), Seorang Tua Di Kaki Gunung (1982) dan Sangeetha (1986). Kekuatan Azizi Haji Abdullah dalam keseluruhan novelnya ialah kekuatan pemilihan tema dan latar masyarakat yang dipaparkan.

Teknik gaya bahasa penceritaan terus juga terdapat dalam novel A. Samad Said antaranya Daerah Zeni dan Hujan Pagi yang dikatakan agak sukar untuk dibaca apalagi untuk dinikmati dan dikaji. Ini disebabkan tahap pemikiran dan pemahaman aras tinggi diperlukan untuk memahami apa yang tersurat dan tersirat dalam novel ini.

Gaya bahasa kewartawanan dan penceritaan juga dapat dilihat melalui novel Abdul Rahim Kajai, Ishak Haji Muhammad, A. Samad Ismail, A. Samad Said novel Hujan Pagi, dan Khaidir Ahmad (Khuluk) serta beberapa penulis baharu.

Soal sosial dijadikan tema dalam kebanyakan novel tahun 1930-an dan 1940-an. Antara penulisnya Ahmad Kotot, Ahmad Rashid Talu dan Ishak Haji Muhammad dengan novelnya Anak Mat Lela Gila (1941) dan Putera Gunung Tahan (1937) yang cenderung bercerita mengikut gaya bahasa berhikayat dan lipur lara sesuai dengan zamannya.


Novel Melayu Malaysia terus berkembang seiring dengan perkembangan yang berlaku dalam kesusasteraan Nusantara. Temanya masih lagi berjejak kepada permasalahan hidup masyarakat di negara ini. Walaupun terdapat perkembangan baharu iaitu novel popular dan novel cinta yang kini gaya bahasa baharu lebih segar mudah difahami, indah dan cantik dan menyelitkan unsur humor dan jenaka dalam ayat, terus mendapat tempat di hati pembaca terutamanya golongan remaja. Tajuk novel terbaharu juga memaparkan gaya baharu bagi menarik perhatian pembaca. Sebagai contoh novel Cinta Untuk di Sewa karya Lynn Diyana, Semerah Red Velvet karya Hezzy Azra dan Puisi Untuk Nadina karya Bahruddin Bekri dan beberapa penulis novel baharu.


Perhatikan gaya bahasa novel Puisi Untuk Nadira. Nadira: "Apa awak cakap? Saya tidak sekolah . Awaklah yang tidak ke sekolah. Naik motor buruk, nampak sangat err…nampak sangat tidak naik motor baharu…" Borhan: "Cik adik, saya masih bersedih. Jadi jangan cabar saya. Saya tahu saya tidak naik motor baharu, tetapi saya tetap punya hati dan perasaan." Perhatikan pula gaya bahasa novel Semerah Red Valvet. " Oh… tidak mudah menyesuaikan diri. Banyak perbezaan wujud di celah-celah kehidupan mereka. Setiap kali Emir berulit dengan buku, Raina mati kutu."

Melalui wahana seni bahasa yang indah dan menarik dengan tema yang kuat dan besar akan tercermin kebijaksanaan pengarang dalam menghidangkan gaya bahasa yang indah dan segar.

utusan online

Comments