Tok Kenali

Tok Kenali pelopor transformasi
DR MASHITAH IBRAHIM
18 April 2014


TOK KENALI, atau nama sebenarnya Hj Mohamad Yusof Ahmad, adalah seorang ulama pondok tersohor. Lahir di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kelantan sekitar 1860an, beliau bagaikan magnet yang mampu dekatkan pemerintah istana dengan rakyat, antara ahli agama dengan karyawan, serta membina jambatan antara pemimpin dengan orang biasa.

Berguru dengan ulama pondok hebat Hj Wan Ahmad al-Fatoni, beliau mahir dalam pelbagai cabang ilmu agama. Tok Kenali adalah tokoh rohaniah, malah pemikir, penulis dan guru. Di Malaysia, muridnya ribuan orang, datangnya dari dalam dan luar negara.

Malah ramai di antara mereka yang kemudian membuka pondok di merata tempat. Antara muridnya ialah Hj Nik Mahmud Ismail, yang kemudian menjadi Menteri Besar. Sebagai ahli bahasa, beliau mahir 12 ilmu bahasa Arab.

Selama 22 tahun di luar negara, 12 tahun beliau mengajar tauhid, feqah, nahu, tafsir dan tasauf di Makkah. Antara jasanya ialah idea menubuhkan Majlis Agama Islam dan kemudian menjadi anggotanya, menjadi guru besar di Masjid Muhammadi, ahli Majlis Ulama dan pengarang Majalah Pengasuh.

Tok Kenali juga seorang futurist dan berwawasan. Banyak idea dan pandangannya masih relevan hingga ke hari ini. Beliau menekankan adab dan disiplin kerana inilah faktor yang mengangkat maruah sesuatu bangsa.

Katanya, sesuatu bangsa perlu capai kemajuan dengan mencontohi bangsa yang sudah maju dan berjaya, namun penting bertunjang pada tradisi agar tidak menjadi lalai. Beliau mengajar umat bekerja bersungguh-sungguh dan sabar kerana ini adalah kunci kejayaan.

“Manusia tidak menikmati kesempurnaan dengan mudah untuk mendaki ke puncak, kejayaan menghendaki seseorang itu banyak bersabar, kerana kalau berharap mencapai ketinggian dengan tiada berusaha sama seperti orang menjalankan bahtera di atas darat, sebab bahtera tidak ada yang berlari di atas tanah yang kering.”

Dalam melahirkan kekecewaan tentang tahap kemajuan bangsa Melayu yang rendah, beliau sebenarnya mencabar dan mendorong bangsanya untuk bangun menjadi maju.

“Anak-anak putera saya ini tiada sangat berbeza di antara masa mereka berteduh di bawah telinga gajah (kerajaan Siam) dan masa mereka itu berteduh di bawah dagu Singa (kerajaan British)... Ayuhai ahli Semenanjung Tanah Melayu, marilah kita munafakat menjadi satu kalimah, supaya mudah kita buat kerja tolong menolong...

Puaslah saya menanti dari berdiri hingga duduk, dan dari duduk hingga tidur, orang-orang yang pandai buat kerja. Saya harap daripada mereka yang boleh buat kerja itu berhalus-halus dan perlahan-lahan pada menariknya yang liar pada jinak, jangan penat sahaja maksudnya tiada hasil.

Tiadalah puas hati saya mati sebelum saya lihat perubahan yang baru lagi elok.” Pada saya, jelas Tok Kenali adalah antara pelopor transformasi yang terawal. Beliau mengambil berat tentang umat Melayu-Islam.

Pernah masyarakat berdebat tentang istilah Melayu pada awal 1920an. Ada yang kata Melayu malas, tak bangga menjadi Melayu, malah ada yang mencadangkan supaya istilah ‘Melayu’ ditukar sebab ada bunyi ‘layu’ padanya.

Tapi dalam bahasa Jawa, ‘layu’ maknanya ‘lari’ - ada konotasi laju dan kuat di situ. Tok Kenali mengkaji perkara ini dari sudut etimologi, antropologi dan tingkah laku bangsanya. Akhirnya, dalam Majalah Al-Hidayah (1923), dia melahirkan bangkangannya terhadap cadangan yang tidak munasabah itu.

Katanya, mengubah nama bangsa tidak boleh mengubah tingkah laku orang Melayu. Yang penting ialah perubahan dari segi pendidikan dan kebijaksanaan. Dia mengambil contoh orang Jepun, yang mampu mencapai kemajuan tinggi namun tetap setia dan bangga dengan cara hidup mereka.

Tok Kenali berkata orang Melayu bukan lemah jika dilihat daripada tanggungjawab dan kerja berat yang mereka buat. Dia menjelaskan, orang Eropah pun mengakui otak orang Melayu sama dengan otak orang Jepun.

Kita ingin melihat adanya jiwa dan semangat Tok Kenali dalam kalangan ulama dan tok guru pondok masa kini. Mari kita hayati kata-kata Tok Kenali ini.

Katanya: “Hendaklah kita berbuat sesuatu yang dapat menunjukkan bahawa kita dapat berbuat baik sekurang-kurangnya jauh berbeza dengan masa yang sudah-sudah, diharapkan kepada Tuhan kita berada dalam perubahan yang baik.”

sinar harian

Biografi Tok Kenali


Latar Belakang Tok Kenali

Gelaran Tok Kenali lebih dikenali umum berbanding nama asal beliau iaitu Muhammad Yusuf Bin Ahmad. Kadang-kadang ada juga yang memanggil Tok Kenali dengan nama Awang Kenali sahaja. Namun demikian, nama Awang Kenali bukan gelaran biasa.

Hal ini kerana menurut tulisan Wan Mohd. Shagir Abdullah, nama Awang Kenali berpunca daripada gurunya sendiri iaitu Syeikh Ahmad al-Fathani. Gelaran 'Awang' berasal daripada perkataan 'Awan'. Guru kepada Tok Kenali itu menyatakan tingginya ilmu Tok kenali mencapai ke tahap 'awan'. Daripada perkataan 'awan' itulah kemudian bertukar kepada Awang.

Beliau dianggap sebagai seorang ulamak ulung, guru agama unggul dan tokoh pemikiran umat Islam di Tanah Melayu dan Asia Tenggara zaman berzaman di awal abad ke 20an. Bukan setakat itu sahaja, malahan nama beliau gah di negara Arab sehingga di Tanah Suci Mekah.

Tokoh ilmuan ini lahir di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Baharu Kelantan dalam tahun 1287H bersamaan dengan 1870H semasa pemerintahan Sultan Muhammad 11 yang hidup di antara tahun 1837 hingga 1886M.

Allah SWT mengizinkan Tok Kenali menjalani kehidupan di dunia fana ini selama 65 tahun. Ulama tersohor ini kembali ke rahmatullah pada hari Ahad 19 November 1933M lebih kurang jam 7.30 pagi Ahad bersamaan 2 Syaaban 1352H. Beliau dikebumikan di Kubang Kerian, Kelantan.


Sumbangan

Sekiranya hendak dihitung sumbangan beliau dalam arena dakwah di negara kita banyak sekali. Beliau merupakan pelopor utama dalam mengembangkan sistem sekolah pondok yang memartabatkan agama Islam dalam Malaysia dan luar negara.

Murid-murid yang berguru dengannya kemudian membuka pondok di tempat lain di luar daripada negeri Kelantan. Oleh itu, tidak hairanlah beliau berjaya melahirkan ramai ulamak-ulamak hebat di Tanah Melayu ini.

Tok Kenali merupakan orang penting dalam perkembangan pemikiran Islam di Tanah Melayu khususnya. Banyak karya-karya yang mencerna dan membangunkan pemikiran masyarakat Islam Malaysia dibentangkan dalam Majalah Pengasuh. Beliau bukan sahaja pengarang, malahan beliau adalah Ketua Pengarang majalah tersebut.


Pencarian Ilmu

Sewaktu kecil beliau diasuh dan dididik dengan pendidikan agama oleh datukya kerana ayahnya telah meninggal dunia ketika berusia lima tahun. Datuk beliau merupakan seorang warak dan memiliki ilmu agama serta patuh kepada peraturan-peraturan Ilahi. Tok Kenali mempelajari Al-Quran dan tulis menulis daripada datuknya sendiri Encik Shalih atau lebih mesra dengan Tok Leh .

Nenek tirinya turut mendidik Tok Kenali dan cukup menjaga hal-hal makanan dan minuman yang hendak diberikan kepada Tuk Kenali kerana beliau percaya makanan yang haram boleh membentuk peribadi tidak elok kepada diri seseorang.

Kegigihan Tok Kenali dalam menuntut ilmu memang sukar ditandingi. Sejak berumur sembilan ke sepuluh tahun lagi Allahyarham telah mengambil langkah untuk menuntut ilmu di luar daripada kampung halamannya. Beliau tekad menuju ke Kota Bharu, Kelantan dan tempat pertama yang ditujuinya adalah masji Al-Muhammadi. Di sana terdapat ramai guru-guru agama dan beratus-ratus murid dari seluruh ceruk negeri Kelantan yang menyambung pelajaran.

Di negeri Kelantan beliau menutut ilmu Bahasa Arab, nahu, saraf dan pengetahuan agama. Minatnya dalam menuntut ilmu tidak terhenti setakat itu sahaja kerana beliau bercita-cita melanjutkan pelajaran ke Mekah.

Cita-cita Tok Kenali untuk meningkatkan ilmu agama di Tanah Haram Mekah akhirnya tercapai juga ketika umurnya 18 tahun. Pada tahun 1887M bersamaan dengan 1305H Tok Kenali berjaya menjejakkan kaki di Kota Suci Mekah bagi meneruskan pengajian dan menjalani ibadah rukun Islam ke lima iaitu menunaikan haji.


Sebelum sampai ke Mekah, pelbagai rintangan yang perlu ditempohnya, namun semangatnya tetap utuh untuk meneruskan impiannya. Menurut riwayat, semasa dalam pelayaran menuju ke Mekah kapal yang ditungganginya mengalami kerosakan dan pelayaran yang terpaksa ditempoh adalah selama 6 bulan. Pemergiaannya ke Mekah hanya berbekalkan wang RM 22 pemberian ibunya beserta bantuan rakan dan sahabat sebanyak RM 50.

Semasa di Mekah, segala cabaran dalam menuntut ilmu diharungi oleh Tok Kenali dengan penuh sabar walaupun kesukaran di perantauan sukar digambarkankan. Di percayai sekitar 7 bulan lamanya beliau tidak mempunyai tempat tinggal yang tetap. Beliau hanya berehat di Serambi Masjidil Haram dan mencari waktu-waktu kekosongan orang untuk tidur. Sedangkan Masjidil Haram menjadi tempat orang ramai beribadat seperti bertawaf, saie, solat dan sebagainya.

musafir suci

Comments