Teater Bidasari ii


Bidasari: Versi filem, teater berbeza
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Bakat besar Raja Azura dan populariti dua pelakonnya, Nur Fathia dan Aiman Hakim jelas menjadi pertaruhan bagi menarik peminat membanjiri Panggung Sari Istana Budaya (IB) untuk menyaksikan pementasan teater Bidasari yang membuka pentas bermula kelmarin hingga 17 Februari ini.

Ramai yang kagum dengan kemampuan Raja Azura yang beraksi lincah dalam adegan pertarungan meskipun kali terakhir berlakon teater menerusi muzikal kanak-kanak Sinbad pada 2008.

Teater Bidasari ini turut diperkuatkan dengan lakonan pelakon berpengalaman seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Radhi Khalid, Fadhilah Mansor, Norsiah Yatim dan ramai lagi.

Kemampuan Nur Fathia, Aiman dan Hairul Azreen yang menyahut cabaran pengarah Lokman Ghani untuk membintangi genre bangsawan yang diangkat daripada filem Melayu klasik ini wajar dipuji. Apatah lagi, latihan yang dijalankan hanya lapan hari berbanding persiapan sepatutnya yang memakan masa berbulan-bulan.


PERMAISURI Laila Sari menyeksa Bidasari kerana cemburukan kejelitaannya.


Harus diakui, selaku orang lama yang pernah terbabit dengan siri pendekar dan menggemari filem lama, Raja Azura membuktikan dirinya berada di kelas tersendiri. Permainan karakter yang bijak serta dialog spontan sedikit sebanyak berjaya menyembunyikan beberapa kelemahan kecil yang ada.


Malah, lontaran dialognya juga lantang, sesuai dengan watak sebagai Permaisuri Laila Sari yang garang dan tidak boleh menerima hakikat ada wanita lain lebih cantik daripada dirinya.

Tenaga yang ditunjukkan Raja Azura yang kini berusia 42 tahun menampakkan dia seolah-olah berada pada pertengahan usia 30-an.

Ditemui ketika sidang media, Raja Azura berkata, dia puas kerana dapat kembali berlakon teater. Apa yang dilakukan seolah-olah melepaskan geram kerana lama tidak terbabit dengan pementasan teater.

“Itulah saya ketika di atas pentas. Sebenarnya, saya rindu nak berlakon teater dan apabila diberi tawaran ini, ia sangat menggembirakan. Namun, apabila buat watak garang dan seksa Fathia (Bidasari) saya tak mampu buat. Sedih sebenarnya, tambahan pula kalau kanak-kanak hadir menontonnya.

“Bagaimanapun, saya cekalkan hati kerana ini hanya lakonan. Kali terakhir saya bersilat pada 1995 dan kali ini kembali bersilat dalam Bidasari. Saya berlakon sepenuh hati dan alhamdulillah atas kerjasama semua pihak, persembahan kami berjalan lancar,” katanya yang mengakui agak letih kerana jadual latihan yang padat, selain terbabit sebagai penyampai radio Sinar FM.

Akui Raja Azura, dia cuba menokok tambah dialog agar lucu supaya penonton tidak bosan. Baginya, apabila melakonkan watak perempuan jahat, dengan satu babak pun sudah meninggalkan kesan kepada penonton.

“Dalam filem, Permaisuri Laila Sari hanya jahat manja-manja. Saya terfikir nak buat lebih baik dan tak nak ‘copy paste’ karakter asal sepenuhnya. Saya tengok skripnya pun tak banyak dialog dan biasa-biasa sahaja. Itulah sebabnya saya ‘improvise’ hampir keseluruhan karakter supaya lebih menarik.

“Setiap kali dalam kereta, saya akan fikir apa yang nak dibuat bagi menjadikan jalan ceritanya lebih menarik. Begitu juga ketika bersama Fathia, saya ajar dia teknik lakonan kerana tak nak badannya sakit dalam babak saya menyeksa dia. Saya pun dah berumur, jadi apa ilmu yang ada saya berikan kerana buat apa nak kedekut,” katanya.

Dengan mengambil kira tempoh masa latihan yang singkat, dia bangga dengan barisan pelakon baru yang terbabit dalam Bidasari serta memuji keberanian mereka mengambil risiko.

“Saya sifatkan mereka sebagai luar biasa. Mana ada latihan hanya lapan hari untuk sebuah pementasan besar. Kami saling bantu-membantu antara satu sama lain. Bahkan saya juga letakkan tahap saya sama dengan mereka agar tak nampak jurang yang besar,” katanya yang akan membawa anak-anaknya menonton pada hari terakhir pementasan.


Pengalaman baru Aiman & Fathia

Teater Bidasari diambil secara langsung daripada filem yang menampilkan seniwati Datuk Sarimah Ahmad dan Tan Sri Jins Shamsudin arahan Datuk Jamil Sulong pada 1964.

Bagaimanapun, dengan keupayaan teknologi yang ada di IB, kelainan dapat disaksikan dengan penggunaan imej grafik yang menarik sebagai latar belakang pentas serta dibantu set rekaan menarik istana, rumah kampung dan taman mandian permaisuri Laila Sari.

Penonton turut disajikan dengan letupan bunga api ketika adegan pertarungan serta penampilan pelakon seni silat daripada Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia dalam usaha memberikan kelainan. Turut menghidupkan cerita ialah pelakon daripada Artistana Istana Budaya dan kumpulan Istamuzika (OTM).

Fathia yang melakonkan watak Bidasari pula mengakui masih berdepan masalah ‘stage freak’. Namun dengan latihan berterusan dan kata-sama semangat daripada semua pihak, dia berjaya mengetepikan perasaan itu.

“Ini pengalaman pertama dan banyak yang saya kena belajar. Ada juga beberapa kelemahan kecil kerana saya tak pandai sembunyikan kesilapan. Walaupun lakonan tak berjaya mencapai tahap 100 peratus, saya tetap bangga dengan apa yang ditunjukkan.


“Kak Engku (Raja Azura) juga banyak mengajar saya terutama dalam teknik pergaduhan. Biarpun babak itu nampak ganas, tapi saya tak berasa sakit sangat. Ada juga babak saya dipijak, namun saya kena reda untuk mencantikkan teater ini,” katanya.

Bagi Aiman yang melakonkan watak Tengku Indra, secara peribadi dia sudah melakukan apa yang termampu dan jika ada kelemahan, dia berjanji akan memperbaikinya dalam pementasan seterusnya.

“Ini satu pengalaman baru, tapi saya tak rasa gemuruh. Kalau diikutkan perasaan itu penting. Mungkin saya terlalu ‘over confident’ hingga tak sedar beberapa kelemahan yang ada. Saya tahu boleh buat yang terbaik pada hari berikutnya,” katanya.

Hairul Azreen (Tengku Iskandar) pula mengakui cabaran berlakon teater genre bangsawan bukannya mudah. Dia tidak pandai teknik lontaran suara yang betul sehinggakan suaranya hilang menjelang hari pementasan.

“Banyak lagi yang saya perlu belajar terutamanya pergerakan di dalamnya. Begitu juga dengan penggunaan bahasa bangsawan dalam Bidasari kerana saya tak biasa menggunakannya. Saya buat latihan bercakap dengan kawan menggunakan bahasa ini walaupun ditertawakan mereka.

Sementara itu, Lokman berpuas hati dengan kualiti lakonan yang ditunjukkan semua pelakon terutama pelakon baru.

“Dengan masa latihan yang singkat, saya dapati semua pelakon memberikan lakonan yang ‘all out’. Saya sudah melihat beberapa kelemahan yang ada dan akan mempercepatkan lagi durasi pementasan Bidasari,” katanya.

myMetro 





Raja Azura Berjaya Hidupkan Teater 'Bidasari'

Selasa, 11 Februari 2014

Mohd Al Qayum Azizi

KUALA LUMPUR: Penantian selama 15 tahun untuk menyaksikan pelakon Raja Azura kembali ke pentas teater berbaloi apabila wanita itu membuat kemunculan menerusi teater Bidasari yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 17 Februari depan.

Permulaan teater berkenaan yang agak perlahan dan sedikit membosankan terus lenyap apabila Raja Azura yang lebih mesra dengan sapaan Kak Engku muncul sebagai Permaisuri Laila Sari yang jahat.

Tidak keseorangan di pentas, Raja Azura turut ditemani oleh pelakon pembantu sebagai inang dan dayang istana menghangatkan lagi babak berkenaan.

Aura pelakon popular 90-an itu cukup hebat dan taringnya sebagai pelakon belum pudar walaupun sudah 15 tahun tidak muncul dengan sebarang projek terbaharu.

Raja Azura ketika ditemui selepas pementasan itu berkata, dia mengakui merindui lakonan teater dan Bidasari adalah platform untuknya melepaskan 'gian'.

"Alhamdulillah jika penonton menyukai lakonan saya dan sejujurnya kami tidak cukup latihan tetapi kalau sesuatu watak itu dijiwai dengan betul ia akan datang sendiri.

"Sebagai pelakon kita kena jujur manakala teknik dan pengalaman juga banyak membantu saya dalam pementasan ini," katanya.

Teater Bidasari merupakan kisah yang diadaptasi daripada cerita Melayu klasik dari judul sama lakonan Tan Sri Jins Shamsuddin dan Datuk Sarimah Ahmad.

Kisah bermula apabila Bidasari (Fathia) yang cantik jelita dan kaya budi bahasa adalah anak angkat kepada saudagar Amir Abdullah.

Bidasari dijumpai sewaktu kecil di dalam sebuah sampan dengan kembarnya seekor ikan.

Sementara itu di negeri Zamin Ambar yang diperintah oleh Sultan dan isteri barunya Permaisuri Laila Sari (Raja Azura) dan kecantikan Bidasari telah sampai ke pengetahuan Permaisuri menyebabkan dia cemburu dan marah kerana tidak suka ada wanita lain lebih cantik daripadanya.

Permaisuri kemudian memanggil Bidasari untuk bersemayam di istana dan menggunakan pelbagai cara untuk menyeksa Bidasari supaya tidak lagi cantik.

Pelbagai cara dilakukan oleh Permaisuri untuk menghapuskan Bidasari selain konflik yang timbul di antara dua Putera Raja iaitu Tengku Iskandar (Hairul Azreen) dan Tengku Indra (Aiman).

Selain itu, teater tersebut turut dilakonkan oleh Datuk Jalaluddin Hassan, Radhi Khalid, Fadilah Mansor dan lebih 60 pelakon tambahan.

Ia diarahkan oleh Lokman Ghani manakala Irwan Ismadi Shahrin sebagai pengarah artistik.

Sementara itu, teknik lakonan teater yang ditampilkan oleh dua pelakon utamanya iaitu Aiman dan Fathia kurang berkesan dan menonjol pada persembahan malam pertama itu.

Mereka kelihatan sedikit kekok barangkali kerana gementar pertama kali membuat persembahan besar seperti teater Bidasari di Panggung Sari.

Aiman yang memegang watak sebagai Tengku Indra dilihat masih terikat dengan teknik 'method acting' dan pada beberapa babak lontaran vokalnya tidak cukup lantang bagi peranan sebagai anak raja.

Malah perkara itu turut diakui sendiri oleh Aiman yang kecewa dengan lakonannya yang longgar dan perlu bekerja keras untuk pementasan seterusnya.

"Saya kecewa dengan diri sendiri kerana tidak memberikan yang terbaik pada persembahan malam pertama. Ada beberapa kelemahan yang perlu saya perbaiki bagi memantapkan lagi lakonan di pentas," katanya.


Manakala lakonan Fathia pula, lenggok bahasa badan dan pergerakannya di atas pentas juga masih terbatas dan seharusnya dia lebih menonjolkan wataknya tanpa terlalu membebankan fikiran.

Bagaimanapun pujian harus diberikan kepada Aiman dan Fathia kerana berani mencuba dalam teater bangsawan walaupun menjalani tempoh latihan singkat iaitu hanya 10 hari.

Semangat mereka di atas pentas dapat dirasai dan sekiranya mereka diberi lebih banyak peluang berlakon dalam teater tidak hairan jika mereka antara yang terbaik dalam bidang tersebut.

Secara keseluruhannya, teater Bidasari menghiburkan dengan perkembangan plot disusun kemas dan cantik oleh pengarahnya walaupun adakalanya pergerakan cerita yang agak lambat sedikit membosankan.

Penggunaan kesan khas yang efektif dibantu dengan set latar yang meyakinkan banyak membantu menghidupkan lagi pementasan Bidasari bersesuaian dengan zaman yang ingin ditonjolkan.

mstar

Comments