Jangan kesal bila kecundang

Senandung Hidup

Bila hati dalam kesedihan
Bila diri rasa kesunyian
Mengapa itu harus kau kesalkan
Jangan pula kau tangiskan

Tiada insan yang tetap sempurna
Tiada pula yang terus derita
Hidup ibarat berputarnya roda
Ambil itu untuk renungan

Hidup ini suatu perjuangan
Perlukan pengorbanan
Jangan kesal bila kau kecundang
Anggap itu bukan penghalang

Bila jaya usah engkau lupa
Bila gagal usah kau kecewa
Berjaya bukan tanda bahagia
Gagal tidak arti derita

Hidup ini suatu perjuangan
Perlukan pengorbanan
Jangan kesal bila kau kecundang
Anggap itu bukan penghalang

Bila jaya usah engkau lupa
Bila gagal usah kau kecewa
Berjaya bukan tanda bahagia
Gagal tidak arti derita

Lirik : Suharti Ali
Lagu : J Mizan

Senandung Hidup- J Mizan



Penyanyinya J Mizan dan lirik ditulis oleh Suharti Ali. Judul lagunya Senandung Hidup. Lagu ini terhasil puluhan tahun yang lalu. Namun sesuatu yang menarik dan terindah tersembunyi dalam lagu ini. Lapis bahasanya sederhana tetapi kekal puitis. Nyanyian yang memikat oleh J Mizan. Lagu ini adalah antara lagu yang pernah menjulang nama J Mizan sebagai penyanyi popular Malaysia.

Khazanah yang tersimpan lama ini sebenarnya mengandungi unsur deduktif dan semangat yang tersendiri.  Iramanya perlahan dan romantis. Hadirnya persis pesan-pesan yang berbisik ke telinga mereka yang berhadap dengan segala suram hidup atau mereka yang mencari pedoman jiwa. Mesejnya begitu jelas untuk mengembalikan semangat dan harapan buat mereka yang merasa kecewa dan lemah mengharung payah dan sukar.

Jangan kesel bila kecundang. Inilah harapan dan intuisi yang dibawakan dalam lagu. Kesuraman bukanlah penghujung sebuah perjuangan. Kejayaan bukan penanda bahawa ia suatu kebahagiaan. Dalam nafas cabaran hidup hari ini, kita hanyalah biduk-biduk kecil yang belayar di luas samudera. Dalam hela nafas kita mencantum harapan, perjuangan, dan impian ada ketika kita terbenam dalam kepayahan yang dalam. Inilah antara lagu yang harus didengar dan diperhalusi. Secara perlahan ia memberi semangat dan keyakinan baru untuk berhadapan dengan segala rentak hidup. Sayangnya lagu seperti ini jarang diputar di radio dan ia semakin dibiarkan.


Lagu yang memberi kata semangat dan harapan secara sederhana seperti ini mustahak untuk semua peringkat. Remaja di bangku pelajaran memerlukan ini untuk meniupkan kata kekuatan ke dalam diri bagi mencapai kejayaan. Ada yang tidak berupaya keluar dari bayang-bayang ketewasan dan merasa lemah mengharung gelora masa. Upaya jiwa dan kesanggupan diri menjadi semakin malap dan akhirnya tehenti dalam kecundang.

Begitu juga dengan golongan lain. Mereka yang hidup dan tersisih dari rasa bahagia. Mereka yang kehilangan dahan berpaut atau semangat meneruskan perjuangan. Tidak kira pada batas usia mana pun lagu ini mampu mengetuk pintu sedar perlahan-lahan. Dengarkanlah dengan penuh sedar dan yakinlah bahawa segenap yang tersisa masih bisa dicantumkan menjadi haluan baru hidup.

Inilah pesan-pesan yang diperlukan terutama kepada generasi muda yang masih berhadapan dengan keras cabaran. Terlalu banyak pesona yang merombak kesedaran atau memancang alpa yang ditemui terlalu sedikit pengharapaan yang ditaburkan.

Kita harus mencari yang bererti dan sentiasa memberi peduli.
Semoga lagu ini dapat mencanai semangat membangkitkan kekuatan untuk merempuh gelombang.




Comments