Feminisme

Feminisme penulis wanita Malaysia - Indonesia
Oleh Djazlam Zainal


Dr. Norhayati Abdul Rahman merupakan Pensyarah kanan di Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang mempunyai pengkhususan dalam bidang kesusasteraan Melayu moden, kesusasteraan tradisional, kesusasteraan bandingan serta kesusasteraan dan gender.

Kehadiran beliau menerusi pelbagai penulisan berbentuk buku, jurnal, proseding dan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, banyak menyumbang terhadap kemajuan kesusasteraan tanah air.

Apabila buku yang berdasarkan desertasi kedoktorannya diangkat menjadi pemenang Anugerah Sastera Perdana, tahun ini, ia adalah satu langkah dan pemilihan yang tepat. Sebabnya buku ini diterbitkan ketika kajian feminisme di Malaysia dan Indonesia sedang menuju peringkat perbincangannya.

Kajian feminisme di Malaysia telah lama dibincangkan apabila karya-karya Zaharah Nawawi dan Fatimah Busu mencapai tahap feminisme yang menggusarkan para pemerhati karya patriaki. Melalui sejumlah cerpen dan novel, Zaharah Nawawi dan Fatimah Busu, mereka berdua telah memecah kepompong tokoh-tokoh patriarki yang mewarnai tokoh pengarang-pengarang lelaki.

Apabila terjadinya era eforia pemerintahan Suharto sekitar 1998 di Indonesia, muncul penulis-penulis wanita yang lebih vokal dengan penampilan daerah feminismenya seperti Ayu Utami, Herlinaties, Djenar Measa Ayu, Dewi dan lain-lain, feminisme harus ada satu pendekatan kritikannya sendiri. Norhayati menyedari hakikat tersebut lalu dihasilkan kajiannya terhadap bacaan Ginokritik bagi menangani masalah tersebut.

Kajian feminisme di Malaysia dan Indonesia telah memasuki tahap pertengahan di mana buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia : Satu Bacaan Ginokritik diperlukan bagi petunjuk kehadiran pengabsahan karya feminisme.

Buku ini ditujukan kepada pembaca atau para pelajar serta pengkaji sastera ke tahap seterusnya dengan perbincangan daripada sudut yang lebih mutakhir dan menggunakan teori ginokritik yang digagaskan oleh Showwalter. Perbincangan dari pandangan pengkaji tempatan yang diperkuat dan diperkukuhkan dengan dalil dan amalan puitika wanita yang lebih menonjolkan biologi dan pengalaman wanita.

Puitika wanita yang unik dan berlainan ini mendekonstruksikan puitika aliran perdana (lelaki ) dan yang demikian bersifat subversif kerana yang dijadikan medan perbincangan di sini ialah perasaan, suara, keinginan, perlambangan, imej, wacana dan gaya wanita, yang seterusnya dihubungkan dengan sifat biologi pengarang wanita.

Pengarang menggalurkan unsur-unsur ini dalam karya-karya pengarang seperti Zahawah Nawawi, Fatimah Busu, Azman Nordin, Rosmini Shaari, Siti Zainon Ismail ( Malaysia ) dan NH Dini, Titis Basino, Oka Rusmini, Toety Heraty, Ayu Utami, Djenar Measa Ayu dan Herlinaties ( Indonesia ). Aspek-aspek serta unsur-unsur yang secara langsung atau tidak langsung telah mempengaruhi proses pembentukan puitika di kedua-dua negara menjadikan kupasan dalam buku ini.


Norhayati dalam prakatanya, mengatakan, buku ini menampilkan satu perbincangan ilmiah dalam bidang kesusasteraan bandingan, khususnya untuk mengesan serta memperlihatkan proses pembentukan puitika dalam penulisan novel dalam kalangan pengarang wanita di Malaysia dan Indonesia.

Novel-novel ini dilihat dari sudut ginokritik yang diperkenalkan oleh Elaine Showalter.

Secara ringkasnya dapat ia dikatakan sebagai satu kaedah khusus yang digunakan untuk membincangkan karya wanita yang dihasilkan oleh wanita.

Buku ini semakin diperlukan terutamanya untuk melihat sastera Indonesia mutakhir tentang karya feminisme. Ini kerana sejak berabad lalu, wanita telah dikategorikan oleh lelaki dan budayanya sebagai ciptaan yang lembut dan manis. Kategori tersebut berpengaruh pada kemampanan nilai 'baik' dan 'buruk' tokoh-tokoh wanita dalam novel-novel Indonesia.

Dalam budaya Indonesia, wanita dilarang untuk berkata dengan 'perkataan-perkataan kotor', kata-kata yang tidak sesuai oleh diucapkan oleh wanita. Pembatasan ini secara tipikal tidak diperlakukan oleh lelaki. Untuk itu pengarang wanita yang sering mengangkat dan mengeksplotasi isu-isu sensitif, termasuk isu seksual, dianggap kurang intelek dan 'sangat tidak perempuan' (Ningrum Dewojati, 2006: 92)

Dalam satu tulisannya, Zaharah Nawawi telah melepaskan kemarahannya mengenai hal ini. Katanya, "Dalam bahasa biasa yang mudah difahami, kehidupan wanita boleh dianggap tertindas. Saya amat terkilan. Saya mengalami diskriminasi semasa bertugas sebagai guru bahasa Melayu pada tahun 1955. Guru lelaki dibayar gaji RM 140.00 sebulan tetapi guru wanita termasuk saya dibayar RM 90.00 sebulan. Dalam institusi keluarga, saya menolong keluarga dengan menoreh getah sejak berumur 12 tahun lagi bersama-sama abang-abang saya yang lelaki. Apabila cukup bulan, dan kepingan getah dijual kepada peraih, abang-abang saya yang lelaki dapat imbuhan kerana ' menolong ' keluarga, tapi saya yang perempuan hanya melopong menggigit jari." ( Zaharah Nawawi, 2004: 21 ).

Fatimah Busu melenting apabila dikatakan semua karyanya tidak ada watak lelaki. Hal ini telah mengeruhkan hubungan pengarang lelaki dan wanita dalam dunia sastera tanah air.

Utusan Malaysia

Comments