ajari aku

Blog Mimbar Kata

tulislah

blog mimbar kata

sehelai daun

blog mimbar kata

hujan dalam sukma

blog mimbar kata

kaki memijak

blog mimbar kata

23 Aug 2015

Raikan Kelahiran


Meraikan kelahiran bayi
Oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA


SUASANA di kediaman Yusop Saad, 81, dan Habsah Alang Resat, 80, di Kampung Selat, Layang-Layang Kiri, Bota, Perak meriah berbanding hari-hari biasa.

Kedengaran suara kumpulan marhaban mengalunkan selawat, zanji dan lagu-lagu nazam bermula seawal pukul 9.30 pagi.

Keadaan seperti itu sudah lama tidak dirasai Habsah. Ia seolah-olah mengimbau kenangan sewaktu dia melepasi tempoh berpantang selepas melahirkan lapan orang anaknya suatu ketika dahulu.

Kali terakhir kumpulan marhaban hadir ke rumahnya untuk majlis berendoi dan cukur jambul semasa kelahiran anak bongsunya kira-kira empat dekad lalu. Perkahwinan pasangan itu yang dimeterai sejak 54 tahun lalu diserikan dengan kehadiran lapan orang cahaya mata, 22 cucu dan 16 cicit.

Luah Habsah, majlis berendoi dan cukur jambul merupakan satu tradisi yang kian dilupakan dewasa ini.

Sambut kelahiran

Yusop dan Habsah mengadakan majlis tersebut untuk menyambut kelahiran kelapan-lapan orang anaknya.

Bagaimanapun, tradisi tersebut sudah lama tidak diadakan terutamanya selepas kelahiran cucu dan cicit dalam keluarga tersebut.

Habsah boleh mengukir senyuman apabila cucunya, Abdul Afif Aizat Abdul Razak, 29, kembali meneruskan tradisi keluarga tersebut untuk menyambut kelahiran anaknya, Abdul Khalish Zakwan yang berumur 45 hari.

Jelas Habsah, majlis berendoi dan cukur jambul yang diadakan oleh keluarga tersebut mengikut tradisi negeri Perak yang diadakan sejak turun-temurun.

“Selepas bersalin atau tempoh ibu berpantang selama 44 hari, bayi tidak dibenarkan masuk buaian. Bayi hanya boleh didodoikan di atas buaian pada hari ke-45 kelahiran.

“Ia merupakan salah satu adat untuk merai kelahiran bayi dalam majlis berendoi di Perak,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya baru-baru ini.

Menurut Habsah yang lebih mesra dengan panggilan Opah Ha oleh penduduk kampung, dia membuat sendiri buaian untuk mendodoi cicitnya pada majlis tersebut.

Buaian kain berwarna-warni itu dihasilkan menggunakan tiga helai kain batik lepas. Jelas Habsah, mengikut adat, sehelai demi helai kain batik akan ditanggalkan daripada buaian selepas majlis berakhir.

“Berdasarkan cerita masyarakat dahulu, kain batik yang ditanggalkan daripada buai selama tiga hari berturut-turut itu merujuk kepada pembuangan sifat buruk pada bayi tersebut. Perbuatan ini tiada kaitan dengan sebarang kepercayaan. Ia dilakukan sebagai satu simbolik sahaja.

“Mengikut sejarah, upacara ini dilakukan oleh Sultan Perak untuk merai kelahiran ahli keluarga yang bakal menjadi waris takhta,” ujarnya.

Selain kain batik, kelengkapan penting digunakan untuk menghasilkan buai seperti bantal kekabu kecil yang dibuat bentuk segi tiga dipanggil mempina, bunga kertas, gelang emas atau perak tiruan, loceng, buluh dan empat helai selendang.

Sembelih kambing

Walaupun kaki Habsah mengalami kecederaan akibat kemalangan yang menimpa dirinya sembilan bulan lalu, dia tetap menggagahkan diri membuat buaian untuk cicitnya.

“Kebanyakan majlis berendoi dan cukur jambul yang diadakan menggunakan buaian sewa. Majlisnya juga lebih moden. Saya mahu suasana majlis ini berjalan sama seperti ketika saya melahirkan anak sulung pada tahun 1958.

“Dalam majlis ini, dua ekor kambing disembelih untuk tujuan akikah. Alhamdulillah, seluruh ahli keluarga dapat menyertai majlis ini. Kami turut menjemput penduduk Kampung Selat untuk bergotong-royong dan menikmati hidangan yang disediakan,”ujarnya.

Mengikut tradisi, majlis berendoi dan cukur jambul dimulakan dengan takbir yang dialunkan oleh Kumpulan Marhaban Seri Cempaka Kampung Selat sebelum diiringi dengan selawat kepada Rasulullah SAW sewaktu tetamu memotong sedikit rambut bayi.


Rambut bayi yang dipotong akan dimasukkan ke dalam kelapa muda supaya rambut tersebut tidak terbang.

Pada majlis itu, wajah, bahu dan kaki Abdul Khalish dicalit dengan bedak sejuk oleh para tetamu. Selepas sedikit rambut dipotong oleh para tetamu, beras kunyit akan ditabur padanya.

Abdul Khalish kelihatan tenang dan tidak menangis sepanjang majlis berlangsung.

Menurut tetamu yang hadir, surah Al-Qadr dibaca kerana fadilat surah ini dapat menjadikan bayi sebagai seorang yang mendengar kata dan terhindar daripada melakukan dosa serta menenangkan bayi dalam apa jua keadaan.

Sejukkan kepala

“Cebisan rambut bayi yang dipotong akan dimasukkan ke dalam kelapa muda yang ditebuk bagi mengelakkan rambut bayi terbang ditiup angin,” ujar Habsah salah seorang ahli kumpulan Marhaban Seri Cempaka Kampung Selat.

Mengikut tradisi dan kepercayaan orang lama, rambut yang diletakkan di dalam air kelapa adalah simbolik untuk menyejukkan kepala bayi.

Bapa kepada Abdul Khalish, Abdul Afif Aizat memberitahu, dia menyambut baik cadangan bapanya untuk mengadakan majlis berendoi dan cukur jambul anak keduanya di kampung.

Majlis tersebut merupakan salah satu cara terbaik untuk meneruskan tradisi keluarga yang sudah lama tidak diadakan.

“Apabila pulang ke kampung, saya terkejut opah (Habsah) telah menyiapkan buaian untuk cicitnya. Opah begitu bersemangat dan gembira kerana ahli keluarganya meneruskan tradisi ini.

“Saya dan isteri mengadakan majlis berendoi dan cukur jambul anak sulung kami di rumah keluarga mertua. Majlis itu diadakan secara moden tanpa buaian dan kami menempah makanan katering untuk para tetamu. Bagi saya, suasana majlis di kampung lebih meriah,” ujar penolong penerbit di salah sebuah stesen televisyen tempatan itu.

Sementara itu, Yusop turut meluahkan rasa gembira apabila ada dalam kalangan ahli keluarganya berminat untuk mengadakan majlis tersebut.

“Majlis berendoi dan cukur jambul menjadi satu tradisi penting pada era penjajahan British sekitar tahun 1950-an. Setiap keluarga yang menerima ahli baharu pasti akan mengadakan majlis ini sebagai tanda kesyukuran.

“Selain mengikut adat dan tradisi, majlis ini juga tidak dipisahkan dengan syariat agama Islam. Para tetamu turut mengalunkan selawat dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sepanjang majlis berlangsung. Islam juga menganjurkan umatnya mengadakan majlis akikah untuk menyambut kelahiran bayi,” ujar pesara anggota polis kepada Kosmo!.

Dalam pada itu, Ketua Marhaban Seri Cempaka Kampung Selat, Layang-Layang Kiri, Aisah Abdul Manaf, 65, berkata, kumpulannya berperanan mengalunkan irama nazam, berzanji bacaan ayat suci al-Quran dan lagu-lagu nasyid pada majlis tersebut.

Alunan nasyid

Kumpulan yang ditubuhkan sejak enam tahun lalu itu disertai oleh ahli-ahli yang terdiri daripada golongan veteran.

“Bagi majlis berendoi dan cukur jambul, kami akan membaca tiga juzuk surah al-Quran dengan bacaan surah Luqman, Yusuf dan An-Nahl untuk dihadiahkan kepada bayi.

“Selain selawat kepada Rasulullah SAW, kami turut mengalunkan nasyid dalam bahasa Melayu dan Arab. Nasyid-nasyid itu juga mengandungi lirik-lirik yang memuji Nabi Muhammad SAW,” ujarnya.

Kumpulan tersebut turut menyanyikan lagu-lagu nazam yang berkisar tentang kisah-kisah nabi untuk mendodoikan bayi dalam buaian.

Menurut Aisah, kumpulan marhaban era moden mengalunkan lagu-lagu nazam berentak rancak manakala bacaan selawat lebih jelas.

“Kumpulan marhaban masyarakat Melayu terdahulu mengalunkan rentak yang lebih perlahan. Setiap irama dan ucapan dalam lagu nazam kisah-kisah nabi juga kedengaran lebih jelas,” ujarnya.

kosmo online


Adat Naik Buai Semakin Luput Ditelan Zaman
24 Julai 2013 


Adat naik buai dilaksanakan sebagai tanda meraikan kelahiran anak di dalam sesebuah keluarga. -fotoBERNAMA

ALOR GAJAH: Adat 'naik buai' suatu ketika dahulu pernah menjadi amalan lazim pasangan Melayu yang baru mendapat cahaya mata, namun adat itu semakin dilupai generasi muda kini.

Pada kebiasaanya adat ini yang juga dipanggil 'berendoi' dilakukan selepas upacara mencukur rambut bayi iaitu pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan dan kadangkala ia dibuat semasa hari terakhir berpantang ibu iaitu pada hari ke-44 selepas bersalin.

Ia dilaksanakan sebagai tanda meraikan kelahiran anak di dalam sesebuah keluarga serta satu cara untuk memaklumkan mengenai kelahiran kepada masyarakat.

Bagaimanapun, mentaliti masyarakat yang berubah seiring dengan perubahan zaman menjadikan adat-adat terdahulu termasuk naik buai dianggap sebagai kolot dan tidak perlu dilaksanakan lagi.

Majlis Naik Buai

Adat naik buai lazimnya dilakukan oleh masyarakat Melayu yang mengamalkan adat perpatih, namun amalannya pada masa kini mempunyai banyak perbezaan berbanding yang dilakukan nenek moyang terdahulu.

Di Melaka, antara kawasan yang masih mengamalkan adat itu ialah Taboh Naning, Melaka Pindah dan Lubok Cina.

Seorang pengamal adat itu, Maharam Tambi, 71, dari Ramuan China Besar di sini berkata pada masa dahulu, naik buai hanya dilakukan pada hari ke-44 selepas ibu bersalin dan disertai oleh anggota keluarga terdekat sahaja.

Beliau yang lebih dikenali sebagai 'wan (nenek) Meram' berkata sebatang kayu api yang belum dibakar dimasukkan terlebih dahulu ke dalam buaian menggunakan tali yang dibuat daripada bahagian pokok enau dan diayun oleh nenek atau individu paling tua dalam keluarga.

"Tujuan kayu dimasukkan terlebih dahulu adalah untuk menghalau semangat jahat, kononnya kayu ini akan menyerap semangat jahat tersebut," katanya kepada Bernama di sini.

Wan Meram berkata kayu itu kemudian dikeluarkan sebelum bayi diletakkan ke dalam buaian.

Alatan logam seperti parang kemudian diletakkan di bawah buaian ketika majlis itu yang dipercayai untuk menghalau syaitan.

"Bayi akan dibuai oleh nenek sehingga tidur sebelum diserahkan kepada ibunya," katanya.

Beliau bagaimanapun berkata majlis naik buai pada masa sekarang banyak berubah dengan meninggalkan amalan-amalan khurafat seperti menghalau semangat jahat serta dibuat secara besar-besaran dengan mengundang penduduk setempat.

Katanya pasangan suami isteri yang mengadakan majlis naik buai kebiasaannya menyediakan buaian bayi menggunakan kain sarung dan dihias dengan bunga-bungaan yang diperbuat daripada bunga kertas.

Majlis itu, katanya, kini dimulai dengan bacaan doa selamat dan marhaban melibatkan kaum wanita.

Bayi kemudian dimasukkan ke dalam buaian oleh datuk atau neneknya dan buaian diayun perlahan-lahan sambil marhaban diteruskan, katanya.

Wan Meram berkata sebelum majlis berakhir, tetamu dihidangkan dengan pulut kuning atau bubur kacang dan bunga telur dihadiah kepada semua yang mengambil bahagian pada majlis itu.

Bercanggah Agama?

Adat naik buai yang diamalkan masyarakat Melayu sebenarnya tidak terdapat di dalam ajaran Islam, mungkin menjadi antara punca ia tidak diamalkan pada masa kini.

Malah dikatakan amalan itu turut disertai dengan jampi serapah dan mantera berikutan masyarakat Melayu dahulu lebih terpengaruh dengan budaya dan ajaran agama lain.

Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Sumber Maklumat Jabatan Mufti negeri Melaka Nor Aminuddin Azis berkata adat berkenaan bagaimanapun kini diolah termasuk dengan pengisian doa dan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW agar tidak menjadi suatu amalan yang khurafat selain memberi peringatan kepada tetamu yang hadir untuk mengingati kebesaran Allah.

"Pelaksanaan adat yang melibatkan unsur-unsur khurafat dan jampi serapah akan menjejaskan akidah umat Islam, malah lebih merisaukan lagi apabila adat-adat ini membawa kita keluar daripada Islam tanpa kita sedari." katanya.

Beliau berkata iringan nazam, berzanji atau qasidah ketika majlis berlangsung juga sebenarnya tidak perlu dilakukan kerana tidak diamalkan oleh Rasulullah.

"Tetapi jika terdapat iringan nazam, berzanji berkenaan, ia hendaklah diteliti akan susunan dan maksudnya kerana dikhuatiri terdapat unsur-unsur pemujaan sesuatu selain daripada Allah," jelasnya.

Katanya, umat Islam sebaik-baiknya menyempurnakan ibadat akikah iaitu menyembelih binatang ternakan yang dilakukan ketika mencukur rambut bayi yang lahir sebagai tanda kesyukuran kepada Allah.

"Tahnik, akikah, mencukur rambut dan memberi nama pada hari ketujuh kepada bayi yang dilahirkan adalah amalan sunnah, sepertimana yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW kepada cucu-cucu baginda iaitu Hassan dan Husein," katanya.

Namun, katanya, sunnah mencukur rambut itu juga seringkali disalah erti masyarakat dengan menggunapakai istilah 'cukur jambul' hingga mengundang kekeliruan dalam perlaksanaannya apabila hanya sebahagian rambut bayi sahaja digunting.

Hakikatnya, amalan bercukur rambut bayi perlu dilakukan dengan mencukur keseluruhan rambut dan kemudiannya ditimbang dan dinilaikan dengan harga emas semasa sebelum wang itu disedekahkan kepada orang yang memerlukan atau fakir miskin, katanya.

Katanya penyediaan beberapa kelengkapan seperti kelapa muda, air tepung tawar, beras kunyit, bertih jagung dan bunga rampai juga terpesong daripada ajaran Islam.

Promosi Adat

Adat naik buai adalahan antara 154 butiran terdiri daripada tapak, objek ketara, objek tidak ketara dan tokoh orang hidup yang diisytiharkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (sekarang Kementerian Komunikasi dan Multidmedia) sebagai Warisan Kebangsaan Negara pada 10 Mei 2012.

Ia dikategorikan sebagai warisan adat dan budaya selain berlenggang perut, adat perpatih Negeri Sembilan dan Naning serta adat Temenggung bertujuan mengekalkan warisan dan budaya masyarakat negara ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Rodzuan Ismail mengakui adat naik buai semakin dilupai sedangkan ia dilakukan pasangan suami isteri bagi membolehkan si anak didendangkan dengan nazam dan lagu berunsurkan nasihat supaya membesar sebagai insan berguna kepada masyarakat.

Justeru, bagi memastikan kelangsungan adat naik buai, JKKN pada 14 Jun lepas meraikan seramai 30 bayi pada satu majlis naik buai dengan kerjasama penduduk Kampung Melaka Pindah di sini.

"Ini adalah program bagi mendekatkan masyarakat umum khususnya luar bandar dengan kegiatan seni budaya dan secara tidak langsung mempromosi kampung Melaka Pindah ini sebagai kampung warisan yang telah mendapat pengiktirafan dari Perbadanan Muzium negeri Melaka (PERZIM)," katanya.

Beliau berkata program itu juga mampu memberi pendedahan kepada golongan muda untuk meneruskan warisan nenek moyang daripada pupus ditelan zaman.

Selain itu, majlis yang akan diadakan secara tahunan di kampung berkenaan juga mampu menarik minat pelancong ke negeri Melaka untuk mengenali dan menyaksikan sendiri pelaksanaan adat naik buai.

Rai Anak Pertama

Bagi Mohd Attas Abdullah, 48, kelahiran putera sulungnya, Harith Hamzah, lima bulan sememangnya adalah saat paling bahagia dalam kehidupannya dan isteri.

Pasangan itu yang berkahwin tiga tahun lepas berasa teruja apabila dijemput menyertai majlis naik buai anjuran JKKN bagi meraikan anak sulung mereka bersama-sama pasangan lain.

"Adat naik buai ini menunjukkan kita bersyukur akan kurniaan dan kebesaran Allah yang mengurniakan cahaya mata kepada kita," katanya.

Satu lagi pasangan Azman Abd Ghani, 30an dan Zurina Osman, 30-an berkata menyertai majlis naik buai adalah peluang yang jarang diperoleh pada masa kini berikutan tidak ramai yang mengetahui mengenai adat berkenaan.

"Peluang seperti ini bukan semua orang dapat, majlis sebegini jarang dianjurkan lagi, apatah lagi diraikan bersama bayi lain," katanya.

Pasangan yang dikurniakan anak kembar lelaki, Azril dan Azrizil yang berusia dua bulan itu turut berharap majlis seumpama itu dapat diteruskan bagi memberi peluang kepada pasangan yang baru menimang cahaya mata untuk berkongsi kegembiraan mereka bersama masyarakat.

Azman berkata program berkenaan juga dapat mengekalkan adat dan tradisi masyarakat Melayu terdahulu supaya terus dipelihara bagi tatapan generasi akan datang.

"Kepentingan mengekalkan tradisi ini perlu diteruskan daripada semua peringkat untuk membawa maruah dan tatacara adat Melayu untuk dipersembahkan kepada masyarakat," katanya. - BERNAMA

mstaronline

20 Aug 2015

Bertemu P Ramlee Di Tiga Lokasi




Pulau Pinang - Dewan Sri Pinang bersempena @georgetownfestival 
28 hingga 30 Ogos,


Johor Bharu - Studio Pinewood Iskandar Malaysia 
4 hingga 6 Sept 2015


Melaka -  Panggung Seri Taman Budaya Melaka, Ayer Keroh 
11 hingga13 Sept 2015 
















foto p ramlee the musical

untuk tiket sila ke ticketpro

19 Aug 2015

deklamasi puisi : ahmad shukri abdullah





17 Aug 2015

menghadap lautan


menghadap lautan

perlahan deru angin
bulan bergumpal gelombang
mendekat menyambar pantai
dengar suaramu singgah
kakiku basah

malam semakin pergi
bulan merendah cahaya
gelombang tak ingin berhenti
siapakah antara kita
menjadi paling setia
tidak akan beranjak pergi
hingga cahaya berganti

malamkah menambatku
menghadap lautan
atau hanya merindu bulan
pesona pada kerlip cahaya
di muka air

usai semua itu
segalanya diam
ketika matahari bermain cahaya
masihkah ada cinta
pada bulan yang pergi
pada lautan yang menyendiri


 

derma organ




SOALAN “MENDUGA AIR” DALAM TEMURAMAH VIDEO DERMA ORGAN
Julai 13, 2015

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Menderita sakit buah pinggang semenjak tahun 2001 dan menjalani rawatan Dialisis Air (4 kali sehari untuk 20 minit setiap sesi rawatan) selama 2 tahun memang memeritkan. Saya sangat beruntung mempunyai ibu saudara yang sanggup menderma buah pinggangnya pada 5 Ogos 2010. Beruntung kerana para pesakit lain terpaksa menunggu belasan tahun untuk mendapat buah pinggang.

Setelah mendapat buah pinggang baharu kualiti hidup saya berubah. Sudah 3 buah buku saya tulis dan banyak sekali jemputan ceramah dapat saya penuhi. Saya juga menerima banyak jemputan ceramah mengenai kepentingan menjaga buah pinggang dan kebaikan derma organ. Bayangkan pahala yang diperolehi ibu saudara saya dari segala aktiviti tersebut.

Terbaru, semalam (9 Julai 2015), Unit Transplan Nasional, Kementerian Kesihatan Malaysia menemuramah saya untuk terbitan video kempen derma organ terbaru. Cerita menarik saya bukan pada temuramah dan rakaman, tetapi pada soalan “provokatif membina” oleh pengarah rakaman video yang juga seorang Hindu. Jika silap saya menjawab soalan menduga air darinya itu, Islam akan kelihatan kaku, keras dan tidak menggambarkan RAHMAT KEPADA SELURUH ALAM.
Seingat saya, soalannya berbunyi:

“Ustaz! Apa pandangan Islam jika saya yang beragama Hindu menerima organ dermaan orang Islam?” Apakah kesan baik buruk, kerajinan saya beribadat dalam agama saya akan memberikan kesan kepada penderma yang beragama Islam?”

Ini intisari jawapan saya:

Islam memandang kemanusiaan mengatasi segalanya menjangkau aspek agama. Bahkan ia juga ajaran Islam. Dalam Islam, penderma tetap mendapat pahala sedekah atas dermanya. Apa yang dilakukan penerima derma bukan lagi tanggung jawab penderma. Dalilnya:

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَى

Ertinya: Dan (ketahuilah), seseorang pemikul tldak akan memikul dosa perbuatan orang lain (al-An’am[6:164], al-Isra’[17:15] dan Fatir[35:18]).

Juga tiada “subahat dosa” pada organ yang didermakan kepada bukan Islam. Dalam Islam, sedekah dan pendermaan adalah buta agama dan warna kulit. Islam tidak pernah membataskan agama dalam isu sedekah kerana sedekah adalah tanggungjawab manusia manakala hidayah kepada Islam adalah hak mutlak Allah. Orang yang terbantut hajat sedekahnya perlu memahami bahawa hak Allah dalam memberikan hidayah tidak boleh dicerobohi sama sekali. Firman Allah:

لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنْفُسِكُمْ وَمَا تُنْفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لَا تُظْلَمُونَ

Ertinya: Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya). Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan (al-Baqarah[2:272]).

Ayat ini diturunkan menegur sebahagian sahabat nabi SAW yang berasa berat hati untuk bersedekah kepada kaum kerabat mereka yang masih kufur (Tafsir Ibn Kathir). Nas ini jelas menunjukkan Islam tidak menghalang sedekah diberikan kepada golongan bukan Islam kerana pahala sebarang ibadah sedekah dan pendermaan organ sudah dijanjikan Allah berdasarkan hadith ini:

قَالَ رَجُلٌ لَأَتَصَدَّقَنَّ اللَّيْلَةَ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ زَانِيَةٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ قَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ غَنِيٍّ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ قَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى غَنِيٍّ لَأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ وَعَلَى سَارِقٍ فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ أَمَّا صَدَقَتُكَ فَقَدْ قُبِلَتْ أَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا تَسْتَعِفُّ بِهَا عَنْ زِنَاهَا وَلَعَلَّ الْغَنِيَّ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ وَلَعَلَّ السَّارِقَ يَسْتَعِفُّ بِهَا عَنْ سَرِقَتِهِ

Ertinya: Seorang lelaki (dari Bani Isra’il) berkata, “Malam ini aku akan bersedekah.” Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang penzina. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang penzina. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagiMu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang penzina. Lelaki tersebut berkata lagi: “Malam ini aku akan bersedekah lagi.” Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang kaya. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang kaya. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagiMu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang kaya. Lelaki tersebut berkata lagi: “Malam ini aku akan bersedekah lagi.” ” Dia kemudiannya keluar bersedekah dan tanpa disedarinya dia telah bersedekah kepada seorang pencuri. Pagi esoknya, orang ramai bercerita bahawa sedekahnya itu telah diberikan kepada seorang pencuri. Lelaki itu pasrah berkata: Ya Allah, segala puji bagiMu. (Tanpa kusedari) aku telah bersedekah kepada seorang penzina, seorang kaya dan seorang pencuri. Kemudiannya, seseorang datang kepadanya (dalam mimpinya) dan berkata, “Semua sedekah yang engkau berikan sudah diterima (Allah). Berkenaan si penzina, sedekahmu itu mungkin bakal menghalangnya dari terus berzina. Berkenaan si kaya, sedekahmu itu mungkin bakal menyedarkannya serta mendorongnya agar membelanjakan hartanya pada jalan Allah. Berkenaan si pencuri, sedekahmu itu mungkin bakal menghalangnya dari terus mencuri (Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim).

Setelah mendengar jawapan saya, pengarah rakaman tersebut tersenyum gembira melihat betapa Islam sangat harmoni ajarannya. Beliau lantas mengaku sangat berminat dengan Islam dan sedang mendalami Islam dalam banyak bacaannya. Saya juga menghadiahkan setiap kru rakaman sebuah buku saya “BERJALAN, MELIHAT, MENTAFSIR, CERITERA WARTAWAN AL-QURAN.” Semoga buku dan jawapan saya menyakinkannya tentang kebenaran dan keharmonian Islam.

Manusia pasti diuji kerana hidup adalah pentas ujian. Tinggal lagi bagaimana cara kita menghadapi ujian ini untuk kebaikan agama.

derma organ


Apa Itu Pendermaan Organ?


Pendermaan organ adalah proses memindahkan organ dan tisu daripada penderma yang masih hidup atau telah meninggal dunia kepada pesakit yang mengalami kegagalan organ tahap akhir. Pemindahan organ (transplan) merupakan kaedah rawatan yang terbukti berkesan dan dapat menyelamatkan nyawa. Pemindahan organ tidak akan berlaku sekiranya tiada penderma.

Di Malaysia, hanya penderma yang meninggal dunia secara mati otak sahaja yang boleh mendermakan organ dan tisu. Manakala penderma yang meninggal dunia secara biasa (jantung terhenti) hanya boleh mendermakan tisu.

Proses perolehan organ melibatkan pembedahan yang dijalankan oleh pasukan pakar bedah secara steril (sucihama). Proses ini tidak akan menyebabkan sebarang kecacatan kepada tubuh badan penderma. Selepas pendermaan dijalankan, luka pembedahan akan dijahit dengan sempurna.

Pendermaan organ dan tisu boleh dijalankan di kebanyakan hospital kerajaan dan swasta. Bagi individu yang meninggal di rumah, hanya pendermaan mata boleh dijalankan.


Organ dan Tisu Yang Boleh Didermakan


derma organ













Jiwa Murni Sarawak

Program Jiwa Murni Sarawak

15 Ogos 2015, pasukan-pasukan di Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat telah menganjurkan Program Jiwa Murni berbentuk perkhidmatan perubatan dan pergigian, pendaftaran Askar Wataniah, demonstrasi ketenteraan, pameran senjata dan peralatan tentera di empat lokasi di negeri Sarawak. Seramai 100 anggota tentera telah terlibat secara langsung menjayakan program tersebut dan kehadiran pengunjung dianggarkan seramai 300 orang. Lokasi program jiwa murni yang telah diadakan adalah seperti berikut:

a. Kampung Stass, Bau. Pasukan terlibat adalah 11 RAMD, 801 RSAT dan 609 PGAT. Program perkhidmatan kesihatan dan pergigian serta pameran senjata.

b. Sekolah Kebangsaan Telagus, Balai Ringin. Pasukan terlibat 3 Rejimen Renjer Diraja, 1 Batalion Ubat dan 609 PGAT. Program perkhidmatan kesihatan dan pergigian, pendaftaran Askar Wataniah, pameran senjata dan peralatan tentera.

c. Kampung Debak, Betong. Pasukan terlibat adalah 13 RAMD, 3 Skn Semboyan Diraja, 3 Kompeni Angkut, 801 RSAT dan 609 PGAT. Program perkhidmatan kesihatan dan pergigian, pameran senjata, demonstrasi masakan rangsum tempur dan pakaian sniper, gotong royong membersih dewan.

d. Kampung Yoh, Bintulu. Pasukan penganjur 9 Kompeni Angkut dan unit perubatan serta pergigian. Program perkhidmatan kesihatan dan pergigian.






fb kementerian pertahanan malaysia

http://www.mod.gov.my/


SEJARAH KEMENTERIAN PERTAHANAN MALAYSIA


Kementerian Pertahanan telah ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 dan memulakan operasi rasminya di sebuah bangunan yang terletak di Brockman Road (sekarang Jalan Dato' Onn) , Kuala Lumpur. Bangunan ini turut menempatkan pejabat Menteri Pertahanan yang pertama iaitu Allahyarham Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussien yang berkhidmat dari 31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970.

Bangunan Kementerian Pertahanan yang pertama telah dibina oleh Kerajaan Persekutuan dengan kos bernilai RM122,000.00 dan telah dirasmikan oleh Tun Haji Abdul Razak bin Datuk Hussein pada 18 Mac 1960. Bangunan yang dibina di Jalan Padang Tembak ini juga menempatkan pejabat Panglima-panglima dan Pegawai Tinggi Angkatan Tentera Malaysia dari ketiga-tiga perkhidmatan.

Akibat kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan pemimpin betapa peri pentingnya pembesaran keanggotaan angkatan tentera, sebuah kompleks yang mengandungi 6 blok setinggi 4 tingkat telah dibina di hadapan Pejabat Bahagian Perkhidmatan Anggota bagi menampung jumlah keanggotaan yang semakin bertambah. Bangunan bernilai RM 2 juta ini telah dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman Putra pada 6 April 1967.

Selepas pengunduran tentera British , Kerajaan Malaysia mengambil langkah drastik untuk meningkatkan tahap keselamatan negara dari sebarang ancaman. Tugas ini dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Pertahanan selain mempertingkatkan kecekapan dalam pengurusan keperluan angkatan tentera dari masa ke semasa.

Bagi menampung kesemua agensi di bawah satu bumbung, kerajaan telah membuat keputusan membina satu bangunan baru untuk Kementerian Pertahanan. Sebagai simboliknya, batu asas bangunan tersebut telah diletakkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Dato' Abang Abu Bakar bin Datu Bandar Abang Haji Mustapha pada 10 Mac 1982. Bangunan baru yang terletak di Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur ini telah dibina dengan nilai RM144 juta dan telah disiapkan pada pertengahan tahun 1985. Bangunan setinggi 20 tingkat ini dikenali sebagai "WISMA PERTAHANAN" yang turut menyediakan ruang-ruang pejabat dan bilik-bilik mesyuarat. Kawasan sekeliling "WISMA PERTAHANAN" yang dikenali sebagai Kompleks Wisma Pertahanan turut menyediakan beberapa kemudahan seperti bangunan tempat letak kereta bertingkat, auditorium, surau, Medan Pertahanan (Padang Kawad), balai pengawal, menara, bilik komputer, 'helipad', kafetaria dan lain-lain.

Kementerian Pertahanan diterajui oleh Menteri Pertahanan dan dibantu oleh seorang Timbalan Menteri. Organisasi Kementerian Pertahanan pula mengandungi dua perkhidmatan utama iaitu Perkhidmatan Awam yang diketuai oleh Ketua Setiausaha manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera.

Kementerian Pertahanan Malaysia

16 Aug 2015

matahari




matahari 

tak pasti untuk apa kebisuan ini
apakah untuk melenyapkan kepayahan
menyisihkan putar angin
menghentikan suara-suara yang menyapa

mereka memancakkan tanda-tanda
lorong-lorong pilihan
apakah aku harus menuruti segalanya
berpayung pada perintah dan arah
melenyapkan suara sendiri
membisu untuk apa?

mereka menukilkan potret 
menyungguhkan hidup dengan dendang dan dongeng
kita hanya sekepal dan tiada lagi
usah menjadi asing kita harus bersama
demi kebaikan semua
mudiklah dengan perahu ini
membawamu ke pulau pilihan
dan tidak pernah dibenarkan bertanya lagi
tentang arah dan haluan perahu
aku harus menjadi bisu
demi memikat bahagia

matahari
aku ingin bertanya pada engkau
yang berdiri di atasku
haruskah aku begitu
sempurnakan apa yang tertulis pada segenap papan tanda
menyerah pada gelap yang tiba
dan menjadi bisu pada segala herdik dan singkir
menginjak jalan 
mudik dengan perahu
ke pulau pilihan

aku dewasa denganmu
belajar dari bahasa cahaya
menerima gelap dalam kesurutan hari
merenung pagi dengan gagah warna
mengerti letih dan lelah perjalanan
memulih semangat meski persis tertikam belati
matahari
apakah kau ada
untuk menulis warna
pada esokku lagi



 


 

15 Aug 2015

seni topeng



Uniknya topeng
JKKN anjur MIMAF untuk tonjolkan keunikan topeng dari serata dunia
14 Ogos 2015


KEUNIKAN topeng dari Korea Selatan yang boleh dilihat pada Festival Topeng Antarabangsa Malaysia.

TOPENG membawa pelbagai konotasi. Ada yang dikaitkan dengan kejahatan, untuk menakutkan orang malah bagi tujuan menipu. Tetapi sejak dari zaman dahulu, topeng juga mampu menghiburkan apabila ia sering digunakan dalam pementasan dan sebagainya.

Malah topeng wujud dalam dalam semua masyarakat di dunia ini. Kehadirannya sudah tentu untuk kegunaan yang pelbagai. Setiap masyarakat ada identiti topengnya yang tersendiri serta tujuannya juga berbeza.



Di Malaysia misalnya, Orang Asli suku Mah Meri di Pulau Carey, Selangor terkenal dengan seni menghasilkan topeng mereka. Topeng merupakan sebahagian daripada budaya unik Mah Meri.

Bagi membawa keunikan topeng setiap masyarakat dunia supaya lebih dikenali oleh rakyat Malaysia, Kementerian kebudayaan dan Pelancongan melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Nasional (JKKN) telah menganjurkan Festival Topeng Antarabangsa Malaysia (MIMAF) dari 13 hingga 16 Ogos di Esplanade, Taman KLCC.

Ini merupakan kali pertama program ini diadakan di Malaysia yang merupakan antara program utama yang dapat menarik pelancong dari seluruh dunia untuk berkunjung ke negara ini.

Festival ini juga bermatlamat untuk memberi pemahaman kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa berhubung dengan budaya topeng yang terdapat di serata dunia terutama untuk mengetahui lebih dekat keunikan topeng berkenaan dan tujuan penghasilan dan pemakaiannya.

Melalui festival ini akan mendedahkan perenan topeng itu serta sifat kesejagatannya berdasarkan kepada jenis-jenis topeng yang dihasilkan termasuk fungsi dan peranannya.

Pemilihan KLCC sebagai lokasi festival juga selari dengan kedudukannya yang merupakan pusat membeli-belah ikonik yang bukan sahaja menjadi tumpuan ramai tetapi juga menempatkan jenama-jenama antarabangsa yang unik.

Pemilihan lokasi ini kerana kedudukannya di tengah-tengah Bandaraya Kuala Lumpur dan menjadi tumpuan utama pelancong dari dalam dan luar negara. Sudah tentu kehadiran festival topeng ini akan menambahkan lagi tarikan kepada pengunjung.


Festival selama empat hari ini membabitkan 379 penyertaan termasuk 287 penyertaan dari Malaysia, di samping 92 penyertaan dari luar negara.

MIMAF terdiri daripada beberapa komponen utama seperti persembahan, pameran, demonstrasi, pertandingan dan perarakan.

Komponen persembahan pula melibatkan pertunjukan daripada negara-negara yang terlibat. Pameran akan menampilkan topeng dan pakaian sementara demonstrasi pula membabitkan mengukir dan mewarna topeng.

Pada masa sama terdapat pertandingan mewarna dan mengecat topeng, sementara perarakan akan membabitkan peserta yang memakai topeng dan kostum menarik. Mereka akan berarak sejauh satu kilometre melalui Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan P Ramlee dan Suria KLCC.

Tarikan utama ialah persembahan daripada negara-negara yang mengambil bahagian di tempat-tempat yang menjadi tarikan pelancong seperti Pasar Seni, Sungai Wang Plaza dan Nu Sentral.

Matlamat MIMAF ialah untuk mempromosi Malaysia sebagai destinasi pelancongan kebudayaan dunia dengan mengketengahkan budaya topeng dalam kalangan masyarakat tempatan dan antarabangsa.

utusan online


Malam Gala Festival Topeng Antarabangsa 2015 Meriah
14 Ogos 2015 12:42 PM

Aneka topeng pelbagai bentuk dan warna dipersembahankan di Festival Topeng Antarabangsa Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan KPK melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di Esplanade KLCC di sini malam ini. Festival tersebut berlangsung dari 13 sehingga 16 Ogos ini.


KUALA LUMPUR: Topeng unik pelbagai bentuk, kostum berwarna-warni sarat dengan aksesori menjadi antara tarikan utama pengunjung pada malam gala Festival Topeng Antarabangsa Malaysia 2015 di Esplanade, KLCC, Khamis malam.

Festival yang julung kali diadakan itu melibatkan seramai 379 peserta dari lapan negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, China, Thailand, Filipina, Rusia, Indonesia dan Sri Lanka.

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, festival bertemakan 'Menyelusuri masa... Setiap wajah ada cerita' itu bermaksud setiap topeng yang digunakan mempunyai nilai identiti dan fungsi tersendiri mengikut budaya masyarakat tertentu.

"Festival ini dapat mempamerkan kepada masyarakat tentang kekayaan seni budaya dan tradisi etnik, contohnya di negara kita terdapat seni bertopeng daripada etnik Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey, Selangor," katanya kepada pemberita selepas melancarkan festival itu.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Dr Ong Hong Peng, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) kementerian Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Datuk Norliza Rofli.


Kumpulan Teo Chew PUPPTN Opera dari Pulau Pinang mewakili Malaysia membuat persembahan di malam gala Festival Topeng Antarabangsa Malaysia di Esplanade KLCC .


Acara malam gala itu diserikan dengan pertunjukan pengenalan oleh setiap negara menerusi persembahan tarian bertenaga yang mempamerkan identiti sosio budaya kaum atau etnik masing-masing menerusi reka bentuk topeng, kostum, prop dan aksesori hiasan.

Antara jenis tarian menarik yang dipersembahkan kepada pengunjung tempatan dan luar negara di sini ialah tarian 'ballroom' (Rusia), opera (China), tarian singa (Korea Selatan) dan lain-lain lagi.

Berlangsung mulai Rabu lalu sehingga Ahad ini, festival topeng ini juga menyediakan program menarik seperti perarakan topeng pada hari ini serta persembahan penuh oleh peserta-peserta pada Sabtu dan Ahad. -- Bernama

mstar










STATUS

Search This Blog

DAUN